Kawasan helipad di atas bangunan Kenanga International yang terletak di Jalan Sultan Ismail pada pagi ini sedikit ‘meriah’ dengan kehadiran Tan Sri Azman yang menguruskan urusan penerbangan, Khaleeda, Catherine dan keluarganya selain Fateh dan Faridah yang bakal berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuala Tahan. Sementara menunggu masa untuk mendapatkan clearance penerbangan dan mematuhi segala prosedur yang berkaitan dengan peraturan-peraturan penerbangan awam oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, mereka menghabiskan masa bersembang kosong antara satu dengan yang lain.
Catherine memeluk erat lengan Fateh yang berada di sisinya. Hari ini Catherine tidak banyak berbicara, hanya ‘berkepit’ dengan Fateh seperti enggan melepaskan Fateh walau hanya seketika. Dia tahu, perlakuannya ini mungkin tidak dapat dilakukannya untuk suatu tempoh masa yang lama. Mengenangkan segala perkara yang berkemungkinan yang terjadi, semakin erat lagi pelukannya. Sesekali, dia seolah-olah seperti mencium lengan Fateh yang dirangkulnya kerana dia sepertinya mahu bau Fateh itu melekat selamanya dalam ingatannya.
“Awak jaga diri baik-baik, ya.. dan juga budak kecil yang berada di dalam ni,” bisik Fateh ke telinga Catherine sambil mengusap lembut perut isterinya itu. Mendengarkan kata-kata Fateh, mata Catherine mulai berkaca-kaca lantas, tangan Fateh dicapai dan dikucupnya dengan linangan air mata.
Fateh segera memeluk Catherine untuk menenangkan tangisan isterinya itu. Dikucupnya ubun-ubun Catherine dengan penuh kasih sayang. Khaleeda yang berada berhampiran hanya tersenyum melihat perlakuan yang ditunjukkan oleh Fateh manakala, Faridah kelihatan ‘sedikit’ cemburu walau pun cuba dikawal rapi perasaannya itu.
“Jangan bimbang, nak. Kami dan Khaleeda akan jaga Cat baik-baik. Take care of yourself. Remember, you’re going to be a father soon- so, dah habis kerja, pulang awal-awal.” Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, akur dengan kata-kata Stephen. Carol hanya memerhati saja, mengesat air matanya melihat situasi yang mengharukan kini.
“Bang, pilot dah minta standby. Jaga diri baik-baik.” Fateh mengangguk perlahan, tanda faham dengan kata-kata Khaleeda. Fateh memandang Khaleeda dengan lembut dan mulai berbicara batin (seperti telepati) dengannya.
“Khaleeda..” Khaleeda hanya mengangguk, mengisyaratkan yang dia mendengar apa yang Fateh katakan. Tak semena-mena suatu ruang dunia lain dibuka sepertinya yang wujud hanya mereka berdua sahaja.
“Ya, bang. Ada apa-apa pesanan?” Khaleeda menghampiri Fateh dan berhadapan dengan lelaki itu.
“Tidak. Er, kau kenal aku lama daripada mereka semua yang berada di sini.” Fateh seperti ragu-ragu untuk memulakan bicara.
“Ya... apa yang abang cuba sampaikan?”
“Kau wanita paling baik dan mulia padaku. Aku tahu, aku khilaf. Aku mohon ampun dan maaf.” Air mata Khaleeda mulai bergenang ‘mendengarkan’ kata-kata Fateh namun, segera dikawal emosi daripada membadai menghempas hatinya.
“Saya yang kena meminta ampun dengan abang, meminta yang bukan-bukan.”
“Tidak, kau punya hak itu. Aku cuma ingin kau tahu, aku sentiasa simpan kau di sini.” Kata Fateh sambil menepuk-nepuk perlahan dadanya. Bergetaran hati Khaleeda melihat perlakuan Fateh itu. Dia berasa begitu terharu.
“Saya akan sentiasa cintakan abang. Janganlah abang khuatirkan saya yang seadanya ini. Abang tunaikan amanat yang ditugaskan dengan senang hati dan saya akan tunggu abang pulang selagi ada hayat saya ini.” Fateh juga berasa terharu dengan balasan Khaleeda.
Pada zahirnya, mereka yang berada di sekeliling Fateh hanya dapat melihat lelaki itu kelihatan tenang sahaja sambil menunggu arahan untuk berlepas tetapi, dari pandangan batin- keterharuan itu jelas kelihatan pada wajahnya. Begitu juga halnya keadaan Khaleeda dalam dunia komunikasi batin ini. Hanya mereka berdua saja yang dapat keadaan mereka diri mereka sendiri dalam dunia yang sesungguhnya lain dari dunia yang dapat dilihat oleh manusia biasa.
Oleh yang sedemikian, orang-orang yang lain tidak dapat melihat Fateh kini sedang memeluk erat Khaleeda, mengucup dahi dan tangan Khaleeda dengan penuh kasih. Khaleeda pula sedang berjuraian air matanya, begitu terharu hatinya dengan perpisahan ini.
Tak lama kemudian, helikopter milik Eastar mula berlepas meninggalkan Kuala Lumpur ke Kuala Tahan, lambaian Fateh kepada Khaleeda, Catherine dan keluarganya- semakin lama, semakin hilang dari pandangan mereka semua.
*******************
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Tahan, yang mendarat di kawasan lapang berhampiran Pejabat FELCRA Tembeling Tengah hanya memakan masa sekitar 1 jam sahaja. Oleh itu, ketika mendaratnya helikopter itu di kawasan itu, hari masih lagi pagi dalam jam 9.
Ketibaan Fateh dan Faridah disambut oleh Pegawai Perhilitan Kuala Tahan, Amri dengan ramah dan mesra. Amri sangat ringan tulang membantu Fateh dan Faridah memuatkan segala kelengkapan yang dibawa ke dalam kenderaan 4X4 milik Perhilitan. Semuanya telah diatur oleh Khaleeda dengan teliti supaya pengembaraan Fateh dan Faridah berjalan lancar dan mudah.
“Tuan tinggal di mana di Kuala Tahan?” Kata Amri dengan ramah.
“Mutiara Taman Negara.” Balas Fateh sambil tersenyum melihatkan sikap Amri yang tak putus dengan senyuman.
“Oh, lupa saya... ya, ya.. dekat dengan HQ Taman Negara. Saya juga hendak ke sana. Saya dah aturkan bot untuk menyeberang Sungai Tembeling nanti.”
“Terima kasih.”
“Tak apa-apa, Tuan.. boss saya di Perhilitan sudah arahkan saya supaya membantu Tuan, apa adanya. Jadi, Tuan jangan segan-segan dengan saya.” Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Oh, ya... Tuan perlukan pasukan untuk escort ke dalam hutan nanti?”
“Hmmm.. tak perlu, Amri- cukuplah sekadar disediakan sebuah bot untuk kami menyelusuri Sungai Tahan.”
“Boleh Tuan tapi, saya nak maklumkan mungkin hanya sekerat jalan saja Tuan dapat menyelusuri Sungai Tahan itu sebabnya, ada kawasan-kawasan cetek yang berbatu dan beting pasir. Saya diberitahu, Tuan dan Puan berhajat menuju ke lembah Gunung Tahan,betul kan?”
“Betul. Ya, saya faham situasi sebegitu, Amri.”
“Bila Tuan perlukan bot tersebut?”
“Esok pagi. Boleh?”
“Baik. Esok pagi sekitar jam 7.30 saya akan ke Mutiara berjumpa Tuan.”
Suasana kemudiannya menjadi hening seketika dan hanya sesekali Amri akan bercerita berkenaan dengan latar tempat yang dilalui. Perjalanan dari kawasan Tembeling Tengah ke Jeti Kuala Tahan melalui jalan Jerantut-Kuala Tahan itu hanya kira-kira 5km sahaja dan tentu saja tak banyak yang dapat dibualkan oleh mereka berdua. Faridah yang duduk di kerusi penumpang belakang hanya menjadi pendengar yang setia.
Dari kejauhan, destinasi mereka telah hampir tiba dan Jeti Kuala Tahan itu kelihatan lengang dengan sebilangan bot penumpang sedang berlabuh. Terdapat juga beberapa restoran atau layaknya warung berhampiran Sungai Tembeling itu masih belum dibuka kerana pada musim sebegini, yang sememangnya hampir tiada pengunjung akan berwisata ke sini.
Deru bunyi bot yang menyeberangi Sungai Tembeling menampakkan Sungai Tahan yang hanya berhadapan. Sayup-sayup, Sungai Tahan itu kelihatan tidak berpenghujung, bagai disorok oleh belantara hijau di sekelilingnya. Jiwa Fateh mula bercampur baur dengan pelbagai persoalan tentang alasan Faridah memilih laluan ini untuk ke lembah Gunung Tahan. Mengapa tidak melalui laluan biasa yang menjadi pilihan pendaki-pendaki gunung ke lembah tersebut?
Share this novel