Hayyani membuka almari kasut di luar rumah. Dia mencari sandal hitam yang dipakai semalam namun anehnya sandal itu sudah ghaib. Ni tak lain tak bukan mesti kerja si Haleena yang suka benar pakai barang-barangnya tanpa kebenaran.
Dia mendengus kasar sebelum mengambil sandal berwarna putih kesayangan Haleena. Nasib baik saiz pun lebih kurang. Padan muka kau! Siapa suruh pakai kasut orang.
Seminit dia duduk di kerusi menyarung sandal, deruman enjin Toyota Vios milik Puan Farida mula kedengaran memasuki perkarangan rumah. Barangkali sudah selesai menghadiri kuliah pada sebelah pagi.
" Assalamualaikum." Dingin suara yang memberi salam itu buat Hayyani rasa lemah. Rancangannya tadi adalah keluar dari rumah sebelum Puan Farida pulang. Ini semua gara-gara dia terlajak tidur lepas solat subuh. Rasa penat menaiki kapal terbang sejak seminggu lepas masih belum surut agaknya.
" Waalaikumussalam."
" Ni nak pergi ke mana ni?" Soal Puan Farida seraya membuka langkah mendekati Hayyani.
" Nak pergi jumpa Muna kejap, " jawab Hayyani pendek. Dia berpura-pura menyibukkan diri dengan meneliti skrin telefon bimbitnya.
" Baguslah jumpa Muna. Boleh mintak dia recommend kan sekali position dekat tempat kerja dia. Ibu dengar dekat situ ada banyak nak pakai orang. " Puan Farida beri cadangan.
Kenyataan Puan Farida buat Hayyani sedikit tersentak. Entah kenapa ton suara ibu kedengaran seperti sedang menyindirnya. Tak cukup lagi tazkirah ketika sarapan bersama pagi tadi sekarang pun masih nak membangkit hal yang sama.
" Daneen nak pergi lepak aje dengan Muna bukannya nak bincang pasal kerja. "
" Apa salahnya? Ke kamu tak bersedia lagi nak kerja?" soal Puan Farida dengan mata yang sudah membulat.
Senyap! Tiada jawapan balas.
" Daneen Hayyani binti Sulaiman. Cuba bagitau ibu apa yang kamu nak sebenarnya? Apa lagi yang kamu nak kejarkan sampai tak sedia nak pikul tanggungjawab bekerja? " Soal Puan Farida lagi jelas tak berpuas hati.
Hayyani membawa langkahnya menghadap pasu bunga tepi laman. Apabila melihat bunga matahari ibunya, bayangan Malik menjengah minda. Alangkah indahnya kalau Malik ada di sisinya sekarang. Terlalu banyak yang ingin diluahkan kepada lelaki itu.
" Daneen belum ready lagi. Kan Daneen dah cakap bagi Daneen sikit masa lagi. "
Puan Farida turut mengikuti langkah anaknya. Makin mendidih darahnya apabila Hayyani bersikap acuh tak acuh.
" Sikit tu berapa lama? Setahun? Sepuluh tahun? Kalau perangai kamu tetap macam ni, sampai bila-bila pun hidup kamu takkan berubah. Eh, kamu tak jealous ke tengok Muna. Dia dah beli rumah besar, ada kereta mewah, dah bawak mak ayah dia pergi haji. Kamu tak nak ada kehidupan macam tu? "
Hayyani menjulingkan bebola matanya yang sedang berladung dengan air mata memandang langit cerah. Dia sudah lelah dengan semua ini. Masih belum cukupkah apa yang dia lakukan selama ini demi menjaga hati seorang ibu.
Zaman belajar dulu, ketika dia mendapat keputusan buruk saja pasti teruk dia dimarahi namun apabila dia mendapat keputusan cemerlang tak ada pula sebarang kata pujian yang keluar dari bibir Puan Farida waima sepatah kata tahniah pun.
" Daneen tak bodoh nak rosakkan masa depan sendiri. Mungkin dah memang rezeki Muna macam tu apa yang kita boleh sangkal," balas Hayyani mudah sambil meliarkan matanya ke kiri dan kanan jalan. Doa dipanjat agar kereta yang ditempahnya cepat sampai.
" Tadi umi Khalida call ibu tanya lagi pasal lamaran tu. Bila kamu nak bagi kata putus Daneen? Ibu ni sampai tak tahu lagi nak jawab apa dengan umi Khalida. Kalau asyik berdalih macam ni, bilanya ibu boleh dapat jawapan? "
Suara Puan Farida semakin meninggi. Panas hatinya dengan jawapan pasrah si anak. Baginya itulah jawapan bagi orang yang tak punya matlamat tentang masa depan.
Hayyani cuba menahan diri. Jujur kesabarannya terasa bagai dicantas-cantas saat ini.
" Kalau Daneen jawab tak nak sekalipun tetap takde guna kalau akhirnya Daneen tetap kena setuju dengan ibu. Tapi ibu kena ingat, jodoh tu rahsia Allah. Kalau Dia kata bukan, ibu paksalah macam mana sekalipun jawapannya tetap bukan, " tingkah Hayyani penuh makna. Walaupun begitu, dia tetap menjaga nada suaranya daripada terus meninggi.
Pin! Pin!
Puan Farida tersentak.
Sebuah kereta sedan dipercayai grab yang ditempah Hayyani tadi sudah menunggu di luar pagar. Hayyani lepas keluhan lega. Segera dia mengambil tangan kanan ibunya lalu dicium hormat sebelum buru-buru keluar dari pagar.
" Hah baguslah. Naiklah grab. Sampai ke tua pun naik ajelah grab tu tak payah kisah nak beli kereta sendiri, " sindir Puan Farida dengan suara yang sengaja dikuatkan supaya Hayyani dengar.
****
Sabar. Itulah perkataan yang dapat diungkapkan oleh Muna selepas Hayyani menceritakan bebanan hatinya tadi. Di tengah khalayak ramai ketika manusia sedang bersesak-sesak di dalam IOI City Mall, air mata Hayyani begitu mudah tumpah.
" Dahlah, babe. Bengkak nanti mata tu baru kau tau, " pujuk Muna, sahabat baik Hayyani sejak zaman universiti. Sudah lama Hayyani mengongoi di bahunya. Dia turut simpati dan terkesima tatkala mendengar cerita sahabatnya tadi.
" Aku tak nak kahwin Muna. Bukan sekarang. Masih banyak lagi benda yang aku nak buat dan aku tak nak terikat sebagai isteri orang, " adu Hayyani diselangi esakannya yang mula perlahan.
" Alah... lepas kahwin pun kau boleh capai impian kau jugak apa. " Senang saja Muna memberi cadangan. Takkanlah lelaki tak boleh berkompromi langsung dengan perempuan yang ada cita-cita.
" Kau tak faham Muna. Kalau dah kahwin kita sebagai isteri kena patuh cakap suami. Buatnya kalau dia tak kasi aku buat semua tu macam mana? " Hayyani melahirkan kegusarannya. Desakan Puan Farida terhadap lamaran Elhan seakan satu perangkap yang tiada jalan keluar.
Beberapa saat kemudian, Muna mengangguk. Mungkin baru tersedar akan kebenaran kata-kata Hayyani.
" Haah, ek? Betul jugak. Sebab aku ada dengar jugak cakap-cakap orang yang kalau nak capai impian baik buat sebelum kahwin. Kalau dah kahwin, hmm... lupakan ajelah. Mana nak jadi suri rumah lain. Mana nak jaga anak lain. Susah weh. "
" Sebab tulah aku takut. Apa aku nak buat ni Muna? " Tangis Hayyani mula reda. Rasa aib pula nak terus menangis di depan orang ramai.
" Kenapa kau tak nak dekat Elhan, ek? "
" Kau tak ingat dulu dia macam mana? Kalau dia still dengan perangai buaya dia tu apa yang nak jadi dekat rumah tangga kita orang lepas kahwin nanti? "
" Macam mana kau tahu dia still macam tu? "
" Aku tahulah. Tengok muka dia pun aku tak boleh percaya. "
Muna berdecit. " Itulah kau. Suka sangat menilai orang dari luaran. Hanan cakap Elhan tak macam dulu dah. "
" Hanan yang kahwin hari tu?" Hayyani minta kepastian.
" Yelah... itu aje Hanan yang kita berdua kenal. Kau ni kadang-kadang wayar otak short jugak kan." Setepek Muna mengata Hayyani.
" Manalah tahu kau ada kawan lain yang nama Hanan jugak. " Hayyani cuba menutup malu sendiri. Bercakap tentang Hanan, pasti Hanan berkecil hati kerana dia tidak datang ke majlis kahwinnya kelmarin kerana berada di Istanbul. Tapi kalau dia datang pun mesti ada Elhan sekali. Ini yang malas ni.
Muna petik jari depan muka Hayyani yang sedang termenung jauh. " Oi... mengelamun pulak."
Hayyani mendecit. " Ya, aku tak berangan pun. "
" Hanan cerita yang abang dia dah banyak berubah lepas balik belajar dari England. Kalau dulu orang nampak dia kaki kelab sekarang dah jadi kaki masjid. Pendek kata lifestyle dia completely berpusing 360 darjah la, " cerita Muna bersungguh-sungguh meyakinkan sahabatnya namun Hayyani tetap tayang muka tak minat.
" Entah-entah wayang tak. Dia kan presiden kelab drama dulu. " Bahunya tiba-tiba rasa pedih ditumbuk.
" Hish kau ni... aku serius kau main-main pulak. Cuba kau fikir Daneen, kalau dia masih ada fi'il yang sama sampai sekarang kenapa ibu abah kau boleh terima? "
Hayyani lepas keluhan lemah seraya melempar pandangan ke luar restoran. Walau bagaimanapun dia susah nak percaya bahawa Elhan sudah berubah. Agaknya semua orang dah terkena sihir Elhan sampai semua benda nak percaya pasal mamat tu.
" Aku ni hairan tau. Macam manalah dia boleh suka dekat kau pulak padahal dulu bukan main dia tak pandang perempuan skema macam kau. Hebat betul penangan kau, ek? Ke kau ada calit minyak dagu dekat Elhan? " Muna sudah mula tersenyum nakal sambil memandang wajah sahabatnya. Kemudian, dia ketawa pula.
Hayyani tampar lengan Muna. Konyok muka temannya itu menahan rasa. Sesedap rasa aje nak kaitkan dia dengan tahyul mahyul ni.
" Wah kau mulut tak makan saman kan. Kalau betul aku pakai minyak dagu confirm Elhan tengah melekat dekat kaki aku sekarang. "
" Takdelah, aku cuma pelik. "
" Sebab tulah aku takut kalau dia ada niat tak baik kat aku. "
" Husnudzon. Tak baik kita hukum orang dari masa silam dia. Mana tahu dia selalu doa mintak nak jodoh baik-baik, sekali Allah tunjukkan kau pada dia. Manalah tahu, " kata-kata Muna merentap segala pemikiran negatif tentang Elhan dari hatinya buat seketika. Benarkah dia sentiasa di dalam doa Elhan? Namun semua persoalan itu seperti angin lalu. Seperti ada sesuatu yang menangkah penerimaannya terhadap Elhan.
" Entahlah. Malaslah cakap pasal tu lagi. "
" Pasal kerja tu, kalau kau nak aku boleh tolong recommend. Lagipun result kau boleh tahan apa. Itu pun kalau kau nak la. "
" Nanti-nantilah. Aku takde mood nak cakap pasal kerja tau. Aku baru 4 bulan habis master kasilah chance aku berehat dulu. Kau apa cerita sekarang? " Hayyani mengalih topik perbualan. Sebelum Muna membuka cerita tentang jodoh pada jilid tertentu yang bertajuk sekian-sekian, lebih baik dia mengelak dulu.
" Aku macam nilah. Pergi kerja balik kerja. Kadang-kadang tension, " cerita Muna sambil memandang wajah Hayyani.
" Kalau kau tension kenapa kau kerja situ lagi. Aku rasa masa kau kerja jadi kerani kilang dulu takdelah tension macam sekarang, kan? " Sebab itulah dia malas nak masuk kerja sekarang. Asyik tension dengan kerja sampai tak ada masa untuk diri sendiri.
" Memanglah. Kerja kerani tu tak tense sangat. Syarikat kecil so tak banyak workload. Biasalah, orang kata kalau gaji sedap kerja makin complicated la. "
" Mana ada kerja senang dekat dunia ni. Takpelah, lama-lama kau boleh sesuaikan diri jugak. Lagipun baru 2 tahun kau kerja situ, " ungkap Hayyani seraya menepuk lembut tangan Muna.
" Tapi kan, kau nak tahu, sejak dua menjak jiran sebelah rumah aku beranak, mak ayah aku hari-hari mintak nak cucu wey. Mana tak haru aku dapat permintaan macam tu, " rungut Muna sambil menongkat dagunya. Riak wajahnya seperti sedang menghadapi masalah negara.
Hayyani ketawa. Gelakkan orang tapi nasib kau pun sama macam tu jugak.
" Eloklah tu. Kau dah ada semua yang kau nak kan. Cuma boyfriend aje takde lagi. "
Hayyani mendengar Muna lepas keluhan hampa. Pelik dengan sahabatnya yang satu ini. Tak pernah langsung ada lelaki yang cuba menguratnya. Memiliki tubuh badan yang sedang-sedang, berkulit cerah, poket pun tebal tapi tak ada seorang pun yang melekat.
Muna angkat bahu. " Haih... entahlah mungkin aku dah kurang daya tarikan kot. Kau doakanlah aku jumpa the right guy nanti. "
" Aamiin. Alah kau relax la. Orang gila aje tak nak dekat kau ni. "
Seketika kemudian, Hayyani menimbang tara untuk bertanyakan sesuatu.
" Erm... babe kalau aku tidur rumah kau malam ni cun tak? "
Lekas Muna menggeleng. Membayangkan seraut wajah ketat Puan Farida saja, dia sudah menggigil.
" Tak cun, ibu kau mesti hangin punya. Jangan buat pasal."
Hayyani hampa. Dia cukup malas nak pulang ke rumah kalau ibu tak habis-habis nak mencari pasal dengannya. Tak boleh bertenang langsung.
" Dah jomlah pergi. Aku nak belanja kau shopping ni. "
Terbeliak biji mata Hayyani. Dia jadi teruja. Hilang menerpa entah ke mana kesedihannya tadi paling kurang buat seketika
" Belanja? Serious la?"
" Iya... takkanlah aku nak suruh orang tak kerja cuci poket pulak. Lagipun gaji aku baru masuk ni. "
Hayyani terjerit kecil. Rezeki betul ada kawan yang bertimbang rasa dan baik hati ni. " Thanks babe. Semoga bertambah-tambah lagi rezeki kau lepas ni. Boleh belanja aku selalu. "
" Eh, takde maknanya. Lepas dah kahwin nanti, kau suruhlah doktor tu bagi kau duit pulak. Jangan nak cukur duit aku lagi. "
" Amboi! Boleh tahan jugak mulut kau ni, ek?Yalah, nanti aku dah kaya, satu mall ni aku kasi hadiah dekat kau. Amacam? " Tawa mereka meledak.
Hayyani paut bahu Muna erat sambil berjalan beriringan. Betapa dia menyayangi Muna, antara sahabatnya yang tetap ingin berdamping dengannya di setiap musim kehidupan. Hanan juga sahabat sejati yang akan sentiasa berdamping dengannya. Cuma dah lama tak jumpa. Apa khabarlah Hanan lepas kahwin ini.
Share this novel