Selepas menghadiri temu duga, Elhan membawa Hayyani makan tengah hari di sekitar Kampung Baru. Restoran yang selalu dikunjunginya dahulu sewaktu belajar peringkat asasi sains hayat di Universiti Malaya. Memandangkan perjalanan ke Bangi akan mengambil sedikit masa, jadi mereka membuat keputusan untuk mengisi perut terlebih dahulu. Masing-masing pun sudah mula kelaparan.
" Awak ada nak pergi mana-mana ke lepas ni? Kalau ada saya hantarkan sebelum kita balik Bangi. Senang sekali jalan aje, " soal Elhan seraya mengelap mulutnya dengan tisu di atas meja.
" Takde dah. Urusan saya dekat sini dah selesai," jawab Hayyani yakin.
" Okaylah kalau macam tu. Kejap, saya pergi bayar. " Elhan sudah berkira-kira untuk bangun menuju ke kaunter pembayaran.
" Eh... tak payah, tak payah. Biar saya bayar. Hari ni saya belanja. " Hayyani terlebih dulu menghalang. Lagipun dia rasa bersalah kerana Elhan sudah bersusah payah mengatur temu janjinya dengan Encik Faizul tapi dia menolak tawaran itu. Fikirnya itu saja yang boleh dilakukan untuk membalas budi baik Elhan.
" Baik semacam aje ni. Ada apa-apa ke?" soal Elhan mendatar. Angin gadis itu kelihatan lebih baik dan ceria berbanding sebelum mereka sampai ke KL tadi.
" Saya nak belanja makan pun salah ke?" Aduh mamat ni! Orang nak belanja pun banyak songel.
" Takdelah, saya risau orang buat baik tiba-tiba ni. Ke awak dah dapat kerja tadi? " Elhan cuba meneka. Sejak memulakan perjalanan dari tempat temu duga lagi, Hayyani seakan-akan enggan membuka mulut soal itu. Kini, dia tertanya-tanya sendiri.
" Encik Faizul belum cakap apa-apa lagi. Dia kata kalau dia dah buat keputusan nanti lagi seminggu dua dia call lah. Lagipun bukan senang nak terima orang yang takde pengalaman ni bekerja, " balas Hayyani berpura-pura tiada apa. Seboleh mungkin dia cuba mengawal air mukanya. Lakonannya tak boleh kayu ketika berdepan Elhan yang konservatif ini. Kalau tidak habis kantoi rahsia antara dia dan Encik Faizul.
" Mana tahu rezeki awak. Dapatlah kerja situ. Doa yang baik-baik ajelah, " ujar Elhan tenang sambil bersandar pada kerusi.
Buat beberapa ketika, bebola mata Elhan meratah setiap inci kulit wajah Hayyani. Di dalam hatinya terbit satu rasa tidak senang. Seolah-olah Hayyani sedang menyembunyikan sesuatu daripadanya.
" Apasal? " Soal Hayyani memecah kebisuan. Dia yang naik segan apabila ditatap tak lepas oleh Elhan sejak tadi.
" Muka tu semacam aje. Macam orang dilamun cinta. Agak-agaklah kalau nak tunjuk muka syok dekat si Faizul tu pun. " Elhan membuat andaian sendiri. Di kala ini dia berasa sukar untuk membaca fikiran Hayyani.
" Apa benda awak ni? Merepek aje."
" Mana tahu awak minat dekat dia. Saya bukannya tahu taste awak jenis yang macam mana. "
" Awak dah gila? Takkan saya nak minat dekat laki orang, " bidas Hayyani dengan mata yang membulat. Giler selamba statement mamat ni. Tapi sekurang-kurangnya dia lega kerana Elhan tak syak yang bukan-bukan.
" Bekas laki orang, " perbetul Elhan.
Hayyani melongo seketika. " Oh... yeke? "
" Dia pernah kahwin dulu tapi Allah takdirkan dia bercerai mati dengan isteri dia. Ada anak sorang. Sekarang saya rasa dia single lagi tu. Kalau dia nak cari pengganti pun, dia mesti cari perempuan yang boleh terima anak dia," beritahu Elhan lagi dengan tak semena-mena. Sengaja nak lihat reaksi Hayyani yang seterusnya.
Hayyani mengangguk kepala. Begitu rupanya kisah yang tersirat dalam diri usahawan yang ditemuinya tadi. " Kesian betul Encik Faizul tu. Tapi kan, apa motif awak ceritakan semua ni? "
" Saja nak awak tahu siapa dia. Mana tahu kalau awak nak try dia lepas reject saya nanti. " Elhan mengeluarkan pernyataannya secara bersahaja.
" Eleh, saya tak cakap pun saya nak tahu. Kalau saya nak try pun saya tak nak try orang yang dalam bulatan awak jugak. Saya tetap tak boleh mengelak daripada jumpa awak nanti. "
Hayyani tayang muka tak berminat. Air teh o ais miliknya dikacau dengan straw dan kemudian dia menyedut sedikit. Mempertontonkan lagak tenang dan bersahaja walaupun dalam hatinya ada debaran yang tidak seirama. Kenapalah mamat ni suka usik pasal lamaran tu?
" Awak nak tahu tak satu perkara? "
" Tak ingin. " Hayyani tahu Elhan sedang melancarkan muslihat di sebalik pandangan mata itu.
" Kalau awak tak nak kahwin dengan saya kenapa awak cakap saya bakal tunang awak tadi? " Hampir saja Hayyani tersedak ketika mendengar soalan Elhan.
" Err... bila masa saya cakap macam tu? " Hayyani cuba menyangkal. Ah sudah, kantoi ke ni?
Elhan menjongketkan sebelah kening. " Bukan itu ke yang awak cakap dekat Faizul tadi?"
Jambang nipis yang menghiasi wajahnya diusap. Selepas temu duga itu tamat, Faizul ada menghantar pesanan mengusik tentang status hubungannya dengan Hayyani. Dan nampaknya kini, kebisuan Hayyani seakan membenarkan Elhan untuk terus menguasai keadaan.
" Bakal tunang. Kenapa bunyi dia macam bakal suami, ek? " Sesudah berbicara, Elhan tersenyum nakal memandang gadis yang kelihatan sudah mengeras di depannya itu.
Seboleh mungkin Hayyani cuba melarikan lagi pandangan matanya daripada terus ditentang panahan mata hitam Elhan. Rasanya muka dia ketika ini sudah sama dengan warna bendera Cina agaknya.
" Err... dahlah, saya nak pergi bayar kejap. "
Tak sanggup menahan rasa lagi, Hayyani bingkas ke kaunter pembayaran. Hish, mamat ni! Macam mana dia boleh tahu apa yang jadi dalam bilik tu? Pakai ilmu hitam ke apa.
****
Elhan tersenyum sendiri melihat Hayyani menikmati aiskrim di sebelahnya. Wajah itu terlihat benar-benar ceria. Selepas mereka meninggalkan restoran tadi, Hayyani mengajaknya singgah sekejap di Taman Tasik Titiwangsa sebelum pulang.
" Awak memang selalu datang sini ke dulu?" Soal Elhan setelah beberapa minit dibiarkan sepi. Keduanya asyik memerhatikan panorama alam hasil kebesaran Tuhan.
" Takdelah selalu. Kadang-kadang kalau saya rasa stres belajar dekat sinilah saya lepaskan tekanan saya, " jawab Hayyani seraya menghabiskan cebisan terakhir aiskrim kon yang dibeli Elhan tadi. Sejurus selepas itu, dia mengelap bibirnya dengan tisu pula.
" Awak buat apa untuk lepaskan tekanan? Buat senaman tai chi?" Elhan menyoal lagi kali ini sekadar bergurau. Ini salah satu kesempatan yang ada untuk beramah mesra di kala angin dalam diri Hayyani sedang baik.
" Hish, apa pulak. Saya datang duduk dekat sini sebab nak melukis. Saya suka view dekat sini. Sedap aje mata memandang. Alang-alang tu dapat tengok ragam manusia sekali," ramah Hayyani bercerita.
Elhan tersengih. Kan seronok kalau setiap masa Hayyani bercakap mesra dengannya seperti ini. Kalau tidak sebelum ini dia berasa seperti sedang berbual dengan singa kelaparan.
" Awak pandai melukis? "
Hayyani mengangguk. Kemudian, dia tersenyum sambil membuang pandang ke tengah dada tasik.
" Saya rasa itu ajelah benda yang paling pandai saya buat dalam hidup. Tapi, ibu tak suka saya melukis sebab tu dia suruh saya belajar engineering. Ibu cakap melukis takkan bawa saya ke mana-mana. Padahal ramai aje yang berjaya cari makan dekat luar sana walaupun dengan melukis aje, " luah Hayyani kedengaran seperti sedang berjauh hati.
Beberapa saat keduanya berdiam, Elhan selesa mencuri pandang wajah indah Hayyani. Dapat dia selami walau sekelumit rasa hiba melalui seraut wajah yang ceria dari luar namun penuh kedukaan di dalam itu.
" Walaupun saya bukan orang seni, tapi saya faham cuma ada sesetengah orang aje boleh nilai seni dengan mata hati. Jiwa orang yang berseni ni halus, senang cerita susah nak difahami. Awak janganlah salahkan ibu awak sebab jiwa awak dengan dia tak sama, " ungkap Elhan penuh makna. Dia cuba meniup resah yang bersarang di dada gadis itu.
Hayyani merobek senyuman nipis. Sejuk hatinya mendengar kata-kata Elhan.
" Kadang-kadang saya selalu terfikir, bila air mata seorang ibu jatuh semua orang akan salahkan si anak. Tapi kalau si anak pulak yang menangis, takde siapa pun yang tuding jari pada si ibu. Tak kiralah macam mana pun orang fikir martabat seorang ibu tu ibarat syurga teragung, tapi seorang ibu tu tetap tak berhak nak sakitkan hati sesama manusia apatah lagi anak sendiri, " bicara Hayyani biarpun suaranya mula kendur di penghujungan. Dan kali ini, dia merasakan ada air mata yang menakungi tubir matanya.
Di sisi Elhan pula, dia memutuskan untuk berdiam dan hanya sesekali mengangguk. Sekadar memberi validasi terhadap luahan gadis itu. Mungkin keadaan ibu bapa mereka tak sama, namun dia mengerti kesakitan yang dirasai saat perasaan hati tidak dipedulikan oleh ibu sendiri.
" Sudahlah cakap pasal saya. Saya rasa orang pun dah bosan dengar cerita ni. Cuba cerita pasal diri awak pulak. Macam mana awak boleh terfikir nak jadi doktor? " Hayyani mengalih paksi perbincangan. Dia tidak mahu mengaitkan Elhan dengan masalah hidupnya pula.
" Sebab ayah saya, " ringkas jawapan Elhan.
" Ayah awak suruh jadi doktor? " Hayyani meminta kepastian. Inilah buat ulung kalinya dia dapat menemu ramah Elhan dari hati ke hati.
" Taklah. Ayah saya tak pernah pesan pada saya secara spesifik macam tu. Tapi waktu ayah saya sakit kuat dulu, saya rasa tak berguna sangat sebab tak dapat nak tolong apa-apa. Waktu tu saya cuma budak yang tahu berseronok aje, tak faham apa benda yang jadi dekat sekeliling. Bila dah semakin dewasa saya sedar sendiri, kalau saya jadi doktor saya boleh tolong ramai lagi orang yang sakit macam arwah ayah saya, " cerita Elhan tenang.
Hayyani rasa simpati melihat wajah Elhan. Kali ini wajah itu terlihat serius dan sedikit muram walaupun cuba diceriakan. Kehilangan seorang bapa sewaktu kecil sememangnya sukar. Sekurang-kurangnya dia boleh belajar bersyukur kerana kedua ibu bapanya masih ada.
" Bukan salah awak yang ayah awak sakit. Tapi baguslah. Sekurang-kurangnya awak gunakan kebijaksanaan awak dengan baik untuk jadi doktor. Takdelah membazir."
" Saya pun tak pandai dulu. Banyak main-main. Biasalah budak lelaki nakal masa kecil. Pernah ada satu hari umi menangis sebab pesakit dia meninggal dunia. Umi asyik salahkan diri sendiri sebab gagal buat yang terbaik. Kadang-kadang Allah buat seorang ibu menitiskan air mata untuk timbulkan keinsafan dalam hati seorang anak. Saya jadi terinspirasi. "
" Saya ingatkan awak ni cuma sorang budak lelaki yang suka tunjuk pandai aje dulu. I'm sorry sebab salah faham dengan awak. " Ternyata lelaki itu tidaklah seteruk yang dia sangkakan. Hatinya rasa terusik dengan kata-kata Elhan yang terselit mesej halus di dalamnya.
" Eh, mana ada salah faham. Betullah tu. Saya memang sengaja nak tunjuk hebat depan awak pun dulu, " bidas Elhan selamba. Dia sedang cuba berlagak tiada apa sedangkan hatinya sudah berbunga-bunga saat Hayyani mengungkap kata itu.
Hayyani tarik muka. " Eleh... saya tak hairanlah. Saya tahu awak memang berlagak."
Elhan tergelak kecil. Beberapa saat kemudian, suaranya bergema lagi.
" Awak tahu tak, lelaki ni lagi lambat matang daripada perempuan. Ada kajian mengatakan, walaupun otak orang lelaki lagi besar daripada perempuan tapi tahap kematangan tu berbeza ikut peringkat usia tau. Sebab tulah dulu, kalau awak nampak saya macam berlagak tu maksudnya saya tak cukup matang. " Elhan memberikan aruhan atas semua tingkah laku tak masuk akal dan nakal sewaktu di universiti dulu. Hakikatnya dulu memang dia berlagak kerana fikir dia ada segalanya.
Hayyani terangguk-angguk mengiyakan. Seronok apabila dengar sesuatu yang mengangkat martabat kaum wanita ni.
" Patutlah pun. Sebab cuma budak tak matang aje yang suka panjangkan pergaduhan. Sebab tu dulu saya banyak kasi muka dekat awak, " ujar Hayyani sekadar melampiaskan gurauan. Ya tak ya, senyumannya terasa semakin melebar berbanding biasa hari ini.
Elhan tersenyum kecil. Baru teringat dia mahu berkata sesuatu.
" Saya mintak maaf pasal dulu. Kut, kut awak duk terasa lagi pasal semua tu saya tak nak bagi kesan pada hubungan masa depan kita. Mahal sangat ke kemaafan awak untuk saya beli? "
Hayyani terpaku kejap. Alamak ai mamat ni! Apasal senyuman dia manis sangat ni?! Mata yang penuh ketulusan dan pengharapan itu membuatnya jatuh kasihan.
" Awak nak tahu jawapannya? " Dia harus jual mahal dulu.
" Mestilah. Dah berkurun pun saya duk berteka teki sendiri. Maafkan saya ke tidak? " Kali ini dia mahu mendengar sendiri dari mulut Hayyani. Selagi dia tak dengar jawapan itu, dia takkan dapat bertenang.
" Kalau awak nak tahu jawapan sebenar, kalahkan saya dulu. " Tenang Hayyani mencabar.
Elhan mengangkat keningnya.
" Nak kalahkan macam mana? " Kalau nak suruh bertanding dalam lukisan, minta maaf, dia menyerah kalah dulu.
" Main layang-layang. Siapa dapat terbangkan dulu dia menang, " cabar Hayyani. Tiba-tiba dia rasa rindu nak bermain layang-layang sewaktu mereka masih kecil dulu. Teringat lagi kenangan ketika dia pernah sampai seharian berkurung dalam bilik kerana ibunya enggan membelikan layang-layang secantik Elhan.
" Amacam? Ada berani?" Hayyani jongket sebelah kening.
" Eh kita dah besarlah. Malu sikit dengan budak kecil," tukas Elhan. Dia gelak lalu menggeleng kepala. Masih tak percaya dengan permintaan itu.
" Cakap ajelah awak takut." Hayyani buat muka seakan mengejek Elhan.
" Okey, jom kita lawan. Easy for me lah, " sambut Elhan tanpa rasa gentar.
Share this novel