EPISOD 82

Romance Series 14692

Malam sebelum akad nikah merupakan saat paling sunyi buat Erina pada malam itu. Erina duduk memeluk lutut di atas katil, merenung langit malam dari jendela. Dia teringatkan kedua ibu bapanya yang sudah beberapa minggu meninggalkan dunia ini. Walaupun Paksu, Maksu dan Niza ada di rumah berkembar dua tingkat itu tetapi bagi Erina dia merasakan rumah itu sunyi.

Telefon Erina bergetar menandakan satu panggilan video masuk. Megat Emir menghubungi Erina. Erina teragak-agak, namun dia menyambut jua. Skrin telefon memaparkan wajah Megat Emir yang nampak letih namun tenang, masih di pejabat menguruskan sisa-sisa kerja sebelum cuti mengejutnya esok.

"Belum tidur?" Suara Megat Emir rendah, kedengaran sangat intim dalam kesunyian malam.

Erina menggeleng. "Tak boleh tidur. Rina tengah duk tengok baju nikah yang mama bagi tadi. Cantik sangat. Sampai Rina rasa macam Rina tengah bermimpi."

Megat Emir tersenyum nipis, menyandarkan badannya ke kerusi. "Baju tu bukan mimpi, Erina. Dan apa yang bakal jadi esok pun bukan mimpi. Abang tahu apa yang ada dalam kepala Rina sekarang. Mesti Rina masih fikir yang Rina telah menjadi beban untuk abang, kan?"

Erina tertunduk. "Macam mana abang tahu?"

"Sebab abang kenal Rina lebih daripada Rina kenal diri sendiri tau! Erina, dengar sini baik-baik..." Emir membetulkan kedudukan telefonnya, seolah-olah mahu memandang tepat ke dalam anak mata Erina melalui skrin telefon.

"Esok, sebaik sahaja abang lafazkan akad, abang bukan sekadar ambil tanggungjawab jaga makan minum Rina. Abang akan ambil segala beban yang Rina pikul sekarang. Segala ketakutan Rina, segala trauma Rina... biar abang yang uruskan. Tugas Rina cuma satu iaitu berdiri di belakang abang dan jangan lepaskan tangan abang." Erina mengesat air mata yang jatuh ke pipi apabila mendengar kata-kata Megat Emir itu.

"Kenapa abang baik sangat dengan Rina selepas apa yang dah terjadi sebelum ini?" Soal Erina dengan penuh kehibaan. Dia memandang Megat Emir dalam-dalam melalui skrin di telefonnya itu.

"Sebab...Rinalah satu-satunya 'rider' yang pandai mencelok dekat jalan raya dan juga satu-satunya secretary abang yang berani marah abang bila abang lupa masuk meeting dan makan lunch!" Usik Emir yang cuba menceriakan suasana. Erina hanya tergelak kecil ditalian.

" Ishh abang ni.. Ke situ pulak. Orang tanya betul-betul dia main-main pulak." Erina menjelirkan lidahnya kepada Megat Emir. Megat Emir tersengih-sengih ditalian melihat rupa comel Erina itu.

"Tidurlah, Erina. Simpan tenaga sayang untuk esok tau. Esok perjalanan kita jauh. Bukan perjalanan dengan motor, tapi perjalanan hidup kita tau." Sempat lagi Megat Emir mengusik. Erina menyengetkan bibirnya.

"Abang..." Panggil Erina perlahan.

"Ya, sayang?"

"Jumpa esok. Tolong... jangan lambat. Rina takut..." Megat Emir ketawa kecil, bunyi yang menenangkan hati Erina.

"Apa yang Rina takutkan? Abang takkan lambat untuk meneruskan perjalanan hidup yang menanti kita esok, sayang. Good night, Puan Emir!" Panggilan dimatikan. Erina tersenyum keseorangan apabila mendengar ayat Megat Emir sebentar tadi, 'Puan Emir'.

Erina merebahkan badan di katil sambil memeluk bantal dengan senyuman kecil. Buat pertama kalinya selepas berminggu-minggu, akhirnya dia tidur dengan hati yang tenang kerana esok ada seorang pelindung yang sedang menantinya di hujung jalan.

------------------------------------

Pagi Jumaat itu terasa begitu dingin dan syahdu. Masjid Al-Taqwa yang tersergam indah menjadi saksi penyatuan dua jiwa yang bakal diijabkabulkan sebentar nanti. Hanya keluarga terdekat dan beberapa orang saksi sahaja yang hadir, memenuhi ruang solat yang tenang.

Cahaya matahari yang menembusi celah jendela masjid nampak begitu lembut. Erina duduk bersimpuh di atas bantal nikah yang ringkas. Wajahnya terpancar suci dalam balutan baju kurung moden putih dan disertai selendang putih gading hasil pilihan Puan Marina. Tiada solekan tebal, hanya seri pengantin yang asli terpancar daripada wajahnya yang disolek nipis. Walaupun hatinya masih berdegup kencang, genggaman erat tangan Puan Marina di sisinya memberikan kekuatan luar biasa.

Di hadapan Erina, Megat Emir duduk dengan tenang dalam persalinan baju Melayu satin putih lengkap bersampin emas. Wajahnya serius, namun matanya sekali-sekali melirik ke arah Erina, seolah-olah menghantar isyarat 'Jangan takut, abang ada di sini.'

Walaupun nampak teguh, Megat Amar yang duduk di sisi abangnya perasan betapa dinginnya tangan Megat Emir di saat itu. Megat Amar yang duduk sebagai saksi hanya mampu tersenyum hiba. Dia tahu betapa besarnya pengorbanan dan cinta abangnya terhadap Erina. Oleh kerana itulah dia pasrah dan sanggup melepaskan perasaannya terhadap Erina jauh-jauh.

"Sedia, Emir?" bisik Tok Kadi lembut.

Megat Emir menarik nafas panjang kemudian mengangguk pasti. Matanya melirik ke arah Erina yang sedang menunduk. Dia berjanji dalam hati, ini adalah kali terakhir Erina akan menangis kerana rasa hina. Lepas ini, air mata Erina hanya untuk kebahagiaan.

Tok Kadi menghulurkan tangan. Megat Emir menyambutnya dengan genggaman yang erat.

"Megat Emir bin Megat Emran..."

"Saya"

"Aku nikahkan dikau dengan Wan Erina Natasha binti Wan Zain dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai." Megat Emir menggenggam erat tangan Tok Kadi.

"Aku terima nikahnya Wan Erina Natasha binti Wan Zain dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai."  Suaranya bergema di segenap ruang masjid, tanpa sedikit pun getaran ragu. Dengan sekali lafaz. Satu nafas. Tegas. Jelas.

"Saksi?"

"Sah."

"Sah."

"Alhamdulillah..." Suara syukur bergema di dalam masjid.

Air mata Erina tumpah juga akhirnya sebaik sahaja doa selamat tanda kesyukuran dibacakan. Bukan air mata trauma yang dia rasakan selama berminggu-minggu ini, tetapi air mata kelegaan. Dia kini secara rasminya adalah Puan Erina, isteri yang sah di sisi agama dan undang-undang kepada lelaki yang paling dicintainya, Megat Emir bin Megat Emran.

Megat Emir kemudiannya diminta membaca Lafaz Taklik, iaitu janji dan syarat tambahan dalam perkahwinan. Setelah akad nikah dan lafaz taklik sudah, maka Megat Emir memohon diri seketika untuk dia melakukan solat sunat dua rakaat sebagai tanda bersyukur dengan kelancaran majlis akad nikah pada hari ini.

Usai solat sunat, Megat Emir menghampiri Erina untuk upacara pembatalan air sembahyang. Dia melutut di hadapan isterinya. Dengan lembut, Megat Emir menyarungkan cincin berlian ke jari manis Erina kemudian mencium dahi isterinya lama. Erina perlahan-lahan menyalami tangan Megat Emir, menciumnya sebagai tanda hormat dan penyerahan diri.

Apabila Erina mengangkat wajah, Megat Emir memegang dagunya dan mencium dahi Erina lagi sekali dengan penuh kasih sayang malah kali ini lebih lama ciuman itu. Kedengaran gelak tawa kecil dari tetamu yang hadir dengan kelakuan Megat Emir yang terlalu menyayangi isterinya itu.

"Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang, Wan Erina Natasha. Mulai saat ini, maruah Rina adalah maruah abang juga. Sesiapa yang cuba menyentuh Rina, bermakna mereka sedang berdepan dengan Megat Emir. Terima kasih sebab percayakan abang, sayang." Tangan Erina dikucup lembut.

Erina mendongak, matanya yang basah bertembung dengan pandangan Megat Emir yang penuh cinta. "Terima kasih, abang.. sebab sudi jadi imam Rina." Bisik Erina perlahan.

Puan Marina yang memerhati dari belakang mengesat air mata dengan hujung lengan baju kurungnya. Dia berpaling ke arah Megat Amar dengan sayu tetapi penuh kegembiraan.

"Amar, pastikan semua rakaman dan gambar hari ni disimpan rapi. Mama nak dunia tahu, menantu mama adalah wanita yang paling bermaruah." Megat Amar mengangguk kecil sebaik sahaja mendengar kata-kata daripada mamanya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience