EPISOD 85

Romance Series 14692

Keadaan bilik tidur terasa sangat tenang. Erina sedang duduk di birai katil yang empuk, berpura-pura sibuk melipat beberapa helai pakaian. Namun, tumpuannya seratus peratus hilang sebaik sahaja pintu bilik air terbuka, membebaskan haruman sabun mandi yang segar dan bauan maskulin yang sangat dia kenali.

Megat Emir melangkah keluar. Dia hanya memakai seluar trek hitam yang tergantung sedikit rendah di pinggulnya, tanpa sehelai baju. Rambutnya yang hitam pekat masih basah, titisan air mengalir perlahan dari hujung rambut jatuh ke leher, seterusnya mengalir ke dada bidangnya yang tegap dan berotot sasa.

Erina yang terpandang susuk tubuh suaminya itu terus menelan liur yang hampir tersekat dikerongkongnya. Jantungnya serta-merta berdegup kencang bagai nak rak. Sebagai seorang wanita dan isteri yang sah, bohong jika dia kata dia tidak tergoda melihat keseksian Megat Emir yang begitu memukau malam ini. Kehangatan luar biasa mula menjalar dan membahang ke seluruh wajahnya.

'Erina... tolong kawal perasaan kau. Pandang tempat lain!' Jerit hati kecil Erina, cuba sedaya upaya mengawal matanya daripada terus berpesta melihat tubuh sasa suaminya. Dia pantas menundukkan wajah, pura-pura tekun melipat baju Melayu Megat Emir yang sudah sedia kemas.

Megat Emir yang menyedari gelagat isterinya itu tersenyum senget dengan lagak bersahajanya. Nakalnya kembali diaktifkan. Dia menyidai tuala kecil di ampaian lalu melangkah perlahan-lahan mendekati katil. Setiap tapak kaki Megat Emir yang menghampiri dirasakan seperti satu ketukan debaran di dada Erina.

"Sayang... tak siap lagi melipat baju tu? Dari tadi abang tengok baju yang sama je sayang pusing-pusingkan." Usik Megat Emir dengan nada suara yang sangat rendah, serak basah dan penuh dengan tarikan sasa seorang lelaki.

Megat Emir melabuhkan punggung di sebelah Erina. Tilam yang sedikit tenggelam membuatkan jarak mereka menjadi tersangat rapat. Kulit lengan Megat Emir yang hangat dan sedikit lembap bersentuhan dengan lengan Erina, satu getaran elektrik terhasil yang membuatkan bulu roma Erina meremang halus.

"Sa.. saya... saya nak siapkan sikit lagi ni. Abang pergilah pakai baju dulu, nanti sejuk." Kata Erina gagap. Dia cuba mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran terlalu gementar, walaupun tangannya ketika itu sudah mula sedikit menggigil.

Megat Emir tidak membalas dengan kata-kata. Sebaliknya, dia mengangkat tangan kanannya, lalu dengan lembut menarik helai baju di tangan Erina dan mencampakkannya ke hujung katil. Pergerakan drastik itu memaksa Erina berpaling memandang suaminya.

"Abang, kenapa?" Erina terkejut dengan tindakan Megat Emir itu.

Anak mata mereka bertaut. Erina terus terkunci kata. Pandangan mata Megat Emir yang redup, dalam dan penuh damba malam ini benar-benar menghancurkan sisa kawalan emosi Erina. Jiwa wanitanya meronta-ronta dan hampir mahu menyerah kalah pada keseksian dan pesona romantik suaminya.

Tangan kekar Megat Emir mula menjalar ke pinggang kecil Erina, menarik tubuh isterinya itu sehingga tiada lagi ruang yang tersisa antara dada bidangnya dan tubuh Erina.

Erina memejamkan matanya rapat-rapat, cuba mengumpul sisa oksigen di dalam dadanya yang semakin sesak akibat debaran cinta yang teramat sangat.

"Bahu abang ni lenguh-lenguh, boleh tak sayang tolong picitkan sekejap?" Tutur Megat Emir lembut dengan nada penuh menggoda. Mendengar kata-kata itu, Erina laju membuka matanya.

"Tak boleh! Rina ngantuk. Rasa macam nak tidur awal malam ni." Laju Erina menolak permintaan Megat Emir.

"Huhh..sombongnya! Awalnya nak tidur. Baru pukul 9.30 malam kan." Muncung Megat Emir sambil melihat jam di dinding.

"Tak boleh..tak boleh..Rina nak tidur!" Erina segera baring di katil. Jantungnya berdegup kencang. Habislah kalau Megat Emir dapat rasa degupan jantungnya itu.

Malunya tidak terkata tadi. Diingatkan suaminya hendak melakukan sesuatu terhadapnya tetapi sebaliknya. Erina segera menutup muka dan badannya dengan selimut. Menyorok mukanya yang merah menahan malu disebalik selimut itu.

Megat Emir hanya tersenyum melihat kelakuan isterinya yang malu-malu itu. Perangai malu-malu Erina itulah telah membuatkan Megat Emir lagi suka untuk menyakat isterinya itu.

"Sayang, dahla ..bangun..bangun...jangan nak tipu abang pura-pura nak tidur. Jom teman abang dinner." Tangan Megat Emir menguis-nguis kaki Erina yang ditutupi selimut.

Erina akur lalu segera keluar dari persembunyian selimutnya. Megat Emir mengekek kecil melihat kecomelan isterinya itu.

-----------------------

Malam itu hujan turun dengan lebat sekali. Terasa dingin hingga ke tulang. Alangkah bahagianya jika dapat tidur sambil memeluk isteri tercinta. Namun demikian, sudah tujuh malam Megat Emir hanya mampu memandang katil saiz King miliknya dari sudut sofa yang sempit. Setiap malam menjadi satu ujian besar bagi kelelakiannya. Sebagai seorang suami yang sah, melihat Erina seorang wanita yang halal untuknya berada di dalam bilik yang sama, namun dipisahkan oleh dinding halimunan bernama 'belum bersedia', benar-benar menyeksa batinnya.

Megat Emir menyandarkan kepala pada lengan sofa. Matanya tidak lepas daripada memerhati Erina yang sedang menyisir rambutnya yang cantik dan panjang itu di hadapan cermin solek.

Erina menyarung baju kaftan satin berwarna merah jambu lembut. Kaftan itu sedikit seksi bagi pandangan mata Megat Emir kerana fabrik kaftan itu begitu licin hingga melekap mengikut bentuk badan Erina. Setiap kali Erina bergerak, bauan harum sabun mandi yang segar bersatu dengan wangian asli tubuh isterinya akan menerpa ke rongga hidung Megat Emir. Bau itu seperti satu godaan halus yang setiap hari menguji iman Megat Emir.

Megat Emir menelan liur yang terasa kesat. Halkumnya bergerak-gerak. Saraf-saraf di tubuhnya mula menegang. Sumpah! Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja Megat Emir bangun dan menerpa ke arah Erina kemudian memeluk tubuh halus itu dari belakang. Sebolehnya dia mahu mencium-cium leher jinjang itu, membisikkan kata-kata cinta dan menuntut haknya yang sudah halal. Semuanya sah di sisi agama. Tiada sesiapa yang boleh menghalang!

Namun, bayangan wajah Erina yang menangis teresak-esak pada malam pertama kembali menerpa mindanya.

"Rina minta maaf,abang. Rina cuma...takut. Takut tak mampu jadi isteri yang baik. Perkahwinan kita terlalu mengejut, Rina rasa tak bersedia...Tolong bagi Rina masa... "

Rintihan Erina yang penuh ketakutan dan canggung itu menjadi benteng paling kuat yang membuatkan Megat Emir menahan langkah dan nafsu. Dia tidak mahu menjadi suami yang mementingkan diri. Dia tidak mahu sentuhan pertamanya meninggalkan trauma dalam hidup Erina. Cukup lah trauma tentang video dan gambar palsu itu. Dia tidak mahu menambahkan lagi trauma ke dalam diri Erina.

Erina berpaling dan pandangan mata mereka bertaut di dalam cermin. Sedar suaminya sedang merenung dengan pandangan yang redup dan dalam. Erina pantas menundukkan wajah. Jelas riak serba salah dan takut terpancar pada wajah polos itu.

Megat Emir mengeluh perlahan di dalam hati. Dia tahu Erina sedang berperang dengan perasaan sendiri. Mungkin Erina rasa serba salah ke atas dirinya.

"Abang... tak tidur lagi?" tanya Erina perlahan, memecah kesunyian malam. Suaranya yang lembut itu kedengaran seperti satu melodi yang sangat indah, tetapi sekaligus menyeksakan Megat Emir yang sedang menahan rasa.

Megat Emir memejamkan mata seketika. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, cuba menyalurkan oksigen ke otaknya yang mula berfikir bukan-bukan. Dia memaksa satu senyuman nipis terukir di bibir.

"Belum lagi, sayang. Abang ada file nak kena semak sikit dekat iPad ni. " Bohong Megat Emir. Suaranya sengaja dikawal agar tidak kedengaran terlalu serak akibat menahan gelora di dada. Dia berpura-pura sibuk menekan skrin gajet di tangan, walaupun fikirannya seratus peratus tertumpu kepada Erina.

Erina mengangguk perlahan. Dia memanjat katil lalu menarik selimut hingga ke paras dada. "Abang... saya tidur dulu ya, abang. Selamat malam."

"Selamat malam, sayang. Tidur nyenyak-nyenyak tau. Jangan lupa mimpikan abang " Balas Megat Emir lembut. Erina hanya tersenyum nipis.

Megat Emir memerhatikan Erina yang mula membelakangkan tempatnya. Apabila memastikan nafas Erina sudah kembali teratur tanda sudah lena, Megat Emir meletakkan iPad ke tepi.

Dia bangun dari sofa tanpa sebarang bunyi, melangkah mendekati katil. Dia melutut di birai tilam, hanya untuk menatap wajah tenang Erina yang sedang tidur. Tangan Megat Emir naik, terapung di udara. Dia teringin sangat nak mengusap pipi Erina, tetapi dia menarik semula tangannya kerana bimbang Erina akan terjaga dan berasa takut.

Megat Emir hanya mampu menundukkan wajahnya, lalu melabuhkan satu kucupan lembut di dahi Erina.

"Abang sabar, sayang. Tapi jangan biarkan abang tunggu terlalu lama..." Bisik hati kecil Megat Emir sebelum dia berpusing dan melangkah semula ke sofa dengan berat hati. Dia terpaksa akur bersiap sedia untuk mengharungi satu lagi malam yang panjang dan dingin di atas sofa itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience