Sudah hampir 3 minggu semenjak insiden itu berlaku tapi hati Hayyani masih digoncang keresahan. Di atas meja kerja Elhan yang terletak di sudut bilik, ada beberapa bingkai gambar kenangan. Namun, yang menarik perhatian Hayyani cumalah gambar tiga sahabat itu ketika masing-masing masih menuntut di bumi London.
Secara automatik, kata-kata Muna kelmarin mula berputar dalam ingatan. Muna mengingatkan dirinya untuk tidak berterusan berprasangka buruk. Persahabatan jasmine dan Elhan sudah lama ada sebelum cintanya wujud untuk Elhan.
Dalam hal ini, dia diminta untuk lebih menghargai dan mempercayai Elhan. Sebelum Elhan berjumpa dengan mana-mana perempuan lain, lelaki itu sudah pun terlebih dahulu mencintainya. Kata-kata itulah yang menjadi pemujuk untuk dia terus bersikap selayaknya seorang isteri kepada Elhan.
" Sayang? Abang free petang ni. Nak cari baju raya sama-sama? Lepastu abang ingatkan nak ajak awak balik rumah ibu. Kita tidur sana seminggu sebelum raya. Bolehlah buat persiapan raya sama-sama, " kata Elhan yang baru saja masuk ke dalam bilik mereka. Teruja nampak riak wajahnya memberitahu tentang berita gembira itu. Butang pada lengan kemeja ditanggalkan satu persatu sebelum dia menyinsing lengan.
Senyap. Tiada jawapan dari mulut si isteri membuatkan Elhan mengeluh lemah. Harus bagaimana lagi dia lakukan untuk mengembalikan Hayyani yang ceria. Memanglah sebelum ini pun Hayyani melayannya seperti biasa tapi dia sedar isterinya melakukan semua itu hanya atas dasar tanggungjawab semata. Hakikatnya Elhan pasti Hayyani masih memeluk duka lama antara mereka ketika awal puasa.
" Takpelah, kalau awak nak pergi beli baju lain kali kita pergi lain kali. Atau pun kalau awak nak pergi sendiri, abang tinggalkan awak duit. "
Sementelahan tiada jawapan lagi dari Hayyani, Elhan memberi kata putus. Ada kecewa dalam nada suaranya. Namun, baru saja hendak berjalan keluar dari bilik, Hayyani memanggilnya.
" Abang... " perlahan-lahan Hayyani menapak mendekati Elhan yang sudah berpaling memandangnya. Berkaca bening matanya saat ini.
Elhan merenung dalam sepasang mata isterinya. Dia juga berdebar menantikan kata-kata yang bakal meniti dari bibir si cantik itu.
" Daneen tak salahkan abang atas apa yang terjadi. Cuma Daneen harap sangat apa yang terjadi dulu takkan terjadi lagi. Daneen takut sangat kalau apa-apa berlaku masa tu, " luah Hayyani tanpa berselindung lagi. Waktu itu dia merasakan dunianya runtuh seketika seolah Elhan bakal meninggalkan dirinya.
Semerta Elhan angguk, tanda benar dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh isterinya. Bahu Hayyani dipaut lembut.
" Abang faham apa yang awak risaukan. Dalam hal ni abang pun terlepas pandang. Abang minta maaf. Semua ni takkan terjadi lagi, sayang. Abang akan pastikan, erm?"
Tanpa isyarat, Hayyani segera mendakap erat tubuh bidang Elhan. Dia membenamkan wajah pada dada sang suami melepaskan emosi yang bersarang di jiwa. Hakikatnya dia memang benar-benar takut tanpa tahu mengapa.
" Abang janji, jangan pernah sesekali pun tinggalkan Daneen. Daneen tak nak hilang abang. Walau dalam apa pun keadaan, Daneen tak nak hilang abang, " rintih Hayyani tanpa segan silunya. Dia enggan lagi menyelindung emosi setelah sekian lama memendam rasa. Semakin kuat pelukannya melilit di tubuh Elhan.
" Hei... abang takkan ke mana-mana pun sayang. Abang ada dekat sini dengan isteri abang. I'm sorry sayang to make you feel this way. I'm sorry. "
Merah mata Elhan menahan tangis. Dia mengusap belakang kepala Hayyani lantas mengeratkan lagi pelukan antara mereka. Sedar bahawa selama ini dia masih belum mampu memberikan yang terbaik sebagai suami namun dia bersumpah tak akan menyiakan Hayyani walau sekali pun!
Share this novel