Series
14692
Kafe eksklusif yang terletak di tingkat atas sebuah pasaraya mewah ketika itu begitu tenang dengan bunyi alunan piano yang dimainkan oleh salah seorang pengunjung di situ. Dia memainkan muzik River Flows in You daripada piano yang sememangnya tersedia ada disitu untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk memainkannya.
Puan Marina duduk dengan postur yang sempurna sambil bersilang kaki. Dia mengirup teh Earl Grey yang berada di hadapannya dengan tenang. Kelihatan Melisa gelisah dengan tenungan Puan Marina. Berkali-kali dia membetulkan beg tangan Hermes di ribanya.
"You nak jumpa I kenapa, Aunty Marina? I sibuk sangat hari ni." Melisa cuba berlagak sombong, namun matanya tidak berani bertentang dengan pandangan tajam Puan Marina.
Puan Marina meletakkan cawan tehnya perlahan. Bunyi dentingan seramik itu kedengaran seperti amaran.
"Melisa... Aunty dah kenal you sejak you bertunang dengan Emir dulu. Aunty tahu cara you berfikir, dan Aunty tahu apa yang you sanggup buat kalau you tak dapat apa yang you mahu," Suara Puan Marina rendah tetapi penuh tegas.
Melisa ketawa sumbang. "I tak faham apa Aunty cakap ni."
"Jangan berlakon dengan I, Melisa." Pintas Puan Marina, kali ini tanpa gelaran 'Aunty'.
"Video dan gambar Erina yang tersebar tu... ianya terlalu 'kemas' perancangannya. Hanya orang yang ada perasaan busuk hati dan dendam peribadi saja yang akan buat kerja sekotor itu."
Puan Marina rapatkan badan ke meja. "I dah minta orang-orang I periksa akaun-akaun yang mula-mula sebarkan kandungan tu. Dan teka apa I jumpa? Ada jejak yang membawa kepada 'orang-orang' Dato' Farid. Dan semua orang tahu, you sekarang ni tiba-tiba sangat rapat dengan Dato' Farid, kan? Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. "
Wajah Melisa berubah pucat, namun dia cuba mengawal riak wajahnya. "Aunty dah salah faham ni. I tak ada kaitan langsung. Kenapa I nak buat macam tu? I dah bahagia dengan Rizal."
"Bahagia?" Puan Marina ketawa sinis, satu tawa yang sangat menghina.
"Perempuan yang bahagia takkan menyibuk cari fasal dengan keluarga bekas tunang dia. Perempuan yang bahagia takkan merayu kepada adik bekas tunang dia semata-mata untuk pisahkan abang dia dengan Erina!" Puan Marina tersenyum sinis.
Melisa tergamam. Dia tidak menyangka Megat Amar akan membuka mulut kepada Puan Marina akan perlawaannya tempoh hari mengajak Megat Amar untuk bersama-sama dengannya memisahkan Megat Emir dan Erina.
Wajah Melisa berubah pucat. "Itu cuma fitnah! Aunty tak boleh tuduh I tanpa bukti!" Melisa mula meninggikan suara, cuba mempertahankan sisa egonya.
"Bukti sedang dikumpul, Melisa. Tapi sebelum bukti tu sampai ke tangan polis, I nak beri you satu amaran keras." Puan Marina menuding jari tepat ke wajah Melisa.
"Melisa binti Khalid... Dengar sini baik-baik ye! Erina sekarang bukan sekadar secretary Emir. Dia adalah wanita yang Emir pilih untuk dijaga dan juga akan menjadi menantui I kelak. Kalau I dapat tahu you ada walau satu kuman pun kaitan dengan penyebaran video tu, I sendiri yang akan pastikan Syed Rizal tahu perangai sebenar isteri dia. I akan pastikan you akan hilang segala kemewahan yang you ada sekarang."
Mendengarkan nama suaminya disebut, beg tangan Melisa hampir terlepas dari pegangan. Tubuhnya mula menggigil.
Puan Marina bangun dari kerusi membetulkan bajunya yang langsung tidak berkedut itu dan kemudian dia menyarungkan cermin mata hitamnya.
"Jangan cabar naluri seorang ibu, Melisa. You mungkin boleh permainkan Emir atau Erina, tapi you takkan boleh lepas daripada I. Jauhi Erina atau you akan menyesal seumur hidup. Ini amaran terakhir I, Melisa. Kalau lepas ni ada satu lagi berita buruk pasal Erina atau Mahkota Development keluar di media, I sendiri yang akan pastikan keluarga Syed Rizal buang you sehelai sepinggang. " Gertak Puan Marina.
