Selepas semalaman Elhan tidak pulang ke rumah, hati Hayyani terus dilanda keresahan yang tidak berpenghujung. Lantaran itu, tidurnya langsung tiada lena. Hendak berbuat apa pun serba tidak kena. Jadi hari ini dia memutuskan untuk mencari Elhan demi menyelamatkan hubungan mereka.
Sudah bermacam-macam tempat dia tuju bersama Muna yang setia menemani. Tanpa lelah dan bersabar demi membuktikan kasihnya sebagai seorang sahabat. Syukur Hayyani masih memiliki Muna walaupun Hanan sudah membencinya. Namun, nak tak nak haruslah dia tebalkan muka bertemu Hanan untuk bertanya kalau-kalau Elhan ada.
" Kau jangan cari abang aku dekat sini. Dia tak ada. Korang faham bahasa melayu ke tidak?" sinis dan angkuh sekali bahasa yang dituturkan oleh Hanan kepada Muna dan Hayyani yang datang bertemunya.
" Hanan, sampai bila kau nak hukum Daneen macam ni? Sudah-sudahlah. Dia dah mengaku semuanya. Lagipun itu semua masa silam dia, " lantang suara Muna membela Hayyani. Panas juga hatinya saat ini rasa seperti dibakar dalam lurang api. Orang datang bertanya dengan baik tapi dilayan bagai peminta sedekah saja.
Hanan tertawa sinis. Berpeluk tubuh tanda lebih dominan di hadapan dua orang temannya itu.
" Masa silam? Habistu, kenapa lelaki tu masih cari dia? Kenapa dia layan abang aku berbeza kalau dia dah takde hati dekat lelaki tu? Macam mana aku nak percaya kalau perbuatan dia bercanggah dengan kata-kata dia sendiri," kata Hanan yang nyata puas memuntahkan kata-katanya. Menyesal sungguh dia memujuk Elhan meminang Hayyani dulu kalau dia tahu lebih awal ini akan terjadi. Fikir pun sudah bikin sakit hati ini pula melihat orangnya di depan mata.
" Bukan Daneen yang cari dia, dia yang cari Daneen semula," betah Muna tak berpuas hati.
Hayyani kelu tak dapat berkata apa-apa. Wajahnya tertunduk ke lantai, menanggung duka. Dia tahu dia bersalah dalam hal ini dan dia tidak berhak untuk membela diri. Namun, tidak semua dari dakwaan Hanan itu benar. Hendak dia nafikan namun lidahnya keras.
" Argh! Samalah tu. Kalau dia tahu cinta dia untuk Elhan saja, perasaan dia takkan goyah walaupun lelaki tu datang balik," bidas Hanan sedas. Hatinya kini sarat dengan benci dan kecewa. Tidak pernah dia hitung dalam kalendar harinya bahawa Hayyani tergamak menyakiti abangnya begitu.
Muna semakin hilang sabar. Dia menarik dan menghembus nafas sebelum dapat merenung wajah bengis Hanan di depan mereka.
" Cuba letakkan diri kau di tempat Daneen sekejap. Aku yakin kau pun macam dia. Takkan semudah-mudahnya nak melupakan lelaki yang dah bagi makna mendalam dalam hidup kau. Aku yakin mustahil. Daneen baru aje nak belajar hidup dengan Elhan tapi masa silam dia datang mengocak semua ketenangan dia. Kau tak boleh nak terus hukum Daneen macam ni. "
" Kau diam Muna! Engkau dari dulu lagi tak habis-habis nak back up dia. Kalau kau tahu benda ni akan menjadi masalah kenapa mulut kau tu celopar sangat sampai boleh terlepas cakap pasal ni. Tapi baguslah jugak kan, kalau tak sampai bila-bila aku diperbodohkan korang berdua. Cermin diri kau sikit Muna, sebab mulut kau yang kepoci sangat tu takde lelaki pun yang nak kat kau, kau tahu! " selar Hanan kuat. Berombak dadanya melambungkan keganasan amarah yang kian bergejolak. Lurus jarinya naik menuding wajah Muna yang terlihat amat terkesima dan terkesan dengan kata-kata itu.
Menggigil seluruh tubuh Muna menahan marah. Dapat dia rasakan air hangat yang mengalir di pipi dek rasa kecewa yang tumbuh di dasar hatinya atas kata-kata yang keluar dari mulut seorang sahabat. Pedih dan terhina rasanya. Namun, pada saat itu juga dia dapat merasakan tangan Hayyani menggenggam tangannya menyalurkan kekuatan, menyuruhnya bersabar.
Hayyani mula mencerlungkan pandangan tajam pada Hanan. Muna bukan seseorang yang mudah menangis tapi kalau benar temannya itu menitiskan air mata, pasti kata-kata Hanan amat melukai perasaannya. Dia tidak boleh bersabar atas penghinaan ini.
" Hanan cukup! Jangan hina Muna atas salah yang aku dah buat. Aku mengaku semua ni berpunca dari aku. Jangan kau libatkan Muna sebab dia tak bersalah. " Hayyani membela Muna.
Hanan mendecit. " Sorokkan perbuatan laknat kau tak bersalah? Don't be so sure about it. "
" Kau siapa? Kau Tuhan ke nak melaknat orang, hah?! " Muna semakin hilang sabar ketika dia membidas kenyataan Hanan. Nasib baik ada Hayyani yang cuba menahan tubuhnya. Kalau tidak entah apa yang bakal dilakukannya kepada Hanan pun dia tak tahu.
" Curang tu bukan benda laknat ke? "
Tiada langsung Hanan memberi riak wajah bersalah tentang keterlanjuran katanya tadi. Tergamak membuat seorang sahabat memerah air mata duka. Namun bagi Hayyani dia tetap cuba menjadi rasional dan bersabar dalam hal ini. Sabarnya masih bersisa buat seseorang yang dia hormati selayaknya seorang sahabat dan adik ipar itu.
" Abang kau dah tahu tentang ni. Dia dah tahu segalanya tentang aku dan lelaki tu." Hayyani cuba mengatur kata selepas beberapa ketika.
Hanan terdiam. Barangkali terkejut dengan pemberitahuan itu.
" Ya, dia pun kecewa dengan aku macam yang aku jangka. Dan aku dah buat keputusan, kalau abang kau dah tak nak aku, aku akan pergi dari hidup dia dan hidup kau sekalipun kalau itu yang boleh meredakan kemarahan kau. Aku cuba tinggalkan kisah silam aku dan aku mengharapkan bantuan dan sokongan kau sebab aku fikir kita dah macam adik beradik, Hanan. Kita kongsi semua masalah dan aku fikir kau lebih memahami aku daripada sesiapa, tapi aku silap. Kau pandang aku penuh benci, seolah kita tak pernah kenal pun Hanan. Ketika aku sedang bergelut dengan masalah ni, aku ingat kau akan gapai tangan aku tapi rupa-rupanya kau lepaskan, " lirih suara Hayyani saat dia menguntai kata.
Hayyani menangis teresak-esak sehingga sendi kakinya terasa lemah untuk berdiri kuat. Dia melutut lemah di jalan. Muna dan Hanan menjadi saksi betapa raungan yang kedengaran itu sungguh memilukan. Sedar dirinya bersalah besar dalam hal ini sehingga dia hampir kehilangan seorang sahabat dan juga suami. Namun, apakah salahnya ini harus dilayan bagai pendosa yang tiada jalan pulang?
" Dahlah Daneen, jom kita balik. Takde guna kita bercakap dengan dia. " Makin galak air mata Muna gugur. Sayu hatinya melihat Hayyani sedih begitu. Dia memaut lengan Hayyani dan membantu temannya untuk kembali berdiri.
Setapak dua mereka berjalan, Hayyani kembali memusingkan tubuh dan memandang Hanan di belakang. Air mata yang bercucuran di pipi dikesat dengan belakang tangan. Wajah beku Hanan dipandang sayu sebelum dia berkata-kata lagi.
" Aku mengaku aku berdosa dengan Elhan. Tapi aku tak bohong tentang perasaan aku. Aku memang cintakan Elhan, suami aku. Sebab tulah aku berjuang untuk lawan perasaan ni. Aku tak nak terus tinggal dalam kisah lama. "
Akhirnya mereka berdua berlalu meninggalkan perkarangan rumah itu. Pulang dengan hampa dan kecewa.
Hanan cepat-cepat mengesat air mata yang mengalir tanpa sedar saat ditinggalkan mereka. Argh! Kenapa aku pula yang harus menangis. Bukan aku yang memulakan semua ini dengan menyakiti dia. Dia yang menyakiti Elhan dahulu.
****
Hari ini Jasmine berasa kurang sihat. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Jadi dia memutuskan untuk masuk bekerja pada waktu tengah hari. Ketika dia sedang membuka pintu pagar rumahnya, dia terlihat Elhan sedang bersandar pada kereta Mercedes-Benz miliknya itu seperti sedang menunggu sesuatu.
" Elhan, you buat apa dekat sini? " soal Jasmine yang jelas agak terkejut dengan keberadaan Elhan di situ. Diimbas pula batang tubuh Elhan dari atas ke bawah. Lelaki itu masih memakai pakaian yang sama ketika mereka bertemu malam tadi.
" You tak balik rumah? " soal Jasmine lagi selepas soalan pertamanya tidak dijawab.
Elhan mengangguk pasrah." I tak tahu macam mana nak hadap Daneen. Lagipun I rasa I tak boleh balik macam tu aje lepas apa yang jadi semalam."
Jasmine mendengus lemah. Memikirkan kembali perkara yang berlaku di antara mereka semalam, hatinya menjadi berat. Sarat dengan seribu satu perasaan yang mencengkam jiwa.
" I minta maaf pasal semalam. I malu. I menyesal sangat dengan perbuatan I. " Berulang kali Elhan menuturkan kata itu termasuklah semua pesanan mesejnya kepada Jasmine semalam. Mana hendak dia letakkan muka. Dia terlalu malu untuk mengangkat wajah.
" Bukan you sorang aje yang malu. I pun sama. Kalau boleh I tak nak ingat lagi tentang semalam," balas Jasmine tenang. Namun gelora yang berlambung di dada siapalah yang tahu.
Terasa hina sangat kerana merelakan Elhan menyentuh dirinya atas nama cinta yang sudah lama bertapak buat lelaki itu tanpa memikirkan dosanya kepada Tuhan. Apatah lagi rasa kecewa yang bakal Hayyani rasakan kalau hal itu diketahui. Mujur sajalah imannya masih ada dalam diri, kalau tidak pasti sudah terlambat buat mereka untuk menyesali hal yang berlaku semalam.
" I akan bertanggungjawab pada you. Kalau itu yang you nak. I tak tahu macam mana lagi nak selesaikan hal ni," kata Elhan serius riak wajahnya. Semalaman dia bertafakur di masjid menyandarkan dahinya di atas tikar sejadah cuba menenangkan hati yang bercangkaliwang dan memohon keampunan atas keterlanjuran diri sebagai hamba yang lemah.
Jasmine tenung kembali wajah Elhan. Entah mengapa kata-kata Elhan itu tiba-tiba membangkitkan rasa berangnya.
" You nak bertanggungjawab? You nak buat apa. Ceraikan Daneen dan kahwin dengan I? Atau nak madukan kami? " berkali-kali soalan yang Jasmine tujahkan kepada Elhan. Nadanya terdengar marah.
" Kalau itu yang terbaik I sanggup Jas. I nak selamatkan maruah you. " Elhan masih dengan pendiriannya. Mengambil kira bahawa dia mesti bertanggungjawab atas setiap tindakan.
Jasmine memicit kepalanya yang terasa berdenyut.
" Stop it, Elhan! You dah lupa ke malam tadi kita hampir saja terbabas. Kita cuma sempat tersedar sebelum keadaan jadi lebih teruk. So, basically nothing happened. Kita berdua cuma tersilap. You tak perlu ceraikan Daneen atau kahwin dengan I," tegas suara Jasmine membuat keputusan.
Ini cuma kemelut yang datang di tengah-tengah taufan yang melanda rumah tangga Hayyani dan Elhan. Seharusnya dia tidak mengambil kesempatan di dalam kesempitan itu. Walaupun inilah satu-satunya peluang yang ada untuk disatukan dengan lelaki yang dicintainya, namun dia masih bermaruah. Merampas kebahagiaan wanita lain bukan prinsip baginya.
" I malu pada Tuhan. I malu dengan you. Kalaulah I tak terbawa-bawa perasaan I malam tadi... none of this would have happened. Kalau Daneen tahu pasal ni, mesti dia bencikan I. " Elhan menggeleng kepala tanda kesal.
Bukan niatnya untuk bermusuhan dengan Hayyani. Meninggalkan isterinya karam dalam kesedihan sendiri setelah mereka bersengketa. Apatah lagi untuk memadukan Hayyani atau menceraikan wanita kesayangannya itu. Namun, kalau inilah natijah yang harus dia tanggung, dia akan tunduk akur pada kehendak takdir.
" Perkara ni cuma kita berdua yang tahu. Allah saja yang faham kebenaran dalam situasi kita. Yang penting kita tak buat benda tu. I akan pegang erat rahsia ni dan you pun perlu buat perkara yang sama. You balik, berbaik dengan Daneen dan cuba lupakan semua ni. Okey? " Jasmine meletakkan harapan dalam kata-katanya. Dia percaya keadaan masih boleh kembali seperti dulu. Mereka tidak perlu mengambil jalan kedua selagi rahsia ini dijaga rapi.
Elhan mengangguk lambat-lambat. Terlepas keluhan lemah dari celah bibirnya.
" Jas, but I'm serious about the thing I said earlier. I akan bertanggungjawab kalau itu yang you nak. You just have to tell me," ujar Elhan lagi nekad membulat kata. Bukan rela hatinya berkata tak mengapa, namun rasa tanggungjawab yang memaksa rela.
Jasmine menggeleng kepala. Dia terlihat pasrah dan sedih dengan keputusan sendiri namun ini adalah demi masa depan hubungan yang Elhan sendiri perjuangkan sejak dulu.
" I takkan minta you buat macam tu. You suami Daneen dan I takkan tergamak buat begitu. I nak you kembali pada dia, kalau Daneen tahu rahsia kita mesti hancur hati dia. Dan I tak nak you hilang Daneen. I sayangkan you lebih daripada apa yang you tahu. "
Sebak Jasmine mengucapkan kata terhadap Elhan. Mengalir laju manik-manik jernih ke pipi tanpa segan silu di depan Elhan yang agak terkesima melihatnya. Ikhlas hati Jasmine mencintai Elhan dan ikhlas hatinya untuk merelakan sepenuhnya diri Elhan menjadi milik Hayyani.
" Jas..."
Hati Elhan benar-benar terasa ditusuk saat melihat Jasmine menitiskan air mata. Begitu sekali kasih sayang yang Jasmine persembahkan kepadanya. Malah ketika dia mengingati kembali segala pengorbanan Jasmine selama ini buatnya. Mungkinkah....
" Buat masa ni you baliklah. Let's not see each other sekurang-kurangnya sampai pembedahan Aisyah nanti. "
Dan itulah kali terakhir mereka berjumpa sebelum tiba pembedahan Aisyah. Kalau bertembung di tempat kerja pun sekadar tersenyum dan bertentang mata. Ada suatu perasaan yang tersudut di dalam hati keduanya yang harus lenyap secara diam-diam. Biar Tuhan saja yang tahu bahawa di hatinya keduanya sudah mula ada getaran yang sama.
Share this novel