Elhan sedang menekur kotak cincin di tangannya ketika dia berdiri di depan pagar rumah Hayyani. Dia mengusap cincin belah rotan yang terletak elok di dalamnya dengan perasaan pilu. Minggu lepas, Encik Sulaiman dan Puan Farida ada berkunjung ke rumahnya dan memulangkan cincin tanda itu untuk memutuskan pertunangan.
Selepas kedatangan ibu bapa Hayyani kelmarin, dia membuat permintaan supaya keluarga Hayyani menunggu sehingga dia sendiri yang datang untuk mengakhiri segalanya. Satu usaha yang cuba dilakukan demi mencari walau sedikit waktu lagi untuk memenangi kembali hati Hayyani. Namun, setelah segala perdebatan dan penjelasannya langsung tidak mampu mengembalikan keadaan, akhirnya dia akur dengan suratan.
Lama dia mengumpul kekuatan di situ sebelum melangkah masuk. Akhirnya, kini dia tekad dengan keputusan walaupun barah di hatinya cuma Tuhan yang tahu. Mungkin sudah tiada jodoh dia dan Hayyani bersama.
Baru saja hendak menekan loceng rumah, tangan Elhan tiba-tiba ditarik sekali gus menghentikan perbuatannya.
" Jasmine, you buat apa dekat sini?" soal Elhan hairan melihat keberadaan temannya di situ.
" Umi cakap you datang rumah Daneen untuk putuskan pertunangan. Is that true?" soal Jasmine tidak berdalih. Sekilas dia memandang kotak cincin di tangan Elhan.
Elhan hembus nafas berat. Umi! Dia sudah menyangka perkara ini pasti akan sampai ke pengetahuan Jasmine walaupun dia cuba untuk merahsiakan tentang perpisahan ini.
" Kalau betul pun masih tak ada kena mengena dengan sesiapa. Ni antara I dan Daneen," balas Elhan tanpa nada. Kaki diayun untuk sekali lagi mendekati punat loceng rumah tetapi tubuh Jasmine menghalangnya.
" I tak boleh kasi you masuk. " Dengan tegas Jasmine menegah.
" Ke tepi Jas. Jangan halang I. "
Jasmine mendepangkan tangannya. Langsung tidak memberikan ruang untuk Elhan meneruskan niat. Putuskan pertunangan? Dia tidak akan membenarkan semua itu terjadi.
" You dah fikir masak-masak ke? Cinta pertama you tu langsung tak bernilai apa-apa ke bagi you? Ada masalah sikit aje you nak putus asa. This is so not you." Jasmine menggeleng kesal. Hebat sangat penangan cinta Hayyani sampai Elhan boleh berubah sikap. Walau apa pun, salah faham ini perlu dibetulkan.
Elhan meraup wajahnya. Wajah serius Jasmine dipandang tanpa riak.
" Memang bukan kehendak I Jas. I lepaskan Daneen bukan kerana I nak tapi sebab ini permintaan Daneen. Dia tak mampu nak cakap dengan mulut dia sendiri yang dia tak nak teruskan perkahwinan. I cuma tolong buat apa yang patut. "
Jasmine mendecit. " So you nak masuk dalam dan setuju untuk putuskan pertunangan seolah-olah you yang bersalah? Jangan ingat you boleh jadi hero kalau you tetap berdegil nak masuk ke dalam. Daneen takkan ingat you sebagai hero. Sampai bila-bila dia akan anggap you lelaki keji disebabkan fitnah tu, " selar Jasmine sekadar memberikan tamparan pada Elhan supaya sedar tentang realiti yang bakal dihadapi nanti.
Bukan sehari dua mereka berteman jadi Jasmine amat mengerti bahawa Elhan tidak mahu perkahwinan itu dibatalkan. Kebahagiaan temannya itu ada bila dengan Hayyani. Sangat tidak adil baginya untuk membiarkan Elhan menanggung beban fitnah itu sendiri sedangkan Hayyani tidak mahu memberikan peluang untuk menjernihkan keadaan.
" Habistu, you nak I buat apa? You nak suruh I teruskan perkahwinan sedangkan Daneen terdesak mintak I lepaskan dia. You boleh bayang tak macam mana keadaan I dengan dia lepas kami bernikah nanti. Hari-hari I akan dengar perkataan 'ceraikan saya'. I tak nak dia merana, " adu Elhan sebak. Bebola matanya mula kemerahan menahan tangis.
Kalau memang betul itu yang akan terjadi nanti, sanggup dia melebur hasrat untuk berkahwin dengan Hayyani. Biarpun hatinya begitu kepingin untuk bersatu dengan wanita itu. Sungguh pun jiwanya sangat terdesak meminta Hayyani menyisakannya satu peluang saja lagi untuk memperbaiki keadaan.
Bahu bidang Elhan dipaut Jasmine. Sekali lagi dan berulang kali Elhan menunjukkan wajah muram itu kepadanya. Hatinya dipagut pilu.
" Jangan nak jadi lemah sangat Elhan. Mana pergi ketenangan you setiap kali ada masalah terjadi? Jangan disebabkan fitnah tu you nak terus lemah semangat. Ini baru sikit. Dugaan lepas berkahwin nanti lebih dahsyat," bidas Jasmine cuba mengembalikan diri Elhan yang dulu. Tekad dan semangat lelaki itu bagai hilang entah ke mana.
" Untuk apa you buat semua ni, Jas? Maksud I, semua benda dengan Daneen tak pernah berjalan lancar termasuklah pertunangan ni. I tak nak libatkan sesiapa pun dalam masalah I. "
Wajah Elhan dipandang lama mengertikan sebuah tatapan yang begitu mendalam. Andai saja Elhan tahu tentang perasaannya. Hati yang terkandung cinta di dalamnya akan siap berkorban dan mengikhlaskan walaupun itu harus bermakna melepaskan.
" Sebab I faham luka orang yang dicintai tak sedalam luka orang yang mencintai. Kalau perpisahan ni terjadi, you akan lebih terluka berbanding Daneen. Dan I takkan kenal siapa you lagi. I ada dekat sini sebab I don't want to lose the old you," ujar Jasmine namun suaranya mula mengendur di hujung kata.
Cengkamannya pada bahu Elhan kian longgar lalu dia menghalakan pandangan ke tempat lain. Sebahagian besar kata-kata yang diutarakan tadi adalah luahan hatinya sendiri yang takkan pernah Elhan tahu. Jadi biarlah dia saja yang merasakan sakitnya tidak dapat bersatu dengan insan yang dicintai. Dia tidak mahu Elhan merasakan sepertinya juga.
" Jasmine... " Elhan memaut lengan Jasmine untuk menoleh ke arahnya. Dia lihat wanita itu menangis. Kasihan sangatkah Jasmine kepadanya sehingga menitiskan air mata. Hatinya tertanya.
" What should I do about you? Sebab tulah I tak nak you terlibat dalam perkara ni. I takut you kesiankan I."
Sapu tangan dari kocek dikeluarkan lalu pipi Jasmine dikesat perlahan. Hanya seketika sebelum Jasmine menggeleng dan menolak perlahan tangannya. Dia tidak mahu rasa terharu atas kelakuan Elhan mencambah harapan di hati.
" You just have to let me try. Biar I yang masuk dalam ceritakan segala-galanya pada Daneen. I pasti dia mesti faham nanti," saran Jasmine sambil merenung mata Elhan mengharapkan persetujuan. Sekurang-kurangnya itu yang harus dia lakukan demi hubungan yang retak menanti belah itu.
Elhan mengeluh lemah. Tingkap kamar Hayyani ditatap dari jauh kemudian dia kembali memandang Jasmine.
" Daneen tak nak dengar apa-apa lagi dari mulut I. Tak ada guna bagi penjelasan. Tengok muka I pun dia benci, " balas Elhan tak bernada. Dia mengerti niat baik Jasmine namun apakan daya jikalau Hayyani berkeras untuk menutup pintu hati buatnya.
" Dia tak nak jumpa you tapi bukan I. Jangan risau, I'm gonna make sure this wedding happens. Leave it to me. Elhan, you percayakan I kan? Do you trust me?" soal Jasmine cuba menagih kepercayaan Elhan. Sinar di matanya memanjat pengharapan yang tinggi.
" I do. So much, " balas Elhan tanpa ragu.
Terlukis senyuman nipis di bibir merah Jasmine. " Then let me do this."
Elhan menganggukkan kepala tanda setuju. Melihat kepada kesungguhan Jasmine, Elhan tidak betah untuk membantah lagi. Dia amat mempercayai temannya itu walaupun kini dia sudah berserah atas iradat yang mungkin telah disandarkan oleh Ilahi. Kalau memang harus terpisah biarlah dia akhiri tanpa keluh kesah.
****
" Akak, takkanlah akak nak batalkan perkahwinan akak. Kesian dekat abang Elhan tau. Majlis tu tinggal minggu depan aje lagi," ujar Haleena yang tak pernah berputus asa untuk memujuk kakaknya.
" Habis akak ni, Leen tak kesian? "
Haleena mampir lebih dekat kepada si kakak yang sedang duduk membelakangkannya.
" Abang Elhan dah jelaskan pada semua orang. Dia kata budak tu cuma anak angkat dia. Dia dah jaga sejak lahir lagi sebab bekas kekasih abang Elhan tu meninggal masa bersalin. Khabar angin tu tak betul pun, " jelas Haleena sedaya upaya berharap kakaknya terima.
" Betul apa yang Haleena cakap. "
Tiba-tiba ada suara asing datang mencelah di antara mereka. Hayyani dan Haleena sama-sama berpaling melihat gerangan yang hadir dari arah belakang mereka. Hayyani agak kaget dengan kehadiran Jasmine di dalam bilik itu.
Lekas Hayyani mengesat bersih air mata yang masih berbaki di wajahnya.
" Leen, keluar sekejap. "
Haleena angguk tanda faham. Pasti Jasmine dan Hayyani memerlukan ruang untuk berbual secara peribadi.
" Okey, kak. "
Hayyani membetulkan duduknya. Kemudian, ruang di sebelahnya ditepuk mempelawa wanita itu duduk. Jasmine sekadar menurut. Dia melabuhkan duduk benar-benar menghadap batang tubuh Hayyani.
" You sihat? I mintak maaf datang secara mengejut." Jasmine memulakan perbualan.
" Awak buat apa dekat sini Jasmine? " soal Hayyani tanpa niat untuk berkias lagi.
Nafas ditarik dalam dan dihembus sebelum Jasmine bisa menjelaskan kepada Hayyani. Dia berada di situ bukan atas permintaan Elhan tetapi atas kehendaknya sendiri. Lagipun Hayyani langsung tidak mahu bercakap dengan Elhan. Setidaknya dia harus membantu semampunya untuk memperbaiki keadaan.
" I tahu antara you dengan Elhan tengah ada konflik. Dan I juga tahu segala-galanya tentang Elhan dengan Louisa sebab I pun pernah jadi sebahagian daripada kisah dulu. Percayalah, apa yang jadi dulu langsung takkan mampu mengubah perasaan you pada lelaki sebaik Elhan yang you kenal sekarang, " tutur Jasmine perlahan-lahan. Cuba membuktikan bahawa Elhan bukanlah seburuk itu. Dia takkan ragu mengatakannya.
" Elhan memang lelaki yang baik. Dia pandai buat saya jatuh hati kemudian patahkan hati saya macam ni, " balas Hayyani penuh emosi. Berlinang lagi air mata di pipi. Saat ini apa yang dirasakannya bukan lagi marah, tetapi kecewa kerana Elhan tidak mempercayainya.
" This is his first wedding too, Daneen. He is afraid of making mistakes but to lose you, itu yang paling dia takutkan. Majlis you guys pun hampir berlangsung jadi I tak nak apa-apa terjadi, " ujar Jasmine berterus terang lagi tentang kerisauannya. Wajah sugul itu direnungnya dengan perasaan belas.
" Kalau awak datang sini untuk back up Elhan lebih baik awak balik, " tingkah Hayyani enggan berkompromi apabila melibatkan Elhan. Ralat perasaannya masih terasa mencengkam jiwa.
Jasmine memeluk bahu Hayyani. Dia perlu menjelaskan perkara itu umpama menarik rambut di dalam tepung agar tiada pihak yang terkesan.
" Tapi you dah tahu kebenarannya. It's not fair kalau you terus layan Elhan macam ni. I kesiankan Elhan dan kesiankan you at the same time. I tahu Elhan sepatutnya nak bagitau you awal-awal tapi dia belum jumpa waktu yang sesuai. Dia takut hilang you. " Hati Jasmine punya perasaan simpati buat Elhan. Semenjak insiden itu, Elhan susah hati kalau-kalau Hayyani nekad membatalkan pernikahan mereka. Lantaran itu, semua yang dikerjakannya langsung tak menjadi.
" Tapi tak boleh ke dia berterus terang aje. Kenapa dia mesti sorokkan? Saya tak layak ke untuk tahu semua tentang dia? Saya tak penting ke? Saya tahu sesiapa pun akan rasa terkejut bila dapat berita macam ni. Awak ingat saya teringin sangat ke nak putuskan pertunangan dengan lelaki yang saya dah mula sayang? Saya terseksa tahu tak, " luah Hayyani sebak. Dia menangis semahu-mahunya di bahu Jasmine.
" I faham, Daneen. I faham. Basically, apa yang you expect dari hubungan you dengan Elhan is to trust each other. You kecewa sebab you rasa Elhan tak percayakan you. I faham sangat. "
Jasmine menarik Hayyani ke dalam pelukannya. Dia biarkan saja wanita itu mengongoi di bahunya. Belakang tubuh itu digosok cuba menitipkan ketenangan sebelum Hayyani benar-benar bersedia untuk mendengar penjelasannya.
Share this novel