Rate

Bab 72: Hasrat Khaleeda

Mystery & Detective Completed 26471

Mendengar perkhabaran Catherine yang sedang mengandung, Stephen dan Carol segera bergegas menuju ke Kuala Lumpur dari Ipoh. Tentunya Stephen yang baru saja bersara wajib beberapa hari yang lalu tanpa fikir panjang untuk ke Kuala Lumpur walau pun pada mulanya dia berhasrat untuk mengembara ke seluruh Malaysia bersama Carol setelah sekian lama mereka ingin berbuat sedemikian. Namun, hal itu bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan mereka pada situasi kini. Tentu saja keadaan Catherine lebih penting dan mengujakan mereka berdua.

“Eh, sayang- siapa gadis cantik yang berkebaya putih itu?” Tanya Carol, sesampainya mereka berdua di halaman rumah Fateh. Gadis berkebaya putih itu kelihatannya baru juga tiba seperti mereka.

“Oh, itu bukan ke adik Fateh? Kan kita ada jumpa dia di majlis perkahwinan anak menantu kita di Ipoh? Awak sudah lupa ke?”

“Ish, kuat ingatan awak, ya- kalau pasal rupa paras orang perempuan?” Carol memerli Stephen.

“Ke situ pula. Perempuan itu pun keluarga kita juga. Ibarat anak-anak kita. Awak ni...” Stephen hanya menggeleng-geleng kepala dengan sikap Carol yang mula cemburu. Carol pun tersipu-sipu kerana jebaknya memakan tuan. Memang begitulah keadaannya perlakuan mereka yang penuh cemburu dan senda gurauan tetapi, tidak pula membawa kepada persengketaan yang panjang. Mungkin itulah resepi kebahagian perkahwinan Stephen dan Carol yang sudah menjangkau 30 tahun lamanya.

“Uncle, aunty pun datang untuk melihat Catherine?” sapa Khaleeda sebaik sahaja melihat Stephen dan Carol keluar dari dalam perut kereta.

“Betul! Kau pun baru tiba, nak?” Carol ceria membalas sapaan Khaleeda.

“Ya, aunty- tadi ada urusan di pejabat dan baru ada kelapangan untuk melawat.”

“Jom kita masuk, tak sabar nak jumpa mereka.” Stephen pula menyampuk. Carol dan Khaleeda hanya menurut. Mereka kemudian berbondong-bondong menuju ke pintu, sarat dengan buah tangan. Wajah mereka penuh dengan keceriaan.

*******************

“Mama dan papa akan jaga kamu sampai kamu bersalin. Jadi, kamu tak akan sunyi kalau Fateh kerja nanti.” Carol mengusap-usap wajah Catherine yang terletak di bahunya. Sungguh, dia sangat memanjai anak perempuannya ini tambahan pula, inilah saja satu-satunya anak yang dikandung dan dilahirkan oleh rahimnya sendiri. Tentu saja dia masih melihat Catherine, walau pun telah dewasa dan menjadi isteri orang- seperti budak kecil.

Stephen hanya mengangguk-angguk kepalanya, tanda menyetujui kata-kata isterinya itu. Dia sendiri punya banyak masa terluang dan tidak keberatan langsung untuk menemani anak isterinya di sini.

“Boleh saya cadangkan sesuatu?” Khaleeda menyampuk perbualan. Stephen, Carol, Catherine dan Fateh segera memandang Khaleeda dengan penuh minat.

“Begini- kalau uncle, aunty, abang dan Cat tidak keberatan- saya nak bawa Cat, uncle dan aunty tinggal bersama saya sepeninggalan abang Fateh keluar bekerja nanti. Rumah saya itu cukup besar dan selesa untuk kalian semua. Lagi pun, saya punya ramai pembantu termasuk jururawat yang boleh menjaga kesihatan Catherine dan anak dalam kandungannya. Kalau uncle dan aunty saja yang nak jaga Catherine, tentu tak menang tangan untuk uruskan hal-hal yang lain.” Betah sekali Khaleeda berkata-kata, untuk meyakinkan keluarga Catherine tinggal bersamanya.

Fateh hanya tersenyum mendengarkan pelawaan Khaleeda itu kepada keluarga Catherine. Tentu saja pelawaan ini sukar untuk ditolak oleh mereka. Sememangnya Khaleeda Dia telah mengaturkan segala-galanya demi kebajikan mereka dengan cermat dan teliti.

Stephen dan Carol saling berpandangan sesama sendiri. Masing-masing cuba untuk mendapatkan reaksi antara mereka- apakah mereka boleh bersetuju atau tidak. Pelawaan Khaleeda itu bukan sekadar ajak-ajak ayam, keseriusan gadis itu tidak boleh dipertikai dan persediaan yang dilakukan oleh Khaleeda bukan sembarangan. Semuanya telah diperlakukan dengan pertimbangan yang halus dan terperinci.

“Er, berat juga uncle nak menerima- tidakkah menyusahkan Khaleeda saja?” Stephen cuba menduga.

“Betul tu, segan kami anak beranak hendak menumpang kamu, Khaleeda. Kalau sehari dua, mungkin kami tidak keberatan tetapi, ini berbulan-bulan!” Carol bagaikan seirama dengan nada Stephen. Pelawaan Khaleeda itu bagai orang mengantuk disorongkan bantal tetapi, sudah dasar orang yang faham- untuk tinggal hampir setahun di rumah orang, makan minum dan segala keperluan akan ditanggung- ini adalah perkara yang kekok untuk mereka berdua.

“Soal itu usah uncle dan aunty khuatirkan. Rumah yang saya diami itu milik abang Fateh juga. Semua keperluan yang disediakan adalah daripada peruntukan abang Fateh- saya ini hanya menguruskan saja.” Khaleeda tersenyum sambil memandang Fateh. Fateh membalas senyuman Khaleeda dengan senyuman juga- tentu saja dia tahu, Khaleeda hanya berhelah semata-mata dengan alasan sebegitu demi meyakinkan keluarga Catherine untuk tinggal bersamanya.

“Begitu? Awak macam mana? OK?” Tanya Stephen kepada Carol yang masih membisu, cuba menimbang tara antara pilihan yang ada.

“Saya ikut saja kata awak. Terpulang.” Balas Carol tersenyum memandang Stephen, memulangkan semula ‘permainan’ ini kepada suaminya. Kalau baik pada suaminya, baik juga kepada dirinya sendiri. Apa susah-susah hendak berfikir- bukankah ini ‘tanggungjawab’ orang lelaki bergelar suami? Carol ketawa dalam hati mengenangkan ‘kegeniusan’ yang dia miliki ketika ini.

“Ish, awak ni,” getus Stephen kerana dia tahu Carol cuba berlepas tangan untuk sama-sama ‘bertanggungjawab’ dalam membuat keputusan ‘getir’ ini.

“Papa dan mama usah berfikir panjang lagi. Buat masa ini, tinggal saja di sini sementara saya masih ada. Nanti, apabila saya hendak keluar bekerja, kita semua akan pindah ke rumah Khaleeda. Saya pun tak risau nanti kerana saya mahu kita sekeluarga selesa dan selamat di sana.” Khaleeda hanya mengangguk-angguk tanda menyetujui kata-kata Fateh itu. Dia tahu apabila Fateh sendiri yang bersuara, ianya dapat ‘mendorong’ Stephen dan Carol untuk bersetuju kerana Fateh itu adalah menantu mereka berbanding dirinya yang masih ‘jauh’ dari lingkungan keluarga mereka.

Mendengarkan saranan Fateh, Stephen merasa sedikit sebanyak memberikan ‘kelapangan’ dan ruang untuknya membuat keputusan yang lebih jelas. Setelah beberapa ketika ‘berfikir’, Stephen segera menyatakan persetujuannya. Tentunya tak betah kalau dia terus saja bersetuju serta merta tanpa ‘berfikir’. Inilah ‘trick’ supaya tidak nampak gelojoh di mata orang. Ini ‘permainan orang-orang yang ‘berbahasa’.

Fateh dan Khaleeda hanya tersenyum dengan keputusan Stephen itu. Mereka berdua juga mahir dalam ‘permainan’ ini. Negosiasi seperti ini bukan seperti tarik tali tetapi lebih kepada permainan layang-layang. Angin perlu cukup kuat, tali perlu panjang untuk terbang tinggi dan kawalan serta rasa perlu sensitif supaya layang-layang tidak tersungkur menyembah bumi. Ini semua walau pun berlaku secara spontan tetapi, jelas perlukan kemahiran dan ‘rasa’ yang tinggi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience