5 tahun kemudian...
Keindahan bulan dan bintang yang menghiasai layar langit pada waktu malam memukau penglihatan Elhan. Ada ketenangan yang mengalir di segenap ruang hati. Apabila terlihat bintang dan bulan yang menerangi galaksi, hatinya rasa terpanggil untuk kembali mengingati seorang demi seorang insan yang pernah memberi makna dalam hidupnya.
Rindu, rasa itu tidak pernah pudar terhadap Doktor Nazmi, bapa hebat yang amat disayanginya. Rindunya juga tidak berpenghujung kepada arwah Aisyah dan Louisa yang pernah mewarnai hidupnya suatu ketika dulu. Kalau dulu dia tidak bertemu dengan Louisa pasti dia juga tidak akan berpeluang bertemu Aisyah. Walaupun cuma seketika pertemuannya dengan Aisyah di dunia, namun Elhan berasa tenang apabila Louisa dapat bersatu dengan anaknya semula. Kedua-dua mereka sedang bermain di taman syurga, tempat yang tentunya jauh lebih indah daripada dunia.
Apabila melihat bintang juga, fikirannya melayang teringatkan Arif. Agaknya ke manalah Arif membawa diri seolah jejaknya sukar untuk ditemukan di dunia lagi. Benar dia marah dan kecewa dengan perbuatan Arif terhadapnya dulu namun itu tidak akan menafikan bahawa dia juga rindu kepada Arif dan kenangan mereka. Kawan sejak kecil, susah senang bersama, ketawa dan menangis bersama. Mana mungkin dia lupa. Harap temannya itu baik-baik saja walau mereka tidak lagi bersua. Kala ini dan selamanya hanya akan ada satu, iaitu rindu.
Sekuat mana pun dia cuba menafikan, namun dia juga tidak dapat menolak hakikat yang satu itu. Hakikat yang jauh di sudut hatinya masih menyimpan angan untuk menemui Hayyani lagi. Dia ingin melihat wanita itu bahagia setelah dia memilih untuk melepaskan cintanya pergi untuk dijaga lelaki lain. Sudah tiada dendam dan cinta dalam hati, yang tertinggal cumalah sisa rasa yang sudah tiada magisnya lagi. Dalam diam dia terus mengutus doa biar wanita itu kekal dalam lindungan Tuhan.
" Sayang..." sapa satu suara wanita yang kini menjadi insan teristimewa di hati Elhan. Lembut suara itu, masih seperti dulu-dulu. Dia merasakan tangan wanita itu melilit di pinggangnya dari arah belakang.
" You termenung ingatkan siapa?" soal Jasmine dengan suara manjanya. Jari kaki ditonjet sedikit demi menyamakan ketinggian dengan sang suami lalu pipi Elhan diciumnya.
Elhan tersenyum bahagia. " Ingatkan Aisyah. Bila dia tidur rasa rindu pula nak dengar dia buat riuh."
Jasmine mencebik. " Eleh, ingatkan Aisyah aje? Wife you ni tak nak ingat ke?"
Walaupun macam merajuk, tapi Jasmine tetap bersandar selesa di belakang tubuh Elhan yang dipeluknya. Tenang apabila mereka begitu. Terasa seperti jauh meninggalkan dunia nyata.
" Dah jadi mak budak pun manja lagi, erm?" seloroh Elhan seraya tertawa sendiri. Dia mengambil tangan kanan Jasmine yang masih melilit di pinggangnya lalu dikucupnya, lama. Ikhlas hatinya mencintai Jasmine.
" Mestilah. Walaupun I ada 24 jam sehari tapi sesaat pun belum tentu puas nak bermanja dengan you. Tapi, orang tu aje yang tak nak ingat kita, " ujar Jasmine kedengaran rajuknya. Kalau dahulu dia malu meluahkan perasaan kepada Elhan namun kini tidak lagi. Dia tidak mahu mensia-siakan walau sehari pun daripada terus bermanja dengan lelaki itu.
Elhan meleraikan pelukan Jasmine lalu memusingkan tubuhnya benar-benar menghadap si isteri. Manakan puas mendengar suara yang lembut manja alunannya itu saja kalau tidak melihat wajahnya sekali. Dagu Jasmine dicuit lembut lalu kepala si isteri didongakkan memandang tepat ke wajahnya.
" Hei, I ingatlah. Sampai bila-bila pun I takkan lupa perempuan yang dah lahirkan zuriat I ni. Perempuan yang setia tunggu I bertahun lamanya. Seumur hidup I tak pernah lagi rasa dicintai sampai macam ni sekali. I hargai you sangat-sangat sayang, " ungkap Elhan penuh romantis. Dahi Jasmine yang dikucupnya menitipkan ketenangan yang terasa sampai ke dasar hati.
Terus melebur senyuman di wajah Jasmine. Cair serta merta dengan layanan baik sang suami yang semakin hari semakin bertambah romantis terhadapnya. Kedua-dua tangannya disangkut pula pada tengkuk Elhan. Mata mereka saling bertamu, menatap pandangan yang penuh cinta semestinya antara mereka.
" Terima kasih, my hubby."
" Terima kasih untuk apa?" soal Elhan sengaja berpura-pura tidak mengerti sambil sembunyi senyum.
" Untuk segalanya," bisik Jasmine seraya mengeratkan lagi pelukannya. Kedudukan mereka kini amat rapat sehingga hidung mereka turut bersentuhan
Elhan mengerling ke atas lagak seperti sedang memikirkan sesuatu.
" Segalanya agak umum. Cuba spesifikkan lagi. I tak fahamlah."
Usikan Elhan berjaya membuahkan seraut wajah monyok Jasmine.
" Hubby... Nasib baik you comel tau kalau tak I gigit."
Jasmine mengetap giginya di depan wajah Elhan seolah hendak menggigit betul-betul. Comel betul pada penglihatan Elhan. Bahaya kalau Jasmine buat begini pada lelaki lain. Pasti ada yang tergoda.
" Boleh. Gigit dekat sini, " usik Elhan nakal. Dia menunjukkan bibirnya dengan muka selamba.
Jasmine ketawa. Spontan pipi Elhan yang masih tertawa itu dicubit. " Eee... main-main kan. "
" I faham apa you maksudkan. Terima kasih sangat sebab sudi bagi segalanya pada I. Maafkan I kalau belum bagi yang terbaik untuk you." Elhan berasa sedikit sebak apabila menuturkan ucapan itu. Namun, wajah Jasmine tetap tenang tersenyum kepadanya.
" You did your best already, my hubby."
Elhan mencium tangan Jasmine. Kemudian, mata mereka saling bertatapan lagi. Dalam, dan mengertikan cinta.
" Kalau I tak berusaha nak mengorat you semula dulu, mesti you dah kahwin dengan Michael tu kan. "
Pertemuan semula mereka di kota London dulu sebenarnya masih simbolik buat Elhan. Melihat kepada keakraban dan kemesraan antara Michael dan Jasmine yang kerap bersama-sama dulu membuatkan Elhan kecewa. Memikirkan bahawa mungkin sudah terlambat baginya untuk menawan kembali hati Jasmine. Namun, berkat keajaiban cinta, dia diberikan peluang untuk kembali menawan cinta Jasmine.
" Michael tu dah lama berusaha nak ngorat I sebenarnya. Tapi I asyik friendzone dia, tak tahulah kenapa. You bernasib baik sebab cepat selangkah daripada Michael. Kalau tak I dah hampir buka hati untuk dia, " ujar Jasmine. Apalah nasib Michael, teman sekuliahnya sekarang. Entah sudah berkahwin atau belum.
Dahulu, sebelum mereka tamat pengajian lagi Michael sudah menunjukkan minat kepada Jasmine. Selepas Jasmine berpindah ke London semula, Michael masih mengejarnya dan belum berputus asa. Tapi harus bagaimana, hatinya tetap memilih Elhan. Pernah sehari sebelum dia bertemu Elhan kembali, Michael melamarnya di atas jambatan London. Elhan juga menjadi saksi kejadian itu. Tapi dia menolak seolah-olah tahu perancangan Allah yang akhirnya telah meletakkan dirinya dan Elhan di sini sekarang. Maha hebat rencana Allah.
" Sayang nak kahwin dengan dia padahal hati tu ada dekat I? " Elhan tarik muka. Merajuk konon. Padahal dia yang terlambat menyedari semua itu.
" Yalah, I pun dah tua waktu tu. Sekarang dah jauh lebih tua. Nanti orang cop tak laku pula sebab tak kahwin-kahwin. " Apa yang dikata Jasmine ada logiknya juga. Kalau orang yang ditunggu tak kunjung tiba terima sajalah jodoh yang ada di depan mata. Umur pun bukan makin berkurang.
Elhan mencuit hidung Jasmine. Tersenyum dia mendengar celoteh sang isteri.
" Terima kasih sebab setia tunggu I. I tak boleh bayangkan perasaan you. Gigih tunggu I cari you semula. "
Bahagia benar rasa dicintai. Ikhlas tulus kasihnya sukar nak diungkapkan tapi bisa dirasai. Sudahlah dahulu dia lambat menyedarinya, kali ini sesaat pun takkan cuba dia siakan.
" You can never imagine how much love I have for you, hubby... " ucap Jasmine tidak kurang romantisnya. Pandangan matanya seakan sukar untuk dikalihkan daripada terus menatap dalam mata lelaki yang memiliki separuh dari hatinya itu.
Tidak pernah dia merasakan sebegini tenang dan bahagia dengan mana-mana lelaki lain. Sungguh benar dia mencintai Elhan.
" And you can never imagine how precious you are to me. You are my love, my madness. Tiap-tiap hari I doa semoga Allah jaga hubungan kita. Biar kekal sampai syurga. Walaupun you bukan yang pertama, I harap sangat you yang terakhir. Kita jaga cinta kita sampai bila-bila. You know what, I rasa untung sangat dapat isteri sebaik dan secantik you sayang, " ujar Elhan mengakhiri katanya dengan pujian.
Jasmine mengukir senyuman bahagia. Setiap hari, ada saja pujian yang Elhan beri walau hanya sekecil-kecil perkara yang dia lakukan. Hidung mancung Elhan pula dicuit.
" And you are the most good-hearted and good looking man I have ever come across. Disebabkan you sweet sangat hari ni, I ada hadiah untuk you. "
Sebuah kotak bersaiz kecil yang dihiasi reben dikeluarkan dari kocek pijamanya. Dengan penuh teruja, Jasmine memberikan isyarat mata supaya Elhan membuka kotak yang diberi. Pantas Elhan turuti.
" Ya Allah! Sayang! Betul ke ni? " soal Elhan dengan riak tak percaya meminta kepastian. Kotak berisi kit ujian kehamilan yang menunjukkan tanda positif itu benar-benar membuatkan hatinya terlompat gembira.
Jasmine mengangguk seraya tergelak kecil. Betapa riang hatinya melihat reaksi Elhan. Sama seperti saat dia mengumumkan berita kehamilannya dahulu. Elhan adalah insan yang paling bahagia ketika itu dan sekarang. Tiada yang berubah.
" Yup. Dah nak masuk second trimester. Suka tak? "
Sebaik mendapat kepastian, Elhan menadah kedua belah tangannya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Lantas, dia menarik Jasmine ke dalam pelukan.
" Alhamdulillah Ya Allah! Terima kasih sayang. I ingat you dah serik masa lahirkan Aisyah dulu."
Ketika Jasmine melahirkan Aisyah dulu, dia menyaksikan isterinya menanggung kesakitan yang tidak terperi apatah lagi ketika itu dia hanya mampu melihat saja. Sejak itu, dia tidak meletakkan harapan untuk Jasmine melahirkan zuriatnya yang lain.
" Mana boleh serik. I suka lahirkan zuriat you. Nak beranak sampai 5 pun boleh. "
Elhan buat muncung panjang. " Alah... 5 aje? I nak 10 orang. Boleh muatkan satu mpv. "
Permintaan Elhan membuatkan tawa Jasmine terhambur. Tercengang dia dibuatnya. Orang dah bagi betis nak paha.
" Amboi! Banyaknya. You larat ke nak jaga ramai-ramai? "
" I laratlah. Tengok Aisyah I jaga macam mana. Tapi I tak kisah berapa ramai pun Allah nak bagi dekat kita. Asalkan, sayang ikhlas. Sayang ikhlas tak lahirkan zuriat-zuriat I? "
Soalan Elhan itu dibiarkan berjeda. Sebelum memberi jawapan, Jasmine mengucup kedua belah pipi Elhan dan akhirnya, melabuhkan ciuman hangat pada bibir sang suami. Sungguh tidak terkata rasa bahagianya di saat ini.
" Sampai bila-bila pun I ikhlaskan rahim ni ditumpang zuriat you. "
Umpama keriangan rama-rama yang menari di dalam perut, Elhan benar-benar bahagia mendengar kalimat cinta Jasmine. Tubuh bidadari syurganya didakap erat seolah enggan untuk melepaskan lagi. Benar kata Arif dahulu. Sesetengah orang menemui cinta dalam persahabatan. Dan kini, telah dia temui cinta dalam diri seorang sahabat.
" Terima kasih sayang. Terima kasih sudi kandungkan zuriat I. I know this may sounds cringe but I hope you know. I anggap you dengan anak-anak kita ni anugerah Allah. Kalau ada anugerah yang Allah izinkan untuk I bawak ke syurga nanti, I nak bawak you dengan anak-anak sekali. Stay dengan I sampai bila-bila, ermm... " pinta Elhan melafazkan bisikan kata dengan suara gemersik yang menenangkan jiwa si wanita yang mendengar.
" For as long as this heart keeps the love for Elhan Ashareeq, I will be loyal to my man forever, " bisik Jasmine yakin dengan ketulusan hatinya untuk menjadi suri hati lelaki itu selamanya.
Pelukan antara mereka dieratkan lagi. Alam semesta menjadi saksi cinta mereka yang hangat bersemi. Kedua-duanya terus berdoa agar Allah menganugerahkan mereka saat indah ini sehingga ke alam syurga buat selama-lamanya.
Share this novel