Series
14692
ENAM BULAN KEMUDIAN
Suasana di dalam rumah teres berkembar yang kini telah diubah suai indah itu kedengaran sangat harmoni. Di sudut ruang tamu, sebuah piano baru berwarna hitam berkilat berdiri megah. Ianya adalah hadiah istimewa daripada Megat Emir buat isteri tercinta memandangkan Erina kini bergelar suri rumah sepenuhnya.
Erina sedang duduk di atas bangku piano, jemari kecilnya menari lembut di atas kekunci. Kedengaran sebuah alunan piano yang sangat merdu dan mendamaikan bergema ke segenap pelosok rumah. Setiap tekanan mata piano itu kini tidak lagi membawa melodi kesedihan atau penyesalan masa lalu, melainkan sebuah simfoni cinta yang sarat dengan rasa syukur.
Satu tepukan gemuruh kedengaran dari arah belakang sebaik sahaja Erina menamatkan nota terakhir lagu tersebut.
Erina berpaling. Megat Emir sedang berdiri bersandar pada tiang ruang tamu sambil tersenyum menawan. Dia sudah menyalin kemeja korporatnya kepada sehelai kemeja-T kasual hitam dan kain pelekat, lagak bersahajanya langsung tidak berkurang ketampanannya.
"Sedapnya isteri abang main piano malam ni. Rasa tenang sangat hati abang yang penat bekerja seharian dekat pejabat." Usik Megat Emir dengan nada suara yang rendah dan seksi. Dia melangkah rapat lalu melabuhkan punggung di sebelah Erina di atas bangku yang sama.
Erina tersenyum manis, pipinya masih tersipu merah jambu walaupun usia perkahwinan mereka sudah mencecah setengah tahun. Sifat romantik Megat Emir memang sentiasa berjaya mencairkan hatinya.
"Abang ni... puji lebih-lebih pula. Saya baru je belajar semula tau. Nak refresh balik sebab dah tiga tahun saya tak main piano." Balas Erina manja.
Megat Emir tidak menjawab dengan kata-kata. Sebaliknya, dia melingkarkan lengan sasanya di pinggang Erina, menarik tubuh kecil isterinya rapat ke dada bidangnya. Dia menundukkan wajahnya, mencium ubun-ubun Erina dengan penuh kehangatan yang halal.
"Wanginya sayang malam ni. Ada apa-apa ke?" Soal Megat Emir dengan senyuman nakal.
"Abang ni ngada la..saya saja nak wangi-wangi. Takan duk rumah asyik nak bau bawang jer." Jawab Erina sambil laju tanganya menepuk paha suaminya.
Bagi Megat Emir, enam bulan ini adalah fasa yang paling membahagiakan dalam hidupnya. Selepas kes mahkamah selesai, Melisa dan Dato' Farid akhirnya menerima balasan setimpal atas jenayah mereka. Syed Rizal pula telah memulakan kehidupan baru yang lebih tenang selepas syarikatnya makin berjaya dan memperkenalkan kepada umum isteri barunya yang bukan lagi rahsia.
Di pejabat Mahkota Development Sdn Bhd pula sejak rahsia besar mereka terkantoi ekoran insiden di bilik Megat Emir itu, kehidupan mereka menjadi jauh lebih mudah malah tiada rahsia-rahsia lagi. Disebabkan perkahwinan mereka telah terbongkar, Megat Emir mengambil keputusan agar Erina duduk sahaja di rumah dengan menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini adalah demi untuk menjaga perasaan dan emosi Erina daripada sebarang kata-kata negatif kakitangan dan pelanggan mengenai 'Bos dan Setiausaha' adalah suami isteri di pejabat.
"Abang..." panggil Erina perlahan, memecah lamunan suaminya. Dia memusingkan sedikit badannya menghadap Megat Emir.
"Ya, sayang abang?"
Erina menggenggam erat telapak tangan hangat Megat Emir, lalu perlahan-lahan membawa tangan suaminya itu turun dan diletakkan di atas perutnya yang masih kelihatan kempis. Erina mendongak, memandang tepat ke dalam anak mata redup suaminya dengan senyuman yang paling bahagia.
"Tadi saya pergi klinik dengan mama..." Bisik Erina, suaranya sedikit bergetar menahan sebak gembira. "Doktor sahkan... dalam ni dah ada zuriat abang. Dah masuk empat minggu."
Megat Emir terkedu. Tubuhnya mengeras seketika seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Matanya terbeliak kecil, memandang perut Erina dan wajah isterinya silih berganti.
"Sayang... biar betul? Abang... abang bakal jadi ayah?" Tanya Megat Emir, suaranya kedengaran serak menahan takungan air mata kegembiraan yang amat sangat.
"Ya, abang. Terima kasih sebab sudi sabar dengan saya dulu. Terima kasih sebab menjaga, melindungi dan memberi kasih sayang kepada Rina hingga ke tahap ini." Erina mengangguk laju bersama air mata kesyukuran yang mula menitis di pipi.
Tanpa menunggu lama, Megat Emir terus menarik Erina ke dalam pelukannya yang paling erat dan hangat. Dia mengucup dahi, pipi, dan seluruh wajah Erina bertubi-tubi dengan penuh rasa penghargaan. Kegembiraannya malam ini melangit tinggi. Perjuangannya mempertahankan Erina daripada segala badai fitnah dahulu akhirnya membuahkan hasil yang paling indah.
"Terima kasih, sayang... Terima kasih sebab lengkapkan hidup abang. Abang janji, abang akan jaga sayang dan anak kita ni sampai ke syurga." Bisik Megat Emir penuh syahdu tepat di telinga Erina. Tangannya tak henti-henti mengusap perut Erina yang masih kempis itu.
Di bawah sinaran lampu rumah yang redup, diiringi memori malam-malam awal perkahwinan mereka yang penuh dengan rasa malu dan kesabaran tidur di sofa yang sempit, Megat Emir dan Erina tahu bahawa kisah cinta mereka baru sahaja bermula. Tiada lagi rahsia, tiada lagi ketakutan dan hanya ada kehangatan cinta yang suci dan kebahagiaan yang tidak akan pernah berakhir.
------------------------
Suasana di ruang tamu rumah teres berkembar itu riuh-rendah dengan suara Puan Marina. Sejak mendapat tahu Erina sedang mengandung empat minggu, hampir setiap dua hari wanita separuh umur itu akan bertandang ke rumah anak dan menantunya.
Di atas meja kopi, sudah penuh dengan pelbagai jenis buku panduan kehamilan, risalah set bersalin premium dan juga beberapa helai pakaian bayi berwarna putih yang dibelinya secara dalam talian.
"Mama... awal lagi ni. Baru masuk empat minggu, tak tahu lagi jantina apa." Kata Erina sambil tersenyum kelat, memandang longgokan barang di hadapannya. Dia sedang bersandar lemah pada sofa kerana kebelakangan ini badannya mula diserang simptom mabuk hamil (morning sickness).
Puan Marina yang sedang sibuk membelek risalah pemakanan ibu mengandung, terus mendongak dengan mata yang bersinar-sinar. "Eh, tak ada istilah awal, Erina! Ini cucu pertama mama tau. Emir tu... dari dulu lagi mama tunggu dia kahwin, alih-alih bila kahwin dengan kamu, terus mama dapat rezeki cucu. Mama punya teruja ni... kalau boleh, hari ni juga mama nak hias bilik bayi dekat sebelah tu!"
" Dari semalam lagi mama kamu tu bertungkus lumus cari buku - buku tu tau. Papa la yang meneman mama pergi cari buku-buku tu. " Celah Tuan Megat Emran.
" Oh really papa.. Untungnya Rina ada mama dan papa." Senyum Erina dengan penuh syahdu.
Erina betul-betul terharu melihat layanan dan kasih sayang ibu dan bapa mertuanya yang begitu melimpah-ruah.Â
Pintu utama rumah terbuka. Megat Emir melangkah masuk ke dalam rumah dengan gaya kasual kemeja T-biru dan seluar trek. Wajah kacaknya kelihatan sedikit penat kerana baru sahaja pulang dari pasar tani, memegang sebuah beg plastik merah yang sarat dengan muatan.
"Haa... panjang umur anak bertuah mama ni. Kamu beli tak apa yang Erina mengidam tu?" Tanya Puan Marina tegas, mengalahkan gaya seorang pegawai polis.
Megat Emir meletakkan beg plastik itu di atas meja, lalu melepaskan keluhan manja. Dia melabuhkan punggung di sebelah Erina, selamba melingkarkan lengan sasanya di pinggang Erina lalu menyembunyikan wajahnya di ceruk leher isterinya. Sifat manja dan posesifnya langsung tidak berkurang walaupun di hadapan mamanya sendiri.
"Beli, mama... Jenuh Emir pusing satu Shah Alam semata-mata nak cari buah kedondong dengan kuah rojak Mak Bee yang sayang nak tu." Adu Megat Emir dengan nada suara yang rendah dan serak basah. Dia memandang Erina dengan pandangan mata yang sangat redup dan damba.
"Sayang tengok ni... demi anak kita, dan demi permaisuri abang ni... abang sanggup beratur panjang dekat pasar tani tadi tau. Kesianlah dekat abang yang penat ni... tak ada reward ke?"
Erina serta-merta tersipu malu, wajahnya bertukar rona merah jambu akibat usikan dan sifat manja Megat Emir di hadapan ibu dan bapa mertuanya itu. Dia cuba menolak sedikit dada bidang Emir. "Abang ni... mama dan papa ada kat depan ni kan. Malulah..."
Puan Marina yang melihat gelagat romantis anaknya terus membaling bantal kecil sofa tepat ke arah lengan Megat Emir.
"Amboi, kamu ni Emir! Depan mama dan papa pun nak menggoda Erina ya? Dah, jangan dikacau Erina tu, dia tengah tak larat tu tapi nanti dapat pekena kedondong tu kuat la balik dia tu." Bebel Puan Marina sambil ketawa kecil. Wanita itu bangun lalu mencapai beg plastik berisi buah kedondong tersebut. "Biar mama pergi kupaskan dekat dapur. Kamu tu pergi mandi, busuk bau peluh pasar."
"Mana ada busuk, mama... Bau peluh jantan yang seksi." Balas Megat Emir selamba. Lagak bersahajanya membuatkan Puan Marina menggelengkan kepala sebelum melangkah ke dapur tersenyum bahagia sambil dituruti Tuan Megat Emran dari belakang.
Sebaik sahaja kelibat Puan Marina dan Tuan Megat Emran hilang di sebalik dinding dapur, Megat Emir kembali merapatkan jurang antara mereka. Dia memeluk erat pinggang Erina, meletakkan telapak tangan hangatnya di atas perut Erina yang masih kempis, merasai kehadiran zuriat mereka yang kian membesar.
"Terima kasih, sayang... sebab buat mama dan papa gembira. Dan terima kasih sebab sudi kandungkan zuriat abang." Bisik Megat Emir penuh syahdu sebelum menundukkan wajahnya dan melabuhkan satu kucupan yang sangat lama, dalam dan hangat di dahi Erina dan kemudian beralih ke bibir isteri kesayangannya itu.
"Abang...nanti mama dan papa nampak la."
"Biar la mama dan papa nampak...kan dah halal dan dah pregnant dah pun hasil buatan abang. Hahaha" Gelak Megat Emir sambil mengeyitkan matanya kepada Erina kemudian terus berlalu ke bilik untuk mandi.
"Abang jangan mandi lama-lama tau. Rina tunggu abang nak makan buah kedondong tu sama-sama dengan abang." Senyum Erina.
"Sayang makan la dulu. Tak payah tunggu abang. Nanti meleleh air liur baby kita kat dalam perut tu tunggu nak makan buah kedondong." Tutur Megat Emir sambil tersenyum-senyum menaiki anak tangga.
Share this novel
Setia menunggu