EPISOD 83

Romance Series 14692

Malam pertama selepas akad nikah yang penuh debar itu akhirnya tiba. Erina sudah berada di dalam bilik utama rumah agam keluarga Megat Emir yang telah dihias indah. Suasana terasa sangat sunyi namun penuh dengan aura romantik.

Erina duduk di birai katil yang ditaburi kelopak mawar merah. Dia masih lagi berpakaian kurung moden putihnya. Dia meramas jemarinya sendiri, memandang ke arah lantai. Rasa kekok dan malu menghimpit dadanya. Walaupun dia mencintai Megat Emir, status sebagai 'isteri' kepada CEO Mahkota Development itu terasa begitu besar untuk dipikul dalam masa yang singkat.

Erina perlu menukarkan pakaiannya memandangkan seharian dia berpakaian baju kurung moden itu. Badannya letih dan mulai rasa belengas. Dia perlu berehat kerana kepenatan melayan sanak saudaranya dan ahli keluarga Megat Emir sejak siang tadi.

Keadaan menjadi agak sukar buat Erina sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik air untuk menukar baju kurung modennya yang serba putih itu. Baju yang ditempah khas oleh Puan Marina itu sangat cantik, tetapi  penggunaan butang halus yang banyak di bahagian belakang mula mendatangkan masalah.

Erina berdiri di hadapan cermin besar di dalam bilik air, tangannya meliuk-liuk ke belakang cuba mencapai zip tersembunyi dan deretan butang bungkus yang memanjang dari tengkuk hingga ke paras pinggang.

"Aduh, kenapa ketat sangat ni?" Keluh Erina sendirian. Jika siang tadi Niza yang membantunya untuk memakai baju itu tetapi kali ini siapa pula yang akan membantunya?

Mungkin kerana dia terlalu gementar sepanjang majlis tadi, atau mungkin kain  itu sedikit mengecut, zip tersebut tiba-tiba tersangkut pada kain renda halus di bahagian tengah belakangnya. Erina cuba menariknya ke atas, tidak boleh. Tarik ke bawah, lagi la ia melekat.

Peluh mula memercik di dahi. Dia cuba memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan, namun tangannya tidak cukup panjang untuk meleraikan kain yang tersangkut itu. Dia merasa sesak nafas kerana potongan baju itu mula mencengkam dadanya.

Megat Emir melangkah perlahan masuk ke bilik. Dia menanggalkan songkok dan melonggarkan butang baju Melayunya. Jelas  menampakkan keletihan yang amat sangat. Matanya meliar mencari Erina tetapi tidak ada di dalam bilik itu. 

"Sayang...awak kat dalam ke?" Panggil Megat Emir sambil mengetuk pintu bilik air.

"Haa aa..saya kat dalam ni." Jawab Erina dengan penuh keresahan.

Selepas hampir sepuluh minit bergelut sehingga tangannya terasa lenguh, Erina akhirnya menyerah kalah. Dia terpaksa menebalkan muka. Dengan langkah yang perlahan dan wajah yang merah padam, dia membuka pintu bilik air sedikit.

"Abang..abang ada kat luar ke tuh?" Panggil Erina perlahan.

Megat Emir yang sedang duduk di birai katil sambil membelek telefon bimbitnya segera menoleh. Dia melihat Erina yang hanya menjulurkan kepala di pintu bilik air dengan wajah yang nampak sedikit tertekan.

"Ye..abang ada kat luar ni. Kenapa?" Megat Emir segera mendekati Erina yang masih menjulurkan kepala di pintu bilik air itu. Bau wangian haruman maskulin Megat Emir menusuk hidung Erina, membuatkan jantungnya berdegup lebih kencang.

"Abang..nak mintak tolong sikit boleh tak?" Pinta Erina tetapi belum apa-apa lagi wajahnya sudah merona merah.

"Tolong apa? Aik..Sayang tak tukar baju lagi ke?" Soal Megat Emir. 

Erina menggangguk dan kemudian menggeleng kepalanya tanda menjawab soalan Megat Emir. 

"Mana satu jawapan sayang ni." Megat Emir mencuit hidung Erina yang masih setia di belakang pintu bilik air itu dengan masih lengkap berpakaian baju nikah siang tadi.

"Aaa..Abang.. boleh tolong Rina sekejap tak? Zip baju Rina... tersangkut. Rina tak boleh nak buka sendiri." Kata Erina, suaranya tergagap dan hampir tidak kedengaran kerana terlalu malu.

Megat Emir terdiam sejenak. Satu senyuman nakal mula terukir di bibirnya. Dia segera menolak pintu bilik air itu hingga terbuka seluasnya lalu mendekati Erina.

""Ingatkan 'rider' motor lasak macam Rina ni semua benda boleh buat sendiri." Usik Megat Emir sambil berdiri di belakang Erina.

"Kalau nak ikutkan ilmu taekwondo Rina ni..dah lama Rina rentap je zip dan butang baju ni..tapi..nanti rosak la baju ni. Dah la mama yang belikan." 

"Wow...ganasnya Puan Emir." Senyum Megat Emir nakal.

Erina membelakangi Megat Emir, menyingkap rambutnya ke hadapan supaya Megat Emir boleh melihat kerosakan pada zip tersebut. Apabila jari jemari Megat Emir yang hangat menyentuh kulit belakang lehernya yang terdedah, Erina terasa satu renjatan elektrik yang membuatkan bulu romanya meremang.

"Tunggu jap...Rina jangan gerak. Kain renda ni dah masuk dalam kepala zip. Kena buat pelan-pelan la sayang..nanti kain ni koyak" Bisik Emir. Suaranya yang rendah tepat di belakang telinga Erina membuatkan Erina kaku dan hampir sesak nafas.

Megat Emir tidak terburu-buru. Selepas berjaya meleraikan kain renda yang tersangkut, dia mula membuka butang bungkus itu satu persatu, bermula dari tengkuk. Setiap kali satu butang terbuka, Megat Emir akan meninggalkan kucupan lembut pada bahu isterinya yang mula terdedah itu.

Erina menarik nafas dalam-dalam. Suaranya bergetar. "Abang buat apa ni?"

"Tengah tolong isteri abanglah. Kan tadi suruh abang tolong kan?" Megat Emir tersenyum nakal. Muka Erina sudah merah padam menahan malu.

Megat Emir memusingkan badan Erina supaya memandangnya. Baju kurung tadi sudah terbuka luas dibahagian belakangnya manakala baju itu hanya berpaut pada bahu Erina yang separa terdedah. Erina mulai gelabah.

Megat Emir segera merangkul pinggang Erina dan menarik rapat ke dadanya. Erina dapat merasakan kehangatan tubuh dan bauan maskulin suaminya itu. Dia memejam mata. Dia malu. Dia gugup.

Wajah Megat Emir semakin mendekati wajah Erina dengan jarak hanya satu inci. Dada Erina berdegup kencang. Dia menutup mata. Malu untuk menatap wajah suaminya yang tersenyum nakal itu.

"Sayang tahu tak..Sayang nampak sepuluh kali ganda cantik bila sayang malu-malu macam ni." Erina segera membuka matanya dan memandang Megat Emir dengan pandangan yang sedikit redup. Kening kiri dijungkitkan.

"Your eyes are so mesmerizing that I keep getting lost in them... but then I look at your lips, and they look so inviting that I can't think straight."  Megat Emir cuba merapatkan bibirnya ke bibir Erina tanpa Erina sempat berkata-kata.

TUK!TUK!TUK!

"Abang Emir, Erina...time for dinner." Suara Megat Amar memekik dari luar pintu bilik dan diikuti dengan ketukan bertalu-talu.

"Siallah budak ni..." Bentak Megat Emir di dalam hati. Dia mengetap bibir menahan geram. Dia memandang pintu dengan pandangan yang hampir boleh menembusi kayu jati itu.

"Apa kau nak, Amar?!" Teriak Megat Emir dalam keadaan sangat bengang. 

"Mama suruh panggil turun makan. Dia cakap pengantin baru tak boleh skip makan malam nanti masuk angin! Cepatlah! Kak Tini dan bibik dah nak kemas dapur tuh." Laung Megat Amar.

Megat Emir memandang Erina. Tangan Erina pantas memegang bahagian hadapan bajunya yang hampir melorot. Wajahnya merah padam sepenuhnya.

Erina segera menolak Megat Emir keluar dari bilik air. Pintu bilik air segera ditutup rapat. Megat Emir termangu-mangu seketika tetapi sempat tersenyum nipis. Erina kelam kabut mandi lalu segera menyalin pakaian yang lebih selamat dan selesa.

Megat Emir meraup mukanya, mengeluh berat. Peluang keemasan musnah sekelip mata disebabkan gangguan Megat Amar. Namun, Megat Emir tersenyum sendirian apabila teringat wajah Erina yang kemerahan tadi.

"Tak apa, Amar. Kau kacau aku malam ni ye, esok siaplah kau!" Tekad Megat Emir di dalam hati.

------------------------------------

Di bilik tidur utama yang harum dengan bauan aroma terapi Lavender itu betul-betul mententeramkan seketika perasaan Melisa. Bauan yang paling ikonik ini dipasang oleh Melisa bagi tujuan untuk mengurangkan tekanannya serta membantu mengawal emosinya yang sedang bercelaru kini.

Melisa hanya memandang sepi bantal disebelahnya itu. Syed Rizal tidak muncul ke rumah banglo mewah itu sudah dua hari. Melisa mulai rasa kesepian. Dia tahu sejak menjak ini Syed Rizal seolah-olah dingin kepadanya yang entah apa puncanya. Adakah Syed Rizal sudah mengetahui perancangannya itu?

TING! TING!

Bunyi yang menandakan mesej telah masuk ke telefon bimbit Melisa. Mesej WhatsApp daripada Dato' Farid rupanya. Mesej Dato' Farid itu kadang kala membuatnya teruja dan kadang kala membuatnya tertekan.

Dato' Farid: Mel.. Cuba you tengok gambar yang I hantar ni. You jangan terkejut pula!

Jari Melisa segera muat turun tiga keping gambar yang dihantar oleh Dato' Farid itu. Berderau darahnya apabila melihat gambar-gambar yang diterimanya itu.

Ya.. Gambar pernikahan Megat Emir dan Erina di salah semua masjid. Gambar pasangan pengantin yang sedang tersenyum gembira dengan busana pengantin putih suci. Walaupun majlis pernikahan itu berlangsung secara tertutup dan senyap-senyap tetapi akhirnya ia terbocor juga ke pengetahuan Dato' Farid.

"Arggh... Tak guna betul. Jadi juga diorang kahwin. Damn!" Bentak Melisa. 

Melisa terduduk di kerusi soleknya, nafasnya turun naik menahan amarah yang membara. Telefon bimbit di tangannya hampir sahaja dicampak ke dinding selepas mendapat tahu berita tentang pernikahan Megat Emir dan Erina itu.

"Tak guna! Tak guna! Tak guna!" Jerit Melisa sendirian yang hampir menggegarkan seluruh banglo mewah itu.

Segala perancangan kotor yang diatur bersama Dato' Farid seolah-olah menjadi pemangkin yang lebih kuat pula untuk menyatukan Megat Emir dan Erina. Dia menyangka penyebaran video dan gambar itu akan membuatkan Megat Emir berasa jijik, malu, dan akhirnya menghalau Erina keluar dari hidupnya. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"You sepatutnya benci dia, Emir! You sepatutnya buang dia macam sampah!" Rintih Melisa dengan air mata ego yang mengalir deras.

Lebih menyakitkan hati Melisa lagi ialah apabila dia terkenangkan pertemuannya dengan Puan Marina tempoh hari. Puan Marina yang dulunya lebih mementingkan kelas dan nama baik keluarga Megat tetapi kini dia berdiri teguh dibelakang Erina malah tidak terkesan langsung dengan penyebaran video dan gambar 'Erina' tidak senonoh itu. Segala fitnah yang ditaburnya bersama Dato' Farid langsung tidak menggoyahkan benteng kasih sayang keluarga itu.

Rasa kecewa itu kini bertukar menjadi dendam yang lebih gelap. Melisa merasakan hidupnya tidak bermakna lagi jika Erina itu tidak dilenyapkan terus dari dunia ini. Megat Emir dia mesti takluki semula.

"Erina, You ingat you dah menang ke?" Melisa memandang pantulan wajahnya di cermin dengan senyuman yang mengerikan.

Melisa kini benar-benar sudah hilang pertimbangan. Kegagalannya memisahkan mereka membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja tanpa berfikir panjang akan kesannya sekiranya perbuatan kotornya itu diketahui oleh Syed Rizal yang pada bila-bila masa sahaja boleh menjadi lebih kejam.

Share this novel

Rose
2026-05-15 20:34:58 

Semakin menarik ni..


NovelPlus Premium

The best ads free experience