Rate

Bab 68: The Ghost

Mystery & Detective Completed 26471

Pada tahun 1997 di bawah arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu- suatu operasi pembunuhan terhadap *Khaled Mash’al telah dijalankan melalui Mossad yang diketuai oleh Danny Yatom sebagai Head of Mossad . Dalam serangan itu, dua orang agent Mossad menyamar sebagai pelancong dari Kanada dan salah seorang daripada mereka menggunakan sejenis racun untuk menyerang Khaled namun, serangan ini gagal dan pengawal-pengawal Khaled berjaya menumpaskan agent-agent tersebut. Kejadian ini berlaku di pejabat Hamas yang terletak di Jordan.

Nota*: Khaled Mash’al adalah pengerusi parti politik Palestin, Hamas dan memegang jawatan itu dari tahun 1996 sehingga 2017.

Walau pun Khaled terselamat dari serangan yang hampir-hampir membunuhnya tetapi, kesan sampingan daripada serangan tersebut membuatkan kesihatan Khaled terjejas teruk dan terpaksa dikejar ke King Hussein Medical Center untuk rawatan lanjut. Khaled berada dalam keadaan koma kerana racun tersebut yang menyerupai simptom **opiod overdose.

Nota**: Opiod overdose ada toksik kepada tubuh badan manusia kesan dari penggunaan berlebihan bahan-bahan opiod seperti morfin, heroin, fentanyl, tramadol dan methadone.

Melihatkan keadaan genting Khaled yang bertarung nyawa, Raja Jordan ketika itu- Raja Hussein segera mendesak supaya Israel menyerahkan antidot racun tersebut kepada Jordan dalam usaha baginda menyelamatkan nyawa Khaled atau baginda akan bertindak memutuskan perjanjian damai dengan Israel yang telah dimaterai pada tahun 1994 sekiranya Khaled mati kerana racun tersebut. Desakan itu tidak diendahkan oleh Israel dan hubungan kedua-dua negara bertambah memburuk sehingga Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton terpaksa campurtangan bagi mendamaikan kedua-dua belah pihak dengan meminta Israel menyerahkan antidot kepada Jordan.

Akur dengan desakan Jordan dan permintaan sekutu mereka, Amerika- sebagai wakil Israel, Danny Yatom terbang ke Jordan untuk menyerahkan antidot tersebut dan tak lama selepas antidot diberikan, Khaled kembali pulih seperti sediakala.

Berhubung dengan insiden tersebut, selain dari pembebasan agent-agent Mossad dilakukan oleh Jordan, Israel juga membebaskan tahanan-tahanan Palestin dan Jordan seperti pemimpin spiritual Hamas, Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin (founder Hamas, imam dan ahli politik). Walau pun ianya kelihatan seperti terdapat rundingan bersama Jordan kedua-dua negara kerana membebaskan tahanan warga masing-masing, kedua-dua belah pihak menafikan wujud rundingan seperti itu berlaku. Perkara ini pastinya menjadi tanda tanya kerana kedegilan Israel jelas terpapar sejak mula konflik berlaku tetapi, masyarakat umum pastinya tidak dapat meneka siapakah yang terlibat di belakang tabir yang menyebabkan konflik pendek ini dapat diselesaikan dengan segera.

Danny Yatom, sebagai mantan kepala Mossad- dia sendiri sedar Benjamin Netanyahu tidak akan sesekali menyerah atas desakan Jordan mahu pun sekutu mereka sendiri iaitu Amerika. Tindakan Benjamin Netanyahu itu tidak lebih atas sebab keselamatan isterinya, Sarah Netanyahu yang ditahan oleh seorang lelaki yang mereka gelar sebagai The Ghost. Kejadian penculikan ini turut melibatkan anak lelaki Benjamin Netanyahu, Yair Netanhayu yang ketika itu baru berumur 6 tahun.

Apa yang mengejutkan Mossad, penculikan ini berlaku sejurus selepas Raja Hussein mendesak antidot mesti diserahkan oleh Israel kepada Jordan, di mana kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri Israel dan keluarganya ketika itu tentunya dalam keadaan paling optimum. Sebab itu, kejadian ini amat membingungkan petugas-petugas keselamatan Israel dan Mossad sendiri kerana mereka terpaksa menghadapi ‘hantu’ yang tidak diketahui identitinya. Malah, ‘rasukan-rasukan’ terhadap petugas-petugas keselamatan dan agent-agent Mossad termasuk pegawai pengiring Benjamin Netanyahu juga berlaku sebagai ‘penyampai’ mesej The Ghost.

Pada mulanya Benjamin Netanyahu yakin dengan kemampuan Mossad dan petugas-petugas keselamatan Israel termasuk dukun-dukun Yahudi untuk menangani masalah ini namun, ‘rasukan’ demi ‘rasukan’ terhadap mereka tetap berlaku. Mereka menyangkakan ‘sihir’ The Ghost ini begitu ampuh tak terkalah sedangkan ianya hanyalah teknik hipnosis Penyeru Semangat- sudah tentu ianya tidak mampu dipatahkan dengan mantera-mantera para dukun tersebut.

Buntu, mereka akhirnya terpaksa akur dengan ‘perintah’ The Ghost berkenaan penyerahan antidot termasuk juga pembebasan tahanan-tahanan Palestin dan Jordan melalui ‘pengantara-pengantara’ The Ghost iaitu orang-orang Mossad sendiri!

*******************

Loceng di rumah agam milik Danny berdering berkali-kali. Danny yang sedang bersantai di ruang tamu bersama isterinya berasa sedikit terganggu kerana bunyi bising tersebut dan orang yang menekan loceng itu seperti mendesak supaya pintu dibukakan segera. Ini sangat menjengkelkan Danny yang sedang bermalas-malasan menonton televisyen.

Danny segera bangkit dengan penuh makian dalam hatinya. Entah celaka manakah yang menganggu privasinya pada malam ini. Malam pun agak larut, apakah tak cukup siang hari untuk orang ini datang bertamu? Bertambah sarat makian Danny dalam hatinya. Mukanya yang sudah kerepot bertambah kedut. Kalau orang sebarangan muncul di depan pintu nanti, dia mahu luahkan makian yang sedang dikumpulnya kini.

“Eh, kau Isaac?” Berubah muka Danny melihat anak saudaranya yang terpacul di muka pintu tersebut.

Tanpa berbasa-basi, Isaac terus masuk ke dalam rumah tanpa dipelawa. Isaac kemudiannya seperti kebingungan, pandangannya liar ke seluruh ruang rumah Danny dan lantas segera menuju ke tangga untuk ke bilik di tingkat atas. Danny dan isterinya yang memerhati perlakuan Isaac hanya memandang sesama sendiri. Danny hanya menggeleng-gelengkan kepala dan memberikan isyarat tangan untuk memberitahu isterinya- dia tak tahu perihal kelakukan Isaac tersebut. Dia sendiri berasa pelik.

“Abang cuba tengok dia buat apa, lain benar perangainya,” pinta Galenka, isteri Danny. Danny hanya mengangguk dan segera naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Isaac yang tiba-tiba muncul pada malam ini di rumahnya setelah hampir 2 tahun Isaac tidak pernah menziarahi mereka. Danny tahu, Isaac tidak menetap di Israel kerana tugasannya di Jordan. Tentunya kehadiran Isaac tidaklah menjadi sesuatu yang asing pada Danny sekiranya anak saudaranya mahu melawat tetapi, keadaan Isaac yang agak ‘luar biasa’ itu pastinya mengundang pertanyaan.

“Ha, macam mana?” Galenka segera bertanya pada Danny apabila suaminya itu muncul setelah ‘hilang’ beberapa ketika.

“Dia tidur.”

“Tidur?” Galenka berasa pelik.

“Begitulah.” Danny segera duduk di samping Galenka.

“Takkan datang ke sini semata-mata untuk tidur? Bertegur sapa dengan kita pun tidak?” Galenka masih tak puas hati.

“Saya pun pelik. Tak apa, esok saya tanya dia sendiri.” Danny hanya menjawab lemah dan malas untuk 'berbalah' dengan isterinya.

“Macam kena rasuk saja anak saudara awak tu.” Galenka mengomel sendirian.Danny tersentak dengan kata-kata Galenka itu, bagai teringatkan sesuatu.

“Kenapa ni bang, berubah muka awak tiba-tiba?” Galenka segera bertanya apabila menyedari perubahan reaksi wajah Danny

“Er, tak ada apa-apa... mungkin saya risau tentang anak saudara saya tu.” Danny segera tersenyum, menyembunyikan perasaannya. Sungguh, dia seperti telah menyedari sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience