Bab 66

Romance Completed 15392

Seperti yang dijanjikan pada hari sabtu itu, Hayyani, Hanan dan Muna akan keluar bersama. Mereka merancang untuk bertemu di SACC Mall Shah Alam sebelum membeli belah bersama. Seperti biasa, Hayyani dan Hanan pasti akan sampai lebih awal daripada Muna yang masih belum menampakkan batang hidungnya.

Jadi, sementara menunggu, mereka memutuskan untuk mengalas perut di kafe Secret Recipe yang terletak dalam pasar raya itu. Sebaik saja ternampak bayang Muna di celahan orang ramai itu, Hanan melambai tangannya. Tersengih-sengih Muna datang menghampiri.

" Sorry, sorry. Member habis meeting lambat tadi." Mereka berlaga pipi dan berpelukan sebelum Muna mengambil tempat di sebelah Hayyani.

" Haih... yelah, orang kuat company. Apa boleh buat kan, Daneen."

Hayyani membalas high five yang Hanan ajukan kepadanya. Sengaja nak memerli Muna. Tapi Muna mana tahu nak terasa. Di antara mereka bertiga, Munalah yang paling bersikap selamba.

" Hey, whatever okay. Yang penting finally, setelah sekian lama merancang nak keluar bertiga baru sekarang dapat merasa. Bukan senang tau nak jumpa korang. Hugs. "

Muna memeluk Hayyani di sebelah dengan muka yang sengaja dicebikkan kononnya sedih. Sepanjang tahun ini, boleh dikira dengan jari berapa kali saja mereka dapat berjumpa. Kalau tidak ketika zaman belajar dulu mana pernah terpisah. Begitulah hakikatnya apabila masing-masing sudah ada komitmen sendiri.

" Kita orang berdua selalu jugaklah jumpa. Macam mana nak jumpa bertiga. Kau tu sibuk sangat dengan kerja, " balas Hanan selamba.

Muna melepas keluhan panjang. " Alah aku ni sibuk-sibuk orang nak hidup aje. Korang untunglah tak payah kerja keras sangat family ada jadi support system. Nak duit anytime, anywhere masuk akaun. "

Hanan dan Hayyani kedua-duanya anak orang berada yang lahir di dalam sudu perak. Ketika belajar dahulu, Muna saja yang perlu bersusah payah bekerja sambilan demi menyara perbelanjaan harian. Baru sekarang dia dapat merasakan kemanisan daripada perit jerih yang dihadapi dulu. Bahagia rasanya dapat menyenangkan ibu bapa apabila sudah ada duit sendiri.

" Banyaklah kau. Kita orang pun tahu berdikari jugak. Takkanlah sampai tua nak bergantung dekat mak ayah, " tukas Hanan tak bersetuju. Kalau dulu memang dia mengharapkan duit daripada umi, ayah dan abangnya. Tapi, apabila sudah bekerja dan berumah tangga dia mula belajar untuk berdikari. Apabila sudah bekerja, dia dapat merasakan sendiri bahawa nak mencari duit bukanlah mudah.

" Cuba tanya member kita sorang lagi. Seronok tak dapat duit gaji jadi orang rumah?" soal Muna dalam nada mengusik. Dia mencuit Hayyani di sebelah.

" Kejap, kejap. Hanan pun dah jadi orang rumah apa. Kenapa tanya aku je?" Bangkit Hayyani tak berpuas hati. Hanan dan Muna tergelak saja. Lebih-lebih lagi Hanan, paling pandai mengelak soalan-soalan cepumas begini.

Muna menepuk bahu Hayyani. " Kau lain sikit. Kisah cinta kau unik daripada Hanan. Mula-mula benci menjadi cinta, " giatnya lagi sengaja mengusik Hayyani.

Hayyani rasa terbakar melihat kedua temannya itu saling tertawa dan bertepuk tangan. Dia punya seronok tu macam menang loteri juta-juta. Geram betul! Hayyani hembus nafas kuat. Akur dengan permintaan Muna akhirnya.

" Okeylah, aku jawab. Well, seronok tu seronoklah jugak. Tapi kadang-kadang aku nak jugak merasa ada duit sendiri
Barulah ada rasa manisnya waktu berbelanja kan," kata Hayyani sambil mengacau air fresh orange dengan straw di jari.

Kecenderungannya ada dalam bidang seni lukisan sejak kecil lagi. Cuma sekarang dia belum mampu menggapai impiannya untuk melanjutkan kerjaya dalam bidang itu. Atau mungkin dia perlu melupakan hasratnya saat semuanya terasa sukar.

Muna menyuap sedikit kek red velvet yang telah dipesan lebih awal tadi ke dalam mulutnya.

" Kalau macam tu, kau gunalah sijil engineering tu. Aku boleh recommend any available position dekat company aku kerja tu kalau kau nak. "

" Ishh... Kau tak fahamlah Muna," celah Hanan yang jelas melihat perubahan pada wajah Hayyani. Dia tahu benar temannya itu pasti makan hati apabila berbicara soal kerjaya. Bukan mudah nak berhadapan dengan ibu yang begitu tegas menentukan masa depan anaknya sendiri.

" Kenapa pulak? " Muna berkerut tak faham.

" Dia nak bekerja tapi bukan dalam bidang engineering. Minat dia ada dekat lukisan. Lagipun, tak semestinya apa yang kita belajar dekat universiti dulu, akan jadi pekerjaan kita bila dah bekerja nanti. Macam aku, belajar engineering tapi jadi cikgu. Kau lainlah Muna. Kau memang minat, " ujar Hanan secara tidak langsung membela Hayyani.

Sesaat kemudian, barulah Muna mengangguk faham. Dia terlupa akan minat Hayyani yang terhalang kerana ibunya. Kasihan pula dia melihat wajah Hayyani.

" Aku ni bukanlah kaya nasihat sangat. Tapi apa yang aku boleh bagitau, kejarlah impian kau selagi boleh. Sepuluh tahun ke depan pun masih tak terlalu lambat nak capai impian. "

Hanan tiba-tiba bertepuk tangan. Dia tayang muka bangga. " Fulamak! Sekali Muna dah bagi nasihat kalah Prof. Muhaya, " selorohnya seraya tertawa sendiri.

" Janganlah Hanan. Motivator favourite aku tu tau. "

Hayyani kembali tersenyum mekar. Gelagat teman-temannya yang menghiburkan hati berjaya mengalihkan kerunsingan yang singgah tadi. Sebab itulah, dia amat sayangkan kedua-dua sahabat baiknya ini.

" So, simple aje kesimpulannya girls. Takdir setiap orang dah tertulis berbeza-beza. Ada yang kurang ada yang lebih. Ada orang rezeki dia lebih pada kewangan tapi kurang pada kesihatan. Ada yang lebih pada kesihatan tapi kurang pada kewangan. Allah dah susun cantik semuanya."

Muna dan Hanan mengangguk kepala tanda setuju dengan kata-kata Hayyani.

" Tapi kalau aku kat tempat kau pun kira bersyukur sangat. Duduk rumah goyang kaki pun boleh kaya. Bilalah agaknya aku nak dapat merasa macam tu. Tak payah susah payah kerja. Tahu-tahu aje ada 7 digit dalam akaun. "

" Kalau macam tu kau kahwinlah Muna. Cari lelaki kaya. Bolehlah sara kau 7 keturunan, " seloroh Hanan lagi disambut tawa Hayyani. Siapa tak kenal perangai Hanan yang memang suka mengusik orang selain merajuk.

" Nanti aku bawak kau mandi bunga dekat bawah jambatan biar melekat jodoh dengan lelaki kaya, " tambah Hayyani sengaja menghangatkan suasana seraya berbalas high five dengan Hanan.

Muna buat muka pasrah saja tatkala mendengar tawa teman-temannya yang semakin berjela-jela. Mereka memang sudah biasa bergurau senda mengusik satu sama lain begitu. Sebesar hama pun dia tidak berkecil hati. Tapi itulah, bila bercakap soal jodoh dia sering diulit ketidakpastian. Pernah juga dia menjalinkan hubungan cinta sebelum ini tapi semuanya tak pernah bertahan lama. Ada saja masalah yang berlaku setiap kali dia cuba berjanji temu dengan seseorang. Sehingga sampai satu tahap dia sudah pasrah.

Hayyani memeluk bahu Muna yang terlihat murung. " Jangan sedih-sedih Muna. Jodoh tu rahsia Allah. Sampai masa yang tepat nanti kau akan jumpa dengan lelaki yang tepat. Kan, Hanan?"

Hayyani meminta sokongan Hanan cuba menceriakan Muna kembali. Dengan pantas, Hanan mengangguk kepala tanda sokong. Sempat lagi dia menyudu kek red velvet ke dalam mulut Muna.

" Betul. Kau jangan risau Muna. Kau anggap jelah Allah tengah simpankan someone yang terbaik untuk kau. Save the best for last, " ungkap Hanan berusaha mengembalikan semangat Muna.

Muna lepas keluhan panjang. " Aku bukan macam kau, Daneen. Ke mana-mana pergi pun selalu terpijak jodoh. Kuat sangat aura sampai mamat Istanbul tu sanggup datang Malaysia cari kau. Kalau bakal laki aku kaya macam mamat Istanbul tu aku rasa semua bangunan dekat KL tu dah boleh cop nama aku kot. "

Tanpa sedar, Muna sudah terlepas cakap soal Malik Ghaozani yang Hayyani kongsikan kepadanya saja. Keadaan berubah janggal. Dalam sesaat dua itu, Muna kembali tersedar bahawa dia sudah melakukan kesilapan. Bibirnya diketap kuat sambil mengerling sekilas pada Hayyani yang sudah bermuka pasrah.

" Mamat Istanbul? Kau cakap apa tadi Muna? Ada sesuatu yang aku tak tahu ke? Jawablah Muna kau cakap pasal siapa tadi? " gesa Hanan serius meminta Muna mengulangi apa yang didengarinya tadi. Wajah Muna dan Hayyani yang masih terkedu dipandang silih berganti.

Dapat dirasakan peluh sejuk yang merintik di dahi Muna. Tatapan mata tajam Hanan masih terpasak padanya. Sungguh menyesal apabila tersebut tentang sesuatu yang tidak sepatutnya disebut. Maafkan aku Daneen...

" Err... mana ada aku cakap apa-apa. Eh, aku nak pergi tandas kejaplah. Tak tahan sangat ni. "

Tergesa-gesa Muna mencapai beg tangannya dan meninggalkan kedua-dua temannya itu. Kini tinggal mereka berdua, Hanan memberikan pandangan penuh tanda tanya kepada Hayyani. Hayyani mengeluh lemah. Tertunduk takut dan gementar. Namun apabila sudah tiba masa dia tak boleh mengelak lagi. Kini masanya untuk dia jujur tentang segalanya.

****

Setelah mendengar penjelasan daripada Hayyani, Hanan sungguh terpempan. Dia hilang kata-kata buat seketika. Bermacam-macam perasaan yang menujah dadanya sehingga ke saat akhir kisah itu diceritakan. Sungguh, dia tidak menyangka akan menerima kenyataan memedihkan dari temannya itu.

" Jadi, selama ni kau curang belakang abang aku? Kau ada lelaki lain selain dia? Kenapa kau buat abang aku macam tu Daneen? Kau tak kesiankan abang aku ke? "

Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Hanan. Mengasak Hayyani agar menjawab segala pertanyaannya. Dia tidak boleh bertenang lagi ketika ini.

Sedari tadi menahan tangisnya daripada luruh, kini Hayyani tak dapat menahan lagi perasaan sebak dan kesal yang bermukim di dada. Seraut wajah dingin Hanan meruntun emosinya.

" Aku tak curang, Hanan. Aku dah kenal lelaki tu lama sebelum balik ke Malaysia lagi. Aku dah cuba lupakan dia lepas aku balik. Perlahan-lahan aku mula terima abang kau dalam hidup aku dengan harapan aku boleh lupakan dia. Tapi... aku tak boleh," balas Hayyani lirih. Antara dia dan Hanan tak pernah ada rahsia selama ini. Tetapi ada satu rahsia tentang Malik yang harus dia selindungi daripada pengetahuan Hanan kerana dia takut perkara inilah yang akan terjadi. Dan akhirnya, ia terjadi jua.

Hanan memicit kepalanya dengan tangan yang ditongkatkan pada pintu kereta. Berat untuknya menerima apa jua alasan Hayyani. Pokoknya dia sangat terkilan!

" Aku nak tanya kau satu soalan. Kau menyesal tak kahwin dengan abang aku? " Hanan sengaja menguji Hayyani.

Hayyani menggeleng kepalanya. " Aku tak menyesal Hanan. Aku bersyukur dapat jadi isteri Elhan. Hidup sama-sama dengan dia. Dia suami yang baik untuk aku. Aku nak bahagia dengan dia sampai bila-bila. "

Hanan membetulkan duduknya benar-benar menghadap Hayyani. Riak tak puas hati bergentayangan pada wajahnya walaupun Hayyani telah menafikan soalannya. Ketika ini, mereka ditinggalkan berdua di dalam kereta sementara Muna menunggu di luar.

" Kalau kau tak menyesal sepatutnya kau boleh pilih dengan jelas perasaan kau. Suami yang patut kau utamakan berbanding lelaki lain tak kiralah sama ada dia tu cinta pertama atau bekas kekasih. Kau tahu kan berdosa besar seorang isteri mempunyai perasaan untuk lelaki selain suaminya? Bertaubat Daneen, " tegur Hanan tentang kesalahan Hayyani. Memang tidak sepatutnya Hayyani memiliki perasaan sebegitu di belakang Elhan. Sedangkan abangnya begitu tulus mencintai temannya itu. Dia tidak mahu Hayyani melanggar garis syariat Islam dan menjadi isteri nusyuz terhadap Elhan.

Bertambah syahdu esakan Hayyani. Tersentap mendengar tarbiah dari mulut Hanan. Dia juga terbeban dengan kesilapan yang sudah tergalas di bahunya sejak dia mengetahui perasaannya buat Malik masih nyata.

" Aku tahu, Hanan. Aku berdosa besar. "

" Bila fikir sampai bila kau akan tipu abang aku, hati aku hancur Daneen. Abang aku dah banyak merana. Aku ingatkan bila kahwin dengan kau semua tu akan berakhir. Tapi rupanya... Tak sanggup lagi aku nak sebut. " Hanan menggeleng kesal. Sebagai keluarga Elhan mahupun sebagai teman baik Hayyani, kenyataan itu pasti sedikit sebanyak memalit rasa terkilan di hatinya. Apatah lagi Elhan yang tentunya amat kecewa dengan hakikat ini.

Hayyani menggapai jemari Hanan perlahan-lahan. Biar dibuat kekuatan saat hatinya menjadi gontai. Walaupun Hanan tidak cuba memandang pada wajahnya yang sedang kebasahan bermandi air mata lara.

" Memang semua ni salah aku. Perasaan ni satu kesalahan besar. Aku janji aku akan cuba untuk jadi isteri yang lebih baik lepas ni. Kau tak tahu aku rasa serba salah sangat tanggung derita ni sorang-sorang. Setiap hari aku salahkan diri sendiri. Rasa macam nak mati, " luah Hayyani sebak. Dia sendiri tidak mahu terperangkap dalam kesamaran kalbu ini. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersusah payah mengharungi kesukaran sendiri.

" Yang sepatutnya menderita ialah abang aku. Dia cintakan kau sepenuh hati dia. Tapi isteri yang dia sayang ada hati pada lelaki lain," tekan Hanan dengan suara yang naik satu oktaf. Barangkali emosinya sudah melebur ke tahap kecewa yang lebih dalam. Dia meloloskan tangannya daripada pegangan Hayyani.

Hayyani tersedu sedan melihat Hanan bersama perasaan pilu. Andai saja Hanan tahu seksa yang dirasakan hatinya di saat ini. Namun, dia sedar bahawa dia tidak berhak meminta dirinya difahami.

" Aku mintak maaf, Hanan." Berulang kali kata-kata maaf itu berlagu di bibir Hayyani. Tiada kata lain yang mampu diucapkan bagi menyatakan kekesalan yang dirasai.

Hanan akhirnya turut mengalirkan air mata. Bohonglah kalau hatinya tidak terusik langsung melihat sahabatnya menangis. Namun, di kala ini dia lebih mengasihani Elhan yang tidak mengetahui apa-apa. Pasti abangnya menyangka Hayyani hanya mencintai dirinya saja.

" Daneen, aku sayangkan kau sebagai sahabat dan kakak ipar. Abang Elhan pun aku sayangkan macam nyawa aku sendiri. Tolonglah, aku merayu jangan seksa orang yang aku sayang. "

Hanan memaut bahu Hayyani saat dia melafaz rayu. Terbayang-bayang seraut wajah tenang Elhan di layar matanya ketika ini. Perasaan simpati terus berputik di dalam hati. Bagaimana abangnya akan terus tersenyum lagi nanti setelah satu demi satu wanita yang dicintai hanya mampu membawa khabar duka di dalam hidupnya.

" Aku janji Hanan. Aku akan tamatkan semua ni. Kalau aku perlu terseksa sepanjang hidup untuk tanggung rasa serba salah aku pada kau sekeluarga pun aku sanggup. Sebab aku yang salah, Hanan. "

Pernyataan itu ibarat menelan hempedu di celah kerongkong bagi Hayyani. Hakikatnya cuma dia yang tahu betapa sukar untuk melarikan diri daripada terus dimamah dilema ini. Demi Elhan yang selalu mencintainya, dia akan berusaha untuk menetapkan semula hati biarpun harus mengambil masa sehingga berkurun lama.

Nafas panjang dihela bagi mengusir semua kesedihan yang merantai jiwa. Hanan menyapu air mata biar tidak bersisa. Sudah cukup dia mendengar perkara yang menambah rawan hatinya itu.

" Ingat satu pesanan aku untuk kau. Kalau kau dah tak mampu nak cintakan abang aku tolong hentikan sandiwara ni. Jangan pura-pura cinta kalau dekat belakang kau memuja lelaki lain. Aku adik Elhan dan dia satu-satunya abang yang aku ada. Bila dia sakit aku pun ikut sakit. Dan aku yakin sesiapa pun akan rasa yang sama kalau darah daging sendiri dikhianati. "

Pesan Hanan memaknakan kata-katanya dengan sepenuh perasaan. Menusuk dan memberi kesan di sanubari Hayyani. Pintu kereta dibuka dan akhirnya Hanan berlalu pergi.

Terbiarlah Hayyani di situ meredam pedih sendiri. Hari itu Hayyani sedar bahawa dia akan kehilangan sahabat dan keluarga saat dia memilih jalan yang satu itu. Ya Allah, bantulah aku yang selalu keliru ini!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience