Elhan melonggarkan ikatan tali lehernya ketika menderap langkah di perkarangan rumah agam milik keluarganya. Dia baru saja pulang dari hospital selepas selesai kerja dan menemani Aisyah seperti rutin-rutin kebiasaannya. Hari yang panjang dan memenatkan telah bermula semula selepas pulang dari Langkawi.
Ketika itu juga, telefon bimbit dari dalam poket seluarnya berdering. Lantas dia keluarkan dan meleret skrin untuk menjawab setelah melihat nama pemanggil.
" Elhan, you dekat mana? " soal suara itu di hujung talian.
Elhan berkerut nipis. Belum pun sempat dia berkata apa-apa Jasmine sudah menerjah perbualan mereka dahulu. Ada sesuatu ke ni?
" I baru sampai rumah umi. Arif drop I tadi. Kenapa Jas? Are you okay? " soal Elhan separa cemas. Suara Jasmine kelihatan seperti sedang bergegas mengejar sesuatu.
" You tunggu I kejap boleh? I have something to tell you. "
Panggilan diletakkan selepas soalan itu dijawab. Elhan terus menunggu di situ tanpa sempat masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Dia juga berdebar menantikan apa yang bakal Jasmine beritahu kepadanya apabila berjumpa nanti.
Jasmine menggenggam kemas jari jemarinya dalam perjalanan menuju ke rumah Elhan. Buru-buru dia meninggalkan hospital tadi jadi dia menaiki saja sebuah teksi yang kebetulan menunggu di depan hospital.
Ketika ini hatinya berkecamuk dengan perasaan takut, berdebar dan gemuruh yang amat dahsyat. Bertahun menyimpan perasaan baru kali ini dia mendapat kekuatan untuk meluahkan perasaannya kepada Elhan.
Ya, malam ini dia sudah bersedia untuk mencurahkan segala isi hatinya. Elhan terima atau tidak itu semua belakang cerita. Yang penting dia tidak mahu menyesal seumur hidup kerana tidak pernah memberitahu Elhan soal itu.
Jasmine keluar dari teksi itu setelah akhirnya sampai di rumah keluarga Elhan. Dari tempat dia berdiri, dia dapat melihat susuk Elhan berdiri di tengah laman rumah sedang menunggu seseorang. Nafas disedut lagi sedalam-dalamnya cuba mengusir debar yang bermukim di dada sebelum boleh berdepan dengan Elhan. Hari ini akan dia ceritakan segala-galanya kepada lelaki itu.
Namun baru saja dia hendak berlari mendapatkan Elhan, kereta Mercedes Benz milik Elhan terlihat dipacu masuk ke perkarangan rumah itu. Selang beberapa saat, dia lihat ada seseorang keluar dari perut kereta dan dia yakin orang itu adalah Hayyani. Lantas Jasmine menyorok di sebalik tembok dan mengamati perbualan kedua-duanya.
" Nah, kunci kereta. Terima kasih banyak-banyak sebab kasi pinjam. Minyak saya dah isi full tank ron 97. Siap servis cuci kereta dan polish tayar, " ucap Hayyani dengan nada seakan-akan sedang merajuk. Lihatlah wajah itu, antara sudi dan tak sudi saja memandang wajah Elhan.
Selepas beberapa hari Elhan pulang dari Langkawi, Hayyani memutuskan untuk memulangkan kereta lelaki itu. Dia berasa tidak berhak untuk mengguna pakai harta benda milik orang berlama-lama. Lagipun, hatinya masih membawa rajuk dengan Elhan ekoran apa yang berlaku kelmarin. Kalau boleh hendak saja dia mengelak daripada berjumpa Elhan namun kali ini dia tiada pilihan.
" Ni muka masam aje ni. Saya yang penat-penat balik kerja pun boleh terus hilang letih tau kalau tengok awak senyum. Senyumlah sikit. " Elhan cuba menceriakan wajah masam Hayyani. Sampai saat ini dia masih mencari punca Hayyani marahkannya. Lantaran itu, panggilan dan mesejnya semua tidak dihiraukan Hayyani.
" Awak suruhlah perempuan lain senyum untuk awak. Saya nak balik. " Hayyani membidas komen Elhan tadi. Jelas rajuk dalam nada suaranya kali ini.
Elhan senyum senget seraya menggaru hujung keningnya yang tak gatal. Ketika Hayyani sudah berpaling untuk berjalan pergi, Elhan menarik hujung lengan baju wanita itu. Pergerakan Hayyani terhenti memaksanya kembali menghadap Elhan.
" Sekejaplah. Saya nak tanya saya ada buat salah pada awak ke?" Soal Elhan lemah lembut. Dia dapat merasakan kalau Hayyani sedang melancarkan rajuk kepadanya.
" Takde, " jawab Hayyani pendek. Itu pun dia tak berani sebenarnya untuk menentang panahan mata Elhan yang membunuh. Takut tak jadi pula nak merajuk.
" Habistu kenapa awak nak mengelak daripada saya? Cuba awak cakap terus terang," soal Elhan cuba menyelesaikan sengketa antara mereka. Buntu juga berteka teki. Kalau dia yang bersalah dia relakan sepenuh hatinya untuk memohon maaf.
Hayyani menghembus nafas. Kemudian, dia bersilang tangan sambil memanah tepat wajah tampan Elhan.
" Elhan, awak takde apa-apa nak bagitau saya ke? "
Kening Elhan bertaut kejap. " Bagitau apa? Oh ya... saya rindu awak. "
Hayyani terpana ketika sepotong ayat dari mulut Elhan memanah hatinya lalu mencipta debaran yang hebat memalu dada. Senyuman Elhan turut mengancam dirinya. Tidak, dia tidak boleh tewas dengan godaan itu.
" Sa... saya tak nak dengar yang tu. "
" Habistu? Bagitahu sebab kenapa saya boleh tersuka awak dalam 7 billion manusia dekat dunia ni? "
Mata Hayyani terpejam rapat. Di kala ini, dia sedang mengumpulkan segudang kesabaran untuk berdepan dengan Elhan yang suka meloyar buruk dan menyakitkan hati. Ada yang kena campak dekat sungai karang.
" Bukanlah. Hish! "
" Kalau semua bukan, jadi apa? Saya tak sukalah awak main belok-belok bila bercakap ni. Cuba terus terang aje, " pinta Elhan yang semakin tak mengerti dengan situasi mereka.
Hayyani tenung Elhan dengan renungan tajam. Namun, Elhan tetap tayang reaksi tenang.
" Sampai hati awak kan Elhan. Awak datang dalam hidup saya buat saya benci dengan awak. Lepas beberapa tahun menghilang, tiba-tiba awak datang awak cakap awak suka saya. Awak buat saya keliru dan celaru dengan perasaan sendiri. Awak ingat awak siapa? Awak memang selalu ambil ringan ke pasal hati dan perasaan orang lain. Bukan senang nak sembuhkan hati yang sedia terluka. Mungkin ambil masa setahun tapi bagi saya sejuta tahun pun belum cukup untuk sembuhkan luka yang awak buat pada saya. Awak datang pada saya ambil sesuatu yang tak sepatutnya awak ambil lepastu awak buat tak tahu aje, " bebel Hayyani tanpa henti. Laju turun naik dadanya cuba mengatur nafas yang tak sekata.
Elhan hampir ternganga. Terkesima sebentar dengan fenomena yang berlaku tadi. Pertama kali dalam hidupnya mendengar Hayyani membebel. Padanya Hayyani cukup... comel.
" Perlahan-lahanlah cakap tu. Semput nanti macam mana, " tegur Elhan sambil menahan tawa. Jujur dia hampir tergelak tadi tapi memandangkan Hayyani sedang serius dia terpaksa menahan diri.
" Biarlah bukan awak peduli," rajuk Hayyani sambil memalingkan tubuhnya ke tempat lain.
Elhan menghela nafas panjang. Kemudian, dia bergerak untuk mendepani Hayyani.
" Okey, saya mintak maaf. Saya tak pasti apa yang buat awak marah sangat. Tapi saya rasa saya kena mintak maaf daripada awak ni. Maafkan saya tak? " Lembut suara Elhan memohon kemaafan. Kedua belah tangannya dirapatkan untuk memohon maaf. Sumpah dia mati akal tak tahu tentang salah yang pernah dilakukannya.
" Sampai hati awak. Sampai hati awak cakap awak sukakan saya tapi pergi pinang perempuan lain. Kenapa awak buat saya macam ni Elhan? "
Hayyani mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya lalu diserahkan kepada Elhan. Mukanya seakan-akan hendak menangis.
" Apa ni? " Berkerut-kerut wajah Elhan ketika dia meneliti sekeping gambar itu. Berdebar pun ada di saat ini.
Elhan menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Foto itu diletakkan di sebelah pipi Hayyani cuba membuat perbandingan. Gadis di dalam foto itu mirip Hayyani.
" Siapa, eh? Muka dia ada iras dengan awaklah. Biasa orang muka sama ni pelanduk dua serupa, kan... " komen Elhan dengan rasa kagum. Tak sangka di dalam dunia ini ada seseorang yang benar-benar boleh menyerupai Hayyani.
Hayyani mengeluh berat. Ya Allah, rasa nak seligi saja kepala dia. Kenapalah slow sangat mamat ni nak tangkap.
" Ni memang sayalah. Tengok, dekat jari saya ada cincin awak, " jelas Hayyani tanpa berselindung lagi. Penatlah buat kejutan tapi Elhan tak faham. Lakonannya sebelum ini cuma gimik untuk memberikan jawapan kepada lamaran itu saja.
" Ya Allah! Awak serius ni? Tak main-main? " Elhan terjerit kecil. Air mukanya benar-benar menzahirkan keterujaan yang tidak terhingga.
Hayyani tertawa kecil. Sudah dua malam dia mendirikan solat istikharah meminta diberi bimbingan untuk memilih yang terbaik. Demi itu, Allah menguatkan hatinya untuk memilih Elhan. Ya, dia nekad memilih Elhan sebagai suami.
" Seriuslah. Sekarang, saya dah jadi tunang awak. Jadi berhenti bagi komitmen pada perempuan lain. Saya tak suka," ujar Hayyani turut menyelitkan makna tersirat di sebaliknya. Dia tak mahu lagi Elhan berkelana ke sana sini dengan wanita lain. Selepas ini, walau ke mana Elhan membawa langkahnya, dia mahu turut mengambil jejak yang sama.
Kedua tangan diangkat tinggi ke langit sebagai tanda syukur yang tak terkira dari Elhan terhadap Allah. Tidak menyangka akhirnya dia akan memiliki gadis yang sering didoakan dalam setiap satu per tiga malamnya. Penantiannya tidak pernah sia-sia.
" Alhamdulillah. Syukur pada nikmatMu ya Allah. Umi! Meh keluar kejap tengok bakal menantu umi ni! "
Hayyani tergelak saat Elhan melaung memanggil Doktor Khalida untuk memberitahu soal itu. Dia lihat ketulusan dalam diri Elhan. Mata itu umpama kaca yang membiaskan segala isi di dalam hati yang menyimpan satu cinta buatnya. Ketika itulah, dia nekad untuk terus belajar mencintai Elhan.
Berita gembira itu merupakan satu permulaan episod bahagia buat Elhan, namun tidak bagi Jasmine yang sedari tadi memerhatikan segalanya dari jauh. Episod dukanya sudah bermula. Dari segala banyak kesempatan yang dipinjamkan kepadanya sebelum ini, kenapa tiada walau satu saat pun yang dimilikinya bagi meluahkan rasa cinta kepada Elhan. Keyakinan yang tepat di waktu yang salah.
Jasmine melorot lemah di sebalik tiang itu. Air mata gugur semahu-mahunya. Dia menekup mulut untuk menahan sebaknya agar tidak didengari sesiapa. Malah sebak yang menghentam dada semakin hebat tatkala melihat betapa gembira Elhan melaungkan sorakannya tadi.
Sirna segala harapan untuk dia meluahkan cinta yang sarat di sanubarinya buat Elhan. Tertutup segala ruang dan kini dia telah terlewat. Betapa remuk redam perasaannya untuk memaksa diri menerima hakikat, cinta yang disulam sebegitu lama akhirnya terpaksa dikuburkan di dalam hati buat selamanya.
Pada akhirnya, Jasmine sedar bahawa yang mencintai akan selalu tewas dengan yang dicintai. Kali ini saja, biarlah Jasmine memilih untuk mengalah walau hatinya tersiat seribu demi menerima kenyataan yang maha perit ini. Berbahagialah Elhan.
Pada anda yang sudah membaca sehingga ke tahap ini, terima kasih banyak. Semoga sedikit sebanyak dapat mencipta senyuman di wajah anda :))
Share this novel