Series
14692
Selepas tiga minggu mengambil cuti panjang untuk memulihkan emosi , hari ini Erina kembali menjejakkan kaki ke pejabat. Dia menggayakan baju kurung moden fabrik sifon berwarna biru lembut dan mendandan rambut dengan kemas dan rapi. Penampilannya ringkas, tetapi wajahnya kelihatan jauh lebih berseri dan tenang.
Aida yang berada di kaunter penyambut tetamu kehairanan melihat perubahan Erina yang anggun dan kelihatan berseri-seri ke pejabat. Jika sebelum ini Erina akan berpakaian kemeja, seluar panjang khakis dan jaket kulit tetapi kali ini Erina berbaju kurung moden dengan penuh anggun.
Langkah Erina terhenti di hadapan mejanya yang sudah lama ditinggalkan. Suasana meja itu bersih dan kemas, malah ada sejambak bunga mawar putih segar diletakkan di atas bucu meja bersama sekeping kad kecil.
Erina tersenyum sendiri. Tanpa perlu membaca kad itu, dia sudah tahu siapa pengirimnya. Sifat romantik suaminya itu memang tidak pernah luntur.
"Assalamualaikum, permaisuri abang... eh, selamat pagi madam secretary. " Satu suara garau yang sangat seksi menyapa dari arah belakang.
Erina berpaling. Megat Emir sedang berdiri tegak dengan gaya korporat yang sangat segak, mengenakan kemeja hitam dan tali leher yang sepadan. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar, manakala matanya merenung Erina dengan pandangan yang sarat dengan rasa rindu dan usikan.
"Waalaikumussalam, Bos. Selamat pagi," balas Erina sambil menundukkan sedikit kepalanya, cuba berlagak profesional di ruang terbuka walaupun dadanya sudah mula bergendang hebat melihat ketampanan suaminya pagi itu.
Megat Emir melangkah rapat, merapatkan jarak mereka sehingga Erina dapat menghidu haruman maskulin suaminya yang sangat mendamaikan.
"Macam mana hari pertama masuk kerja? Dah sedia nak terima tugasan berat daripada bos?" Usik Megat Emir, sengaja merendahkan sedikit badannya agar paras mata mereka sejajar.
"Saya dah sedia Tuan Emir. Tiga minggu cuti dah cukup buat saya rindu nak semak jadual dan fail-fail syarikat ni." Jawab Erina dengan senyuman manis, mempamerkan semangatnya yang telah pulih sepenuhnya daripada sisa trauma masa lalu.
Megat Emir tersenyum puas hati. Keberanian dan ketabahan Erina inilah yang membuatkan dia jatuh cinta berkali-kali. Tangan Megat Emir naik perlahan-lahan cuba untuk mencuit hidung comel isterinya itu, tetapi dia membatalkan niatnya apabila menyedari Aida tiba-tiba muncul.
"Bos, bos sedar tak hari ni Erina nampak lain dari yang lain?" Soal Aida.
"Yerlah...nampak lain dan berseri-seri. Apakah rahsianya Erina?" Megat Emir buat-buat terkejut pulak.
"Erk...erk..." Erina mati kata. Dia memandang Megat Emir tajam.
"Ehh Aida..awak ni takda kerja ke? Pergi tempat awak sekarang." Megat Emir mencerlung memandang Aida. Dia cuba mengawal keadaan sebelum bermacam-macam lagi soalan yang akan Aida bertanya kepada Erina.
"Baik Bos!" Aida segera meninggalkan Megat Emir dan Erina apabila melihat renungan tajam majikannya itu.
"Ok sayang, tugasan pertama sayang hari ni... masuk bilik abang sekarang untuk sesi taklimat peribadi," Arah Megat Emir dengan nada suara yang sengaja dikawal tegas, namun kenyitan matanya di akhir ayat membongkar helah sebenarnya.
Erina hanya mampu menggelengkan kepala melihat layanan suaminya yang tetap tidak berubah. Sentiasa mencari peluang untuk menggoda dan menyakat dirinya.
------------------------
Erina sedang tekun menyemak jadual harian Megat Emir di mejanya. Walaupun statusnya sudah sah sebagai isteri kepada pemilik syarikat itu, tetapi Erina tetap mahu bersikap profesional di tempat kerja.
Tiba-tiba, interkom di mejanya berbunyi.
"Erina, masuk bilik saya sekarang. Bawa fail laporan audit bulan lepas yang saya minta dapatkan daripada Khalisa tadi tu." Arah suara garau Megat Emir dari corong interkom. Nadanya kedengaran sangat formal dan tegas, seperti bos yang sedang serius.
"Baik, Bos. Saya masuk sekarang." Balas Erina profesional.
Erina segera mencapai fail yang diminta, membetulkan sedikit baju kurungnya lalu melangkah ke arah pintu bilik CEO. Selepas mengetuk pintu dua kali, dia memulas tombol dan melangkah masuk.
Megat Emir sedang duduk di kerusi eksekutifnya, kelihatan sangat segak dengan kemeja hitam yang dilipat sedikit hingga ke siku dan tali leher yang kemas. Matanya tajam memandang skrin komputer riba.
"Ini fail yang bos minta." Kata Erina sambil meletakkan fail tersebut di atas meja kerja Megat Emir. Dia berdiri tegak, sedia untuk menerima arahan seterusnya.
Namun Megat Emir tidak menyentuh fail itu. Sebaliknya, dia menutup komputer ribanya perlahan-lahan. Seulas senyuman senget yang sangat dikenali Erina mula terukir di bibir kacak itu. Aura bos yang tegas tadi serta-merta hilang, digantikan dengan pesona seorang suami yang penuh helah.
Megat Emir bangun dari kerusinya, lalu berjalan mengelilingi meja kerja tersebut dan berhenti betul-betul di hadapan Erina.
"Tuan Emir?" Erina mula rasa tidak sedap hati apabila melihat pandangan mata Megat Emir yang mula meredup. "Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?"
Tanpa amaran, Megat Emir memegang pergelangan tangan Erina lalu menarik lembut tubuh kecil itu rapat ke dadanya. Sebelah lagi tangan Megat Emir pantas melingkar di pinggang Erina, mengunci pergerakan isterinya.
"Abang... apa ni? Kita dekat pejabatlah! Kalau ada pekerja lain masuk macam mana?" Bisik Erina cemas, matanya melilau memandang ke arah pintu bilik yang tertutup rapat. Mukanya sudah mula berbahang merah.
"Pintu tu dah dikunci secara automatik dari dalam, sayang," Bisik Megat Emir rapat di telinga Erina, membuatkan bulu roma Erina meremang halus.
"Lagipun, abang rindu dekat secretary abang ni. Pagi tadi pergi pejabat asing-asing, abang rasa macam setahun tak jumpa. Tiga minggu sayang cuti, bilik ni rasa sunyi sangat. Abang buat kerja pun tak ada semangat." Bisik Megat Emir dengan nada suara yang sangat rendah, serak dan penuh dengan getaran godaan seorang suami. Erina tersenyum manis dalam diam.
"Abang ni... mengadalah. Kan baru tadi sarapan sekali dekat rumah. Sekarang ni saya dah ada dekat depan mata ni. Hari-hari saya akan ada dekat pejabat lepas ni." Erina cuba menolak dada bidang Megat Emir namun layanannya yang hangat itu membuatkan jantung Erina berdegup sangat kencang. Sifat romantik dan manja Megat Emir akhir-akhir ini sentiasa berjaya mencairkan ketegasannya.
Megat Emir ketawa kecil. Bunyi tawa yang sangat seksi. Dia menundukkan sedikit wajahnya, menatap wajah polos Erina yang sedang tersipu malu. Dia mengangkat tangan, lalu mencuit lembut hidung comel isterinya.
"Dekat rumah, Rina isteri abang. Dekat pejabat, Rina tetap secretary abang yang paling cantik. Jadi, bos punyai hak untuk minta reward daripada pekerja dia, kan?" Usik Megat Emir lagi lalu sengaja mengenyitkan matanya.
"Reward apa pula ni? Selalunya kan bos yang bagi reward dekat staff tapi ni terbalik pulak. " Tanya Erina dengan dahi berkerut-kerut.
"Teman abang makan tengah hari ni. Tapi... dekat bilik rehat abang kat dalam tu. Abang dah minta Haziq tolong belikan makanan untuk kita so sayang tak payah sibuk-sibuk nak belikan makanan nanti ye." Kata Megat Emir lembut. Dia merenggangkan sedikit pelukannya, memberi ruang untuk Erina bernafas.
Megat Emir meletakkan kedua-dua belah tangannya di pinggang Erina kembali kemudian merenung tepat ke dalam anak mata isterinya dengan pandangan yang sangat redup, dalam dan penuh kasih sayang.
Layanan Megat Emir yang sentiasa penuh dengan kejutan romantik dan perhatian kecil begitu benar-benar membuatkan Erina berasa amat dihargai dan semakin hari semakin tergoda dengan pesona suaminya itu.
"Tuan Emir kena lepaskan saya sekarang sebab saya nak kena buatkan kopi untuk bos saya ni." Pinta Erina. Megat Emir tersenyum manis, lalu menundukkan wajahnya dan melabuhkan satu kucupan yang sangat lama dan hangat di dahi Erina.
"Kopi tu boleh tunggu, sayang... tapi pelukan selamat kembali ni tak boleh tunggu." Bisik Megat Emir penuh syahdu sebelum menarik Erina ke dalam pelukan yang lebih erat, mengunci seluruh pagi mereka dengan kehangatan cinta yang suci dan halal di dalam bilik pejabat tersebut.
Share this novel