Bab 51

Romance Completed 15392

Datin Rozana mengangkat wajah sebaik saja ada ketukan yang bergema pada pintu biliknya. Selang sesaat, wajah jelita anak gadisnya Jasmine terpacul dengan senyuman. Anak matanya mengekori pergerakan Jasmine sehinggalah anaknya itu melabuhkan punggung di birai katil.

" Mummy tak nak tidur lagi ke?"

" Belum sayang. Mummy tak mengantuk lagi. Maybe, later."

" Mummy, Jas dah buat semua yang mummy suruh. Mummy yakin dengan keputusan mummy? " Jasmine menuntut kepastian. Fail hitam di tangannya diletakkan di sebelah mummy. Berhempas pulas dia berusaha untuk menyelesaikan pertikaian di syarikat akhirnya beres juga.

Datin Rozana melepas keluhan lemah. Kemudian, dia menggariskan senyuman nipis di bibirnya.

" Mummy yakin. Takpelah, sayang. Kita dah bertahun lama hidup senang. Allah baru tarik sikit kemewahan kita tapi kita masih boleh hidup, masih ada rezeki. Hari-hari ada makanan dan tempat tinggal. Mummy tak rasa kurang pun, " ujar Datin Rozana kedengaran pasrah. Cermin mata rabun yang tergantung di lehernya dipakai dan diteliti dada dokumen itu sehelai demi sehelai.

Biarpun selepas ini mereka akan kehilangan mata pencarian utama, namun dia tidak pernah menyesal. Mungkin sudah takdir dia harus melepaskan hak pengurusan Ghibran Entire kepada pihak lain oleh kerana pengurusannya dahulu gagal mengawal aliran masuk dan keluar tunai. Disebabkan hutang yang bertimbun dia harus membuat keputusan untuk melepaskan syarikat itu.

" Jas dah uruskan jualan saham kita pada uncle Lim. Sekarang ni uncle Lim adalah pemegang saham terbesar dekat Ghibran Entire. Lagipun, Jas percaya uncle Lim boleh pulihkan syarikat," kata Jasmine tanpa nada. Tangannya mula mengurut kaki Datin Rozana. Rutin yang dapat membantu kesihatan kaki mummy walau sedikit.

Uncle Lim adalah sahabat baik mummy yang juga pemilik Lim Hong Group. Asalkan syarikat itu tidak jatuh ke tangan yang salah, dia tidak kisah walaupun harus mengundur diri. Berapa banyak kerosakan yang daddy lakukan pada syarikat dahulu uncle Lim jualah yang hadir membantu untuk memperbaiki keadaan.

" Mummy percaya uncle Lim boleh buat."

Jasmine mengangguk kecil. Pada wajah mummy terpancar senyuman indah yang menyembunyikan duka paling dalam. Cuma mummy sengaja berpura-pura tidak terkesan. Syarikat yang dibangunkan mummy bersama orang tercinta yang mengkhianatinya telah diambil pergi. Sebagai anak, dia terkilan kerana tidak dapat membantu banyak untuk mengatasi kebejatan angkara daddy.

" Duit saham tu pula, Jas ingat nak ajak mummy pindah London. Jas tak nak daddy datang ke rumah ni sesuka hati dan kacau mummy lagi. Bolehlah sara hidup kita buat sementara waktu. Lagipun, Jas ada kenal sorang doktor pakar dekat London yang boleh rawat kaki mummy. "

Datin Rozana menanggalkan cermin mata dan meletakkan fail yang ditelitinya tadi di atas meja sisi katil. Jemari anak gadisnya dicapai. Wajah jelita itu pula direnung sayang.

" Mummy ikut aje kehendak Jas. Tapi, Jas sanggup ke tinggalkan Elhan dengan Arif dekat sini? "

Soalan Datin Rozana membuatkan Jasmine terdiam. Buat seketika, wajah Jasmine tertunduk ke bawah bagai sudah tidak tertanggung perasaan yang bermukim di dada. Bermacam-macam konflik yang merunsingkan benak.

" Jas... tak sanggup. Tapi dia orang pun dah ada kehidupan sendiri. Jas rasa dah tiba masa untuk Jas teruskan hidup juga. Sampai bila Jas nak kekal macam ni. Lagipun, Jas redha dengan ketentuan Allah. Elhan dah dapat jodoh yang lagi baik, " ungkap Jasmine bergetar sebak di hujung katanya.

Pada zahir pandangannya, Hayyani memang seorang gadis yang lengkap serba serbi sempurna di sisi Elhan. Tidak guna dia terus menggarap harapan untuk merampas kebahagiaan mereka berdua apatah lagi berkahwin dengan Hayyani sememangnya impian Elhan. Tambahan pula, dia tak mahu membuat Arif terus berharap padanya sedangkan dia tidak mempunyai perasaan yang sama.

" You gonna heal very soon, sayang. Memang sakit pada mulanya tapi lama kelamaan Jas akan dapat biasakan diri. You deserve so much more. Anak mummy takde kurangnya. Anak mummy cantik, baik. Jangan sedih-sedih." Datin Rozana tak berhenti memberi kata-kata semangat dengan senyuman di bibirnya.

Jasmine menggosok tangan yang sudah berkedut itu. " Thank you mummy."

" Oh ya, pasal rancangan Jas nak pindah ke KL semula tu macam mana, jadi ke?" soal Datin Rozana lantaran dia teringatkan perkara itu. Hal perpindahan yang pernah Jasmine ceritakan kepadanya sebelum ini.

" Jas rasa Jas kena tangguhkan dulu rancangan Jas tu. Jas kesiankan Aisyah. Nanti dia tercari-cari Jas. Lagipun Jas memang tak sanggup berpisah dengan dia. Dari kecil dah jaga dia mummy. Rasa terkilan pula nak tinggalkan macam tu aje," luah Jasmine perlahan.

Dia sebenarnya rasa serba salah kepada mummy juga pada masa yang sama. Yalah, mesti mummy dah teruja ketika dia menyatakan hasrat untuk berpindah kembali ke tempat asalnya, Kuala Lumpur. Dapatlah mereka tinggal bersama-sama lagi setiap hari. Tapi rancangannya berubah secara tiba-tiba pula.

" Takpelah, mummy faham. KL ni pun bukan jauh sangat dengan Shah Alam tu. Jas balik setiap hujung minggu pun dah kira okey. Mummy ada kak Wani teman dekat sini. Fokuslah dengan Aisyah dulu. Kesian dia kecil lagi dah tak ada mak ayah. Dia lagi perlukan Jas. Jangan risaukan mummy, " tenang suara Datin Rozana menenteramkan satu-satunya anak gadis kesayangannya itu.

Lihatlah wajah cantik itu, muram kerana serba salah kalau dia kecewa kerana perpindahan yang dibatalkan. Walhal dia amat mengerti dan tidak berniat langsung untuk mempertikaikan sebarang keputusan Jasmine. Cuma anak gadisnya itu memang seorang yang berhati mulia, selalu mengutamakannya dalam apa jua hal.

" Jas tunggu Aisyah selesai buat pembedahan dulu. Lepastu, mungkin Jas dah boleh pindah KL semula dengan mummy. " Jasmine beri jaminan.

Duduk berjauhan dengan mummy selama ini tidak menjadi masalah malah sudah bertahun dia meninggalkan mummy di KL demi bekerja di Shah Alam. Namun, itu dulu sebelum daddy mula buat onar. Sekarang kalau ada masa saja dia akan pulang menjenguk untuk memastikan Datin Rozana baik-baik saja.

" Aisyah nanti siapa yang jaga? Yalah, lepas operation nanti mungkin dia dah boleh hidup normal semula macam kanak-kanak lain. Dah buat keputusan? "

Jasmine menggeleng perlahan. " Jas belum berbincang dengan Elhan dan Arif. Masing-masing sibuk. Lagipun kami semua belum pasti lagi pembedahan tu akan dijalankan dalam masa terdekat atau makan masa beberapa bulan lagi. "

Soal Aisyah, sebolehnya dia sendiri mahu menjaga Aisyah. Biar dapat dekat dengannya setiap masa. Namun, dia memikirkan Elhan juga pasti menginginkan perkara yang sama. Tambahan pula, sekarang sudah ada Hayyani bersamanya. Jadi dia tidak boleh membuat keputusan yang mementingkan diri.

" Mummy faham. Aisyah pun dah berapa tahun tunggu giliran. Insyaallah akan sampai nanti. Jas, cheer up sikit sayang. Mummy dah lama tak nampak Jas ketawa macam dulu-dulu. Jas okey tak sayang? Anything yang mengganggu fikiran tu? " Datin Rozana tergerak hati untuk bertanya. Naluri hatinya sebagai ibu mengatakan anak gadisnya sedang diselubungi masalah berat.

Sejak bulan-bulan kebelakangan ini, karakter Jasmine amat berbeza berbanding dulu. Jasmine yang suka ketawa, sentiasa tersenyum, ceria dan manja menjadi pasif saban hari. Tak dinafikan berbagai dugaan datang menjengah. Namun entah di mana silapnya yang membuatkan Jasmine boleh berubah begitu sekali.

" Jas okey. Biasalah penat sikit hal kerja. Mummy jangan risau. "

Jawapan yang Jasmine suakan itulah yang diberikan acap kali mummy bertanya. Senyuman tipis yang terukir di bibirnya pula hanya sekadar untuk mengusir kerisauan Datin Rozana. Mummy pun bukannya sihat sangat untuk menanggung bebanan hatinya. Cukuplah, biarlah dia pendam sendiri episod duka yang selama ini berlarutan di dalam hikayat hidupnya tanpa melibatkan orang lain. Biarpun pahit, biarpun sakit untuk ditelan sendiri.

" Mari dekat sikit. Mummy nak peluk."

Jasmine menganjakkan punggungnya untuk mendekati Datin Rozana. Kepalanya disandarkan pada dada mummy lalu pinggang mummy dipeluk erat. Terasa hangat kasih sayang seorang ibu apabila didakap begitu. Leganya. Damainya.

" Cium sikit mummy. Jas nak mintak jampi supaya kuat, " pinta Jasmine dalam nada gurau. Saja nak bermanja.

Datin Rozana tersenyum lebar. Dikucup kepala si anak gadis dengan penuh kasih sayang. Malah pelukan mereka dieratkan lagi.

" Manja mummy ni. I love you so much sayang. Ya Allah berilah anak aku bahagia. Kuatkan dia. Hilangkan penat lelahnya dan cekalkan hatinya menghadapi segala dugaan. Temukan dia dengan lelaki yang baik dan mampu membahagiakannya. "

Sebak mendengar doa yang meluncur dari bibir Datin Rozana sehingga menitis air mata Jasmine. Doa yang tiada ijabah. Dia kesat bersih air mata sambil tersenyum. Inilah anugerah yang terindah pernah Allah beri kepadanya. Doa dan kehadiran seorang ibu yang sentiasa mendamaikan jiwa.

" Jas tidur dengan mummy malam ni boleh? Rindulah nak manja-manja dengan mummy. Esok nak balik Shah Alam dah." Jasmine sudah berbaring di riba Datin Rozana. Mata dipejam rapat. Selesa dan selamat rasanya dapat berteduh di bawah kasih sayang mummy.

" Boleh sayang. Mummy tak pernah larang pun."

Selepas beberapa ketika dia lihat anak gadisnya itu tidak berkutik lagi. Sudah lena agaknya. Dibelai dan diusap dengan lembut rambut ikal Jasmine sebelum kucupan hangat dilabuhkan pada dahi si anak gadis.

Birai matanya dikunjungi air mata saat ini mengenangkan derita dan dugaan yang harus Jasmine lalui selama ini. Hati itu sedang ditimpa kesusahan maka kau berikanlah dia kekuatan dan kebahagiaan Ya Allah. Doa Datin Rozana di dalam hati dengan sesungguhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience