EPISOD 87

Romance Series 14692

Telefon bimbit di atas meja Haziq tiba-tiba bergetar, memaparkan mesej ringkas daripada Megat Emir.

Megat Emir: Haziq, hantar pelan tapak fasa dua ke bilik aku sekarang. Jangan lambat sebab dah nak dekat lunch time ni.

Haziq : Ok. Baik bos.

Haziq merupakan arkitek dan juga junior Megat Emir sejak zaman universiti. Mereka berkawan rapat hingga ke hari ini. Dia menyertai Mahkota Development setelah dipelawa oleh Megat Emir.

Haziq adalah satu-satunya kakitangan di seluruh bangunan korporat itu yang mengetahui rahsia sebenar bahawa CEO mereka yang digeruni itu sudah sah bergelar suami kepada Erina. Pekerja-pekerja lain, termasuk pihak pengurusan semuanya masih menganggap Erina hanyalah seorang setiausaha biasa yang baru kembali daripada cuti panjang.

Waktu makan tengah hari bermula. Keadaan di dalam lif  ketika itu agak padat dengan kakitangan dari pelbagai jabatan yang mahu turun ke lobi bawah. Erina berdiri di sudut paling belakang, memegang fail di dadanya.

Pintu lif hampir tertutup apabila sepasang tangan menghalang. Dua susuk tubuh melangkah masuk. Megat Emir yang berpakaian segak dengan kot hitam dan kemeja kelabu, diikuti oleh Haziq di sebelahnya.

Sebaik sahaja Megat Emir melangkah masuk, suasana di dalam lif serta-merta menjadi sunyi sepi. Pekerja yang tadinya bising berborak terus mendiamkan diri, masing-masing menundukkan kepala tanda hormat kepada CEO mereka yang digeruni itu. Selalunya dia mengguna lif VIP tetapi hari ini dia hendak menggunakan lif biasa pula .

Megat Emir berjalan ke arah sudut belakang, betul-betul berdiri di hadapan Erina. Memandangkan keadaan lif yang padat, jarak tubuh mereka menjadi sangat rapat. Bauan wangian maskulin Megat Emir terus menerpa ke rongga hidung Erina, membuatkan Erina terasa mendamaikan.

Haziq yang berdiri di sebelah Megat Emir, sempat mengerling ke arah Erina melalui pantulan dinding lif yang berkilat. Seulas senyuman nakal mula terukir di bibir Haziq.

"Eh, Erina... kau nak turun makan dekat bawah juga ke?" Tanya Haziq dengan nada bersahaja, memecah kesunyian.

Erina tersentak. Dia memandang Haziq dengan isyarat mata yang memberi amaran supaya jangan bercakap bukan-bukan. "Ah, ya Haziq. Aku nak pergi kafeteria jap."

Dua orang pekerja wanita dari Jabatan Kewangan yang berdiri di bahagian hadapan lif mula berbisik sesama sendiri apabila mendengar nama Erina.

"Kau tengok Erina tu... Sejak masuk kerja balik minggu ni, muka dia berseri-seri gila kan? Macam orang baru lepas kahwin." Bisik salah seorang daripada mereka dengan nada yang perlahan, tetapi memandangkan keadaan lif yang sunyi, suaranya jelas kedengaran ke telinga Haziq, Megat Emir dan Erina.

"Haah lah. Haritu aku dengar dia pergi bercuti sebab ada urusan peribadi. Entah-entah betul dia cuti kahwin. Tapi tulah, tak pernah nampak pun dia keluar dengan mana-mana lelaki. " Balas rakannya lagi.

"Tapi aku dengar dia pergi Korea buat rawatan muka lepas kes video dan gambar hari tu. Eii.. Macam-macam version la aku dengar tapi yang pasti dia memang nampak berseri-seri."

Wajah Erina serta-merta bertukar merah padam. Dia menundukkan pandangannya ke lantai, tidak berani mengangkat muka. Dia sempat menjeling ke arah belakang tubuh Megat Emir yang berdiri tegak di hadapannya.

Haziq yang menahan tawa, sengaja memanaskan suasana untuk mengusik majikan dan juga sahabatnya itu. "Itulah pasal... Aku dengar pun macam tu juga. Ramai budak department aku tengah puji Erina makin cantik sekarang. Ada sorang budak arkitek baru masuk tiga hari lepas, siap tanya aku lagi kalau Erina ni dah berpunya ke belum. Dia cakap dia ingat nak ajak Erina ride hujung minggu ni bila dia tahu Erina selalu datang kerja naik motor."

Mendengarkan kata-kata Haziq, tubuh Megat Emir yang tadinya santai terus menegang. Rahangnya diketap rapat. Walaupun dia membelakangi Erina, lagak bersahajanya hilang serta-merta digantikan dengan aura cemburu seorang suami yang sangat ketara.

Tanpa sesiapa sedari, Megat Emir memasukkan tangan kanannya ke belakang poket seluarnya, lalu dengan perlahan-lahan dia mengundur setapak ke belakang sengaja membiarkan belakang badannya rapat menyentuh tubuh Erina. Di bawah perlindungan tubuh sasa miliknya yang menghalang pandangan pekerja lain, jari-jemari hangat Megat Emir menyelusup ke belakang lalu menggenggam erat dan mencubit manja jari-jemari Erina yang sedang memegang fail.

Erina menahan nafas. Jantungnya rasa mahu luruh! Tindakan berani dan luar biasa Megat Emir di dalam lif yang penuh dengan pekerja benar-benar membuatkan dia separuh mati kerana terkejut dengan perbuatan Megat Emir itu. Dia cuba menarik tangannya, tetapi genggaman suaminya itu terlalu kuat dan posesif, seolah-olah memberi amaran 'Kau milik aku, jangan berani pandang lelaki lain.'

Erina mengerling ke arah Haziq melalui cermin lif. Haziq yang terpandang genggaman tangan Megat Emir terhadap Erina yang tersembunyi itu terus mengemam bibirnya rapat-rapat, bahunya terenjut-enjut menahan tawa daripada meletus di dalam lif.

TING!

Pintu lif akhirnya terbuka di tingkat lobi. Pekerja-pekerja lain mula melangkah keluar dengan tergesa-gesa. Sebelum melangkah keluar, dua pekerja wanita tadi sempat menunduk hormat. "Kami turun dulu, Tuan Emir."

Megat Emir hanya mengangguk dingin dengan wajah CEOnya yang paling beku. Sebaik sahaja ruang lif kembali kosong dan hanya tinggal mereka bertiga, Megat Emir melepaskan genggaman tangannya lalu berpusing menghadap Erina.

"Haziq... kau pergi beritahu dekat budak baru tu. Kalau dia berani ajak isteri aku keluar hujung minggu ni pergi ride, Isnin depan dia boleh mula cari kerja dekat syarikat lain." Arah Megat Emir dengan nada suara yang sangat rendah dan dingin, tetapi matanya merenung tajam ke arah Erina yang sedang mencuba sedaya upaya mengawal nafasnya yang sesak akibat debaran.

Haziq ketawa besar sambil melangkah keluar dari lif. "Releks la bos! Cemburu buta betul kau ni. Ermm, sampai bila korang nak rahsiakan pasal perkahwinan korang ni daripada staff lain?  Oklah aku keluar dulu yer. Selamat bersemuka ye korang berdua!"

Erina menjeling manja ke arah suaminya sambil membetulkan rambutnya. "Abang ni... gila tau! Kalau pekerja lain nampak tadi macam mana?"

Megat Emir hanya tersenyum senget dengan lagak bersahajanya. Dia melangkah rapat lalu membisikkan sesuatu di telinga Erina sebelum mereka keluar bersama. "Pekerja lain tak nampak, sayang... tapi abang nak sayang ingat, dekat pejabat ke, dekat rumah ke... sayang tetap setiausaha dan isteri abang seorang."

-----------------

Erina sedang duduk bersila di atas permaidani sambil membuat sedikit senaman ringan. Tiba-tiba, kedengaran bunyi derap langkah Megat Emir masuk ke dalam bilik.

Wajah Megat Emir kelihatan sangat serius, namun pandangan matanya melembut sebaik sahaja melihat Erina. Di tangannya terdapat sebuah fail dokumen nipis dan telefon bimbit yang masih menyala.

"Sayang..." panggil Megat Emir lembut, lalu melabuhkan punggung di sebelah Erina. Dia menarik tubuh Erina rapat ke dalam pelukannya. Erina mendongak, menyedari riak wajah suaminya yang sedikit berbeza.

"Kenapa ni, abang? Ada masalah dekat pejabat ke?" Megat Emir melepaskan keluhan kecil, lalu mengusap lembut pipi Erina.

"Bukan pasal pejabat. Tapi pasal kes Rina. Abang nak bagi tahu Rina pasal perkembangan kes tu. Amar dah terangkan sesuatu kepada abang. "

Mendengarkan nama Amar, jantung Erina serta-merta berdegup kencang. Menurut Megat Emir, Amar yang pakar dalam teknologi komputer akan membantunya menjejaki penyebar video dan gambar tidak senonoh yang menimpa diri Erina itu.

"Amar... dia dah jumpa sesuatu ke, abang?" tanya Erina, suaranya mula bergetar. Sisa trauma daripada fitnah itu masih ada.

Megat Emir mengangguk tegas. Dia membuka fail di tangannya, menunjukkan beberapa helaian kertas yang mengandungi paparan skrin, alamat IP, log transaksi dan perbualan teks.

"Abang dengan Amar dah temui dalang sebenar yang sebar video dan gambar fitnah tu, sayang. Segala bukti digital dah ada dalam tangan abang sekarang." Maklum Megat Emir dengan nada suara yang rendah tetapi penuh dengan ketegasan seorang suami yang bersiap sedia untuk menuntut keadilan.

Erina menatap kertas-kertas tersebut. "Siapa, abang? Betul ke... macam yang abang syak sebelum ni? Melisa? "

"Ya, sayang. Tekaan kita tak salah!" Megat Emir mengetap rahangnya, menahan geram apabila menyebut nama wanita itu.

"Melisa. Dia yang upah orang untuk edit gambar tu dan gunakan akaun palsu untuk sebar luas. Tapi dia tak buat kerja ni seorang diri. Dia telah bekerjasama dengan Dato' Farid." Erina menutup mulutnya dengan telapak tangan, matanya mula berkaca.

Walaupun dia sudah mengagak Melisa membencinya, dia tidak menyangka wanita itu sanggup bertindak keji sehingga turut melibatkan musuh Megat Emir iaitu Dato' Farid semata-mata untuk memusnahkan maruahnya.

Megat Emir yang melihat air mata Erina mula mengalir, pantas menarik wajah isterinya itu agar memandangnya. Dia mengucup lembut dahi Erina, lama dan penuh kehangatan.

"Hey... jangan nangis, sayang. Pandang abang. " Pujuk Megat Emir dengan suara yang sangat romantik tetapi penuh pelindungan.

"Abang beritahu ni bukan sebab nak buat sayang sedih. Abang nak Rina tahu yang kebenaran dah terbukti. Pihak peguam abang dan Amar akan serahkan semua bukti ni pada pihak polis esok. Melisa dan Dato' Farid takkan terlepas."

Erina menyembunyikan wajahnya ke dada bidang Emir, menangis kelegaaan.

"Terima kasih, abang... Terima kasih sebab percayakan Rina dari awal." Megat Emir memeluk erat tubuh kecil isterinya, mengusap rambut Erina dengan penuh kasih sayang.

"Mestilah abang percaya. Rina isteri abang, permaisuri hati abang. Tugas abang adalah untuk lindungi maruah sayang sampai bila-bila. Dan itu juga janji abang kepada arwah ayah Rina." Erina memandang suaminya dengan senyuman. Dia mengucup berkali-kali pipi suaminya itu sehinggakan Megat Emir ketawa kecil.

" Abang, I love you."

"Ye sayang. I love you too.. And one more thing, just to remind you hari ni hari Khamis malam Jumaat tau!" Megat Emir mengenyitkan matanya kepada Erina. Pantas jari Erina mencubit peha Megat Emir kerana dia tahu apa yang cuba dimaksudkan oleh suaminya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience