Series
14692
Suasana di pejabat Mahkota Development mula lengang apabila jam menunjukkan angka 5:30 petang. Erina mengemas meja kerjanya dengan tenang.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik CEO. Megat Emir sedang meneliti beberapa dokumen terakhir, namun pandangannya terus beralih lembut sebaik sahaja melihat Erina mendekati mejanya.
"Abang..." panggil Erina, nadanya kedengaran sedikit berat dan penuh pengharapan.
"Ya, sayang? Ada apa-apa yang tak kena ke? Sayang tak sihat ke?" Megat Emir lantas meletakkan pennya, fokus sepenuhnya kepada isterinya.
Erina menggeleng perlahan sambil tersenyum nipis. "Tak, Rina okey. Cuma... Rina nak minta izin abang. Selepas balik kerja ni, Rina ingat nak singgah ke rumah arwah ayah dan umi. Dah lama Rina tak balik jenguk rumah tu sejak semua kekecohan ni berlaku. Kalau boleh... malam ni Rina rasa nak tidur di sana. Rasa rindu sangat pada arwah ayah dan umi."
Megat Emir terdiam sejenak. Jelas terpancar riak risau pada wajahnya kerana Melisa dan Dato' Farid masih belum berada di dalam tahanan polis. Naluri pelindungnya terhadap Erina terlalu tinggi.
"Rina nak pergi seorang diri?" Soal Megat Emir, nadanya sarat dengan kerisauan.
Erina merapati Megat Emir, memegang dan mengusap lembut tangan suaminya. "Abang, Rina okey je. Rina janji takkan bawa motor malam ni. Rina drive sendiri ke sana nanti. Abang jangan risau, ya? Kita jumpa di sana malam nanti. Abang datanglah lepas settle kerja abang di ofis."
Melihat mata Erina yang bersinar dengan rasa rindu kepada arwah ayah dan uminya, Megat Emir akhirnya mengalah. Dia mengeluh lembut lalu mengucup dahi Erina dengan penuh kasih sayang.
"Baiklah, abang izinkan. Tapi dengan satu syarat. Abang akan minta Pak Mat yang akan hantarkan sayang sampai ke depan pintu rumah. Abang tak nak Rina drive sendiri atau naik kenderaan awam seorang diri buat masa ni. Abang dah minta Amar tolong aktifkan semula sistem penggera rumah arwah ayah tu dari jauh. " Kata Megat Emir tegas, tidak mahu bertolak ansur tentang keselamatan.
Erina tersenyum lega. "Terima kasih, Abang . Rina gerak dulu, ya? Jumpa abang malam nanti tau."
"Hati-hati, sayang. Selesai saja urusan abang dengan lembaga pengarah malam ni, abang akan terus pecut ke sana. I love you." Bisik Megat Emir lalu mencium dahi Erina sebelum melepaskannya pergi.
Erina tersenyum lega. Dia melangkah keluar, langsung tidak menyedari bahawa di luar sana, bahaya yang paling besar sedang menantinya.
--------------------------
Sementara itu, di satu sudut di banglo mewah Syed Rizal, keadaan Melisa sudah tidak ubah seperti orang dirasuk syaitan. Bunyi siren polis yang sayup-sayup kedengaran dari arah banglo Syed Rizal membuatkan dia tahu dia kini menjadi buruan polis. Beg pakaian yang separuh siap dicampakkannya ke lantai. Wajahnya di cermin nampak pucat, comot dengan air mata dan maskara yang luntur.
Sakit hati dan dendam mengatasi rasa takutnya pada undang-undang. Di fikirannya, hanya ada satu nama yang menjadi punca segala kehancurannya.
"Erina... Semua ni sebab kau! Kalau kau tak muncul, Emir mesti sayangkan aku lagi! Kalau bukan sebab kau juga mesti Rizal takkan ceraikan aku!" jerit Melisa histeria.
Melisa berjaya melarikan diri melalui pintu belakang sebelum pihak polis mengepung banglo suaminya. Menggunakan sebuah kereta SUV hitam milik orang suruhannya, Melisa memecut laju ke jalan raya. Melalui orang suruhannya itu juga dia sudah ketahui ke mana jejak Erina selepas ini.
"Kau nak balik rumah arwah orang tua kau, kan? Bagus... jalan tu sunyi. Malam ni akan jadi malam terakhir kau bernafas, Erina!" Melisa ketawa mengilai, menekan pedal minyak sedalam-dalamnya. Dia bertekad untuk membunuh Erina sebelum dirinya sendiri ditangkap polis.
Jalan menuju ke rumah arwah keluarga Erina dikelilingi oleh barisan pokok-pokok besar dan sangat kurang pencahayaan. Kereta mewah Mahkota Development yang dipandu oleh Pak Mat bergerak tenang membelah kepekatan malam. Erina di tempat duduk belakang hanya termenung memandang ke luar jendela, memikirkan kenangan silam. Tiba-tiba...
BAMMM!
Satu hentaman yang sangat kuat dari arah belakang menyebabkan kereta mereka terdorong ke hadapan. Pak Mat tersentak, cuba mengawal stereng.
"Puan! Ada kereta rempuh kita dari belakang!" Jerit Pak Mat cemas.
Melisa yang memandu SUV hitam langsung tidak memasang lampu hadapan. Dia mengundur sedikit, lalu menekan pedal minyak semula dan merempuh bahagian tepi kereta yang dinaiki oleh Erina dengan secara agresif. Dia seperti dirasuk kerana cuba menekan pedal minyak berkali-kali hingga rempuhan itu meremukkan kereta mereka.
BAMMM! PRANKKK!
Cermin tingkap pecah berderai. Kereta yang dinaiki Erina berpusing dua kali sebelum terbabas melanggar sebatang pokok besar di tepi jalan tersebut. Bahagian hadapan kereta berasap tebal. Pak Mat terhantuk pada stereng dan mulai tidak sedarkan diri.
Erina yang mengalami luka di dahi dan kesakitan pada bahunya, sedar dia perlu bertindak sesuatu. Dia merangkak keluar dari pintu penumpang yang kemek. Sebaik sahaja kakinya mencecah tanah, lampu suluh tinggi dari SUV hitam itu menyilaukan pandangannya.
Melisa keluar dari kenderaan tersebut. Di tangannya, terdapat sebilah pisau pemotong daging yang berkilat tajam di bawah cahaya lampu.
"Erina! Sekarang ni, kau dengan aku dan aku akan pastikan kau mati malam ni juga!" Jerit Melisa dengan wajah yang penuh dengan kegilaan dan dendam yang membuak-buak.
Lampu suluh tinggi daripada SUV hitam milik Melisa menyilaukan pandangan Erina. Dalam kesamaran malam, Melisa meluru laju dengan wajah yang bengis, sebilah pisau pemotong daging terangkat tinggi di tangannya.
"Mati kau, Erina! Mati!" jerit Melisa bagai dirasuk syaitan.
Erina yang mengalami kecederaan di dahi dan bahu akibat impak rempuhan tadi tahu dia tidak boleh mengalah. Jiwa sebagai seorang gadis lasak bangkit dalam dirinya. Saat mata pisau Melisa menghayun ke arah dadanya, Erina dengan pantas mengelak ke kanan.
ZASS!
Mata pisau itu tersasar, hanya menghiris angin. Melisa yang hilang imbangan cuba berpusing untuk menyerang lagi, namun Erina lebih cepat bertindak. Menggunakan baki tenaga pada kaki kanannya, Erina melepaskan satu tendangan padu tepat pada perut Melisa.
"Argh!" Melisa mengerang kesakitan, terundur beberapa tapak ke belakang namun cengkamannya pada hulu pisau masih belum terlepas. Sakit hati dan kegilaannya mengatasi rasa sakit fizikal.
Melisa kembali menyerang dengan lebih agresif, menghayun pisau itu secara membabi buta. Erina terpaksa berundur sambil menangkis setiap serangan menggunakan beg tangan kulit tebalnya sebagai perisai sementara.
KREKKK!
Beg tangan Erina koyak akibat terkena hantaran pisau. Dalam satu saat Erina tergelincir pada tanah merah yang licin, Melisa terus menerkam dan menindih tubuh Erina ke tanah. Mata pisau tajam itu kini berada hanya beberapa inci daripada leher Erina!
"Kau rampas Emir dari aku! Kau juga menyebabkan Rizal ceraikan aku. Kau patut mampus!" Melisa menekan pisau itu ke bawah dengan seluruh baki tenaganya.
Erina menggunakan kedua-dua belah tangannya dengan menahan pergelangan tangan Melisa daripada terus rapat ke lehernya. Darah dari luka di dahi Erina mula mengalir masuk ke sudut matanya, mengaburkan pandangan. Tenaga Erina semakin menyusut.
Saat Erina merasakan dia tidak lagi mampu bertahan, satu deruman enjin kereta mewah kedengaran memecah kesunyian malam dari arah belakang, disusuli dengan bunyi siren polis yang bingit.
VROOOM! SCREECHHH!
Kereta Megat Emir membrek kecemasan kemudiann melakukan pusingan tajam tepat di belakang SUV Melisa. Megat Emir melompat keluar dari kenderaan sebaik sahaja kereta berhenti sepenuhnya. Wajahnya yang merah padam mempamerkan satu kemarahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini.
"MELISA!" Tengking Megat Emir sekuat hati.
Mendengar suara Megat Emir, tumpuan Melisa teralih seketika. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Erina untuk menyepak kuat pinggang Melisa sehingga wanita itu tersungkur ke tepi.
Megat Emir terus menerkam ke arah Melisa, dengan pantas memijak pergelangan tangan wanita itu sehingga pisau pemotong daging tersebut terlepas daripada pegangan dan tercampak jauh ke dalam semak. Megat Emir kemudian mengunci pergerakan Melisa di atas tanah dengan kasar.
"Kau sentuh isteri aku, kau tamat, Melisa!" suara Megat Emir bergetar hebat menahan amarah yang membara.
Beberapa orang anggota polis yang baru tiba terus meluru, mengambil alih tugasan dan menggari tangan Melisa dengan kemas. Melisa yang sudah tidak bermaya hanya mampu meraung dan mengilai bagai orang gila di bawah limpahan lampu biru polis.
Megat Emir berpaling dan terus melutut di hadapan Erina. Tanpa mempedulikan baju kemeja putihnya yang mula kotor terkena tanah merah dan darah Erina, Megat Emir menarik Erina ke dalam pelukannya dengan sangat erat. Tubuh Megat Emir menggigil hebat kerana ketakutan hampir kehilangan wanita yang amat dicintainya.
"Erina... maafkan abang. Abang lambat. Abang lambat, sayang." Bisik Emir berulang kali, mengucup dahi Erina yang luka dengan penuh rasa hiba.
Erina menyandarkan kepalanya pada dada bidang Emir, mendengar degupan jantung suaminya yang kencang. Setitik air mata kesyukuran jatuh ke pipinya.
"Abang, Rina okey... Rina betul-betul mengharapkan abang akan datang dan akhirnya abang datang juga. Terima kasih abang. " Tutur Erina perlahan sebelum matanya mula layu dan dia pengsan di dalam dakapan Megat Emir akibat keletihan yang melampau.
Share this novel
Salam Eira.. Bila ada sambungan.. Tertunggu2 Macih