Bab 79

Romance Completed 15392

Suasana di dalam wad Institut Jantung Negara itu kelihatan sungguh suram. Kesemuanya sedang meladung perasaan yang bercampur baur kerana malam nanti, Aisyah akan menjalani pembedahan besar. Nyata, perasaan yang paling dominan sekali adalah kebimbangan yang tak berpenghujung.

" Papa, terima kasih sebab bagi Aisyah buat pembedahan hari jumaat. Aisyah nak sembuh pada hari yang berkah. Hari yang Allah suka. Kan, papa?" Ceria suara Aisyah berkata-kata. Bagai tiada walau sekelumit rasa takut yang melilit di tangkai hati. Aisyah memang benar kuat sama seperti ibunya, Louisa.

Pipi gebu itu digosok Elhan. Kepetahan si kecil berkata-kata mencuit hatinya.

" Ya, sayang. Allah sayang sangat pada Aisyah sebab tu Dia izinkan Aisyah buat hari jumaat. Aisyah jangan takut. Papa janji papa akan buat yang terbaik untuk bagi sayang papa ni sembuh. Jangan risau papa ada," ungkap Elhan sambil menggosok kepala Aisyah.

Hayyani dan Jasmine yang turut memerhatikan hanya tersenyum. Biarpun di sudut hati menyimpan satu perasaan sedih dan risau yang amat dalam namun keceriaan tetap ditonjolkan.

" Aisyah tak takut. Aisyah kan ada mummy, ada mama, ada papa, ada uncle Arif. Ibu pun mesti bangga tengok Aisyah dari jauh, " ujar Aisyah dengan senyuman lebarnya.

" Ya, sayang. Ibu bangga dengan Aisyah. Ibu selalu doakan Aisyah sebelum Aisyah lahir dulu. Ingat tak papa pernah cerita? "

Laju kepala Aisyah mengangguk. Walaupun dia tidak mengenali ibunya secara lahiriah, namun dia yakin ibunya adalah seorang yang elok sahsiahnya melalui cerita yang pernah disampaikan oleh Elhan dan Jasmine. Hanya kepingan gambar saja yang dapat menjadi penawar rindu.

" Ingat. Tapi Aisyah sedih sangat tak dapat jumpa ibu dalam dunia ni. Papa kata ibu meninggal dekat Makkah tempat yang Allah suka. Jadi, kalau ibu meninggal dekat situ maksudnya Allah suka ibulah, kan papa? " Terkebil-kebil mata si comel menanti jawapan dari papanya.

Terbit senyuman manis di bibir Elhan. Dia saling berbalas pandangan dengan Jasmine dan Hayyani yang turut sama tersenyum senang. Siapa yang tidak terpesona dengan kecerdikan yang ditonjolkan si kecil.

Sesaat kemudian, pandangan ditunakkan kembali kepada Aisyah. Elhan memeluk kejap tubuh genit itu.

" Ya, sayang. Allah sayang dekat ibu sangat-sangat. Sekarang ni ibu dah ada dekat syurga. Allah jaga baik-baik ibu dekat sana. "

Aisyah angguk mengerti. " Kalau Aisyah masuk syurga nanti, boleh tak Aisyah jumpa ibu dekat sana? Aisyah rindulah dekat ibu," tanya si kecil lagi.

Saat ini pandangan Jasmine dan Elhan saling beradu. Entah mengapa kata-kata itu mengundang sebak paling dalam kali ini pada keduanya. Elhan seperti biasa, bijak mengawal emosi. Namun tidak bagi Jasmine yang sememangnya mudah untuk mengalirkan air mata.

Melihat pada kebisuan keduanya, Hayyani mengambil langkah mendekati Aisyah. Di sisi anak kecil itu dia melabuhkan sebelah punggungnya.

" Boleh sayang. Cuma sekarang ni, Aisyah fokus nak sembuh dulu, okey? Nanti Aisyah dah sihat kita buat aiskrim potong sama-sama lagi tau. Aisyah kan suka aiskrim potong yang kita buat haritu. Nak tak? " soal Hayyani dengan nada ceria. Dia sengaja mencelah memandangkan Elhan dan Jasmine seolah hilang kata.

Bulat mata Aisyah mendengar tawaran itu. Setiap kali berkunjung ke rumah Elhan, itulah aktiviti mereka bersama.

" Nak! " sambut Aisyah riang. Kemudian, bebola matanya dikemudi untuk mencari wajah Jasmine.

" Mummy why are you crying? " tanya Aisyah, hairan. Luput kegembiraan yang dirasainya tadi apabila melihat tangisan ibu angkat kesayangannya.

Jasmine memalingkan wajahnya ke belakang. Lekas dia menyapu air mata di wajah biar tidak kelihatan pada pandangan si kecil. Kemudian, dia berpaling semula dan melangkah ke sisi Aisyah.

" Mummy tak menangis sayang. Mummy cuma bersyukur anak mummy akan sembuh nanti. Mummy tak sabar nak tengok Aisyah sembuh. Lepas ni, mummy akan tunaikan apa saja permintaan Aisyah. "

Bulat mata Aisyah tanda girang. Kedua-dua belah tangan Jasmine digoncang-goncang.

" Betul ni? Aisyah ada ba...nyak permintaan. Aisyah nak main ice skating, nak main lumba lari, makan ais krim banyak-banyak dan semualah. Boleh kan, mummy? " ceria suara Aisyah membilang semua perkara yang ingin dilakukannya.

Jasmine tertawa kecil. Terhibur dengan gelagat comel si buah hati pengarang jantung. Pipi Aisyah diusap sayang.

" Anything for you, my dear. Mummy sayang Aisyah sangat-sangat tahu. Mummy nak Aisyah tahu," ujar Jasmine dengan suara yang kendur di hujungnya. Dahi si kecil dikucup kejap bersama tangisan yang tiada reda.

Si kecil yang bagaikan mengerti terus mendakap tubuh wanita itu. Begitu bijak sekali dia memainkan peranan menggosok belakang tubuh Jasmine untuk menitipkan kelegaan.

" Aisyah pun sayang mummy. Nanti kalau Aisyah dah pergi sana, mummy dengan papa jangan sedih-sedih tahu. Aisyah pergi tak lama pun nanti kita jumpa, " bicara Aisyah menghambat perasaan sedih pada jiwa-jiwa yang terkandung kasih buatnya.

Bukti Elhan tidak kuat menghadapi situasi itu, luruh jua air hangat yang menakungi tubir mata sedari tadi. Di sudut hati berdoa dengan kuat agar kemungkinan yang paling ditakuti mereka tidak terjadi. Ya, takut seandainya kehilangan Aisyah sepertimana Louisa dulu.

" Aisyah jangan pergi mana-mana. Mummy akan tunggu sampai Aisyah sedar semula. Jangan risau sayang, " ungkap Jasmine seraya mengeratkan lagi pelukan mereka.

Ada sebak yang turut meruntun hati Hayyani sehingga matanya turut berkaca. Kasih sayang yang terlihat di hadapannya kelihatan indah. Sayang sekali andai tidak kesampaian hingga ke garisan penamatnya.

Dalam kesyahduan suasana, seorang doktor lelaki masuk dan memberitahu Elhan sesuatu. Setelah doktor itu beredar, Elhan menghampiri katil pesakit seperti ada perkara yang hendak disampaikannya.

" Sekejap lagi, Aisyah akan direhatkan. Kita ada lima minit aje lagi. Tapi sebelum tu, Aisyah ada nak apa-apa tak? "

Pemberitahuan itu menyesakkan dada Jasmine. Dia belum sanggup untuk berpisah dengan Aisyah. Begitu juga Elhan yang merasakan dunianya kini kelam kelabu.

Aisyah mengangguk. " Aisyah nak bagi ni pada mummy. " Lantas tangannya mengagau sesuatu di dalam laci kabinet di sebelah katil. Buku lukisan itu diserahkan kepada Jasmine.

" Ada hadiah untuk mummy? Mummy bukak sekarang boleh? " soal Jasmine dengan senyuman manisnya. Sengaja dia mengusik si kecil.

Kepala Aisyah menggeleng beberapa kali.

" Tak boleh. Mummy cuma dibenarkan buka lepas pembedahan selesai tau, " kata Aisyah dengan suara kecilnya memberikan amaran. Siap mengangkat jari telunjuknya lagi.

Hal itu secara spontan memecah tawa semua orang. Berseri sedikit suasana yang terasa suram tadi.

" Amboi! Ni yang buat mummy lagi tak sabar. Tapi takpe, mummy turuti semua permintaan sayang. Thank you so much manjaku! " Ucap Jasmine teruja dalam hiba. Kepala si kecil dicium berkali-kali.

Kesan daripada ubat tidur yang diberikan, si kecil kembali pulas. Hanya tinggal Elhan dan Jasmine di situ setelah Hayyani memutuskan untuk tunggu di luar sahaja. Sehingga saat akhir, Jasmine tetap setia di sisi Aisyah.

Jam tangan dikerling Elhan sekilas. Masa yang diberikan oleh doktor bertugas tadi telah tamat malah sudah lebih dari sepatutnya. Mereka harus beredar.

Sesekali, mata Elhan melingas ke arah pintu wad seakan mencari bayang seseorang. Biarpun dia masih berharap Arif akan datang namun, hajatnya tidak kesampaian tatkala masa membataskan segala. Hatinya rasa sedikit hampa.

" Jasmine, time's up," beritahu Elhan berat suaranya. Dia faham Jasmine begitu risau di kala ini.

" Sekejap... I belum puas tengok dia tidur," tukas Jasmine seraya mencium lagi tangan si kecil. Wajah itu telah lama ditatapnya namun entah masih belum puas. Dibelai dan diusap rambut dan wajah mulus si kecil ditemani air mata yang tidak henti mengalir.

Ya Allah aku begitu menyayangi anak ini. Kau selamatkanlah dia sewaktu di dalam pembedahan nanti. Doa Jasmine sesungguhnya.

Elhan menundukkan wajah seketika. Hatinya tidak kuat apabila menyaksikan tangisan pilu itu.

" Jasmine, sudahlah... she's gonna be fine," pujuk Elhan lagi.

Dia menarik perlahan tangan Jasmine yang seakan enggan untuk pergi. Berkali-kali Elhan memujuk Jasmine akhirnya, mereka meninggalkan Aisyah di situ bersama harapan yang dititipkan bersama. Selamatlah sayang!

****

Tiga jam telah berlalu sejak Aisyah dibawa masuk ke dewan pembedahan. Sepanjang waktu itu, hanya Elhan, Hayyani dan Jasmine saja yang setia menunggu. Ahli keluarga yang lain turut sama hadir namun memandangkan hari sudah lewat malam masing-masing pulang terlebih dahulu.

Sepanjang detik penuh debar itu, mereka menunaikan solat hajat dan membacakan surah Yasin demi kelancaran proses pembedahan. Semuanya berdebar menanti keputusan yang bakal dihadapkan kepada mereka nanti. Hampir jam tiga pagi, mereka semua kembali berkumpul di luar dewan pembedahan.

Selang beberapa minit menunggu, kelihatan ada seorang doktor yang berpakaian jubah juru bedah keluar dari dewan pembedahan. Itulah Profesor Azlan yang ditugaskan untuk mengemudi pembedahan pemindahan jantung Aisyah.

Elhan dan Jasmine terus meluru mendapatkan Profesor Azlan. Hayyani turut mengekori dari belakang. Mereka sedang bertarung dengan perasaan gementar, takut dan gusar dalam diri menanti khabar yang ditunggu-tunggu.

" Prof? " tegur Jasmine setelah beberapa saat sepi tanpa sebarang kata. Melantun deras jantungnya di saat ini.

Doktor bermata empat itu melepaskan keluhan berat ketika wajahnya ditundukkan ke bawah. Sungguh berat untuk dia mengutuskan suratan yang ditakdirkan pada awal pagi ini. Namun, sudah menjadi tugas sebagai perawat dia harus menggagahkan diri juga.

" Hari sabtu bersamaan tarikh 12 Mei, tepat jam 2.30 pagi, pesakit Aisyah Humairah Binti Abdullah disahkan meninggal dunia disebabkan komplikasi semasa proses pemindahan jantung dilakukan. Saya minta maaf atas kegagalan saya untuk menyelamatkan pesakit. Allah lebih sayangkan dia, " beritahu Profesor Azlan dengan riak wajah yang terlukis kekesalan.

Langit seakan runtuh menimbusi awan yang bernaung di bawahnya. Suasana gelap gelita dan terasa begitu sepi sekali saat seorang insan yang dikasihi telah dijemput makhluk Allah Izrail. Laksana langit yang berdentam dentum dihentak panahan kilat dan guruh, begitulah gelap dan kosong dunia yang dirasakan oleh mereka.

" What... what do you mean prof?" soal Jasmine tergagap-gagap. Sukar baginya mempercayai apa yang disampaikan.

Elhan memaut bahu Profesor Azlan. Tubir matanya digenangi air mata sedih. " Prof yakin prof dah buat yang terbaik? "

Profesor Azlan mengangguk pasrah. " We have tried performing CPR for about 30 minutes. But her heart didn't resuscitate at all. "

Kenyataan itu meluluhkan hati Elhan. Sekilas dia memandang Jasmine yang meraung seakan hilang arah itu air matanya jatuh jua ke pipi. Jiwanya dimamah kesedihan yang amat sangat.

Tiada kata yang mampu Hayyani luahkan. Rembesan air matanya mula terbit dari celah pelupuk mata. Suatu ketika dulu dia pernah membenci dan memandang rendah anak kecil itu. Kalaulah dia tidak mengambil masa untuk mengasihi anak itu, pasti mereka punya banyak kesempatan untuk bersama.

" Thank you prof. You did your best, " ucap Elhan pasrah dengan takdir yang tertulis.

" Maafkan saya, " ungkap Profesor Azlan tanpa nada. Belakang doktor muda yang pernah menjadi anak muridnya itu digosok perlahan. Sejak dulu lagi Elhan selalu merujuk kepadanya perihal kesihatan Aisyah dengan harapan dapat membawa sinar baru dalam hidup si kecil itu. Dia faham betapa terkilannya hati doktor muda itu apabila terpaksa menelan hakikat yang pedih ini.
" Did your best? Kalau Prof buat yang terbaik kenapa Aisyah mati?! " Jasmine menghambur rasa hati yang mendongkol. Jiwa yang hiba seakan menolak suratan Tuhan.

Profesor Azlan hanya dapat mendiamkan diri. Sehabis baik telah dilakukannya namun Tuhan lebih menyayangi Aisyah.

Tangan Jasmine digenggam kemas oleh Elhan. Sebelum keadaan lebih melarat, dia cuba menahan temannya itu.

" Bawak bertenang, Jasmine. "

Jasmine rebah ke lantai seakan tiada kudrat lagi untuk menanggung beban kesedihan ini. Tangisan hibanya dihamburkan sepenuh hati tanpa niat menyelindung lagi. Betapa kenyataan ini menghancurkan hatinya. Masih terngiang-ngiang suara kecil itu berkata-kata di pelupuk telinganya. Tawa riang, senyuman, gelagat dan celoteh yang menghiasi hari-harinya dulu telah pergi buat selamanya.

" Aisyah!!! Kenapa Aisyah tinggalkan mummy?! Kenapa Aisyah pergi?! Aisyah kata Aisyah nak pergi sekejap aje. Ya Allah! Kenapa kau ambil Aisyah ya Allah," raungan lirih Jasmine bergema di seluruh dewan pembedahan.

Elhan melutut di sisi Jasmine. Bahu temannya digosok perlahan demi menitipkan secebis ketenangan.

" Ini semua ketentuan Tuhan. Bawak bertenang I tak nak you jatuh sakit. "

Ketika Elhan sedang memujuk Jasmine, kelihatan beberapa orang jururawat mengusung katil pesakit yang telah meninggal dunia keluar dari dewan pembedahan. Seluruh tubuh pesakit telah dilitupi kain putih. Katil itu dihentikan buat tatapan waris buat seketika.

Elhan membantu Jasmine untuk bangun perlahan-lahan. Dalam esakan yang masih berpanjangan, Jasmine melangkah lemah menghampiri sekujur tubuh yang terbaring itu. Menggigil tangannya ketika dia menyelak kain putih itu. Wajah pucat Aisyah yang sudah tidak bernyawa itu semakin menyendatkan kepiluan yang dirasai.

