Bab 73: Srikandi Cinta

Mystery & Detective Completed 26830

Fateh dan Khaleeda terkejut besar dengan syarat yang dikemukakan oleh Dr. Faridah pada hari ini. Tentu saja syarat yang sudah suntuk waktunya itu amat memberi kejutan kepada mereka berdua tatkala, ekspedisi ke kaki Gunung Tahan sudah tinggal hanya beberapa hari saja lagi.

Khaleeda menoleh kepada Fateh, mencari-cari reaksi Fateh terhadap permintaan Dr. Faridah itu. Walau pun wajah itu kelihatan tenang namun, sedikit riak pun sudah cukup untuk dia membaca apa yang bersarang di benak lelaki itu. Dia tahu Fateh berasa sangat berat untuk menunaikan hasrat Dr. Faridah namun, permintaan itu ada asasnya juga.

“Apakah kau kira abang Fateh tidak akan berlaku jujur denganmu, Faridah?” Khaleeda menjeling tajam kepada Dr. Faridah.

Dr. Faridah kelihatan amat tenang, seolah-olahnya tidak ‘terancam’ dengan persoalan yang dikemukakan oleh Khaleeda. Sungguh, jarang ada perempuan yang boleh berkeadaan begitu sekiranya Khaleeda mulai serius. Orang lelaki sendiri pun boleh tergagap-gagap dengan jelingan Khaleeda.

“Bukan begitu, saya tahu abang Fateh tidak akan berbuat sesuatu yang tidak baik kepada saya tetapi, saya ini kan masih gadis. Sekurang-kurangnya tidak jelek di mata orang saat kami berdua-duaan di sana.” Tegas Dr. Faridah.

Mendengarkan penjelasan Dr. Faridah, Khaleeda bagaikan terpukul, seolah-olahnya apa yang dikatakan terkena semula kepada dirinya sendiri. Dia termenung seketika seperti memikirkan sesuatu yang rumit untuk dibicarakan. Mencari-cari jawapan yang paling dalam di lubuk hatinya.

Permintaan Dr. Faridah ini seperti juga mirip kepada permintaan Khaleeda puluhan tahun lampau. Atas sebab amanat keturunannya untuk menjejaki Walinong Sari dan rahsia Pintu Dunia, dia juga meminta perkara yang sama. Dia meminta supaya Fateh menikahinya supaya dia dapat berdamping selesa dan menemani lelaki itu pada bila-bila masa sahaja. Khaleeda tahu, walau pun dia dan Fateh dari susur galur keturunan yang sama tetapi, mereka berdua tetap bukan mahram. Justeru, dia amat memahami hasrat Dr. Faridah itu seperti juga hasratnya pada masa lalu.

“Apakah kau tidak menyesal hendak bernikah dengan abang Fateh tanpa ikatan cinta? Sudahkah kau fikir semasak-masaknya, Faridah?” Khaleeda cuba menduga hati dan perasaan anak gadis itu.

“Tidak. Demi harga diri saya dan kemuliaan hati abang Fateh, saya tidak akan menyesal. Lagi pun...er, saya-” Dr. Faridah mulai ragu-ragu untuk meneruskan kata-katanya.

“Apa dia, Faridah?” Khaleeda mendesak.

“Er, saya... saya sudah jatuh cinta dengan abang Fateh!” Kata Dr. Faridah dengan penuh yakin sambil memandang Fateh. Khaleeda turut tersentak dengan penyataan itu, tambah-tambah lagi Fateh yang tidak menyangka bahawa Dr. Faridah begitu berterus terang tanpa berselindung lagi.

Suasana menjadi semakin hening dan sesekali terdengar bunyi kicauan burung di halaman villa Khaleeda ini. Mereka bertiga hanyut dibuai perasaan.

*******************

Sepeninggalan Dr. Faridah dari villa Khaleeda, Fateh masih merenung jauh ke halaman seperti ada sesuatu yang ‘tertinggal’ di situ. Wajahnya tenang namun, ada riak yang tidak menyenangkan terukir pada wajahnya. Dia berdiri di hadapan jendela bagai tertanam kakinya di situ.

“Abang, jauh benar abang mengelamun- dah sampai ke jinjang pelamin lagi?” Usik Khaleeda dan perlahan-lahan menghampiri Fateh yang tidak bereaksi.

Khaleeda mengusap belakang tubuh Fateh dengan telapak tangannya, kemudian melurut ke pinggang lelaki itu. Perlahan-lahan dia mula merapati tubuhnya ke tubuh Fateh, memeluk erat dan menyembamkan pipinya yang mulus rapat di belakang tubuh lelaki itu. Lama dia di situ, merasai damainya perasaan dengan aroma lelaki yang dicintai lebih dari setengah abad. Perasaannya tidak pernah berubah kepada Fateh.

Perlahan-lahan tangannya yang memeluk erat tubuh Fateh itu, dirungkaikan. Tangan Fateh memegang tangan Khaleeda seraya Fateh mengalihkan tubuhnya, berhadapan dengan Khaleeda dan memandang wajah gadis itu dengan pandangan kasih sayang. Fateh memegang wajah Khaleeda dengan kedua-dua telapak tangannya. Lantas, tangan Fateh digapai dan dicium oleh Khaleeda dengan penuh rasa cinta.

“Apakah lagi yang hendak kau buat, Khaleeda?” Khaleeda terhenti dengan perlakuaannya dan memandang Fateh dengan wajah yang keliru.

“Maksud abang?”

“Apakah kau rasa aku tidak memahami perasaanmu?” Suara Fateh sedikit bergetar. Sungguh apa yang telah dilakukan oleh Khaleeda ini bukan calang-calang pengorbanan. Ini adalah pengorbanan seorang srikandi.

Tubuh Khaleeda mulai bergetar kerana rasa terharunya mulai menyerang. Matanya mulai berkaca-kaca memandang Fateh. Dia cuba menyekat dan menenang diri namun, Khaleeda alah dengan perasaannya sendiri. Perkara ini amat jarang sekali berlaku tetapi, ianya berlaku lagi setelah sekian lama.

Fateh menyeka air mata Khaleeda yang mulai menitik dengan ibu jarinya. Khaleeda yang tidak dapat mengawal emosi segera memeluk Fateh dengan erat. Bergegar-gegar tubuh gadis itu menahan sedu dan sedan di dalam pelukan Fateh. Fateh hanya membiarkan Khaleeda meluahkan segala beban perasaan di dalam dakapannya- kalau itu bisa mengembalikan semangat gadis itu yang diserang emosi.

Setelah beberapa lama bersama Khaleeda, Fateh faham benar dengan sikap gadis itu yang sebenar-benarnya. Puluhan tahun lampau, dia menikahi Khaleeda atas permintaan gadis itu dan persoalan yang sama juga diajukan kepada Khaleeda sebagaimana pertanyaan Khaleeda kepada Dr. Faridah tadi. Fateh akur dengan hasrat Khaleeda walau pun, dia tidak punya rasa cinta pada gadis itu namun, dia sangat sayang kepadanya. Sekian lama, kasih sayang itu menjadi semakin mekar tetapi tidak pula melahirkan rasa cinta kepada Khaleeda. Namun, mereka betah untuk bersama selama puluhan tahun ini.

Oleh kerana sifat ilmu Khaleeda mirip dengan Fateh, tidak dimamah usia- pengamal ilmu ini sudah ditakdirkan tidak akan memiliki zuriat sendiri dan tidak boleh ‘bersama’ dengan lelaki. Sekiranya mereka bersama, keampuhan ilmu yang dimiliki oleh Khaleeda akan terlucut termasuk ilmu-ilmu kebatinannya yang lain- berbeza pula dengan Fateh. Fateh sedia maklum pantang larangnya ilmu Khaleeda dan sebab itu juga Fateh tidak pernah bersama dengan Khaleeda dalam erti kata sebagai suami isteri sebenar. Khaleeda masih lagi seorang gadis suci yang tidak tersentuh oleh mana-mana lelaki.

Fateh tidak pernah mahu membebankan Khaleeda dalam melaksanakan amanat keturunan mereka. Pada mulanya, Fateh bersetuju untuk menikahi Khaleeda kerana dia menyangkakan perkahwinan ini hanya sementara. Mungkin pada suatu hari nanti, Khaleeda akan menemui cinta sejatinya dan menjalani kehidupan seperti orang-orang biasa. Fateh tidak kisah untuk berjuang berseorangan namun, setelah puluhan tahun berlalu, kesetiaan Khaleeda pada dirinya tak pernah lekang. Semakin lama, cinta Khaleeda semakin melaut dalamnya. Khaleeda juga setia dalam perjuangan mereka.

Khaleeda juga tidak mahu Fateh rasa terkekang dengan dirinya yang penuh pantang larang. Puluhan tahun dahulu, dia juga telah meminta Fateh mengahwini sesiapa jua gadis yang dicintai oleh lelaki itu tetapi, hati Fateh tetap tidak berganjak. Mungkin setelah sekian lama berjuang, Fateh mulai sedar yang dia memerlukan pewaris untuk menyambung amanat perjuangan mereka. Kehadiran Catherine dalam hidup Fateh mula membibitkan harapan di dalam hati Khaleeda agar perhubungan mereka berdua berakhir di jinjang pelamin dan disulami rasa cinta. Sebab itu, Khaleeda sengaja memprovokasi Fateh berhubung dengan pertemuannya dengan Catherine agar lelaki itu terbuka hatinya untuk berkahwin lagi- dan mengingatkan kembali hasratnya yang telah dilafazkan dahulu. Dia tidak lupa. Dia mahu Fateh juga sedar tentang hakikat ini.

Betapa gembiranya Khaleeda apabila mengetahui berita Catherine sedang mengandung seperti dia sendiri yang mengandung. Begitulah perasaannya. Dia telah merancangkan segala-galanya dan ingin sekali anak yang bakal dilahirkan rapat dan mesra kepadanya apabila membesar nanti. Dia mahu mendidik langsung waris Fateh ini sebaik-baiknya. Dia mahu jadi seorang bonda yang penyayang dan disayangi oleh seorang anak yang akan dianggapnya seperti anak kandung sendiri. Sudah lama dia teringin memiliki cahaya mata- yang mana, adalah amat mustahil untuk dia mendapatkannya dalam situasi dirinya kini. Oleh kerana itu, adalah amat penting Catherine dan keluarganya dapat menetap di kediaman Khaleeda selama mungkin, supaya mereka tidak berasa janggal sekiranya Khaleeda bersama Catherine menjaga anak yang bakal dilahirkan itu kelak.

Perlahan-lahan Khaleeda mendongak memandang wajah Fateh. Sedunya tidak lagi bergelora seperti tadi. Fateh mengucup dahi Khaleeda dengan lembut dan penuh kasih sayang. Khaleeda mulai tersenyum manis. Lesung pipit di kedua belah pipinya menambahkan lagi seri wajah Khaleeda.

“Abang, walau pun mungkin abang tak akan setuju tetapi, kita perjuangan kita itu lebih penting. Kita perlukan Faridah. Abang fahamkan maksud saya?” Khaleeda mulai berbicara. Seperti mana Khaleeda yang penuh tekad dan rasional- gadis itu kembali memberikan ‘arahannya’ kepada Fateh.

Fateh hanya menggeleng-gelengkan kepalanya seperti membantah kata-kata Khaleeda. Adakalanya, Fateh merasakan kekuatannya, kebijaksanaannya dan segala kegagahannya tidaklah sekadar menjadi perkara yang remeh saja di mata Khaleeda. Dia seperti budak kecil untuk diarah-arahkan saja.

“Abang kan sayangkan saya?” Pipi Fateh dikucup oleh Khaleeda. Sungguh- ‘getah’ Tun Telani ini memang mudah menjerat pertimbangannya. Fateh tidak dapat berkata apa-apa dan hanya tercacak bagai lembing tergadai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience