Bab 56

Romance Completed 15392

Sesekali, Hayyani akan mengusap lembut kepala Aisyah. Senyum senang terukir di bibirnya tatkala melihat telatah Aisyah yang sedang mewarna pada buku lukisan sambil mendengar mulut kecil itu berceloteh. Kerana rindukan Aisyah, Hayyani memutuskan untuk melawatnya di hospital pada petang hari puasa pertama.

" Mama, kalau bulan puasa syaitan kena ikat, kenapa orang masih buat dosa? " terpacul soalan cepumas itu dari mulut Aisyah. Terkebil-kebil dia memandang Hayyani menuntut jawapan.

Hayyani hela nafas panjang sebelum memastikan dia dapat memberi jawapan yang terbaik.

" Sebab manusia terikat dengan nafsu. Cuma, iman setiap orang yang membezakan sejauh mana kita mampu tahan diri daripada buat dosa. Kita manusia lemah Aisyah tahu kan. Kita tak pernah lari daripada buat dosa. Tapi Allah nak tengok disiplin dengan istiqamah kita jaga hubungan dengan Dia. Sebab tu kita semua solat, berpuasa. "

Panjang lebar penjelasan Hayyani berharap dapat menjawab soalan si kecil. Tetapi kalau dilihat dari reaksi wajah Aisyah, si kecil itu seakan masih tidak berpuas hati lagi.

" Tapi Aisyah tak puasa. Aisyah berdosa lah kan? "

Soalan itu membuahkan senyuman lebar di wajah Hayyani. Pipi Aisyah digomol lembut. Walaupun masih kecil, Aisyah sudah tahu perihal dosa pahala malah bijak apabila berkata-kata.

" Aisyah masih kecil. Allah tak marah kalau kanak-kanak tak puasa. Cuma kalau Aisyah berlatih berpuasa dari kecil, bila dah besar nanti Aisyah dapat berpuasa dengan baik. Lagi satu, sebab sekarang Aisyah kena makan ubat. Kalau tak makan ubat keadaan Aisyah teruk. Jadi, dalam keadaan ni Aisyah tak berdosa pun. Ya, sayang? "

Penjelasan itu akhirnya dapat membuatkan Aisyah mengangguk faham dan menyambung aktiviti mewarnanya tadi. Terpancar senyuman lega di bibir Hayyani. Dia tidak pernah lelah melayan celoteh si kecil yang semakin hari semakin dekat di hatinya.

" Pandai awak explain dekat Aisyah. Saya pun tak pandai nak jelaskan macam mana. "

Arif yang tiba-tiba muncul dalam bilik itu bersuara. Dia kagum dengan penjelasan Hayyani kepada soalan yang kadangkala buntu juga untuk dia jawab setiap kali Aisyah bertanya. Tak salah perempuan kau buat bini Elhan.

Hayyani menoleh memandang ke arah Arif yang sedang berjalan mendekatinya dan Aisyah.

" Encik Arif. "

" Awak datang nak jenguk Aisyah ke? " Arif bertanya dengan nada mesra. Dia melabuhkan duduk di sebelah Aisyah lalu melabuhkan ciuman pada pipi si kecil.

" Haah. Sebab bulan puasa ni saya kesiankan Elhan nak jaga Aisyah. Dia pun sibuk dengan kerja lain jugak. Lagipun, saya bosan dekat rumah tak buat apa-apa, " kata Hayyani sederhana. Kasihan juga apabila mengenangkan Aisyah bersendirian menyambut puasa di hospital. Pasti kesunyian rasanya walaupun hari-hari ada saja Elhan datang melawat.

" Tapi papa dengan mummy tak datang lagi pun hari ni jumpa Aisyah. "

Pemberitahuan mendadak dari Aisyah itu buat Hayyani terkelu seketika. Arif pula, biasa saja reaksinya.

" Papa... tak datang lagi? " soalan itu dikembalikan lagi oleh Hayyani kepada Aisyah. Si kecil mengangguk jua.

Pelik dan seakan-akan tidak percaya juga. Sedangkan pagi tadi dia melihat sendiri Elhan berpamitan untuk ke tempat kerja. Tiada pula Elhan memberitahunya apa-apa. Mungkin sibuk sangat hari ini. Hayyani cuba berprasangka baik.

" Ya tak ya juga. Sebenarnya, saya pun tak nampak dia pagi ni. Nak kata ada operation rasanya takde pula dalam jadual atau kes-kes kecemasan. Jasmine pun ambil emergency leave. Pelik saya bila dua-dua tak ada, " tambah Arif lagi.

Pernyataan itu membuatkan Hayyani termenung seketika. Hatinya mula diburu keresahan yang dahsyat. Mengapa firasatnya berasa semacam saja. Ya Allah, apa pula kali ini.

****

Elhan meneliti dada skrin telefon bimbitnya yang menyala. Ada satu pesanan baru diterima daripada Hayyani. Lantas dia buka dan baca.

' Abang tak balik berbuka ke? '

Soalan itu buat Elhan terdiam sekejap. Dia mengurut dagu memikirkan alasan yang harus disuakan kali ini. Jam di dinding pun sudah menunjukkan pukul 7. Memang patut pun Hayyani merisaukannya.

' Abang mintak maaf sayang. Abang rasa abang tak sempat berbuka dengan awak harini sebab abang ada hal emergency. '

Pesanan itu dihantar dengan rasa serba salah yang memenuhi ruang dada. Sungguh dia berasa ingin saja berada di sisi Hayyani sekarang. Teringat akan janjinya untuk berbuka bersama subuh tadi, tapi kini dia sendiri yang terpaksa memungkirinya. Kasihan Hayyani!

' Takpelah, Daneen faham. Take care abang. '

Selepas menghantar pesanan itu, Hayyani meletakkan telefon bimbitnya di sebelah. Lauk pauk yang terhidang di atas meja dipandang sepi. Sedih di hatinya apabila Elhan tidak dapat pulang berbuka bersama-sama. Tak mengapalah, asalkan ada sedikit khabar berita dari Elhan jadi dia berasa lega sedikit.

' Sorry sayang. Nanti abang explain. I love you. '

Sebaik saja dia menghantar pesanan itu, telefon bimbit kembali disisipkan dalam poket seluar. Ada pergerakan dari Jasmine yang sedang terbaring lesu di atas sofa. Elhan segera membantu Jasmine bersandar dengan selesa.

" Elhan... you baliklah. Dari pagi you ada dekat sini. Nanti wife you cari, " kata Jasmine dengan nada yang lemah. Selemah keadaannya yang agak kritikal sejak awal pagi.

Elhan melabuhkan duduk di sisi Jasmine.

" Takpe, I temankan you sekejap. At least sampai you larat nak bangun sendiri, " tukas Elhan tanpa nada. Dia menyuakan segelas cawan berisi air, membantu Jasmine minum.

Perlahan-lahan air itu diteguk oleh Jasmine. Setelah itu, dia menolak perlahan tangan Elhan tanda cukup. Terlepas keluhan lemah di pinggir bibir Elhan apabila melihat wajah pucat lesi itu. Kesal dengan apa yang terjadi kepada temannya.

" Thank you sebab tolong I. I tak bagitahu mummy sebab I takut dia risau. You tahu kan mummy pun tak berapa sihat, " ujar Jasmine yang kelihatan tidak bermaya itu.

" It's okay. You jangan risaukan any other things pun. You kena berehat secukupnya. I got you covered, okay? " Elhan memberikan jaminan untuk melegakan hati Jasmine. Dia bimbang temannya merisaukan hal lain dalam keadaan tidak berdaya begini.

Jasmine ukir senyuman tipis pada bibir pucatnya. " Thank you. "

Lelaki ini terlalu istimewa, dari setiap sudut dan cara. Namun sayang, bukan dirinya yang memiliki tuah mendampingi hidup lelaki itu. Ternyata, dari sekian banyak jodoh pasti punya cinta di dalamnya tetapi tidak semua cinta punyai jodoh. Tak mengapalah.

" Get some more sleep. "

Elhan membetulkan selimut Jasmine sehingga menutupi paras dada. Di bibirnya terlukis sepenggal senyuman lega apabila melihat Jasmine sudah mula tersenyum.

Setelah memastikan Jasmine kembali terlena, Elhan memutuskan untuk mengambil angin di luar sekejap. Dan seketika dia membuka pintu, bayang seseorang yang terjengul di depannya membuatkan jantungnya hampir luruh. Air liur yang ditelan terasa berpasir di ketika ini.

" Sayang... "

Melihat wajah Hayyani yang berubah keruh, Elhan sedar dia mungkin sudah tersilap langkah. Dan kali ini, dia harus menyelesaikan semuanya dengan sebaik mungkin. Bantu aku ya Rahim.

****

" Abang tak boleh bagitahu ke? Tak boleh terus terang tentang apa yang berlaku? Abang ingat teruk sangat ke reaksi Daneen kalau tahu abang datang sini tolong Jasmine? " Bertalu-talu soalan itu dimuntahkan oleh Hayyani.

Masih berderau rasa darah yang dirasakannya sejak kali pertama melihat Elhan di rumah Jasmine. Dia enggan mengerti atas sebab apa Elhan perlu merahsiakan tentang ini daripada pengetahuannya sehingga dia yang di rumah berasa seperti orang bodoh. Kecewa dengan sikap Elhan yang begini.

" No, sayang. Please, jangan salah faham dengan abang. Remember abang cakap nak explain nanti? Sebab benda ni agak complicated bagi abang, " kata Elhan sambil memegang kemas bahu Hayyani. Dia masih terkejut bagaimana isterinya boleh mengetahui keberadaannya saat ini.

Hayyani tepis tangan Elhan. Emosi yang terpapar pada wajahnya kelihatan benar-benar berang.

" Abang tahu tak apa yang lebih mencurigakan? Bila abang mengelak daripada bagitahu perkara sebenar. "

Elhan mendengus lemah tatkala mendengar kalimah mengguris jiwa itu dituturkan oleh Hayyani. Kepala diraup tanda semakin gusar dengan situasi ini walaupun hakikatnya dia lebih tahu kedudukan sebenar apa yang terjadi.

" Nyawa Jasmine dalam bahaya kalau abang tak datang cepat. Abang bawak dia ke hospital, teman dia buat ujian. She supposed to be warded now. Tapi dia berkeras nak balik rumah dan abang kena teman dia sekurang-kurangnya sampai dia larat nak angkat gelas sendiri. I'm sorry sayang. Abang bukan cuba buat alasan untuk semua yang terjadi. I wish you were there with me untuk saksikan apa yang terjadi, " jelas Elhan dengan sebaiknya.

Kekesalan yang sudah lama membebani hati semakin parah sehingga turut terbias pada wajah Elhan. Dia sedar dalam hal ini dia tidak berhak untuk meminta difahami. Namun, dia juga tersepit dalam keadaan ini.

Hayyani berdiam sejenak. Dia cuba bersabar dan memahami apa yang bakal suaminya katakan lagi.

" Okey, abang explain lah sekarang. Daneen dah ada dekat sini pun. "

Elhan mengangkat kepala memandang wajah nekad Hayyani menuntut penjelasan darinya. Buat beberapa detik dia berjeda bagi memilih kata-kata yang paling tepat untuk menjernihkan kekeruhan suasana.

" Pagi tadi Jas call abang sebab dia rasa tak sihat lepas makan sahur. Sampai tempat kerja baru abang tahu apa yang jadi so abang tergesa-gesa datang sini tengok keadaan Jas. Abang rasa someone did this on purpose. Sengaja nak kenakan Jas. Abang rasa dia letak some kind of drug dekat dalam minuman Jas sampai Jas jadi macam tu. I tried to figure this thing out sehari suntuk. Abang tahu salah abang sebab abang tak bagitahu lebih awal, " beritahu Elhan panjang lebar. Berharap penjelasannya mampu menenangkan gelora di hati si isteri.

Ketika dia menghantar Jasmine untuk mendapatkan rawatan kecemasan, doktor yang merawat memberitahunya bahawa keputusan darah Jasmine positif dadah. Dia cuba bertanya kepada Jasmine untuk membuat laporan polis, namun temannya itu masih belum mampu memberikan kenyataan akibat kelesuan melampau.

Hayyani menghembus nafas lega. Jujur dia agak terkejut dengan pemberitahuan Elhan itu.

" Kita bincang lain kali pasal ni. Abang balik dulu, biar Daneen jagakan Jas. Sekarang pun dah lewat malam. Esok abang kerja, " kata Hayyani tanpa nada.

Dalam situasi ini, dia harus lebih percayakan suaminya. Lebih-lebih lagi nyawa seseorang hampir diancam bahaya. Dia mesti mengenepikan perasaan yang lain-lain buat sementara waktu ini.

" Thanks sayang. And, I'm sorry for what happened today. Maafkan abang, " ucap Elhan dengan sepenuh hati. Tubuh Hayyani dipeluk kejap. Terasa lepas segala beban di dada setelah bertemu Hayyani menceritakan kebimbangannya. Benar-benar lega.

Setelah pulangnya Elhan, Hayyani masuk ke dalam rumah menemani Jasmine yang terbaring lemah di atas sofa di ruang tamu. Dia duduk di sisi wanita itu. Sesekali, terlepas keluhan lemah di bibir. Kasihan, siapa pula yang tergamak memperlakukan perkara begini kepada Jasmine.

" Elhan... "

Jasmine bergerak-gerak seakan keresahan. Dalam keadaan separa sedar, dia terus memanggil nama Elhan.

" Jas, saya ni Daneen. Awak okey tak ni? " Hayyani cuba untuk mengawal keadaan Jasmine. Dahi Jasmine disentuh dengan telapak tangan untuk mengukur suhu. Demamnya masih belum kebah sepenuhnya jadi dia memutuskan untuk ke dapur mengambil air buat tuaman.

Namun, ketika Hayyani baru saja hendak bangun, tangannya terasa dipaut.

" Elhan... Elhan, jangan tinggalkan I please. Elhan... I tak nak hilang you. " Jasmine terus merayu dengan suara mendayu bersama esakan lirihnya yang semakin jelas kedengaran.

Langkah Hayyani terpaku di situ. Hatinya terasa pilu apabila Jasmine terus memanggil nama suaminya dan merayu seolah mereka sedang mencintai lelaki yang sama. Cemburu menakluk hati sehingga memerah pedih air jernih dari matanya.

Ya Allah, ujian apakah yang kau berikan kepadaku di bulan puasa yang mulia ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience