Series
14692
Suasana di dalam pejabat Megat Emir yang tadinya tenang dengan alunan muzik instrumental perlahan, bertukar menjadi sepi yang mencengkam. Megat Emir sedang meneliti dokumen pelaburan baharu apabila telefon peribadinya bergetar kuat di atas meja jati.
Skrin memaparkan nama  'ACP Akmal – Bukit Aman' .
Megat Emir mengerutkan dahi. Jantungnya tiba-tiba berdegup di luar rentak biasa. Ada satu firasat tidak enak menjalar di tangkai hatinya. Dia segera mencapai telefon bimbitnya itu dan melekapkan ke telinganya.
"Hello, Assalamualaikum Tuan Akmal." Sapa Megat Emir, cuba mengekalkan nadanya yang tenang.
"Waalaikumussalam, Dato' Emir." Suara ACP Akmal di hujung talian kedengaran sangat berat, mendatar, dan bebas daripada sebarang nada ramah yang biasa. "Saya minta maaf kerana terpaksa menyampaikan berita ini. Saya mahu Dato' bertenang, cari tempat duduk dan dengar apa yang saya nak cakap ni baik-baik."
Mendengarkan mukadimah yang begitu rasmi dan dingin, darah Megat Emir seakan-akan berhenti mengalir. Pen di tangan kanannya segera diletakkan ke atas meja. Dia tidak duduk, sebaliknya dia terus bangun berdiri mundar mandir di dalam biliknya itu. Tubuhnya mulai menegang menunggu apa yang akan dituturkan oleh ACP Akmal.
"Ada apa Tuan? Jangan buat saya berdebar-debar Tuan. Tuan hubungi saya ni berkenaan isu syarikat atau... keluarga saya?" Tanya Megat Emir, suaranya mula bergetar halus. Fikiran liarnya terus melayang memikirkan Erina dan bayinya di rumah.
"Ini mengenai keselamatan keluarga Dato'. " ACP Akmal memotong dengan tegas. "Pukul 2:00 pagi tadi, pihak pengurusan Penjara Sungai Buloh telah melaporkan kelolosan banduan penjenayah kolar merah. Dato' Farid bin Mansor telah berjaya melarikan diri dari sel tahanan."
Zasss!
Bagai ada satu petir yang menyambar tepat ke tangkai jantung Megat Emir. Wajahnya yang cerah serta-merta bertukar pucat lesi. Nafasnya terhenti seketika. Nama yang paling dia benci, nama yang telah merobek ketenangan hidup Erina dahulu, kini kembali disebut.
"A... apa Tuan cakap ni? Melarikan diri?!" Suara Megat Emir naik kepada satu oktaf. Dia mencengkam bucu meja jatinya sehingga urat-urat hijau timbul di belakang tangannya.Â
"Ye Dato'..Dato' Farid telah berjaya melarikan diri daripada penjara." ACP Akmal menjawab dengan nada yang sedikit penyesalan.
"Penjara Sungai Buloh tu penjara sekuriti ketat, Tuan! Macam mana seorang tua bangka macam dia boleh lolos?! Mana pergi semua pengawal?!" Bentak Megat Emir di talian.
"Bertenang, Dato' Emir. Siasatan awal unit forensik dan bahagian integriti kami mendapati ada unsur sabotaj digital. CCTV di blok barat dipadamkan secara sengaja selama sepuluh minit oleh orang dalaman penjara yang dipercayai menerima rasuah. Sebuah van logistik dikesan membawa dia keluar." Jelas ACP Akmal secara rasmi, memberikan fakta kes tanpa emosi.
"Sabotaj digital?" Berkerut dahi Megat Emir.
"Ye mungkin ada unsur sabotaj digital jadi sebab itu saya hubungi Dato' secara peribadi. Mengikut profil psikologi, Dato' Farid adalah seorang yang berdendam tinggi dan kesalahan yang dilakukannya sebelum ini pun salah satunya adalah berunsurkan digital. Sasaran utama dia adalah Dato', isteri Dato'...Datin Erina dan kemungkinan juga Dato' Syed Rizal juga adalah sasarannya."
Megat Emir meraup rambutnya ke belakang dengan kasar. Dadanya berombak kencang bagai nak rak. Rasa takut, marah dan paranoid bercampur-baur menjadi satu cecair berasid yang membakar kewarasannya. Megat Emir membayangkan wajah Erina yang tersenyum suci memeluk anak mereka pagi tadi. Perasaan itu telah membuatkan Megat Emir rasa mahu gila.
"Saya tak kira Tuan! Saya bayar cukai jutaan ringgit, saya nak pihak polis tangkap dia balik sekarang juga!" Jerit Megat Emir, hilang sudah watak CEO yang berkarisma. Yang ada hanyalah seorang suami dan bapa yang sedang ketakutan. "Kalau satu calar kena pada anak bini saya, saya sendiri yang akan heret dia balik ke neraka, Tuan! Saya takkan tunggu undang-undang lagi!"
"Dato' Emir, kawal emosi Dato'! Pihak kami sedang menggerakkan Unit Tindakan Khas (UTK) dan menutup semua pintu sempadan." ACP Akmal cuba mengawal keadaan menerusi talian. "Nasihat rasmi saya, ketatkan kawalan peribadi di rumah Dato' sekarang. Jangan biarkan Datin Erina keluar. Kami akan hantar dua anggota unit risikan ke kediaman Dato' untuk pemantauan 24 jam. Saya mohon Dato' dapat memberi kerjasama."
"Baik... baik, Tuan." Megat Emir menjawab pendek sebelum memutuskan talian secara meluru.
Megat Emir menghempaskan telefonnya ke atas meja sebelum memandang Syed Rizal yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam pejabatnya dengan wajah yang turut sarat dengan seribu satu persoalan. Tanpa menunggu Syed Rizal bertanya apa-apa, Megat Emir terus mendial nombor pengawal peribadi kediamannya, Ghazi.
"Ghazi! Dengar sini!" Suara Megat Emir kedengaran seperti singa yang terluka. "Lockdown rumah aku sekarang! Aktifkan kod merah!"
"Kod merah, Dato' Emir? Ada ancaman luar ke?" Suara Ghazi di hujung talian bertukar serius.
"Dato' Farid terlepas dari penjara. Dia kemungkinan tengah buru keluarga aku." Megat Emir mencengkam kolar bajunya sendiri, cuba mencari nafas yang kian sesak.Â
"Terlepas dari penjara! Ini bahaya ni Dato'." Ghazi turut kedengaran cemas ditalian.
"Aku nak kau letakkan empat orang budak paling cekap di setiap penjuru pagar. Hidupkan pengesan haba di perimeter dinding luar. Kalau ada kucing melintas pun, aku nak kau tahu! Sesiapa yang cuba mendekati wife dan anak aku tanpa kebenaran aku... kau terus tangkap dia dulu, bincang kemudian! Faham?!"
"Faham, Dato'. Arahan Dato' diterima dengan jelas. Kami akan kawal ketat Datin Erina sekarang." Balas Ghazi tegas sebelum talian dimatikan.
Megat Emir memandang Syed Rizal. Matanya merah menyala penuh dendam yang baru marak. Syed Rizal turut memandang Megat Emir dengan persoalan. Kedatangannya ke pejabat Megat Emir untuk mengadakan sedikit perbincangan kecil nampaknya seperti terpaksa dibatalkan.
"Rizal... kita kena balik sekarang. Syaitan tu dah lari keluar dari neraka."
"Syaitan?!" Syed Rizal terkejut mendengar perkataan itu daripada mulut Megat Emir.
"Yer..syaitan bertopengkan manusia. Siapa lagi...Dato' Farid! Dia dah lolos dari penjara!"Â
"Lolos dari penjara?" Terbeliak biji mata Syed Rizal mendengarnya.
"Kita kemungkinan besar dalam bahaya Rizal. Menurut ACP Akmal, maybe Dato' Farid akan cari family you and my family untuk membalas dendam." Tutur Megat Emir dengan penuh debaran.
"Damn! We need to do something." Syed Rizal menumbuk meja melepaskan marahnya.
---------------------------
SEHARI SEBELUM
Suasana di Koridor C Penjara Sungai Buloh sunyi sepi. Jam di dinding menunjukkan tepat pukul 2:00 pagi. Bunyi tapak kasut but bergema perlahan, menghampiri sel nombor 46.
Klak!
Mangga besi dibuka tanpa sebarang jeritan atau amaran. Seorang pengawal penjara bertubuh tegap berdiri di hadapan jeruji, matanya meliar ke kiri dan kanan. Dia mencampak sepasang pakaian seragam pengawal ke lantai sel.
"Cepat tukar baju. Tiga minit sahaja. CCTV di laluan blok barat sudah dipadamkan selama sepuluh minit." Bisik pengawal itu, suaranya mendatar namun sedikit cemas.
Dari sudut gelap sel, sepasang mata yang penuh dengan urat merah terjaga. Dato' Farid bangun dengan senyuman sinis. Tubuhnya yang susut sepanjang berada di dalam tirai besi itu tidak mengurangkan kebuasan yang membakar dalam dadanya. Dengan pantas, dia menyarung pakaian seragam tersebut.
"Bagus. Duit kau sudah dimasukkan separuh ke akaun kau seperti yang dijanjikan. Bakinya aku akan masukkan lagi bila aku berjaya keluar jauh dari sini." Kata Dato' Farid, membetulkan kolar baju seragam pengawal yang kelihatan ketat untuk memudahkan penyamarannya.
Mereka berdua berjalan melintasi laluan gelap, melepasi tiga pintu sekuriti dengan mudah menggunakan kad akses pengawal tersebut. Sebuah van penghantaran makanan yang dijadualkan keluar subuh nanti sudah sedia menanti di pintu belakang depo logistik.
Sebaik sahaja pintu van ditutup rapat dari dalam, Dato' Farid bersandar di celah-celah kotak barangan. Van mula bergerak meninggalkan kawasan penjara.Â
"Kau bawa aku ke rumah persinggahan aku di Janda Baik. Rumah tu dah lama kosong. Aku pasti orang dan polis takan sedar kemunculan aku di situ." Pinta Dato' Farid kepada pemandu van itu.Â
"Baik Dato'." Ringkas jawapan pemandu van tanda memahami arahan yang diberi.
Dalam kegelapan van, Dato' Farid menggenggam penumbuknya sehingga menggigil. Wajah-wajah orang yang menghumbannya ke tirai besi ini mula terbayang satu per satu.
Dato' Farid terbayangkan Megat Emir. Anak sahabatnya Megat Emran dan kini Megat Emir menjadi musuh utama dendamnya. Megat Emir, lelaki angkuh yang menggunakan kuasa pengaruhnya untuk menyumbatnya ke penjara, serta merampas segala-galanya yang dia miliki.
Fikirannya juga terbayangkan Erina. Gadis superbike, setiausaha Megat Emir yang cantik tapi lasak dan sepatutnya menjadi ratahannya, tetapi kini hidup bahagia menjadi isteri Megat Emir dan melahirkan zuriat lelaki itu. Erina jugalah punca utama dia berada di tirai besi kerana kebodohannya melayan impian Melisa.
Syed Rizal turut muncul dalam fikirannya. Syed Rizal dan Megat Emir lah yang menjadi dalang mengumpul segala bukti jenayahnya sehingga berjaya mematahkan rancangannya dan menghancurkan dunia korporatnya sehingga polis berjaya membongkar jenayah lain yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dia kini hilang dunia korporat serta keluarga bahagianya.
"Kau fikir kau dah menang, Emir, Rizal? Kau fikir kau boleh hidup bahagia dengan perempuan itu, Emir?" Dato' Farid berbisik sendirian, diselangi tawa kecil yang kedengaran sangat ngeri.
"Aku akan pastikan anak bini kau merana. Dan kau, Rizal... kau akan melutut melawat kubur keluarga kau sendiri. Aku akan ambil balik apa yang korang dah ragut daripada aku. Setitis darah aku di penjara, sebaldi darah korang yang akan tumpah!"
Van terus memecut laju membelah lebuh raya, membawa bersama satu ancaman besar yang bakal meragut seluruh ketenangan keluarga Megat Emir dan Syed Rizal.
Share this novel