Bab 19
" Assalamualaikum." Hayyani memberi salam. Bagaikan disapa angin dari Siberia, tubuhnya terasa seram sejuk apabila diperhatikan oleh Puan Farida yang sedang duduk di ruang tamu. Memang jelas ibu sedang menunggu kepulangannya.
" Waalaikumussalam."
Meskipun wajah ibu seakan hendak menelannya, dia tetap tayang muka tenang. Sebelum keadaan jadi getir, lebih baik dia cabut dulu. Namun, belum sempat dia nak mendaki tangga, Puan Farida menghentikan langkahnya.
" Walaupun ibu ni tak penting dekat mata kau, tapi sekurang-kurangnya iktiraf sikit pangkat ibu ni untuk kau hormat. Pelik dengan budak zaman sekarang. Teknologi dah makin canggih tapi nak hantar satu mesej pun susah sangat, " tutur Puan Farida kedengaran sinis. Dia menapak mendepani anak gadisnya.
Hayyani sudah mengeras di situ. Bibir bawahnya diketap kuat sebelum dia memberanikan diri memandang wajah dingin ibu. Agaknya sebab inilah dia tak sedap hati sewaktu dalam perjalanan balik tadi.
" Ibu tak payah nak perli Daneen. Daneen tahu ibu marah sebab tak bagitau ibu yang Daneen nak pergi rumah umi. "
Bibir Puan Farida terlukis senyuman nipis namun sinis.
" Tahu pun. Ingatkan saja buat-buat tak tahu. Jangan ingat bila diri tu dah besar boleh buat keputusan ikut kepala sendiri. "
Lagi pernyataan yang menggigit-gigit hati Hayyani. Matanya terpejam rapat buat seketika cuba mencari sekelumit ketenangan. Pernah ke walaupun sehari ibu tak mencari pasal dengannya. Pasti ada saja yang tak kena.
" Daneen tahu semua tu, ibu. Lagipun selama ni bila buat keputusan pernah ke ibu tak masuk campur? Takkanlah sebab tak bagitau pergi mana pun ibu nak melenting jugak. Lagipun bukan pergi rumah orang lain, rumah umi Khalida jugak, " bidas Hayyani sederhana. Walaupun hatinya terasa kelat, namun dia tidak mahu mengabaikan perasaan hormatnya kepada ibu.
" Berhenti mempersoalkan ibu sebaliknya tengok diri tu dulu. Selama kau hidup, ibu tak mintak banyak cuma mintak kau contohi abang kau aje. Rajin bekerja, taat perintah ibu abah, berjaya didik keluarga. Susah sangat ke nak jadi macam abang Haris? " Soalan Puan Farida ditujukan dengan mata yang membulat.
Hayyani terus menahan diri. Lafaz istighfar bergema dalam sukma. Kolam matanya begitu mudah ditakungi air yang akan tumpah pada bila-bila masa saja. Tak habis-habis dengan perbandingan ini. Dia sudah jelak.
" Kalau ibu nak tengok kejayaan tanpa cacat cela aje ibu akan lupa kesusahan yang perlu anak-anak rasa untuk puaskan hati ibu sendiri. Pernah ibu letak diri ibu dekat tempat Daneen? Pernah ibu rasa nak bunuh diri lepas kena marah sebab gagal puaskan hati seorang ibu? Pernah ke ibu rasa semua tu? Pernah ibu tanya Daneen apa yang Daneen nak dalam hidup ni? Mestilah tak pernah sebab apa yang ibu tahu semua perkara berlaku ikut kehendak ibu aje, " luah Hayyani lirih. Termuntah sebahagian dari isi hatinya yang amat kecewa dan terluka akibat perbuatan ibu. Namun, apakah simpati yang akan ibu berikan kepadanya. Mustahil.
" Daneen Hayyani, kau jangan nak melampau dengan ibu! " Telunjuk Puan Farida sudah naik ke muka Hayyani. Wajah itu memerah serta merta gara-gara bengang dengan jawapan anak gadisnya. Tangis Hayyani tumpah di situ sudah mengagak bahawa tiada sekelumit pun rasa simpati dari mulut ibu.
" Sudah! Apa kena dengan dua beranak ni. Tak elok jiran dengar malam-malam hari nak bertekak aje. Budak ni tak sempat letak beg pun lagi awak dah bising-bising. Kali ni pasal apa pulak?! " Encik Sulaiman yang tiba-tiba hadir di antara mereka menegur dengan suara lantangnya. Tergeleng kepalanya tatkala merenung wajah Puan Farida dan Hayyani silih berganti. Langkah kakinya dibawa menuruni anak tangga.
Titis-titis air mata yang berjatuhan di pipinya disapu bersih. Hayyani memandang ibunya sekilas sebelum kembali memandang Encik Sulaiman.
" Takde apa pun abah. Ibu cuma risau Daneen tak bagitau ibu masa pergi rumah umi tadi. Memang salah Daneen pun. Tak payahlah abah nak marah ibu, " bela Hayyani. Sungguh pun hatinya bengkak, namun dia tak rela melihat ibu dimarahi abah.
Encik Sulaiman mengeluh berat dan menggeleng kepala sebelum membalas.
" Haih, macam-macam hal. Kan abang dah cakap Daneen pergi rumah Khalida. Kawan baik dia Hanan tu jemput datang rumah makan-makan sesama dia orang kawan-kawan. Takkanlah isu macam ni pun nak dirumitkan. "
Kini pandangan tajamnya terpanah pada Puan Farida yang lebih selesa mengunci mulut. Kalau dia tidak ada untuk meredakan keadaan, alamatnya sampai esok pun tak sudah. Bukan dia tak tahu sikap isterinya yang suka melebih-lebih.
" Sudahlah, Daneen pergi naik atas. Perkara dah jadi jangan nak dipanjang-panjangkan lagi. "
Hayyani mendaki anak tangga secepat yang mungkin. Sungguh pun begitu, telinganya masih dapat menangkap pertengkaran ibu dan abah yang semakin berjela-jela di bawah itu. Pertengkaran itu tidak mungkin berlaku jikalau dia tidak ada di rumah itu. Ya, mungkin lebih baik jika dia tidak wujudkan diri kalau itu lebih baik untuk semua orang. Di depan pintu bilik, dia terduduk menangis dengan hati yang pilu.
****
Pada hari sabtu itu, Hanan mengajak Hayyani menemaninya membeli belah di Shah Alam. Hanan menawarkan diri untuk menjemput Hayyani di Bangi. Sepanjang perjalanan ke Shah Alam, Hanan begitu terkesima mendengar cerita Hayyani sehingga dia tidak boleh menumpukan perhatian ketika membeli barangan di Giant Shah Alam itu.
" Aku mintak maaf. Sebab aku suruh kau balik lambat haritu habis ibu dengan abah bergaduh."
Selepas makan malam di rumahnya kelmarin, dia menahan Hayyani daripada pulang awal kerana ingin menghabiskan masa berbual bersama. Lagipun dia fikir keluarga Hayyani sudah mengenali mereka lama. Tak sangka hal sebegini boleh menjadi isu pula bagi Puan Farida.
" Takde apalah. Aku malaslah nak cerita pasal tu lagi. Lagipun, walaupun aku tak bersalah tapi akhirnya tetap aku yang bersalah. It's okay... " akui Hayyani berbaur kesal. Dalam sekali makna dari kata-katanya membuat Hanan lebih berempati.
" Kau kena faham Daneen, hati seorang ibu ni sensitif. Dia sentiasa risau pasal anak-anak dia walaupun ada dekat depan mata. Inikan pulak bila anak-anak dia hilang dari pandangan, mulalah dia rasa tak sedap hati. Fikir bukan-bukan, " jelas Hanan cuba sehabis baik membuat Hayyani bersangka baik. Mereka berjalan pula ke arah stesen lauk segar.
" Aku dah bagitau abah aku pergi mana. Mungkin waktu tu abah lupa nak bagitau ibu."
" Alah babe, kalau susah sangat nak call, kau WhatsApp ajelah. Bukan susah pun," ujar Hanan sambil memasukkan beberapa candat sotong ke dalam plastik lut sinar. Kemudian, dia mengambil beberapa ekor ikan siakap pula. Terbayang menu-menu enak yang bakal dimasaknya sempena menyambut kepulangan Lukman yang bekerja jauh di Penang.
Hayyani tertunduk muram. Memikirkan kebenaran dari kata-kata Hanan itu membuatkan dia sesak nafas. Kenapalah ibu selalu sangat bernasib baik. Semua orang tidak menyebelahinya.
" Yelah, aku salah. "
Memang tindakannya kelmarin mengundang kemarahan walau sesiapa saja yang bergelar ibu. Bukan setakat kelmarin tapi sudah lama dia tidak kisah untuk memberitahu ibu tentang keberadaannya oleh kerana sikap ibu yang suka sangat melenting tak tentu hala. Selama ini ke mana saja pergi dia akan beritahu abah saja.
" Aku tak berada di tempat kau Daneen. Tapi aku boleh faham apa kau rasa. Aku tak salahkan kau sebab kau sendiri yang faham perasaan kau macam mana. Takde ibu bapa yang maksum dan tak buat kesalahan pada anak. Mak ayah kita pun dibesarkan pada zaman yang berbeza daripada kita jadi pemikiran mereka lain. Kau doa dan sabar banyak-banyak, okey? " nasihat Hanan sambil memeluk bahu Hayyani.
Terbentuk sebaris senyuman di wajah Hayyani. Dia sangat beruntung memiliki Hanan sebagai sahabat. Sejak kecil Hanan tak pernah jemu mendengar keluhan dan mengelap tangisannya.
" Okey. Aku cuba, " balas Hayyani sederhana.
" Tapi kan, aku tak boleh bayanglah macam mana muka ibu waktu dia marah. Yelah, sebab selama ni aku nampak ibu tu tersenyum aje. Seram tak weh? " soal Hanan ingin tahu. Dia terhenti seketika dan menalakan fokus kepada temannya itu.
Melihat muka Hanan yang bersungguh-sungguh hendak mendengar jawapannya itu, Hayyani tersenyum jahat. Ada idea nakal yang melintas di kepalanya.
" Gila tak seram weh! Kalau dia besarkan mata dia kau boleh terkencing dekat situ jugak tau. Macam mata ikan ni," gurau Hayyani. Ikan mata besar di tangannya didekatkan pada wajah Hanan sehingga jaraknya hanya seinci saja. Segera Hanan menjauhkan diri dengan muka gelinya itu.
" Eee! Kau jangan buat main boleh tak. Letak balik, " tekan Hanan. Jari telunjuknya dituding minta Hayyani meletakkan kembali.
Hayyani tergelak sendiri. Seronok betul kacau Hanan rupanya. Kemudian, dia meletakkan ikan itu kembali ke atas rak yang bertaburan ais. Dia pun tak tahu mana dapat. Main capai saja apa yang ada di situ.
Selesai mendapatkan semua yang diperlukan di situ, mereka menuju ke kawasan lain pula.
" Aku doakan kau dengan ibu ngam semula. Tak naklah kau sedih-sedih lagi pasal ni. Tak best lah tengok kau macam ni, " kata Hanan sambil meletakkan beberapa paket gula pasir ke dalam troli yang ditolak Hayyani. Terdengar temannya itu melepaskan keluhan berat.
" Macam tulah Hanan. Apa boleh buat. Bukannya aku tak pernah cuba nak berdamai dengan ibu. Tapi ibu yang selalu nak naik angin. Kalau ada hari kita orang bercakap baik-baik pun masa hari raya. Lepastu, terus jadi macam biasa, " cerita Hayyani tak beriak.
Hanan jatuh kasihan melihat wajah itu. Diceriakan namun tak ceria. Seolah temannya itu mempunyai lebih banyak kisah hempedu dari madunya.
" Rumit betul kisah kau ni, ek? Aku pun tak tahu apa yang kau dah buat sampai ibu layan kau dingin macam tu. Tapi kau sabarlah. Mana tahu suatu hari nanti keadaan boleh jadi terbalik pulak. "
Hanan cuba menyedapkan hati Hayyani. Bahu temannya itu dipaut lembut.
" Entahlah. Aku malas nak berharap. Hari-hari aku doa supaya dapat bertahan aje. Lagipun buruk mana pun ibu, dia tetap ibu yang melahirkan aku. "
" Kesian kat kau. " Hanan hampir menangis mendengar luahan itu.
Hayyani tersenyum kecil. Sebagai topeng untuk menutup sedih di hati. Dia tidak mahu kisah sedihnya membantutkan mood Hanan nak membeli belah hari ini.
" Takpelah, janganlah buat muka sedih tu. Hujan pulak karang. Banyak betul kau beli baju tadi, kan. Itu baru namanya shopping sakan. "
Lepas saja mereka pulang dari SACC Mall, Hanan terus mengajaknya membeli barang kelengkapan rumah di Giant Seksyen 13 Shah Alam. Maklumlah orang dah berumah tangga. Sibuk nak menguruskan keluarga dan rumah pula.
" Hish, mana ada. Aku punya sikit ajelah. Yang banyak kau punya, " tukas Hanan selamba.
Kening Hayyani bertaut. " Apasal aku punya pulak? "
" Abang aku bagi duit suruh belikan kau baju untuk pergi interview nanti. Sebab tulah, aku suruh kau pilihkan tadi, " beritahu Hanan lalu meletakkan botol kicap dan sos ke dalam troli lagi.
Hayyani kelu sekejap. Patutlah Hanan beria-ria menyuruhnya memilih pakaian yang hendak dibeli tadi padahal temannya itu lebih handal bab bergaya. Rupanya ada udang di sebalik mee!
" Lah... abang kau ni poyo ajelah. Aku punya baju pun banyak lagi tak pakai dekat rumah tu. Kau ambil ajelah. "
Elhan memang suka buat ikut suka hati dia tanpa bertanya apa-apa. Terharu namun segan juga pada masa yang sama untuk dia terima pemberian lelaki itu. Lagipun dia masih mampu berbelanja untuk diri sendiri walaupun tidak mewah.
" Alah, ambil ajelah. Pakai depan dia. Kalau segan sangat tak payah mention apa-apa. Kau kan pandai bab berpura-pura ni, " perli Hanan seraya menjelirkan lidah. Kemudian, dia tergelak sendiri sebelum berjalan mendahului Hayyani.
Hayyani mencebik. Hek eleh. Adik beradik sama aje. Mulut tak makan saman.
****
Hayyani meletakkan tulip biru pemberian Malik yang sudah layu di dalam pasu jernih berisi air. Bekas itu diletakkan di atas meja belajar benar-benar menghadap tingkap. Dia berharap sangat bunga itu akan kembali mekar.
Kemudian, dia menghempas punggung di birai katil. Di sebelahnya ada Haleena yang sudah terbongkang buat tahi mata di dalam biliknya. Barangkali penat daripada pukul 9 malam sampai pukul 1 pagi mengulang kaji pelajaran. Dengan kertas assignment yang melambak di sana sini buat sakit mata saja. Nasib kaulah Haleena! Siapa suruh ambil kos perubatan?
Tapi apa nak dihairankan, kursus perubatan itu pun Puan Farida sendiri yang menentukan untuk Haleena. Abangnya pun menerima nasib yang sama tapi oleh kerana Haris meminati bidang perakaunan, semua itu tidak menjadi masalah. Seronok dengan kerja sebagai akauntan sekarang.
Sedang matanya meliar mencari aktiviti yang boleh dilakukan, dia terpandang Apple Macbook di bawah kepala Haleena. Laptop itu diambil perlahan-lahan lalu diletak atas riba. Dulu selalu juga dia skodeng apa yang ada di dalam laptop adiknya. Namun kali ini tiada yang menarik perhatiannya. Hanya ada fail-fail tugasan dan aplikasi yang semua pelajar ada, tersusun di desktop Haleena.
Entah apa yang difikirkannya, jari jemari mula lincah menaip perkataan Fac sebelum pautan berkenaan dipaparkan. Nama pengguna dan kata laluan dimasukkan. Berlambak notifications dan friend requests yang terpapar oleh kerana sudah 2 tahun dia tak menggunakan Fac.
Hayyani petik jari. Malik! Pasti lelaki itu ada akaun Fac. Aplikasi Fac adalah yang terlebih awal datang sebelum zaman kemegahan Instagram dan Twitter. Rata-rata semua orang di dunia ini ada akaun Fac jadi tak mustahil lelaki itu ada juga.
Butang search ditekan setelah nama Malik dimasukkan. Kalau nak dikira, terlalu banyak orang yang menggunakan nama Malik di Fac. Jenuh juga hendak mencari satu per satu. Apabila dia menambah perkataan Ghaozani pula, tapisan carian lebih spesifik berbanding tadi.
Profil Malik Ghaozani yang menduduki carta teratas kata carian ditekan. Laman akaun itu diskrol ke bawah. Apabila melihat profil lelaki itu yang berasal dari Turki, matanya sudah bersinar. Namun apabila dia melihat umur pemilik akaun di maklumat peribadi, hatinya hampa. 50 tahun? Tak mungkin itu Malik si mamat bunga.
Laman Instagram pula ditekan. Dia melakukan hal yang sama namun semua percubaan seakan menemukannya dengan jalan buntu. Sedih, mengapa Malik tidak mahu terus berkawan dengannya?
' I work for Lotus Greenhouse near Grand Bazaar. I always come to this beach and sell flowers after finish doing delivery nearby. '
Kata-kata Malik yang ramah bercerita dengannya terngiang-ngiang di pelupuk telinga. Lantas dia mencari nama kedai itu di Google. Jumpa! Ada nombor telefon, email dan juga alamat yang tertera di situ. Nak hantar email dia tak ada alamat email Malik. Telefon? Tidak, Malik pasti tidak mahu dia melibatkan kedai bunga itu. Lagipun yang menjawab panggilan nanti sudah tentu kerani kedai. Alamat? Okay, address is much enough.
Lid komputer riba ditutup dan diletakkan kembali di sebelah Haleena. Kemudian dia berganjak dan duduk di meja belajar. Pen, kertas dan sampul surat digapai. Ada satu idea yang terlintas di fikirannya saat ini.
Surat kiriman!
Share this novel