Sudah sebulan berlalu semenjak Hayyani dan Elhan bernikah. Sepanjang waktu itu, rumah tangga mereka terasa hambar saja. Setiap kali Elhan cuba memulakan perbualan dengan baik Hayyani selalu mengakhirinya dengan persengketaan. Di antara mereka umpama terdirinya sebuah tembok yang sukar diruntuhkan.
Setelah lama bertimbang tara, Elhan memikirkan bahawa mungkin sudah tiba masa untuk mereka belajar hidup berdikari. Kata orang kalau hendak perbaiki hubungan, suami isteri mestilah duduk bersama-sama untuk menyelesaikan apa jua masalah. Dan hal itu takkan dapat dicapai sekiranya dia sibuk bekerja di Shah Alam sementara Hayyani tinggal di Bangi.
Lantaran itu, pada hujung minggu, Elhan mengajak Hayyani berpindah ke rumah yang telah disediakannya. Mujurlah Hayyani bersetuju untuk berpindah setelah dipujuk. Kalau tidak sukar bagi Elhan untuk mencari ruang paling tepat menawan kembali hati isteri tercinta.
Usai memasukkan bagasi dan barangan mereka ke dalam bonet kereta, Elhan dan Hayyani menghampiri Encik Sulaiman, Haleena dan Puan Farida yang sedang menunggu.
" Ibu, abah. Kami pergi dulu, ya. Nanti bila-bila masa jemputlah datang rumah kami," pamit Elhan seraya mencium tangan bapa mertuanya.
Encik Sulaiman menepuk bahu Elhan. Tubuh menantunya itu dipeluk kejap.
" InsyaAllah. Lambat laun ibu dengan abah mesti sampai ke sana punya. Jangan risau."
Hayyani yang memerhatikan pula menjadi sebak. Dia tidak pernah membayangkan dalam hidupnya akan berpisah dengan keluarganya selepas berkahwin. Kali ini, dia harus menghadapi kenyataan menyedihkan itu.
" Daneen, anak abah. " Encik Sulaiman menggamit anak gadisnya. Kemudian, tubuh sederhana Hayyani didakap kejap.
" Abah sayangkan Daneen. Abah jaga Daneen dari sekecil-kecil orang sampailah dah besar panjang. Abah didik dengan agama dan ilmu pengetahuan. Guna pakai ilmu tu sampai bila-bila pun. Ingat, berilmu tapi tak beradab sia-sia saja. Sekarang, abah serahkan tanggungjawab abah pada Elhan. Ingat, abah sentiasa sokong kamu dari jauh pun, " sambung Encik Sulaiman. Lantas dahi Hayyani dikucup kejap. Perasaan sayangnya kepada Hayyani dizahirkan melalui pesanan yang terselit di sebalik ucapannya tadi.
Encik Sulaiman sedar hubungan anak menantunya itu masih sedingin bayu Siberia. Namun, dia tidak mahu Hayyani mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kasihan hati tuanya melihat Elhan yang sepanjang sebulan ini banyak bersabar dengan sikap Hayyani.
" Daneen sayang abah sangat-sangat. Terima kasih abah. Terima kasih sebab jadi abah yang baik untuk Daneen. Halalkan makan minum Daneen, abah. " Tanpa dapat menahan sebak, manik-manik jernih mula menuruni pipi Hayyani. Tangan abah dicium lama bagaikan hendak terpisah jauh.
Terasa hangat tangan abah menggosok kepalanya sebelum dia beralih menghadap wajah tenang ibu. Terus tangan ibu dicapai lalu diciumnya kejap. Seketika kemudian, dia mengangkat wajahnya bagi mengatur kata.
" Ibu... maafkan semua salah silap Daneen pada ibu. Daneen mintak berkat restu ibu untuk halalkan segala yang ibu pernah bagi pada Daneen. Redha dengan Daneen, ya. Daneen sayang ibu, " ungkap Hayyani lirih kedengaran suaranya yang tenggelam timbul kerana sedu sedan. Inilah buat pertama kali kata sayang itu terpacul di bibirnya buat seorang ibu.
Puan Farida tetap tersenyum walaupun rasa sebak memenuhi ruang dada. Wajah Hayyani yang kebasahan diseka dengan jari jemarinya. Namun ibu yang manalah tidak menitiskan air mata saat anak yang dikandung 9 bulan 10 hari sudah tumbuh dewasa dan bakal menjalani kehidupan sendiri. Teresak juga Puan Farida akhirnya.
" Ibu sayang kamu jugak. Ibu dah halalkan semuanya. Maafkan dosa ibu pada kamu. Ibu tahu ibu banyak buat salah. Kalau nak cakap dekat sini sampai esok pun takkan habis. Tapi semua yang ibu buat selama ni, semua sebab ibu sayang Daneen. Jangan dendam pada ibu ya, nak? " soal Puan Farida seraya mengucup dahi Hayyani berkali-kali.
Penyesalan atas kata-kata dan layanan dinginnya kepada Hayyani mula membekas di hati. Namun, jauh di sudut hatinya, mengharapkan Hayyani akan memaafkan segala tindak tanduk dan kata-kata lampaunya dulu. Sungguh, tiada niat di hatinya untuk melukai.
" Leen... " panggil Hayyani kepada Haleena yang sedang teresak kecil. Tanpa menunggu, Haleena menerpa Hayyani lalu mendakap tubuh kakaknya erat.
" Akak, nanti kalau free datanglah sini selalu. Boleh kita borak-borak, spend time sama-sama. Tau kak, " pesan Haleena. Satu-satunya kakak yang menjadi tempat bermanja bakal membawa haluan sendiri. Sedih pula rasanya. Tinggallah dia seorang di rumah dengan ibu dan abah setelah kakak dan abangnya berkahwin.
" Leen betul ke sedih akak Leen yang sorang ni nak pergi? Bukan best ke takde orang cari pasal lagi, " usik Elhan selamba. Dia gelak pula kemudiannya.
Haleena tayang muka sedih. " Betullah. Mana ada sedih yang main-main."
" Jangan risau Leen, dia tetap akak Leen yang sama tapi bezanya dia orang rumah abang sekarang. Abang takkan larang kalau akak nak balik sini selalu sebab dia berhak. Cuma abang perlukan akak di sisi. Penguat semangat paling hebat ni. Kan sayang? " Elhan memberi jaminan. Dia memeluk bahu Hayyani dan mengenyitkan sebelah mata kepada isterinya. Nakal.
Wajah Hayyani terasa pijar. Selamba saja Elhan buat ayat pick up line di depan ibu dan abah. Disebabkan dia sudah memeterai perjanjian dengan Elhan untuk berlakon bahawa mereka sudah berbaik semula, dia pamer reaksi biasa. Seolah-olah tidak terkesan dengan perlakuan Elhan.
" Nanti akak datang selalu. Jaga ibu dengan abah tahu. Belajar elok-elok, " nasihat Hayyani buat kali terakhir sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya.
Air mata Hayyani sekali lagi mengalir deras sebaik saja bayang keluarganya yang melambai-lambai tadi hilang dari pandangan. Perginya seorang anak perempuan sebagai isteri seseorang lelaki, bermakna perginya dia sebagai tetamu buat keluarganya. Kembali semula suatu hari nanti hanya untuk melepas rindu, bukan lagi untuk menetap.
****
Selama lebih kurang satu jam menempuh perjalanan, kereta mewah milik Elhan diberhentikan di hadapan rumah baru mereka di seksyen 30 Shah Alam itu.
" Masuklah. Saya bawak turun beg kita, " pelawa Elhan. Ikatan tali pinggang keledar dibuka sebelum dia keluar dari perut kereta.
Hayyani masih terpinga-pinga saat kakinya mencecah lantai halaman rumah itu. Kagum sebentar dia melihat kawasan sekeliling dan dekorasi rumah itu. Biarpun tidak segah rumah mewah lain, namun kediaman itu kelihatan elegan dan ceria.
" Rumah ni sewa aje. Nanti bila rumah kita dah siap, kita pindah sana pulak, " kata Elhan ketika mereka berdua melangkah masuk ke ruang tamu. Kunci rumah disangkut pada kotak kunci.
" Saya tak kisah. Asalkan ada tempat nak tinggal," balas Hayyani. Rumah ini pun sudah cukup selesa buat mereka yang tinggal berdua.
Terbentuk senyuman senang di bibir Elhan. Dia berasa gembira andai Hayyani menyukai rumah itu. Selama sebulan, dia bekerja keras mencari rumah untuk mereka diami buat sementara waktu. Walaupun semuanya dibuat pada saat-saat akhir, namun hasilnya cukup memberangsangkan.
" Pergilah tengok-tengok bilik. Ada barang yang saya tertinggal dalam kereta." Elhan meninggalkan Hayyani yang masih terpesona dengan ruang dalaman rumah itu.
Hayyani tersenyum sendiri. Walaupun dia melayan Elhan dingin, namun lelaki itu tidak pernah berhenti cuba mengambil hatinya semula. Kadang kala dia menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjadi isteri yang baik buat Elhan.
Ada sebuah bilik di tingkat atas yang memancing minat Hayyani. Perlahan-lahan, tombol pintu dipulas sebelum melangkah masuk ke dalamnya. Hanya beberapa saat berlalu sebelum hiasan dalam bilik itu benar-benar memukaunya. Dia hilang kata.
" Suka tak? Bilik ni saya buatkan khas untuk awak melukis. Ni ruang awak sendiri." Elhan muncul di belakang. Senang hatinya melihat Hayyani menyentuh alatan melukis yang tersedia di dalam bilik itu.
" Elhan, tapi... "
Belum sempat Hayyani menghabiskan kata, Elhan datang merangkulnya dari arah belakang. Erat dan terasa hangat pelukan itu menghanyutkan Hayyani dalam asmara buat seketika. Sungguh, hatinya mendamba pelukan itu.
Namun, ada sesuatu yang menghalang dirinya daripada terus membiarkan perasaan itu bermaharajalela. Cuba dileraikan tangan kasar itu daripada melilit di pinggangnya namun dia tidak berdaya. Penyudahnya, dia membiarkan saja Elhan meletakkan dagu di atas bahunya sekali gus memeluknya lebih erat.
" Saya mintak maaf. Selama seminggu kita kahwin saya belum berpeluang nak buat awak ketawa semula. Sebab tulah, saya cuba ikhtiar untuk kita tinggal rumah sendiri. Abang Haris cakap ibu larang awak melukis dekat rumah tu. Sekurang-kurangnya, dekat sini awak boleh tenangkan fikiran bila melukis. Saya bagi ruang sebanyak mungkin pada awak untuk lepaskan semua tekanan, " ujar Elhan panjang lebar.
Suaranya yang garau menampan telinga Hayyani dalam bisikan yang gemersik dan lembut. Entah datang dari mana keberanian Elhan untuk berbuat begitu kepada Hayyani. Namun, dia tidak dapat menahan lagi gelodak hati yang sentiasa rindu untuk mendakap dan membelai isterinya.
" Kenapa awak buat semua ni Elhan? Kenapa awak berkorban walaupun awak tahu saya mungkin takkan terima awak lagi. Kenapa? " Berkali-kali Hayyani melontarkan soalan.
Esakannya mula berbunyi lagi. Air mata terharunya turut mengalir. Barangkali air mata kesal yang meratapi sikap dinginnya kepada Elhan selama ini sedangkan suaminya itu mencuba yang terbaik untuk membuat dia tersenyum kembali. Betapa berdosanya dia sebagai isteri.
Elhan mengucup kejap kepala Hayyani yang bertudung. Rangkulannya dieeratkan lagi seakan tidak mahu melepaskan cinta hatinya itu. Terasa lepas semua bebanan yang memberat di kalbu.
" Kalau hati dah cinta apa pun sanggup saya buat untuk awak, sayang. Saya belum sempat nak bagitau sebelum ni sebab setiap kali awak pandang saya, awak cuma nampak kebencian. Saya dah buat keputusan, saya nak bagi ruang dan masa pada awak sebanyak mana yang awak perlukan untuk terima saya semula. Saya tahu susah tapi saya mintak tolong awak... cubalah, " rayu Elhan sepenuh hatinya.
Elhan mengucup lagi kepala si isteri dengan perasaan syahdu. Kemudian, dia berlalu meninggalkan Hayyani melayan perasaan sendiri di kamar itu. Dalam keharuan sesaat dua yang dipinjamkan oleh Allah untuk memeluk Hayyani tadi, hati Elhan memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga.
Share this novel