Bab 52

Romance Completed 15392

Baru saja nak menarik nafas lega ketika sampai di rumah setelah menempuh kesesakan jalan raya tadi, Balqis diserang debaran pula apabila melihat sebuah kereta yang dikenalinya di depan pintu pagar rumah.

Ibu? Apa yang ibu buat di sini? Adakah ingin bertemu dengannya? Entah apa lagi kata-kata menghiris hati yang bakal ibu lontarkan kepadanya kali ini.

Setiap kali bersua ada saja yang tak kena sehingga dia trauma dan banyak berfikir. Apatah lagi semenjak insiden lepas, hubungannya dan ibu semakin renggang. Tapi walau bagaimana sekali pun, Balqis tetap mendidik hati untuk bertolak ansur dengan wanita tua itu selayaknya seorang ibu mertua yang dihormati.

Dengan tenang Balqis menanggalkan tali pinggang keledar. Beg galas di tempat duduk sebelah diambil sebelum melangkah keluar dari perut kereta.

" Ibu. Dah lama ibu sampai?" Balqis bersalam dengan Puan Farida yang sedang bersandar pada kereta.

" Baru aje lagi. Mana Mikael dan Khaira?" soal Puan Farida dengan wajah yang bagai tidak berekspresi. Senyum tidak, bermasam muka pun tidak. Sukar bagi orang di sekelilingnya untuk menebak.

" Erm... masuklah dulu ibu. Nanti Balqis ceritakan."

Balqis memasukkan kunci ke dalam lubang kunci untuk membuka pagar dan seterusnya membuka pintu rumah pula. Sejujurnya, dia seolah dapat menghidu niat Puan Farida bertandang ke situ. Kalau tidak manalah ibu sudi ke sini, seorang diri pula tu. Tika ini, Balqis bersungguh-sungguh berdoa agar diberi kekuatan untuk menghadapi ibu seorang diri kali ini tanpa suami dan bapa mertuanya.

" Minum ibu," pelawa Balqis lembut. Dengan cermat dia menghulurkan secawan teh panas yang dibawa dari dapur kepada ibu mertuanya. Setelah itu dia duduk bersimpuh di lantai pula dekat dengan Puan Farida.

Ketika Puan Farida sedang menikmati teh, Balqis berkira-kira untuk memberitahu tentang perkembangan terkini dirinya. Bukan malu tapi letih nak menghadapi bagaimana penerimaan ibu selepas ini. Melihat kepada ibu yang terus membisu, Balqis sedar ibu mahu dia bersuara terlebih dahulu.

" Ibu... sebenarnya Balqis sekarang dah sambung belajar. Balqis mula dengan diploma dan insyaallah lepas ni Balqis nak sambung ijazah pula. Mikael dengan Khaira ada dekat rumah pengasuh. Balqis dengan Haris hantar dia orang ke sana untuk jaga sampai Balqis habis kelas, " beritahu Balqis panjang lebar.

" Patutlah kamu dengan Haris dah lama tak balik rumah ibu, " balas Puan Farida tanpa nada. Susah nak dikata dia sedang kecil hati atau marah memandangkan dia sudah terlebih dahulu tahu perkara sebenar.

Balqis tertunduk kejap sebelum dia mengumpul kekuatan untuk memandang kembali wajah Puan Farida.

" Ibu jangan salah faham. Kita orang ingatkan nak bagitahu ibu tapi belum ada masa yang sesuai. Lagipun Balqis sibuk uruskan hal masuk universiti sebelum ni. "

Terdengar keluhan berat yang dilepaskan Puan Farida. Cawan dan piring teh di tangannya kembali diletakkan ke atas meja kopi.

" Ibu ada terdengar dari Haleena. Dan ibu pun pernah nampak Balqis dekat kampus UKM. Balqis, jujur dengan ibu. Kamu sambung belajar sebab terasa dengan apa yang ibu cakap dulu?" soal Puan Farida kali dia tidak berdalih lagi. Memang itulah tujuan utama dia bertandang ke rumah anak menantunya itu. Ada sesuatu yang membebani hatinya selagi mana dia tak mendengar sendiri jawapan dari mulut Balqis.

" Tak ibu. Pasal dulu tu Balqis dah lama lupakan. Cuma Balqis nekad nak sambung belajar untuk masa depan sendiri. Balqis nak belajar selagi ada kesempatan. Bukan sebab apa yang ibu cakap," nafi Balqis dengan suara yang masih lembut dan terkawal.

Biarpun dia tidak menafikan pandangan mata ibu seakan meruntuhkan tembok ketenangan dalam dirinya. Namun dia cekalkan hati kerana sedar apa yang dia lakukan itu tidak salah. Ibu tidak berhak memarahinya walaupun ibu tidak bersetuju.

" Baguslah ada keinginan nak belajar. Cuma ibu nak pesan jangan abaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu walaupun tengah sibuk belajar. Fikir masak-masak. Bukan senang nak habiskan diploma dan teruskan ke ijazah lepas tu. Makan masa, tenaga, dan kesabaran. Kalau tak boleh berhenti aje dari awal. Takdelah sia-sia nanti, " ujar Puan Farida tanpa riak.

Kata-kata yang dilontarkan adalah berdasarkan apa yang sudah dilaluinya sehinggalah berjaya mencapai tahap pengajian PhD. Sebelum kahwin mudah, boleh capai sejauh yang mungkin kerana tiada komitmen yang banyak. Ketika dia berkahwin dulu pun dia sudah mempunyai ijazah pertama barulah dia menyambung ijazah sarjana selepas mendirikan rumah tangga pula. Jadi baginya misi Balqis untuk melalui semua itu kedengarannya seperti tidak mudah. Komitmen sebagai pelajar lain, sebagai ibu dan isteri lain. Hati tuanya bimbang tak terbawa pula nanti.

" Insyaallah tak ibu. Balqis takkan lepaskan lagi peluang ni. Lagipun anak-anak kami dah besar jadi senang sikit nak uruskan. Masing-masing pun dah nak ke sekolah tahun depan. Balqis dah fikirkan semasak-masaknya sebelum buat keputusan. Sekurang-kurangnya nanti walaupun Balqis tak berharta tapi Balqis ada pelajaran. Kalau dua-dua pun tak ada, siapalah yang nak pandang Balqis ni kan. Balqis sedar kebodohan dan kemiskinan tak ada tempat di mata masyarakat jadi Balqis tak minta pun untuk disukai sesiapa. Balqis sedar diri. Cuma sekarang ni Balqis hanya mampu bersyukur sebab Haris sayangkan Balqis seadanya. Sentiasa sokong cita-cita Balqis. Ibu jangan risau, sebelum Balqis buat keputusan, Balqis dah minta izin dengan Haris. Alhamdulillah Haris izinkan, " panjang lebar Balqis menuturkan kata-katanya. Rasa puas dapat memuntahkan luahan yang belum separuh pun daripada apa yang terbuku di hati. Biar ibu tahu dia nekad dan dia bukan orang yang sewenang-wenangnya dipandang enteng.

Puan Farida mengangguk. Apa lagi boleh dikata kalau Balqis sudah mendakwa sebegitu. Walaupun sebenarnya kata-kata Balqis tadi seolah satu tamparan halus buatnya, tapi dia tetap tidak menunjukkan dirinya terkesan.

" Baguslah kalau macam tu. Ibu minta maaf. Ibu harap kamu tak simpan dalam hati," ucap Puan Farida lambat-lambat. Matanya pun tak tega sangat untuk menentang pandangan Balqis.

Ada satu perasaan yang sukar nak dijelaskan terhadap menantu yang selalu dilayannya dingin itu. Lagipun dia sekarang sedang menuruti kemahuan suaminya untuk mengembalikan keadaan seperti sedia kala. Terpaksalah merendahkan ego sekejap.

Balqis tersenyum nipis. Nafas lega dihembuskan apabila mendengar kata-kata yang amat sukar diucapkan oleh ibu mertuanya itu. Maaf. Biarpun dia tak pasti apakah ibu ikhlas menuturkannya.

" Ibu jangan risau. Balqis tak simpan pun dalam hati. Balqis faham keadaan ibu masa tu. "

Puan Farida sudah berdiri sepertinya bersedia untuk pulang. Balqis turut sama berdiri.

" Ibu dengan abah rindukan Mikael dan Khaira. Rasa macam dah lama sangat tak jumpa. Sebab tu ibu datang sini. Kalau kamu terasa dan itu yang buatkan kamu tak nak balik rumah ibu lagi, ibu minta maaf. Tapi tolong jangan pisahkan ibu dan abah dengan cucu kami. Balqis baliklah nanti. Ibu pergi dulu. "

Balqis sekadar mengangguk tanda mengerti. Sejujurnya dia juga bersalah dalam hal ini kerana tak memikirkan bahawa anak-anak mereka juga adalah cucu kepada ibu dan abah. Dia tidak sepatutnya memisahkan ibu dan abah daripada cucu mereka walaupun di antara mereka ada sengketa.

Sebelum menghantar Puan Farida sehingga ke muka pintu, tangan tua itu diraih lalu dikucupnya lama. Lama sehingga entah mengapa sampai ke dasar hati rasa senang Puan Farida dengan kesopanan dan akhlak menantunya itu. Walaupun sudah banyak kali dia melukakan hati Balqis namun Balqis tetap melayannya baik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience