Rate

Bab 60: Perpisahan Kali Kedua

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh melangkah keluar dari bilik diskusi di dalam Istana Zahran, meninggalkan Raja Abdullah II yang masih berteleku di kerusi empuk yang berada di ruangan bilik tersebut. Sejurus kemudian, Fateh segera mendapatkan Catherine yang sabar menantinya bersama keluarga Dr. Faisal. Turut berada di situ adalah Pemaisuri Rania yang sepertinya bertanya kepada ibu dan bapanya perihal tetamu keluarga mereka pada hari ini. Baginda menunjukkan reaksi seperti tidak percaya dan terkejut.

Catherine hanya tersenyum apabila melihat kelibat Fateh yang menghampirinya. Sungguh, walau pun kehadiran mereka berdua dilayan dengan baik tetapi, Catherine tidak biasa dengan suasana seperti itu. Dia berasa amat kekok sekali. Jika Fateh berada di situ, dia akan berasa lega sedikit.

Sebaik sahaja Pemaisuri Rania melihat Fateh muncul, dia segera bergegas meninggalkan ruang tamu tersebut menuju ke bilik diskusi untuk bertemu suaminya. Sekilas, Fateh dapat mengagak bahawa Pemaisuri Rania pasti ada pelbagai persoalan yang hendak diajukan kepada suaminya itu.

“Faisal, nampaknya aku tidak boleh berlama-lama di sini. Aku dan isteriku sekarang tengah berbulan madu, kau faham-faham sajalah.” Dr. Faisal dan isterinya Ilham Yasmin hanya tersenyum mendengar kata-kata Fateh walau pun ada riak sedih pada wajah mereka.

“Begitu lama aku menantikan khabarmu, begitu cepat kau mahu pergi?” Dr. Faisal seperti enggan melepaskan pertemuannya dengan Fateh. Ilham Yasmin juga mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Insya Allah, ada umur kita berjumpa lagi.”

“Ya, begitulah. Tetapi aku ini sudah tua, Fateh. Kami suami isteri belum tentu dapat bertemu kau lagi selepas ini,” nada suara Dr. Faisal menjadi pilu. Isterinya mula tersedu-sedu.

“Benar, Fateh. Kau sendiri masih kelihatan muda seperti saja lebih muda dari anak-anak kami sendiri, masakan ada umurku untuk bertemumu dalam hayat ini lagi. Dalam hatiku, mungkin inilah yang terakhir.” Berjurai air mata Ilham Yasmin ketika menuturkan kata-kata itu. Dr. Faisal pun turut mengalirkan air mata. Catherine yang tidak faham bahasa Arab pun turut terkesan dengan emosi kedua mereka.

“Usah dikenang peristiwa lama, Yasmin. Aku sudah cukup lega melihat kamu sekeluarga hidup aman seperti kini dan aku cukup bersyukur diberi peluang melihat kamu lagi. Ini saja yang dapat aku lakukan untuk kamu sekeluarga semasa zaman perang yang penuh dengan pelarian. Kamu berdua sahabatku, sudah menjadi kewajiban aku untuk membantu. Kamu berdua pun banyak membantu aku sewaktu misi menyelamat dahulu.” Perlahan saja Fateh berbicara, sesekali dia seperti memikirkan sesuatu. Sungguh, pertemuan ini bukanlah dirancang tetapi, Fateh tidak terkejut sekiranya mereka akan berjumpa lagi kelak kerana dia tahu, semuanya sudah ditakdirkan sebegitu. Bukan kerana dia dapat membaca takdir tetapi, dia sentiasa akur dengan takdir itu sendiri.

Dr. Faisal kemudiannya memeluk Fateh dengan erat. Titisan air mata semakin laju menderu sebagaimana isterinya, Ilham Yasmin yang sudah kebasahan terlebih dahulu. Sungguh, antara mereka bertiga, tersimpan cerita suka duka yang amat dalam. Hanya mereka saja yang memahaminya dan sebab itu jugalah, pertemuan ini sarat dengan emosi.

*******************

Pemaisuri Rania memandang suaminya dengan penuh tanda tanya, kerana jelas riak wajah Raja Abdullah II itu begitu sugul sehingga kehadirannya di situ bagai tidak pula disedari oleh baginda.

“Sayang...” Tegur Pemaisuri Rania dengan lembut, mendampingi suaminya perlahan-lahan. Raja Abdullah II hanya memandang isteri dan mula menguntum senyuman- seperti dipaksa-paksa.

“Apa yang menganggu fikiranmu, wahai suamiku?” Tanya Pemaisuri Rania dengan penuh kasih sayang.

“Hmmm..tidak apa-apa. Mungkin kerana aku ini terlalu memikirkan tentang negara dan umat ini.” Raja Abdullah II hanya membalas pendek. Segalanya sukar untuk dijelaskan kerana ianya begitu rumit dan bermain-main di dalam fikirannya yang kusut.


“Apakah kerana tetamu kita itu?” Raja Abdullah II hanya mengangguk kecil dengan tekaan isterinya itu. Pemaisuri Rania pula termenung panjang.

“Siapakah dia sehingga menganggu fikiran dan semangat Raja Jordan yang mulia ini?” Pemaisuri Rania cuba memujuk.

“Kalau aku ini mulia kerana status dan keturunanku, lelaki tadi juga mulia kerana status dan kewibawaannya. Kalau aku ceritakan padamu, wahai isteriku pasti kau sukar untuk mempercayainya.”

“Apakah benar seperti kata ibu bapaku, pemuda itu pernah mengalami sendiri perang yang menyebabkan kami terpaksa berhijrah ke Kuwait- sebelum aku dilahirkan lagi?” Pemaisuri Rania ingin tahu.

“Ya.”

“Tetapi....” Pemaisuri Rania cuba menyangkal tetapi, Raja Abdullah II segera menghulurkan sekeping gambar kepada isterinya.


Mata Pemaisuri Rania terbeliak melihat gambar tersebut. Berkali-kali dia menggosokkan matanya seperti tidak percaya. Wajah pemuda di dalam gambar bersama dengan Allahyarham Shariff Hussein adalah mirip sekali dengan tetamunya yang hadir pada hari ini.

“Adakah pemuda dalam gambar ini, pemuda yang sama yang menjadi tetamu kita?” Pemaisuri Rania seperti tidak percaya.

“Ya. Dialah orangnya, sahabat moyang kepada moyangku, sahabat datuk dan ayahku.”

“Mustahil. Kenapa dia masih begitu muda?” Pemaisuri Rania kaget.

“Semua kuasa Allah, isteriku. Bukankah ibu dan bapamu sendiri pernah berjumpa dengannya berpuluh tahun dahulu?”

“Siapakah dia sebenarnya?”

“Pahlawan.”

“Pahlawan?”

“Ya, pahlawan untuk orang-orang Islam dan pewaris ilmu Nabi Khidir AS.”

Pemaisuri Rania tersandar mendengar penjelasan suaminya. Inilah dalam pertama kalinya dia mendengar malah, bertemu dengan seorang lelaki yang hanya muncul dalam cerita-cerita fiksyen, mitos dan lagenda. Fikirannya seperti tidak membenarkan perihal ini tetapi, bukti lisan dari bu bapanya dan gambar yang ditunjukkan oleh suaminya itu membuatkan fikirannya galau dan keliru.

Kemudian, dia segera terfikir- kalau benar begitu hakikatnya tentang lelaki bernama Fateh, berapakah umur sebenar pemuda itu? Ya, berapa?

Pemaisuri Rania menarik nafas dalam-dalam. Sebagai seorang yang mementingkan penjagaan kesihatan dan kecantikan, akal nakalnya mula berfikir, alangkah indahnya kalau dia dapat mengekalkan keremajaan wajahnya seperti Fateh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience