Series
14692
Di sebuah suit mewah yang tersorok daripada pandangan umum, suasana gelap itu hanya diterangi oleh cahaya dari skrin komputer riba yang memaparkan statistik penyebaran di media sosial. Angka "Shares" dan "Views" terus meningkat dengan drastik setiap saat.
Melisa melangkah masuk ke suit mewah itu setelah dia mendapat panggilan daripada Dato' Fraid. Di sudut yang agak gelap, Dato' Farid sudah menanti dengan segelas wiski di tangan.
"Laju betul you buat kerja, Melisa," tegur Dato' Farid dengan senyuman meleret.
Melisa duduk bersilang kaki, wajahnya penuh dendam. "I tak suka buang masa. You nak Erina hancur dan I nak Emir. Amar tu pengecut, dia tak nak tolong I. So, I rasa you sorang je yang cukup berani untuk ajar minah motor tu."
"Tengok tu, Melisa. Sepantas kilat. Sekarang satu Malaysia dah tengok 'aset' kesayangan Megat Emir tu." Dato' Farid ketawa besar, bunyinya parau dan menjengkelkan.
"Ye..semua orang percaya dengan video dan gambar tu. Tak sia-sia I upah budak yang professional bab-bab ni." Matanya begitu mengagumi hasil kerja budak upahannya itu. Seolah tiada sikit cela pun.
"I masih ingat macam mana dia boleh malukan I kat pejabat hari tu? Sekarang, biar dia rasa macam mana rasanya bila maruah perempuan dia kena pijak dengan netizen. Kali ini seluruh dunia boleh menyaksikannya..hahaha..." Gelak Dato' Farid kelegaan.
Melisa yang duduk di sofa bertentangan, menghirup minumannya dengan gaya anggun, namun matanya memancarkan api dendam yang marak. Dia melihat gambar-gambar Erina yang telah disunting itu dengan penuh kepuasan.
"Kemenangan yang manis, Melisa. Emir sekarang tengah sibuk cuci 'sampah' yang kita buat," Kata Dato' Farid dengan angkuh.
"I dah cakap, Dato'. Minah motor tu tak layak duduk dalam dunia kita. Dia cuma layak main minyak hitam je." Melisa ketawa sinis, matanya tajam memandang skrin.
"You tengok komen-komen ni... semua maki dia. Ada yang panggil dia 'perempuan simpanan', ada yang kata dia 'murah'. I tak sabar nak tengok muka Aunty Marina bila dia tahu menantu pilihan dia ni sebenarnya 'bintang' media sosial." Melisa tersenyum bangga.
Melisa bangun, berjalan mendekati skrin dan menyentuh wajah Erina di komputer itu dengan kukunya yang panjang. "Kesian you, Erina. You ingat dengan jadi setiausaha Emir, you boleh jadi permaisuri dalam hidup Emir? In your dreams. Sekarang, biarlah Emir kutip sisa-sisa maruah you yang dah hancur ni. I nak tengok, sejauh mana Megat Emir boleh bertahan bila saham syarikat dia jatuh sebab skandal secretary dia sendiri! Masa tu dia buang you jauh-jauh kerana menyesal ambil you jadi tunang dia."
Kedua-duanya melepaskan tawa yang bergema di dalam bilik itu, meraikan kejatuhan seorang gadis yang tidak bersalah, tanpa menyedari bahawa setiap tawa mereka itu sedang dihitung sebagai dosa yang bakal memakan diri mereka kembali.
--------------------------------------------------------------------------
Syed Rizal bukanlah seorang lelaki yang mudah diperbodohkan. Walaupun dia sering sibuk dengan empayar perniagaannya, perubahan sikap Melisa yang mendadak mula mengundang curiga di hatinya.
Syed Rizal berdiri di sebalik tirai jendela besar bilik tidurnya, memerhatikan BMW milik Melisa menderu keluar dari perkarangan banglo mereka. Jam baru menunjukkan pukul 11 malam. Ini kali ketiga dalam minggu ini Melisa keluar dengan alasan "perjumpaan kecemasan" dengan rakan-rakan elitnya. Syed Rizal menawarkan pemandu peribadinya untuk menghantarnya ke lokasi yang dituju tetapi Melisa berkeras untuk memandu sendiri.
"Ermm..lagi, Melisa?" Gumam Syed Rizal sendirian. Rahangnya diketatkan.
Baru petang tadi dia melarang keras isterinya keluar ke mana-mana malam ini kerana mahu meluangkan masa bersama, namun Melisa tetap berdegil. Syed Rizal mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor pemandu peribadi Melisa yang telah lama dia "arahkan" untuk melapor kepadanya secara rahsia.
"Syam, dia ke mana?" Soal Syed Rizal terus, tanpa mukadimah.
"Puan ke Hotel Grand Royal, Tuan. Saya nampak dia masuk ke suit tingkat atas bersama seorang lelaki. Nampaknya macam Dato' Farid." Lapor Syam di hujung talian.
Syed Rizal tergamam. Dato' Farid? Rakan perniagaannya dan juga Megat Emir yang dikenali dengan reputasi buruknya terhadap wanita? Hati Syed Rizal mula membara. Dia tahu Melisa masih tergila bayang semula dengan Megat Emir, tetapi dia tidak menyangka Melisa sanggup bekerjasama dengan lelaki kotor seperti Dato' Farid untuk merancang sesuatu.
Syed Rizal tidak terus menyerbu. Dia seorang ahli perniagaan yang strategik. Dia tahu Melisa sedang merancang sesuatu yang besar yang masih samar-samar dalam pengetahuannya.
"Syam, teruskan pemantauan kau. Jangan biarkan dia perasan. Aku nak tahu setiap langkah mereka." Arah Syed Rizal sebelum mematikan talian. Dia mengetap rahangnya menahan geram.
Syed Rizal kemudian membuka laptopnya, meneliti beberapa transaksi perbankan Melisa yang mencurigakan sejak kebelakangan ini. Terdapat aliran wang keluar yang besar ke satu akaun yang tidak dikenali.
"Kau ingat aku buta, Melisa? Kau gunakan nama aku, duit aku, untuk buat kerja kotor kau?" Syed Rizal mengepalkan penumbuknya. "Kalau betul kau terlibat dalam menjatuhkan maruah gadis itu, aku sendiri yang akan heret kau ke muka pengadilan."
Syed Rizal sedar, kebahagiaan rumah tangganya kini hanyalah plastik. Dia kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk membongkar segala-galanya dan melihat sejauh mana Melisa sanggup mengkhianatinya demi perancangan kotor.
"Aku akan cari apakah perancangan kau dengan Dato' Farid tuh! Arrgghhh..tak guna!" Syed Rizal menumbuk meja dihadapannya itu.
Syed Rizal mencapai telefon bimbitnya lalu segera menghubungi isteri keduanya, Syira.
"Hello Sayang...Baby dalam perut sihat tak?"
"Biy...balik la sini malam ni. I takut la tidur sorang malam ni. Sejak menjak ni kaki selalu je cramp." Syira merengek di talian.
"Ok sayang...Biy balik sekarang yer." Syed Rizal segera menukar pakaiannya lalu mencapai kunci kereta dan meninggalkan rumah banglo mewah itu.
-------------------------------------
Di dalam bilik pejabatnya yang kedap bunyi, Megat Emir berdiri di hadapan Erina yang baru sahaja selesai menguruskan fail terakhir sebelum waktu pejabat tamat.
Wajah Megat Emir nampak sangat serius, matanya yang tajam memandang tepat ke arah Erina dengan penuh rasa bimbang.
Megat Emir memulakan bicara, suaranya rendah namun tegas. Dia merapati Erina sehingga jarak mereka hanya tinggal satu depa.
"Erina, dengar sini baik-baik. Mulai saat ini, abang tak nak Rina keluar ke mana-mana sendirian. Bukan ke kedai, bukan ke rumah kawan, dan yang paling penting... jangan sesekali Rina sentuh motor tu sampai kita sah nikah hujung minggu ni."
Erina sedikit terkejut. Dia mengangkat kening, cuba membela diri. "Tapi Abang, Rina nak keluar beli barang keperluan nanti macam mana? Lagi pun, nanti Rina nak pergi kerja macam mana pulak? "
Megat Emir meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja, mengurung ruang pergerakan Erina. "Nyawa Rina lagi penting bagi abang tau, Erina. Rina kat luar sana seorang diri dengan motor tu buat abang risau. Abang takut Rina jadi sasaran lain pulak. Hari tu video dan gambar takut nanti kali ni entah apa pulak. Kalau Rina sorang-sorang itu sasaran yang sangat mudah untuk diorang." Megat Emir mengeluh perlahan, riak wajahnya melembut sedikit. Dia memegang jemari Erina yang dingin.
"Tolonglah, kali ni saja... dengar cakap abang. Abang dah arahkan dua orang pengawal peribadi untuk tunggu di depan rumah Rina 24 jam. Segala barang yang Rina perlukan, Rina bagi tahu je abang nanti abang akan belikan. Mulai esok Rina tak perlu datang kerja. Kan abang dah suruh cuti 2 minggu. Abang tak nak majlis kita hujung minggu ni hancur sebab kecuaian kita sekarang."
Erina menunduk, dia dapat merasakan betapa beratnya beban yang dipikul oleh Megat Emir untuk melindunginya. "Rina boring duduk rumah sorang-sorang sebab tu Rina datang kerja. Abang takut Rina kena culik ke?"
"Abang takut kehilangan Rina sebelum abang sempat jadikan Rina isteri abang yang sah. " Bisik Emir jujur.
"Duduk diam-diam di rumah. Dekat rumah lebih selamat. Boleh ke Rina janji dengan abang ni, Erina?"
"Baik, Tuan Emir. Saya janji. Saya akan duduk diam-diam sampai hari kita nikah." Erina akhirnya mengangguk perlahan dengan bahasa formal.
Megat Emir tersenyum lega, satu beban seolah-olah terangkat dari bahunya.
"Bagus. Lepas kita nikah nanti, Rina nak pusing satu Malaysia dengan motor tu pun takpa nanti abang akan teman." Senyum Megat Emir lalu menggenggam erat jemari Erina.
Share this novel
Cepat2 kawin Rina… Sabar menunggu next plok…