Seperti yang dijanjikan malam tadi, kedua sahabat itu bertolak seawal jam 7 pagi menuju ke pusat bandar. Kedai makan terbaru yang viral di Fac menjadi tempat pilihan Denzel.
"Akhirnya.. yesss, abang lapar ni dik. Lama juga tunggu." Tersengih-sengih Denzel terus bangun dari sandarannya sebaik sahaja makanan yang ditempahnya berada di atas meja.
Anderson yang sudah lama roti canainya sampai turun menjamu selera setelah menunggu kedatantan makanan Denzel. Tidak enak baginya menjamah dulu makanannya tanpa menunggu Denzel.
"Fuhhh, baru rasa hidup dekat dunia." Denzel menolak mangkuk kosong ke tengah meja. Licin mangkuk yang berisi laksa sarawak tadi. Senyuman puas mekar pada wajahnya yang berkumis nipis.
"Sebelum ni hidup dekat bulan ke?" Usik Anderson. Denzel hanya membalas dengan ketawa kecil sambil menyandar kekenyangan.
Anderson yang tempah dua roti canai kosong tadi masih tersisa satu keping lagi. Perlahan dia mengoyak roti canai tersebut. Hendak makan dengan cepat pun masih juga Denzel akan duduk lepak di sana hingga hilang mual kenyangnya.
"Saya tengok awak pun dah kurus sikit. Chef kapal dah bertukar ke kenapa makanan dah tak sedap?"
Memang dari malam tadi dia perasan akan perubahan pada badan Denzel. Masih berisi cuma nampak nipis dari yang sebelum ini.
"Entahlah Son." Balas Denzel sedikit menunduk.
"Kalau penat kerja, tukar dengan sayalah. Saya pergi kerja, awak tinggal kampung." Usik Anderson sebaik sahaja sahabatnya itu mula menunjukkan raut wajah tanpa senyuman. "Bosan juga asyik saya yang jadi wakil anak muda bersuara dekat meeting kampung."
"Tak tahulah Son. Tapi saya rasa saya dah tersilap langkahlah Son."
Anderson sekadar menjungkit kening membalas kerutan di dahi Denzel.
"Saya sayangkan Liana tapi saya dah terlanjur cintakan orang lain," dengan suara berketar Denzel terpaksa berterus-terang. Apa sahaja yang dia hadapi, baginya orang pertama yang patut tahu adalah Anderson. Berkat kebijaksanaan Anderson nanti pasti penyelesaian akan ditemui.
"Janganlah macam ni Zel. Takkan saya yang single ni yang nasihatkan awak. Saya bukannya ada pengalaman." Ujar Anderson sebaik sahaja menghirup teh tarik panas. Pinggan yang masih berisi separuh roti canai ditolak. Hilang sudah selera makannya.
"Tahun lalu saya tanya Liana nak kahwin tak, dia jawab belum sedia. Dua kali dalam masa satu tahun." Satu persatu ayat digabungkan untuk memudahkan Anderson faham.
"Saya geram Son. Dalam geram tu saya... Saya terjumpa Elly. Pendek kata, dia buat saya bahagia."
"Bahagia apa kalau jadi kurus?" Pandangan tepat dihalakan pada Denzel yang masih tersekat-sekat bersuara.
"Sebab saya tak tahu nak buat apa. Saya tak nak kehilangan Liana tapi saya sayangkan Elly."
"Jadi tujuan nak balik ni, nak kahwin dengan siapa?"
"Elly. Saya nak bawa dia balik kampung."
"Ah! gila kerja kau, Zel. Dari tingkatan tiga bercinta kau dengan Liana. 20 tahun!"
Denzel ketawa. Telinganya yang terasa tebal panas digaru. 20 tahun memang masa yang lama. Mungkin kerana itulah dia sudah tak menikmati bagaimana indahnya cinta. Apatah lagi kedua mereka sibuk bekerja. Denzel sendiri berada di lautan. Liana pula doktor gigi yang sentiasa sibuk mengatur klinik gigi miliknya.
"Liana tahu Elly wujud?" Tanya Anderson. Denzel memusing kepala beberapa kali. Anderson melepaskan nafas geram. Lelaki sebijak Denzel itu boleh-boleh terjebak dengan cinta tiga segi pula.
"Macam mana saya nak beritahu dia?" Tanya Denzel pula.
Terkebil-kebil mata Anderson memandang sekeliling. Entah kenapa kisah hidupnya yang harus diceritakan kepada pembaca tapi masalah Denzel pula yang patut diselesaikan.
"Dua-dua kawan saya. Harapan saya tiap kali awak balik, awak kotakan janji nak buat majlis besar-besar dengan Liana." Luah Anderson.
Denzel menekup wajahnya dengan kedua belah tangan. "Semua salah saya juga. Sepatutnya saya yang harus setia tapi saya tak sanggup menunggu."
"Macam manalah?"
"Rancangan saya, lepas ni saya nak ajak awak jumpa Elly. Temankan saya. Lagipun ni pertemuan pertama kami."
Laju Anderson geleng kepala. Masa muda dulu sudah cukup dia buang masa menunggu Denzel dan Liana duduk bercinta. Sekarang ini sudah terang niat baiknya itu hampir menjadi sia-sia. Denzel bukan sahaja memberi harapan palsu pada Liana malah pada dia juga.
"Temanlah Son. Mana tau ada orang kampung terjumpa kita, cakaplah tu girlfriend awak."
"Lain kalilah Zel. Awal sangat awak ajak keluar tadi. Itik dengan ayam dekat kebun tu pun belum diberi makan. Kita balik dululah." Sengaja Anderson memberi alasan. Padahal awal pagi dia bangun terus menuju ke kebun untuk meletakkan makanan ayam dan itiknya.
Denzel menyeluk saku seluarnya. Telefon pintarnya dikeluarkan lalu diletakkan atas meja. Saat membuka skrin telefon pintar itu, Anderson sempat nampak dengan jelas wajah perempuan lain yang menghiasi paparan muka depan telefon itu.
"Macam mana boleh kenal si Elly tu Zel?" soal Anderson. Sah sahabatnya itu memang sedang dilamun cinta. Disoal begitu sahaja dia dah tersenyum lebar. Hilang kerutan di dahinya tadi.
"Elly tu saudara Ethan. Ethan yang kenalkan. Kami selalu chat dalam Whatsapp."
Anderson angguk kepala tanda faham. Patut juga Elly tak tahu yang Denzel sudah berpunya. Jika dari Fac mereka kenal mestilah sudah Elly nampak profile picture Denzel bersama dengan Liana.
"Dia tak minta add fac?" Benda yang bermain dalam fikirannya tadi disoal.
"Saya buat fac baru dan fac lama tu saya block dia awal-awal."
"Benar kata orang, kalau nak berbuat benda yang tak bagus pasti ada saja caranya." Sinis jawapan dari Anderson. Dalam diam dia memang sakit hati dengan apa yang sedang Denzel lakukan. Walaupun bukan dia yang bercinta dengan Denzel tapi terasa dia yang dicurangi.
"Maafkan saya Son. Kalau nak marah, marah dengan saya saja. Jangan marah dengan Elly."
Anderson menongkat dagu. Mungkin dia patut ikut Denzel berjumpa dengan Elly. Nanti boleh juga dia memberitahu Elly siapa Denzel yang sebenarnya. Masalahnya, dia perlu cari jalan juga supaya dapat berbual berdua sahaja dengan Elly tanpa ada Denzel.
Mungkin juga dia patut paksa Denzel berterus-terang dengan Liana atau biar dia sendiri yang beritahu Liana.
Share this novel