Rate

Bab 69: Mitos Yang Bergentayangan Di Mossad

Mystery & Detective Completed 26471

Danny mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Pagi ini adalah hari ke-3 anak saudaranya, Isaac menjadi tamu ‘tidak diundang’. Semalam, Isaac masih lagi berperangai pelik. Isaac seperti tidak mempedulikan Danny dan Galenka. Apa saja yang ditanya, tidak dijawab oleh Isaac. Isaac hanya melihat mereka berdua dengan pandangan kosong. Selepas makan dan minum, Isaac akan segera kembali berkurung di dalam bilik.

“Isaac masih belum bangun?” Galenka berkata seperti berbisik kepada Danny. Danny hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sekonyong-konyong selepas pertanyaan Galenka kepada suaminya, Isaac segera menuruni tangga dengan tergopoh-gapah. Reaksi wajah Isaac seperti terkejut dan kebingungan. Danny, Galenka dan Isaac saling berpandangan, penuh dengan pertanyaan.

“Pakcik, makcik?” Isaac mengosok-gosokkan matanya, untuk memastikan dia benar-benar terjaga.

“Ya, kami- apa hal dengan kau, Isaac?” Danny merenung Isaac dengan tajam. Musykil juga sekiranya Isaac masih lagi ‘mamai’ seperti semalam.

“Mengapa aku berada di sini?” Danny dan Galenka berpandangan sesama sendiri. Apa mungkin Isaac tidak sedar yang dia telah berada di rumah mereka selama beberapa hari ini?

“Apa kau kira, kau patut berada di mana?” Isaac seperti termenung sejenak, memikirkan sesuatu.

“Er, aku sepatutnya berada di sebuah kedai kopi... ya, kedai kopi berhampiran Hashimi Hotel!” Isaac seperti berteriak, dia mula mengingati sesuatu.

“Jadi, selepas itu apa yang berlaku?” Danny Yatom, mantan Head of Mossad mula memainkan peranannya. Soal siasat seperti ini, walau pun telah lama tidak dipraktikkan tetapi, dia masih ‘tajam’ memainkan peranannya untuk merisik cerita.

Isaac menjadi bingung. Sungguh, dia cuba mengingati sesuatu tetapi gambaran ingatannya seperti hilang begitu saja. Perlahan-lahan dia mula duduk di atas sofa di ruang tamu itu. Kedua-dua tangannya dipekup, mengosok-gosok rambut dan menepuk-nepuk kepalanya- cuba mencari sebarang memori yang mungkin masih berada di situ.

“Sungguh, aku tak ingat apa-apa, pakcik. Apakah pakcik tahu sebab apa aku ke mari?” Isaac masih bingung.

“Apa tugasan kau sekarang?” Danny mula merisik maklumat.

“Tugasan?” Isaac masih kebingungan.

“Apakah kau sedang mengekori seseorang?”

“Er, aku rasa, ya. Tapi, aku lupa siapa.”

“Kau tak ingat siapa yang kau ekori?” Danny mengesyaki sesuatu yang aneh telah berlaku. Keadaan ini seperti deja vu pada dirinya.

“Aku cuma ingat, aku mengekori sepasang suami isteri dari Jordan tetapi, mereka bukan orang Arab Jordan. Mereka masuk ke Jerusalem dan tinggal di Hashimi Hotel. Kemudian aku minum di sebuah kedai kopi di situ.”

“Selepas itu?”

“Selepas itu?” Danny cuba mengingati sesuatu.

“Ya.”

“Er, aku dah tak ingat, pakcik. Apabila aku sedar, aku dah berada di sini.”

“Kau tahu sudah berapa hari kau berada di sini?”

“Mungkin semalaman?”

“Ini hari yang kedua!”

“Mustahil!” Isaac terkejut dengan jawapan Danny. Mana mungkin ingatannya telah ‘luput’ selama semalaman tanpa dia mengingati apa-apa.

“Betul cakap pakcikmu, Isaac. Semalam, kau seperti zombie saja- apa yang kami tanya kau hanya diam membisu.” Sampuk Galenka yang diam dari tadi. Isaac memandang wajah makciknya itu seperti tidak percaya.

Danny Yatom kemudian duduk bersandar. Pandangannya di halakan ke siling, mencari patah kata-kata yang bakal hendak disampaikan kepada Isaac. Mungkin Isaac akan percaya atau tidak- lagi pun, ini cuma andaiannya semata-mata. Dia sendiri kurang pasti.

“Pakcik?” Isaac menyedari perubahan pada perlakuan Danny. Dia tahu, pakciknya itu tidak pernah menunjukkan reaksi seperti orang yang keliru seperti itu. Sebagai mantan orang penting dalam Mossad, Danny penuh dengan pengetahuan dan pengalaman menangani krisis.

“Oh, tidak- aku teringat sesuatu yang mirip dengan situasi yang kau alami.” Perlahan-lahan pandangannya dialih ke ke wajah Isaac pula. Keningnya berkerut-kerut, menunjukkan kerisauan yang jelas kepada anak saudaranya itu.

“Apa dia, pakcik?” Isaac ingin tahu. Wajah Danny ditatapnya dalam-dalam.

“The Ghost.”

“The Ghost?” Isaac pelik.

“Ya, mungkin lelaki yang engkau ekori itu adalah The Ghost.”

Isaac tersandar- kebingungan yang melanda dirinya makin rumit dan mengelirukan. Isaac terdengar pakciknya mengeluh kecil seperti menanggung beban yang berat.

“Kenapa, pakcik?”

“Aku pinta, kau batalkan urusanmu berkaitan lelaki itu. Buruk padahnya nanti.”

“Mana mungkin-”

“Sudah. Sebelum apa-apa yang buruk terjadi, kau batalkan saja. Perkara ini kau seorang saja bukan lawannya. Seluruh petugas keselamatan dan Mossad pernah gagal- apakah kau fikir kau akan berjaya menentang The Ghost?”

“Maksud pakcik?” Isaac seperti dapat meneka sesuatu yang ingin dikatakan oleh Danny.

“Ya.. peristiwa tahun 1997.”


Wajah Isaac segera berubah. Dia hampir terlupa akan hal ini. Sebagai senior agent Mossad, peristiwa pada tahun 1997 bukan saja menjadi catatan hitam dalam dunia intellengence Israel tetapi, (pada Isaac) ianya bagai sebuah cerita mitos yang sering dibual dan dibahaskan oleh pemimpin-pemimpin yang lebih senior daripadanya. Mana mungkin dia tak tahu tentang The Ghost yang telah ‘merasuk’ petugas-petugas keselamatan dan Mossad dalam insiden penculikan isteri dan anak Perdana Menteri Israel itu. Sehingga kini, mereka masih tertanya-tanya bagaimana The Ghost dapat berbuat sedemikian. Memang sesuatu seperti itu hanya ‘hantu’ saja yang boleh berbuat sebegitu!

Isaac dan Danny mengeluh besar. Galenka yang tidak mengerti apa yang dibualkan oleh suami dan anak saudaranya itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat reaksi mereka berdua. Dia tak faham apa-apa pun!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience