Elhan mengemaskan ikatan tali leher yang dipadankan dengan kemeja berwarna merah hati, turut dipakai bersama seluar berwarna krim. Sedari tadi melihat cermin, bibirnya tak henti mengukir senyum. Hari ini pakaian dan tali lehernya semua dipilih dan disediakan oleh Hayyani buat pertama kalinya sejak mereka berkahwin.
Ketika dia bersiap tadi pun, Hayyani turut berpesan kepadanya untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum pergi bekerja. Malah ketika sedang duduk di meja makan pun dia masih angau melihat segala tindak tanduk Hayyani yang lincah memasak dan menyediakan sarapan untuknya. Berbunga rasa hati bagai dilamun cinta sekali lagi.
" Awak nak roti bakar atau kuey teow? " soal Hayyani. Ketika itu, dia sudah menarik kerusi untuk duduk di depan Elhan sambil membawa sebuah pinggan kosong.
" Erm... kuey teow lah. Saya nak makan berat sikit. Nanti lunch saya keluar lambat. "
" Kenapa keluar lambat? " ringan pula mulut Hayyani bertanya. Sambil itu, tangannya mencedok kuey teow goreng yang masih panas itu ke dalam pinggan.
" Saya ada operation. Mungkin saya habis lewat petang nanti, " beritahu Elhan dengan nada mendatar. Dia menyambut pinggan berisi kuey teow yang dihulurkan oleh permaisuri hatinya.
" Awak baliklah. Nanti saya masak makan malam. "
Hayyani bangun dari duduk setelah selesai menyiapkan sarapan buat suaminya. Dia mahu naik ke bilik tidurnya pula. Namun, baru saja Hayyani hendak berlalu, Elhan mencapai pergelangan tangan itu. Langkahnya terhenti di sebelah Elhan.
" Nak pergi dah? Temanlah saya makan kejap. "
Hayyani menghembus keluhan lemah. Tanpa banyak soal, dia menarik kerusi dan duduk di sebelah suaminya. Lagipun bukan selalu Elhan memintanya temankan.
Air coklat panas disisip perlahan-lahan oleh Hayyani. Sambil itu, sesekali matanya akan melirik pada Elhan di sebelah. Berselera sungguh lelaki itu makan bagai benar-benar menghargai masakannya. Malah sebelum ini pun, apa jua yang dimasaknya pasti Elhan akan menikmati dengan penuh selera.
" Tak makan? "
Hilang terus lamunan Hayyani apabila Elhan menegur. Nasib baik Elhan tak nampak dia tersenyum tadi.
Hayyani menggeleng. " Takpe saya... "
" Buka mulut. "
Belum sempat Hayyani menghabiskan kata, Elhan sudah menyuakan roti bakar di depan mulutnya. Hayyani buka mulut dan menggigit sedikit cebisan roti bakar itu. Ketika perlahan-lahan dia mengunyah roti, Elhan menyapu sedikit serbuk roti yang tersisa pada sudut bibir Hayyani dengan ibu jarinya.
Sempat mata mereka bertentang ketika itu lalu Elhan menghadiahkan sebaris senyuman manis. Hayyani mengalihkan pandangan ke tempat lain menyedari ada debaran yang hebat memalu dada. Mengapa semuanya terasa kekok sekali baginya tapi bukan bagi Elhan.
" Terima kasih sediakan baju, masakkan sarapan untuk saya. Thank you, sayang. "
Tak lepas tatapan mata Elhan kepada Hayyani ketika suara lembutnya menuturkan kata-kata itu. Benar-benar mengungkapkan penghargaannya dari dalam hati. Syukur hari demi hari Hayyani sudah sedikit sebanyak mula boleh menerimanya.
Hayyani tahu dia akan tewas dengan panahan mata memikat dan senyuman Elhan. Tambahan pula, dia dapat merasakan sendiri keikhlasan dari kata-kata Elhan. Lebih-lebih lagi apabila Elhan memanggilnya sayang, terasa cair segala organ dalamannya ketika itu juga.
" Makan cepat. Dah nak masuk waktu bekerja. " Hayyani menukar topik sesegera mungkin. Dia tidak mahu jatuh dalam khayalan itu berlama-lama.
" Oh, sebelum saya lupa. "
Elhan menyeluk poket kotnya. Kemudian, dia mengeluarkan sesuatu dan meletakkannya di hadapan Hayyani.
" Apa ni? "
" Boarding pass ke Bromo. Honeymoon. Seminggu dari sekarang, " ringkas dan padat pemberitahuan Elhan itu.
Hayyani sedikit tergamam melihat dua keping tiket penerbangan yang tercetak nama mereka di atasnya. Wajahnya seakan menuntut penjelasan lanjut.
" Tapi saya tak rasa sekarang waktu yang sesuai untuk pergi. Kita pun baru pindah masuk. Banyak benda nak buat. "
" Siapa suruh awak buat? Saya nak awak masuk dalam rumah ni goyang kaki aje, " mudah jawapan Elhan. Tapi tidak bagi Hayyani, dia seakan keresahan dengan pemberitahuan secara mendadak itu.
" Takkan semua benda saya nak kena harapkan orang lain? Saya tahu awak banyak duit tapi takkan nak suruh orang basuh baju kita, masakkan, kemaskan rumah. Apa guna saya? "
Ada sedikit kehampaan dalam tutur bicara Hayyani itu. Entah kenapa dia berasa sedikit emosional. Takkanlah dia nak goyang kaki saja duduk di rumah itu sementara orang lain menyiapkan semua. Nyata, Elhan tetap memahkotakan dirinya selayak seorang permaisuri walaupun dia melayan suaminya dengan teruk.
" Saya tak maksudkan yang tu. Saya tahu rumah ni masih banyak benda nak buat. Sebab tu saya upah orang lain tolong sementara kita takde kat rumah. Please sayang, seminggu aje. Bromo tak jauh mana pun. Saya pun dah lama nak ke sana. Erm? " rayu Elhan dengan sebaik budi bicara.
Sebenarnya rancangan percutian itu telah dibuat lama ketika mereka bertunang lagi. Sepatutnya mereka bertolak selepas majlis kahwin sebelah lelaki dilangsungkan. Namun, dia terpaksa menangguhkan dahulu rancangan itu lantaran perkara yang terjadi kepada mereka dahulu.
" Okey, nanti saya kemaskan baju kita. "
Hayyani bersetuju juga akhirnya. Dia tahu dia akan tewas dengan pujuk rayu Elhan yang semakin hari semakin menawan. Entah jampi apa yang Elhan baca sehingga dia boleh berlembut hati dan bertolak ansur dengan lelaki itu walaupun belum dapat menerima Elhan sepenuhnya.
" Saya pergi kerja dulu. "
Elhan menghirup kopi yang sudah suam buat kali terakhir sebelum dia mencapai satchel bag dan kot miliknya, berkira-kira untuk pergi.
" Awak... "
Panggilan Hayyani membuat langkah Elhan terhenti. Dia berpaling dan melihat Hayyani menghulurkan tangan untuk bersalam. Senyuman senang terpapar di wajah Elhan sebelum dia menghulurkan tangannya. Dikucup penuh hormat tangan Elhan itu.
Tanpa isyarat, bibir Elhan mendarat pula di dahi Hayyani. Kemudian, dia senyum lebar sambil menggosok lembut kepala Hayyani.
" Take care, sayang. "
Hayyani tergamam ketika Elhan pergi selepas mengucup dahinya. Debaran yang dirasakan itu adalah debaran yang sama dia rasakan ketika saat pertama kali mereka diijab kabulkan dulu. Walaupun dia tidak menduga tindakan Elhan yang itu, namun jauh di hatinya berasa rindu. Rindukan belaian seorang suami dan dia pasti, Elhan juga begitu.
Tuhan, sebenarnya aku tidak mampu lagi menahan rindu. Rintih hati Hayyani.
****
Malam itu, Elhan mengajak Hayyani untuk solat berjemaah dengannya. Sudah lama dia idamkan saat doanya diaminkan oleh makmum yang dinikahi kerana cinta. Ajaib apabila si isteri tidak menolak permintaannya seperti malam-malam sebelum ini.
" Lamanya awak sujud tadi. Apa yang awak doakan? " Soal Hayyani sambil melipat sejadah miliknya. Belakang tubuh Elhan yang masih setia di atas tikar sejadah direnungnya.
" Saya baca doa-doa lazim. Mintak dekat Allah supaya baiki hubungan kita suami isteri. Baca doa kesyukuran sekali sebab dapat jadikan awak isteri saya, " jawab Elhan tanpa memandang ke belakang. Fokusnya masih dihalakan ke hadapan.
" Oh... untung sangat ke dapat saya? " gumam Hayyani sendirian namun cukup jelas untuk didengari Elhan. Sejujurnya banyak perkara yang Elhan lakukan menyentuh relung hatinya. Hanya dia saja yang mempertahankan ego sendiri dan mencari kesalahan sang suami.
Elhan senyum senget kemudian dia berpusing sebentar ke belakang. Dia lihat isterinya seakan sedang mengelamun sendiri.
" Awak pergilah bangun dulu. Saya nak berdoa sikit lagi. Nanti tunggu saya habis sejuk pulak lauk." Tubuhnya kembali dihadapkan ke arah kiblat. Tasbih pada tangannya dipintal-pintal saat bibirnya berzikir memuji Allah yang Esa.
Dalam keasyikan melaksanakan ketaatan kepada Allah, Elhan merasakan ada tangan yang melilit pada pinggangnya. Seiring itu suara esakan Hayyani juga mula tertampan pada cuping telinganya. Dia terkesima sebentar.
" Maafkan Daneen abang. Ampunkan semua dosa Daneen dekat abang. Daneen sedar Daneen dah melampaui batas sebagai isteri. Daneen terus hukum abang walaupun abang tak salah. Abang dah buat macam-macam untuk Daneen tapi Daneen sia-siakan abang. Ampunkan Daneen abang, " pinta Hayyani bersungguh-sungguh. Tidak terkira betapa banyak titis air mata yang tumpah di baju Elhan saat dia melinangkan air mata penyesalan.
Melihat kepada kesungguhan itu, hati Elhan rasa tersentuh. Dia berpusing ke belakang benar-benar menghadap isterinya.
" Betul ni? Awak tak nak gaduh-gaduh dengan abang lagi dah? " soal Elhan lembut. Ubun-ubun Hayyani digosok perlahan.
Hayyani menggeleng rakus. " Tak nak dah. Daneen nak berbaik dengan abang. "
Terpamer seraut wajah bahagia Elhan apabila Hayyani mula memanggilnya dengan panggilan itu. Syukur Allah mula menghadirkan sinar pada perhubungan mereka. Doa yang dipanjatkan pada langit Tuhan akhirnya telah diangkat dan dimakbulkan.
" Abang pun nak baik-baik dengan awak. Setiap hari abang doa supaya Allah mudahkan hubungan kita. Alhamdulillah, makbul juga doa abang. Meh, angkat muka tengok abang. "
Elhan tidak ragu-ragu membahasakan diri dengan panggilan hormat itu juga. Dagu Hayyani dicuit lembut. Habis kebasahan wajah itu berendamkan air mata. Pantas diseka dengan jari jemarinya.
" Daneen rindu dekat abang. Rasa rimas sangat bila terpaksa tahan diri daripada bermanja dengan abang. Daneen nak gelak sama-sama dengan abang. Tangan ni, Daneen nak pegang tangan ni sampai berkedut nanti. " Tangan Elhan yang sedang mengusap lembut pipinya dipegang erat lalu dikucup berkali-kali. Meresap ketenangan ke jiwa.
Tidak terkira rasa syukur yang bernaung di dasar hati Elhan. Hanya Tuhan jualah yang mampu membolak balikkan hati manusia. Syukur Hayyani kembali untuk berteduh di bawah pepohon kasihnya.
Lama Elhan memandang Hayyani. Setiap kali memandang, ada satu perasaan halus yang meresap ke dalam jiwanya. Lantas, dahi Hayyani dikucup kejap.
" Dahi ni, abang nak kucup dahi ni sampai abang mati. Abang tak nak sia-siakan lagi masa yang Allah ta'ala bagi bermusuh dengan sayang," ungkap Elhan romantis.
Hayyani memejamkan matanya merelakan perlakuan sang suami. Sungguh dia rasa begitu tenang berada dalam dakapan dan sentuhan lelaki itu.
" Abang, ampunkan Daneen yang banyak khilaf ni? "
Kasihan Elhan melihat wajah sedih Hayyani. Sungguh pun sebelum ini hari-hari yang mereka lalui penuh sengketa, namun dia tidak pernah membiarkan walau satu hari pun berlalu tanpa memaafkan Hayyani. Malah, dia merasakan bahawa dia yang seharusnya memohon kemaafan dari isterinya itu.
" Abang sentiasa maafkan setiap kali abang pandang muka sayang. Waktu awak tidur, itu peluang paling baik abang ada untuk tengok muka awak puas-puas. Dalam hati abang waktu tu, ya Allah aku rindu dia sangat-sangat. Maafkan aku andai aku bukan lelaki terbaik untuk wanita sebaik isteriku, " tutur Elhan lembut.
Tidak dapat dia bayangkan ketika malam-malam yang dilaluinya dulu tanpa tawa dan senyuman isteri. Walaupun kesabarannya banyak diuji, namun dia tetap memberikan yang terbaik sebagai suami. Malah redha dan kemaafannya untuk Hayyani sentiasa mengiringi selagi mana ada cinta yang berdenyut di dalam hati.
Hayyani tersentuh mendengar kata-kata Elhan tadi. Mengalir lagi air matanya tanpa segan silu. Elhan langsung tiada dendam kepadanya walaupun dia sering menyakiti hati suaminya itu. Malah dia dapat rasakan begitu hebat cinta Elhan sehingga selama ini tetap memilih untuk bertahan. Lega rasanya hidup dalam keredhaan suami.
" Daneen bukan isteri terbaik untuk suami sebaik abang, " balas Hayyani dengan sebak yang memenuhi dada.
Elhan tersenyum seraya menyeka air mata yang berambal-ambal pada wajah Hayyani.
" Abang tak mencari yang terbaik, sayang. Abang cari Daneen Hayyani. Hanya ada satu dalam dunia. Daneen Hayyani yang seadanya, " ujar Elhan penuh romantis.
" Maafkan Daneen, abang. " Makin sebak Hayyani dibuatnya. Belum pernah lagi seumur hidupnya rasa dicintai begini sehingga dia tidak berasa layak memiliki cinta sesuci cinta Elhan Ashareeq.
" Dahlah, jangan menangis lagi. Nanti banjir rumah ni kita nak duduk mana? "
Jenaka yang dilakukan Elhan secara spontan mengundang tawa antara mereka. Ceria sebentar suasana yang tadinya berkulitkan sebak dan air mata. Tawa mesra mereka kembali berseri setelah sekian lama bermandikan duka dan derita.
Hayyani menghadiahkan senyuman manisnya buat Elhan. Pandangan mereka bertaut menyimpul rapi kasih yang bersemi. Betapa Elhan mengasihi wanita bergelar isteri ini.
" Daneen sayang abang sampai syurga," ungkap Hayyani lembut.
Terlukis senyuman indah di wajah Elhan. Terpancar kebahagiaan melalui seraut wajah tampannya.
" Abang sayang Daneen sampai syurga," balas Elhan penuh ikhlas memaknakan katanya. Pelukan antara mereka dieeratkan lagi.
Demikianlah terlakar sebuah kisah cinta yang baru saja berlayar di lautan dunia menuju ke destinasi bermahligaikan syurga. Biar apa pun ribut taufan yang melanda di tengah lautan, hati yang sudah bertaut itu takkan mudah melabuhkan sauh cintanya. Inilah, permulaan bagi setiap manis dan pahit dalam perkahwinan.
Share this novel