Ketika Elhan selesai melakukan rondaan di wad unit rawatan rapi, dia terlihat Arif keluar dari bilik rawatannya dengan membawa sebuah kotak besar di tangan. Keningnya bertaut kejap. Arif nak berpindah jabatan ke? Segera dia berlari anak untuk menyaingi langkah Arif yang sedang berdiri di depan pintu lif.
" Rip, tunggu kejap. Kau nak pergi mana ni? " soal Elhan ingin tahu.
Arif memandang Elhan sekilas dengan senyuman di hujung bibirnya sebelum dia kembali menoleh ke depan.
" Aku dah dapat kelulusan pengarah untuk jadi pembantu penyelidik ubat anti-inflammatory terbaru dekat China. Berkemungkinan, aku akan pindah ke sana kalau segalanya berjalan lancar. Jadi, buat masa terdekat aku rasa aku takkan datang bekerja dekat sini lagi, " beritahu Arif. Dia memberikan laluan kepada staf hospital lain untuk menaiki lif mendahuluinya. Pintu lif tertutup dan mereka masih di situ.
Elhan terdiam sekejap. Arif tidak pernah memberitahu apa-apa soal itu kepadanya dan dia tidak tahu pula Arif berminat untuk menyertai kajian itu.
" Kau datang balik tak? " soal Elhan. Dalam suaranya ada pengharapan. Mengharapkan hari ini bukan hari terakhir dia melihat Arif bekerja di hospital itu. Kajian itu bukanlah boleh siap dalam masa sebulan dua malah ada yang memakan masa selama bertahun-tahun.
Arif melepas keluhan lemah. Kemudian, dia memandang Elhan dengan pandangan pasrah.
" Aku tak berani bagi jaminan. Banyak benda boleh terjadi dalam tempoh masa tu," balas Arif. Banyak faktor yang membawanya kepada keputusan itu. Bukan mudah untuk berpisah dengan teman-temannya apatah lagi sudah lebih sedekad mereka menghabiskan masa bersama. Namun ada satu hal yang membuatkan tekadnya lebih kuat.
Elhan mengangguk tanda faham. Tapi, riak wajahnya jelas menunjukkan kesedihan dan hampa. Walaupun dia tidak bersedia dengan keputusan Arif namun dia tahu temannya itu lakukan untuk kebaikan. Bahu Arif dipaut dengan ketenangan wajah yang dibuat-buat.
" Aku rasa kau ada banyak benda nak cerita dekat aku. Jom, aku belanja kau minum. "
Sebaik saja pintu lif terbuka, mereka menuju ke taman herba. Tempat yang tenang untuk menenangkan fikiran dan menstabilkan emosi. Segar betul udara yang dihirup Arif sementara dia menunggu Elhan membeli minuman. Tumbuhan herba yang ditanam di situ telah banyak membantu memulihkan rohani pesakit termasuklah para kakitangan hospital yang kadang kala dibebankan dengan tekanan kerja.
Seminit kemudian, Elhan muncul dengan minuman tin di tangan.
" Belanja minum softdrinks aje? " Arif menyambut air minuman Coca Cola yang Elhan hulurkan kepadanya.
Elhan tersenyum tak bersalah. Dia mengambil tempat di sebelah Arif.
" Aku tertinggal dompet dekat bilik. Oh, yang ni pun aku beli pakai duit lebih yang kau suruh belikan air minggu lepas," ujar Elhan selamba. Dengan gaya bersahaja dia membuka air tin berperisa teh bunga pilihannya dan minum seteguk dua.
Arif tercengang. Bahu Elhan ditumbuknya. Deraian ketawa mereka akhirnya memecah kesunyian.
" Cis! Kuram asam kau. Takpe, aku minum aje oleh kerana kau tikam air favourite aku. "
Tanpa banyak songel, Arif meneguk juga air minuman itu. Sambil itu, bebola matanya turut diliarkan ke kawasan sekitar. Suasana dan keindahan kawasan hospital besar inilah yang akan dirindui selepas dia pergi untuk mendulang masa hadapan nanti. Udaranya yang nyaman, warganya yang harmoni dan hospitalitinya yang makmur, semuanya nian indah. Yang lebih utama, Jasmine dan Elhan.
Tanpa sedar, ingatannya terhenyak dalam emosi zaman. Sebelum ini, ke mana-mana saja pergi mereka bertiga pasti akan bersama. Mencoret momen-momen indah biarpun terus diselangi kesibukan bekerja pada siang dan malam. Jejak langkah, gema tawa mereka ada mencalit kenangan di segenap lorong hospital. Saat-saat itu cukup berharga untuk dikenang sepanjang hayat. Arif sedar semuanya akan berbeza saat dia pergi tapi dia tahu semua akan baik-baik saja tanpa dia.
