Cawan yang berwarna silver berisi kopi 3in1 jenama Aik Cheong kegemarannya diletakkan sebelah kanannya. Anderson duduk menjulur kaki melepaskan rasa penatnya. Tuala kecil berwarna putih bertulisan good morning yang setia atas bahu kanannya segera diangkat lalu dilapnya dahi dan leher yang berpeluh.
Kerja yang biasa dia lakukan, penat yang sama juga rasakan. Itulah kerja hakikinya. Membela dua jenis binatang, menjaga pokok berbuah dan menanam sayur di kebun yang diwariskan kepadanya.
Berapa puluh ekor ayam dan itik dibela akan dijual pada musim perayaan. Telur dari kedua binatang itu, jika tak dibiarkan menetas, dia jadikan telur masin. Jika tak, diberikan kepada jiran-jiran atau sesiapa saja warga kampung yang sering lepak di gerai Bacong.
Tidak jauh dari reban ayam dan itik yang menarik perhatiannya tadi, Anderson fokus pula pandangannya pada satu kolam bersaiz agak besar yang berisi pelbagai jenis ikan menjadi tempat berkumpulnya anak-anak dari bandar jika musim cuti sekolah. Waktu itulah kebun Anderson menjadi liuh rendah dengan suara ketawa. Musim cuti sekolah yang begitu dia nantikan. Ada saja jeritan memanggil untuk meminta kebenaran memancing di kolam tersebut.
Selesai fokusnya pada kolam, bebola mata Anderson kini menuju ke sebelah kanan, Anderson tersenyum. Batasan sayur kacang panjang, bendi, terung ungu, sawi dan kailan, jagung, pokok cili, pokok ubi dan pokok limau yang lebat. Semua yang ada disitu cukup menyenang dirinya yang cuma tahu mengunakan motosikal. Tak perlu dia bersusah payah menungang motosikal selama 25 minit untuk membeli makanan harian.
Begitu juga bila tibanya musim buah-buahan, tak perlu dia mengeluarkan duit untuk membeli dengan orang. Semuanya sudah ada di kebun itu. Pokok-pokok yang sihat menunggu musim untuk berbuah itulah hasil dari tiap hari datuk dan neneknya ke kebun dulu. Pokok durian, rambutan, mangis, buah kristal, mangga, manggis, cempedak, belimbing, nangka dan beberapa jenis lagi yang dia terlebih puas makan. Begitu juga, hasilnya sering diberikan kepada jiran dan orang kampung.
Pak!
Sedap-sedap Anderson mengelamun, sedap juga nyamuk mengambil kesempatan. Pukulan pada dahinya tadi tak mengena membuatkan Anderson mengipas tuala kecilnya untuk menghalau nyamuk tersebut. Masih kedengaran bunyi nyamuk tadi berdengung di telinganya. Gembiralah itu dirinya masih hidup.
Kopi kegemarannya tadi dihirup. Kesedapan kopi, udara menghembus lembut dan bunyian ayam itik memberinya ketenangan. Anderson tersenyum sinis. Sayang sekali pemandangan dan ketenangan itu tiada siapa dengannya berkongsi. Alangkah indahnya jika dia ada pasangan. Ada juga orang disebelahnya dengannya berbual saat itu.
"Nanti Eson dah besar, carilah pasangan sama macam nenek."
Terngiang-ngiang suara itu tiap kali dia menyoal dirinya kenapa masih membujang. Dimana pula dia hendak cari wanita seakan neneknya? Rajin di dapur, rajin juga mencari rezeki di kebun dan hutan. Tiap kali musim perayaan, tak sah jika tiada kek lapis dan biskut hasil tangan nenek dihidang atas meja untuk tetamu.
Rambut yang dah panjang hingga jatuh di dahi terus disikat guna jemarinya sambil Anderson menghela nafas kecewa. Dalam banyak-banyak hasrat kedua arwah datuk neneknya, cuma itu sajalah yang belum mampu dia tunaikan.
Sekali lagi Anderson menghela nafas yang agak dalam. Kali ini agak panjang. Kecewa dan geram dengan berita yang baru diterimanya semalam. Perangai Denzel yang langsung dia tak dijangka. Anderson mengetap bibir.
'Ah! lantaklah!' Marah Anderson dalam hati. Geram tapi dalam masa yang sama dia antara dua. Dia sayangkan kedua mereka. Denzel sering ada bersamanya dari tadika lagi. Saat dia menangisi dirinya tinggal sebatang kara, bahu Denzellah tempat dia menopang tangis.
"Son! Son!"
Anderson menepuk dahi. Panjang umur lelaki yang bermain dalam fikirannya tadi. Pantang diseru pasti muncul. Anderson hanya memandang tanpa reaksi. Kedengaran bunyi selipar Denzel menyepak dedaun kering. Dengan sengihan menampakkan gigi, Denzel muncul dari belakang pondok.
"Jom BBQ." Denzel mengangkat plastik di tangan kanannya. Plastik putih itu terus diletakkan atas lantai kayu pondok tempat Anderson berehat.
"Ikan sardin, ayam..." Denzel mengeluarkan satu persatu.
"Uish cun juga ni. Awak siapkan dua tu, garam aji semua ada dekat sana. Nanti saya pergi ambil sayuran dan jagung." Anderson pantas berdiri menyarung kasut bot getah kuning atau lebih dikenali dengan nama kasut Pua Chu Kang. Plastik yang diselit dicelah-celah dinding berlubang pondok itu juga ditarik.
Denzel memasuki pondok kayu itu sambil bernyanyi. Anderson yang dah beberapa langkah tadi sempat berhenti dan berpusing ke belakang untuk memastikan jika benar itu Denzel ataupun tidak.
Ketawa kecil Anderson mendengar suara sumbang Denzel yang bersahutan dengan bunyian ayam dan itik.
"Ada-ada saja kau ni Zel." gumam Anderson mengeleng kepala. Beberapa tongkol jagung dipetik dari pokoknya lalu dimasukkan ke dalam plastik.
Langkahnya dibawa pula menuju ke pokok cili, laju tanganya memetik beberapa biji dan lokasi seterusnya dia memetik pula pucuk muda daun ubi. Mulalah dirinya terliur bila dah terbayang akan ulam daun ubi bersama sambal tempoyak.
"Son! Macam mana nak buat api?" Denzel menjerit. Sudah seluruh pondok itu dia mencari mancis kegunaan Anderson untuk membuat api. Di dapur kayu api tiada, di tempat bekas Anderson memangang juga tiada.
Denzel mencekak pinggang. Menunggu dengan geram Anderson yang menjinjit satu plastik besar berisi pelbagai sayuran.
"Lah.. kenapa tak pakai guni je tadi?" Usik Denzel. Anderson cuma membalas dengan ketawa.
"Manalah mancisnya? Bila ayam pangang kita ni siap nanti." Soal Denzel balik.
"Itu?" Tunjuk Anderson.
Besar mata Denzel memandang ke arah yang ditunjuk Anderson.
"Apa barang pakai mancis? Ingat ni zaman pakai telefon Nokia 3310 kah?" Usik Anderson sambil memberikan penyempur api gas butane kepada Denzel.
"Saya taulah benda ni wujud tapi saya tak sangka dekat kebun pun pakai benda macam ni." Sempat lagi Denzel ketawa sambil memusing suis api yang berbentuk bulat lalu keluarlah api dari nozelnya.
"Kebun ni kebun teknologi. Nah dengar.." Anderson mamasuki pondok.
Tok! Tok! Tok!
Denzel mencari arah suara speaker yang berbunyi itu. Anderson keluar membawa mikrofon.
"Jam empat masuk kandang!"
Berdekah Denzel ketawa. Memang selalu dia tonton konten video Anderson di Fac tapi sangkaannya, suara itu yang dimasukkan Anderson ke dalam video semasa editan.
"Selama ni saya ingatkan panggilan tu cuma dibuat untuk video, rupanya original kamu panggil mikrofon." Merah muka Denzel melepaskan ketawanya.
Anderson tersenyum bangga. "Sana satu, sana satu dan last dekat sana. Kadang-kadang kalau bosan, pasang lagu kuat-kuat connect dengan bluetooth saja."
Denzel menepuk bahu. Dia memang percayakan bakat kreatif sahabatnya itu.
Share this novel