Puan Marina melangkah pergi meninggalkan kafe eksklusif itu dengan penuh keanggunan dan gaya seperti seorang mafia. Dia meninggalkan Melisa yang sedang menggigil kemarahan dan ketakutan di kerusinya. Melisa mengerut-ngerut dahinya itu sambil menggaru kepalanya dengan penuh kerisauan.
----------------------------------------------
Puan Marina bukanlah wanita yang boleh dipermainkan. Selepas pertemuan itu, Melisa sedar bahawa masanya semakin singkat sebelum rahsianya terbongkar sepenuhnya dan paling teruk lagi jika rahsia itu terbongkar hingga ke pengetahuan Syed Rizal.
Melisa mengunci pintu keretanya dengan tangan yang menggigil. Kata-kata Puan Marina tadi berputar-putar di kepalanya bagaikan kaset rosak. Dia tahu Puan Marina bukan sekadar menggertaknya malah Puan Marina itu juga mempunyai pengaruh yang besar untuk menghancurkan hidupnya bersama Syed Rizal.
Dengan nafas yang tidak teratur, dia mendail nombor Dato' Farid.
"Dato'! Kita kena selesaikan ni sekarang juga!" Jerit Melisa sebaik sahaja talian disambungkan.
"Apa lagi yang tak kena ni, Melisa? I tengah ada tetamu ni. Call I kemudian boleh tak?" Suara Dato' Farid kedengaran rimas di hujung talian.
"Mama Emir...Aunty Marina! Dia dah mula syak I, Dato'! Dia ugut nak beritahu Rizal pasal kita!" Melisa meraup wajahnya kasar.
"Kalau Rizal tahu I terlibat dengan hacker, mampus I nanti. Dia akan ceraikan I sehelai sepinggang. I tak boleh hilang segalanya!"
"Huhh.. Perempuan ni tamak sungguh. Itu pun nak ini pun nak. Perempuan mental! " Ngomel Dato' Farid di dalam hati.
Dato' Farid terdiam seketika. Bunyi hembusan asap cerut kedengaran. "Marina memang tajam. Dia bukan macam Emir yang mudah dipengaruhi emosi. Kalau dia dah mula campur tangan, maksudnya kita tak ada banyak masa." Dato' Farid yang sememangnya amat mengenali wanita yang bernama Marina itu memandangkan dia sebelum ini bersahabat baik dengan suami Marina, Megat Emran.
"Jadi apa pelan kita? Erina itu mesti segera dilupuskan, Dato'! Selagi dia ada, Emir takkan pandang I dan Puan Marina akan terus gali rahsia kita!" Melisa mendesak, suaranya kini penuh dengan kebencian yang meluap.
"Tenang, Melisa. I dah ada orang yang memerhati minah tu. " Suara Dato' Farid bertukar menjadi dingin dan kejam.Â
"I nak dia hilang terus, Dato'. Bukan sekadar gambar kotor lagi. I nak dia lenyap supaya Emir terus melupakan dia. I tak sabar nak kembali kepada Emir semula."Â
"You jangan gelabah sangat..I ada budak-budak yang boleh jejak dan pastikan perempuan tu tak dapat ke mana-mana. Silap haribulan tak boleh bangun berhari-hari atau lenyap terus dan bunuh diri kemurungan...hahaha..." Tutur Dato' Farid dengan penuh angkuh.
Melisa tersenyum sinis di sebalik air matanya. "Bagus. Pastikan dia tak bangun terus lepas ni."Â
"Tapi ingat, Melisa... ini kali terakhir I tolong you. Lepas ni, you pandai-pandailah jaga diri depan Rizal. I tak nak nama I terpalit kalau you buat silap." Dato' Farid memberi amaran sebelum memutuskan talian.
Melisa menyandarkan kepalanya pada stereng kereta. Dia merasa satu kepuasan yang jahat. Di matanya, dia sudah membayangkan berita kematian Erina terpampang di dada akhbar, dan dia akan kembali menjadi wanita paling berkuasa di sisi Megat Emir nanti. Ketika itu dia merasakan dia sudah terlepas dari penjara Syed Rizal.
Share this novel
Busuk betull hati si Melisa ni.. Erinaaaa… jgn kuar dr umah ye.. Dgr nasihat Abg Emir tu ok..