" Aku tahu Rip. Aku tahu ada benda yang tak kena dengan kau. Kalau tak kau takkan tiba-tiba minta cuti lama-lama macam tu. Tapi kau tak nak bagitahu aku. Aku tak boleh paksa."
" Aku tak suka biarkan kau hidup dalam berteka teki. Aku tak pernah ada rahsia dengan kau selama aku hidup. Aku ada masalah dengan diri aku sendiri. Dengan hati aku. Masalah ni tak ada yang boleh selesaikan melainkan aku sendiri. Kau boleh berhenti risau. Aku okey, " kata Arif tenang. Dia cuba meyakinkan Elhan bahawa perubahan sikapnya semenjak dua menjak ini tidak dicetuskan oleh apa-apa sebab pun. Dia sudah berjanji dengan Jasmine untuk tetap merahsiakan segalanya antara mereka hingga Elhan tidak tahu pun antara mereka pernah ada sengketa.
Elhan tepuk bahu Arif tanda faham. Dia tidak mahu memaksa Arif andai itu yang temannya mahu. Suatu hari Arif akan tetap membuka mulut jua. Mungkin apa yang Arif perlukan di kala ini hanyalah ketenangan diri.
" Sejak bila kau buat keputusan ni? " Elhan menukar paksi perbualan. Dia masih terkejut dengan pemberitahuan mendadak itu.
" Bulan lepas," jawab Arif pendek.
" Mak ayah kau cakap apa?"
" Mak ayah aku setuju. Mak ayah aku terbuka bila berkaitan dengan kerja dan pelajaran. Jadi, takde masalah untuk aku asalkan ada kesungguhan, " jelas Arif.
Elhan angguk lagi. Kalau mak ayah Arif turut memberi sokongan tiada apa yang boleh dia sangkal. Tapi riak wajahnya masih tak berpuas hati.
" Tapi, kenapa China dalam banyak-banyak negara?"
" Kau tak ingat ke? Taste aku pada perempuan kan mestilah ada chinese blood. Aku pergi sana sebab banyak pilihan," seloroh Arif selamba.
Tawa mereka sama-sama meledak. Elhan menggeleng kepala seraya tersenyum memandang Arif.
" Banyaklah kau. Ingat Rip, usia macam kita ni dah kena serius dalam hubungan. Pilih sorang perempuan yang dekat dengan jiwa kau lepastu kahwinlah. Jangan main-mainkan perasaan perempuan lagi," nasihat Elhan mendalam. Berapa lama lagi dia perlu melihat Arif keluar dengan berpasang-pasang perempuan tanpa hala tujuan. Zaman itu sepatutnya sudah lama ditinggalkan.
" Aku tahu. Aku pun dah penat hidup tak tentu hala macam tu. " Arif meneguk lagi air minuman miliknya yang masih dingin. Sejak dia menyukai Jasmine, minatnya terhadap perempuan lain sudah tiada. Namun, apa boleh buat bila cinta tak boleh dipaksa.
" Kau ingat tak, setiap pagi kita mesti berlumba siapa yang habiskan rondaan dekat wad dulu. Tapi aku yang selalu menang sebab kau selalu bangun setengah jam lambat daripada aku. Kadang-kadang, aku sengaja menyorok dalam wad Aisyah sebelum buat rondaan semata-mata nak mengalah pada kau sebab aku kesian kau kena keluarkan duit hari-hari, " cerita Elhan dengan sepenggal senyuman yang mekar di bibirnya.
Arif mencebik. " Apalah sangat harga makanan dekat kafe tu. Aku tak heran pun kalah dengan kau. "
" Lepas ni nampaknya aku kena buat rondaan sendiri. Dah tak ada siapa yang nak belanja aku makan. Apalah nasib, ada kawan ramai pun last-last tinggal sorang jugak, " ujar Elhan kedengaran seperti sedang berjauh hati. Walaupun dia jarang menunjukkan perasaan di depan Arif, namun kali ini rasa sebak itu lain daripada yang lain. Bergenang juga air matanya memikirkan selepas ini mereka akan terus mengobarkan panji kejayaan di lokasi berbeza.
Air muka Elhan yang melukis kesedihan yang maha dalam itu dipandang Arif. Kepiluan yang sama turut hatinya rasakan. Sesiapa yang pernah terpalit dalam kisah silam seseorang akan diwartakan sebagai kenangan di masa hadapan. Dia sangat mendambakan untuk menjadi kenangan yang manis dalam hidup Elhan dan bukannya seseorang yang akan menimbulkan kemarahan apabila dikenang kembali.
" Aku pergi sebab nak timba pengalaman. Memudahkan urusan aku untuk buat PhD nanti. Lagipun, aku rasa dah tiba masa aku tukar angin bekerja dekat hospital lain pulak. Ni keputusan yang aku buat lepas fikir semasak-masaknya. Tapi aku janji sesibuk mana pun aku akan cuba cari masa untuk lepak dengan kau. Kau tak payah tayang muka sedihlah," ujar Arif cuba berpura tiada apa.
Padahal guruh yang menghentam dadanya cukup dahsyat menanggung keperitan sendiri.
Tiba-tiba, Elhan mengunci leher Arif dengan lengannya.
" Mat Rip, kau ingat kau dah dewasa sangat ke sampai boleh buat keputusan tanpa berbincang dengan aku? Kau memang takde hati perut. "
Arif perasan Elhan semakin rapuh. Gurauan itu hanya untuk menutup rasa hatinya saja. Lantas dia menarik tubuh Elhan lalu dipeluknya. Untuk beberapa saat hati mereka hanyut dalam kebisuan menenangkan diri satu sama lain dengan dakapan seorang sahabat. Tidak peduli lagi kalau macho mereka akan hilang. Air mata keduanya saling berguguran menggambarkan perasaan yang tidak terungkap.
Sebelum meleraikan pelukan, Elhan mengesat bersih air matanya. Ingin terlihat tenang di depan Arif walaupun dia tidak dapat mengawal perasaannya tadi.
" Jaga diri, Rip. Apa-apa hal roger aku. Kalau kau rasa susah patah balik ke sini. Hospital ni sentiasa ada tempat untuk kau," ungkap Elhan penuh makna. Dia memaut bahu Arif.
Arif adalah sebahagian daripada hidupnya sementelahan persahabatan yang telah terbina antara mereka sejak berusia setahun jagung. Semestinya kejayaan dan kebahagiaan Arif adalah kebahagiaannya juga. Kalau perpisahan ini adalah hikmah di sebalik kejayaan Arif, dia redha sepenuhnya.
Arif mengangguk bersama sebaris senyuman sedih di bibirnya. Tin yang sudah kosong direnyuk dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Kemudian, dia berdiri dan mengangkat kembali kotak besar berisi barangannya.
" Bila kau bertolak ke sana?"
" Minggu depan. InsyaAllah, lepas aku settlekan documentation aku bertolak." Pegangan Arif pada kotak diperkemaskan lagi.
Elhan turut sama berdiri. " Apa-apa kau bagitau aku. Jumpa kau lusa nanti."
" Okeylah, aku gerak dulu. Kesian pulak mak ayah aku tunggu lama dekat rumah tu."
" Kau tak nak jumpa Jasmine dulu ke? "
Buat seketika, Arif terpana dek soalan Elhan itu. Membayangkan kembali bagaimana dia berusaha keras untuk mengelak daripada Jasmine selama ini walaupun wanita itu terus berusaha mendekati dan memperbaiki keadaan mereka. Selepas segala yang terjadi, dia yakin dirinya tidak kuat untuk terus berdepan dengan Jasmine walaupun wanita itu berjanji tidak akan memberitahu apa-apa perihal mereka kepada Elhan.
" Jasmine dalam dewan bedah sekarang. Aku tak nak ganggu dia. Lagipun mesti dia penat. Mungkin aku akan call dia nanti," tukas Arif sengaja mencipta alasan.
Sebenarnya, Jasmine adalah salah satu sebab terbesar mengapa dia ingin berhijrah ke China. Duka dan lara di hati tiada siapa yang mengerti jadi demi Jasmine yang akan selalu di hati rela dia mengundur diri. Dia juga sudah tidak sanggup berdepan dengan Jasmine setelah apa yang dia lakukan kepada temannya itu. Dia terlalu malu untuk menunjukkan wajah.
" Dia tahu tak kau nak pindah ni? " soal Elhan lagi. Sejujurnya dia juga sudah lama tidak nampak Jasmine dan Arif berbual bersama. Masing-masing seakan cuba mengasingkan dan menyibukkan diri dengan kerja. Ada sesuatu yang terjadi di luar pengetahuannya atau semua itu kebetulan belaka? Dia tidak dapat meneka.
" Dia mesti tahu nanti. Tolong tengokkan Jasmine. Jangan lupa suruh dia makan ubat bila demam. Kau tahu kan, dia susah nak makan ubat," pesan Arif dengan seikhlas hatinya. Biarpun hubungannya dan Jasmine sudah tidak seperti dulu, namun dia masih pedulikan wanita itu.
Share this novel