" Aisyah, bukak mata sayang. Jangan tinggalkan mummy, please. Sayang? Bukak mata ni. Kita dah janji nak buat banyak benda sama-sama. Bangunlah, ermm. Aisyah dah janji nak sembuh semula, " ujar Jasmine lirih. Ditatap dan diusap seluruh wajah pucat Aisyah mengharapkan keajaiban muncul.

Elhan berdiri di sisi Jasmine. Dia menarik tangan Jasmine untuk menghentikan perlakuan wanita itu daripada menyakiti tubuh Aisyah.

" Jas sudahlah. You pergi balik tenangkan diri dulu. Keadaan you tak stabil sekarang. Biar I yang uruskan jenazah Aisyah, " ujar Elhan perlahan. Bimbang temannya itu tidak dapat mengawal diri.

Ratapan bagai tiada henti. Jasmine bertindak memeluk tubuh sejuk Aisyah. Cuba Elhan tarik tapi Jasmine berterusan menolak tidak mahu melepaskan Aisyah.

" Tak, dia belum mati. Aisyah belum mati lagi. Dia cuma tertidur aje. Kejap lagi mesti dia bangun kan? "

" Aisyah memang dah tidur. Tapi, untuk selamanya. Dia takkan bangun semula. "

Jasmine menggeleng beberapa kali. Kenyataan ini terlalu sukar untuk dia terima. Bukan sekarang, bukan kali ini.

" No, no, no! Tak, tak mungkin. Elhan, kejutkan dia please! Please, I tak nak hilang dia! "

Semakin galak air mata Elhan yang jatuh. Dia berduka dengan berita ini dan simpati terhadap Jasmine pada masa yang sama. Basah wajah itu yang dihujani deraian air mata menghambat rawan di hati. Apatah lagi dia paling takut andai Jasmine enggan menerima takdir ini.

" Sudahlah. Kita kena terima dengan hati yang ikhlas. Aisyah dah pergi menghadap Tuhan. " Dengan hati yang kelat, Elhan menuturkan kata itu lagi.

Isyarat mata diberikan kepada jururawat untuk mengusung jenazah ke bilik mayat. Bimbang keadaan jadi semakin tidak terkawal akan menjejaskan kesihatan Jasmine. Dia terpaksa menggunakan kudrat lelakinya untuk menarik tubuh Jasmine menjauhi jenazah Aisyah.

Melihat Aisyah dibawa pergi, Jasmine menggenggam kuat kolar baju Elhan.

" Elhan, kejutkan dia! Please, I merayu pada you tolong kejutkan Aisyah! Kejutkan Aisyah, Elhan. I masih ada banyak benda nak buat dengan dia. Masih banyak perkara nak cakap dekat dia. I belum puas jadi mummy dia. Kejutkan dia, to... tol... tolong I Elhan! " Tersekat-sekat suara Jasmine merayu dalam keterdesakannya.

Keadaan Jasmine yang sudah semakin hilang arah itu memaksa Elhan untuk menariknya ke dalam dakapannya. Dia tidak tega melihat Jasmine menjadi lemah begitu. Hati lelakinya tidak kuat.

" Shh!! It's okay. You boleh menangis, you boleh sedih. I ada dengan you. Kita sama-sama sedih tapi you jangan minta I hidupkan dia semula. I merayu. Sebab I tak berkuasa buat semua tu. Aisyah milik Allah. Dia cuma bagi pinjam sekejap aje dekat kita. Tapi takpe, kita dah janji nak kuat demi Aisyah, kan?" pujuk Elhan setenang yang boleh. Belakang kepala Jasmine diusap lembut.

Situasi itu mengundang rasa cemburu dalam diri Hayyani. Melihat suami yang selalu memberikan dakapan hanya untuknya sedang mendakap wanita lain. Terburu-buru dia meninggalkan kawasan itu tanpa dilihat sesiapa. Hatinya takkan sanggup untuk melihat lagi biarpun Elhan hanya terpaksa untuk menenangkan wanita itu.

" Kejutkan dia Elhan. Kejutkan... " Terlalu banyak tenaga yang digunakan sehingga suaranya timbul tenggelam akhirnya Jasmine pengsan. Tubuhnya rebah dalam pelukan Elhan.

" Jas? Bangun Jas! Jasmine?! " Elhan mula cemas. Pipi Jasmine ditampar berkali-kali namun tiada respons. Lantas, tubuh itu dicempung ke bilik rawatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience