Kesemua yang menziarahi Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi bergilir-gilir menyiram air di pusara Farhan. Suasana begitu suram sekali bertemankan rasa sayu. Ada juga yang menitiskan air mata ketika sayup-sayup bacaan doa yang dipimpin oleh Haris bergema di tapak perkuburan itu. Kematian Farhan benar-benar menginsafkan semua ahli keluarga.
Apabila tiba giliran Elhan, dia merendahkan tubuh dan menyiram air di pusara Farhan. Lega rasanya dapat menunaikan hajat arwah dahulu. Kemudian, batu nesan yang tertera nama Farhan itu dipaut lama. Dengan mata terpejam, dia menzahirkan apa yang terbuku di dada.
Selesai berbuat begitu, dia beralih pula ke sisi Puan Farida yang masih karam dengan air mata di tepian pusara Farhan. Bahu ibu dipeluk dan digosok lembut.
" Ibu... sudahlah. Jom kita balik dulu. Nanti kita datang lagi ziarah Farhan, " pujuk Elhan perlahan.
Kasihan dia melihat keadaan ibu mertuanya. Sugul wajah tua itu setelah meratap sedari awal mereka menziarahi tadi. Pasti ibu masih terkejut menerima perkhabaran duka itu setelah 2 tahun kematian Farhan dirahsiakan oleh Hayyani. Dia faham Hayyani lakukannya kerana bimbangkan kesihatan ibu dahulu. Bukan senang bagi Hayyani untuk berbohong tentang keberadaan Farhan selama itu apa lagi setiap hari dia rasa ingin saja memberitahu segalanya apabila ibu tidak henti-henti bertanya soal Farhan.
" Ibu tak sempat mintak maaf pada Farhan. Ibu kejam pada menantu ibu ni. Ibu nak sangat jumpa dia dan cakap ibu restu hubungan Daneen dan Farhan. Ibu rasa menyesal, " ratap Puan Farida rintih. Batu nesan milik menantunya dipeluk dan dicium bersama linangan air mata yang deras.
Hayyani hanya mampu memandang di situ. Sedaya upaya dia menahan tangisannya daripada tumpah namun gagal. Kalau Farhan masih hidup, pasti suaminya itu akan gembira mendengar lafaz restu ibu. Biarpun sudah terlambat namun dia tetap berbangga kerana akhirnya ibu mengiktiraf lelaki yang dicintainya sebagai suami.
Encik Sulaiman melepas keluhan berat. Dia tidak betah melihat keadaan isterinya yang semakin hilang arah. Kalau nak diiikutkan, dia sendiri makan hati setelah puas memujuk isterinya yang keras kepala dahulu. Memang lumrah manusia biasa, bila sudah hilang baru hendak dihargai.
" Sudahlah, Ida. Orang yang dah pergi biarkan pergi. Kita yang masih hidup kena teruskan hidup. Terima hakikat dengan hati terbuka. Lagipun, Farhan dah sampaikan pada Daneen semua surat yang dia tuliskan untuk awak. Farhan dah maafkan awak pun, " ujar Encik Sulaiman menyuntik ketenangan dalam hati isterinya.
Tangisan Puan Farida semakin hiba. Apabila terkenang kembali semua kenangan buruk yang pernah dia berikan kepada Farhan, jiwanya dimamah keresahan yang tak terhingga. Sedangkan Farhan tetap memaafkan dan berterusan mengharapkan restunya.
" Farhan budak yang baik abang. Saya menyesal layan dia buruk dulu. Saya buat dia macam anjing kurap. Saya halau dia tak ubah macam pengemis. Saya hina keturunan dia. Saya keji dia padahal dia dah usaha macam-macam untuk bahagiakan saya. " Puan Farida meluahkan keperitan yang terbuku di dada. Ego yang dipertahankan dahulu akhirnya memakan diri. Kini, Farhan telah pergi meninggalkannya bersama kekesalan yang harus ditanggung seumur hidup.
Giliran Haris pula untuk tampil di sisi Puan Farida. Belakang ibunya digosok lembut.
" Ibu, Haris faham ibu sedih. Tapi sekarang ni kita balik dulu, erm... Tak baik kita meratap depan kubur si mati. Nanti tak tenang arwah dekat sana, " pujuk Haris lembut. Namun, ibu masih belum mahu melepaskan batu nesan itu.
Haleena yang tidak dapat menahan sebak lagi menitiskan air mata. Dia terus memeluk Puan Farida dari belakang. Biarpun ibu kejam dahulu, namun sebagai anak dia tetap ada belas kasihan terhadap ibu. Apatah lagi ibu sudah mengesali perbuatannya yang lampau.
" Ibu, sudahlah. Kalau ibu sedih Leen pun sedih. Ibu kena kuat terima kenyataan. Lagipun Leen yakin, lelaki sebaik abang Farhan mesti dah lama maafkan ibu. Ibu jangan risau. "
Elhan dan Hayyani saling berpandangan. Ketika itu, Elhan mengangguk dan memberi isyarat mata kepada Hayyani untuk terus bertenang. Dia tahu wanita itu tidak kuat untuk memujuk ibu di kala ini. Apatah lagi dirinya sendiri pun masih rapuh untuk menerima hakikat ini.
Perlahan-lahan, Elhan mencapai tangan Puan Farida dan melonggarkan pegangan tangan itu pada batu nesan. Tangan tua ibu digenggam kemas lalu dicium kejap. Tenang saja wajahnya menghadapi situasi.
" Ibu pandang Elhan boleh? Elhan nak bagitau ibu sesuatu."
Akhirnya, permintaan Elhan berjaya membuatkan Puan Farida menoleh. Dengan lemah lembut, air mata yang berbekas pada wajah ibu Elhan sapu dengan telapak tangannya. Tersentuh segenap hati yang berada di situ tatkala menyaksikannya. Kehadiran Elhan adalah satu rahmat yang amat disyukuri keluarga Encik Sulaiman.
" Elhan tahu ibu sedih. Elhan faham ibu belum boleh terima berita ni. Hakikat yang tak semua orang boleh terima secara mendadak. Tapi ibu pegang kuat janji Allah. Allah takkan beri ujian melebihi batas kemampuan hambaNya. Sekarang, Allah uji dengan pemergian Farhan sebab ibu boleh hadapinya walaupun tak mudah. Ibu cuba tengok Daneen... "
Perlahan-lahan, Puan Farida mengangkat wajahnya dan memandang Hayyani di hadapan. Air mata dua beranak itu luruh lebih lebat lagi saat mata mereka bertentangan. Seakan dapat bersatu dalam perasaan sebak yang sama. Jasmine yang berada di sisi terus memeluk bahu Hayyani demi menenteramkan wanita itu.
" Sejak Farhan sakit dulu Daneen tak pernah rasa tenteram. Tak pernah berhenti risaukan keadaan ibu, keadaan suami dengan anak dia. Tapi sikit pun dia tak mengeluh dan rasa menyesal. Allah letak ujian ni dalam takdir Daneen sebab dia boleh tanggung. Kalau Daneen dengan Ammar boleh kuat demi Farhan, kenapa ibu tak boleh? " soal Elhan lebih kepada pernyataan. Begitu pandai Elhan mengambil hati Puan Farida sehingga menerbitkan senyuman kagum pada wajah Jasmine.
Pujukan itu berjaya membuka pintu hati Puan Farida. Kegelisahan yang merenggut jiwanya kembali mereda sekurang-kurangnya untuk mempersiapkan hati menerima suratan berdarah ini. Satu demi satu wajah-wajah insan yang disayanginya dipandang sebelum akhirnya, pandangannya singgah lama pada wajah Hayyani.
" Daneen... " Puan Farida menggamit Hayyani datang. Setapak demi setapak, Hayyani melangkah mendekati ibu.
Puan Farida menatap kasih wajah anak gadisnya itu. Diusap pipi itu dengan penuh rasa cinta dari seorang ibu kepada seorang anak. Lantas, tubuh Hayyani didakap erat. Kedua-duanya, terus teresak di atas bahu satu sama lain.
" Ibu minta maaf sayang, " ungkap Puan Farida diselangi sedu sedannya.
" Daneen sayang ibu," ucap Hayyani tanpa segan silu seraya mengeratkan lagi pelukan mereka. Pelukan dan ketenangan sebeginilah yang selalu didambanya. Sejak kehilangan Farhan, dia mahu belajar menghargai orang sekeliling yang disayanginya. Biar tak kesuntukan waktu untuk dia menghabiskan hari yang penuh cinta bersama orang tersayang.
Semua orang turut menitiskan air mata ketika menyaksikan adegan yang menyentuh hati itu. Tiada yang kedekut mencurahkan emosi apabila melihat dua beranak itu kembali bersatu. Encik Sulaiman dan Haris yang keras hati itu pun turut bergenang air mata.
Ammar yang duduk di pangkuan Arif sedari tadi mula merapati nenek dan ibunya.
" Nenek... jomlah kita balik. Esok kita datang sama-sama. Kita bagi baba berehat dulu. Nenek jangan sedih-sedih. "
Si kecil yang seakan memahami kesedihan mereka kini turut memberikan pelukan kepada Puan Farida. Pelukan dan kata-kata yang menimbulkan keinsafan dan keterharuan dalam hati Puan Farida. Bagaimana dia tergamak membenci keturunannya sendiri sedangkan anak kecil itu tidak berdosa. Sungguh, dia telah menzalimi orang yang disayanginya.
" Cucu nenek. Maafkan nenek Ammar. " Dahi Ammar dicium berkali-kali.
Setelah keadaan kembali reda, akhirnya hati Puan Farida cukup kuat untuk meninggalkan pusara itu. Dia pasti, kerinduannya akan membawanya kembali ke situ nanti. Cukuplah doa sebagai iringan dan bekalan buat menantunya itu.
Lengan suaminya yang setia menanti di sisinya dipaut. " Abang, jom kita balik. "
Encik Sulaiman memapah isterinya keluar dari tanah perkuburan itu. Lapang terasa dadanya apabila terungkai sudah segala sengketa. Akhirnya, doa yang selalu dipanjatkan pada langit Tuhan supaya keluarganya mendapat kesejahteraan telah termakbul. Segala puji hanya bagi Allah.
Share this novel