Bab 81

Romance Completed 16155

Hayyani berjalan mundar mandir di dalam bilik tidur itu. Hanya keluhan yang keluar dari celah bibirnya sedari tadi. Oleh kerana majlis tahlil diadakan di rumah mertuanya, jadi mereka akan bermalam di situ.

Terpampang riak kerisauan di wajahnya menanti kepulangan Elhan. Dia mendail nombor Elhan untuk yang kesekian kali, namun hanya suara operator saja yang menyambut. Hati tertanya sendiri ke manakah Elhan menghilangkan diri tanpa berpesan apa-apa ketika majlis berakhir tadi. Sekarang, jam sudah menunjukkan jam tiga pagi. Ke mana Elhan pergi ni?

Telefon bimbitnya diketuk-ketuk pada dahi. Fikir Daneen, fikir! Tiba-tiba, satu idea muncul di benaknya. Lebih baik dia menelefon Arif memandangkan itulah orang terakhir yang dilihatnya bercakap kali dengan Elhan.

Sedang dia menanti panggilan disambut, daun pintu terkuak dari luar. Terpacul wajah Elhan yang sugul dan muram. Hayyani melepas nafas lega. Lekas dia mendapatkan Elhan.

" Abang... abang pergi mana. Dari tadi Daneen cari tapi abang tak ada. Abang pergi mana tadi sampai pukul 3 pagi baru balik? Abang tahu tak Daneen risau," omel Hayyani senafas. Surut kebimbangan di hatinya melihat Elhan di depan mata.

Elhan tersenyum kecil. Kepala Hayyani diusap perlahan sebelum dia duduk di birai katil. Hayyani turut melabuhkan punggung di sebelah sang suami. Sungguh, kelakuan Elhan kelihatan pelik.

" Abang letih sangat sayang. Boleh tak abang nak baring atas pangku sayang kejap." Tanpa menanti jawapan si isteri, Elhan berbaring selesa di pangkuan Hayyani.

" Tapi abang...."

" Sekejap aje sayang. " Elhan memejam mata rapat dan meletakkan tangan di atas dahinya. Sikap tenang cuba dipamerkan kepada Hayyani walaupun ada jutaan sembilu yang sedang melapah pedih hatinya.

Akhirnya, Hayyani membiarkan saja Elhan berbaring di pangkuannya. Rambut kusut suaminya dibelai-belai.

" Tadi Arif datang. Dia kata nak jumpa abang. Abang dah jumpa dia tadi? " tanya Hayyani sekadar mengajak berbual.

" Hmm.... " Mata Elhan masih terpejam. Tangannya turut disilangkan. Sungguh tenteram jiwanya apabila berada di sisi Hayyani.

Tercebik bibir Hayyani apabila Elhan menjawab sambalewa. Namun, senyuman tetap diukirkan demi suami yang dikasihi.

" Abang ada masalah dengan Arif ke? Arif pun dah tak sama macam dulu. Macam sugul aje Daneen tengok," kata Hayyani lagi. Dia faham semua orang bersedih tentang kematian Aisyah. Namun, air muka Arif seperti menyimpan sesuatu keperitan yang lain.

" Biasalah. Manusia tak sentiasa bahagia. "

Mudah saja jawapan Elhan. Seboleh mungkin cuba menutup rasa hati. Dia enggan mendedahkan identiti pengirim surat yang hampir membejatkan ikatan cinta mereka dulu. Pasti sukar untuk Hayyani terima bahawa motif Arif mengirim surat itu adalah kerana cemburukan Jasmine yang mencintainya. Biarlah sengketa antara dia dan Arif menjadi rahsia antara mereka saja.

" Abang kalau ada masalah dengan kawan-kawan lebih baik selesaikan cepat. Takut nanti bila dah bergaduh nak berbaik semula pun susah. Padahal, bergaduh kecil aje pun tapi nak bertegur balik pun boleh jadi kekok," nasihat Hayyani.

" Abang? Abang dengar tak? " Pipi Elhan ditepuk lembut. Dah tidur ke? Desisnya dalam hati.

Namun, mutiara jernih yang terbit di celah pelupuk mata itu mencemaskan Hayyani.

" Abang okey tak ni? Daneen ada sakitkan hati abang ke? "

Tangan kanan Hayyani yang sedang mengusap wajahnya digenggam erat. Jemari runcing itu dicium kejap lalu dibawa ke dalam pelukan. Elhan bersyukur memiliki Hayyani, pengubat di saat dia berasa sungguh lemah. Mengharungi dugaan dan kenyataan yang menyimbah asid pada batinnya.

" Abang rindukan Aisyah. Abang terlalu rindu. Aisyah budak baik. Dia sukakan semua orang dalam hidup dia. Tak pernah sekalipun dia meragam atau susahkan abang. Senang aje jaga dia. Nampaknya, lepas ni abang kena biasakan diri untuk berhenti buat apa yang abang biasa buat, " luah Elhan lirih dan terhiris. Janji yang pernah dimeterai bersama Louisa untuk menjaga Aisyah dahulu tidak kesampaian. Sampai di sini saja perjalanan mereka.

Air mata yang seakan tidak henti mengalir di pipi bagai titis hujan itu, menyayat hati Hayyani. Inilah buat ulung kalinya dia melihat Elhan dalam keadaan yang begitu sedih dan tidak berdaya. Elhan sangat menyayangi Aisyah. Pastinya perpisahan ini tidak mudah bagi suaminya itu.

Sebelah lagi tangan Hayyani bertindak menyapu wajah Elhan yang kebasahan. Kemudian, dia meletakkan telapak tangannya pada dada Elhan.

" Dalam hati ni, abang mesti ikhlas untuk terima takdir Allah. Tak ada siapa yang kata bersedih tu salah. Tapi lepastu, abang kena teruskan hidup sebagai orang yang lebih kuat. Apa pun, hidup tetap kena teruskan hidup. Yang dah pergi, serahkan aje dalam jagaan Allah. Daneen percaya, Aisyah dah jumpa dengan ibu dia sekarang, " ungkap Hayyani lemah lembut. Dia tahu Elhan sangat perlukan kata pujukan begitu. Sekurang-kurangnya demi melepaskan kesedihan yang mencengkam jiwa.

Terlukis sebaris senyuman di wajah Elhan. Akhirnya, dia membuka mata dan memandang wajah senyum Hayyani. Beberapa saat pandangan mereka bertarung menyisipkan ketenangan di dalam hati satu sama lain.

Perlahan-lahan, wajah Hayyani diusap lembut. Sinar dalam matanya dipenuhi seribu satu maksud yang sukar ditafsirkan. Namun, Hayyani tetap menyelesakan diri dibelai sang suami.

" Sayang janji dengan abang, kita stay macam ni sampai bila-bila. "

Wajah kasihan Elhan menumpahkan simpati dalam diri Hayyani. Akan dia berikan segala yang Elhan hajati. Mencintai dan setia menemani Elhan andai itulah yang dimahukannya. Dia tidak teragak-agak untuk mengangguk.

" Daneen janji dengan abang. "

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience