" Abang!" Hanan menggoncang bahu abangnya. Seketika, Elhan mula tersedar. Reaksinya seolah-olah dia kaget dengan kehadiran adiknya di situ. Segera dia bangun dan melipat sejadah.
" Kenapa abang tidur dekat lantai ni? "
" Abang terlelap kejap lepas solat tadi. Ada apa Nan?" Soal Elhan yang sedang menyidai kain pelikatnya. Sedar tak sedar sudah pukul 8 pagi. Lama sungguh dia terlelap selepas subuh tadi.
" Nak mintak abang urutlah apa lagi, " jawab Hanan sambil berjalan masuk ke dalam bilik seraya duduk di birai katil.
" Eleh, mengada-ngada. Perangai tak macam bini orang langsung. Lukman mana?" Soal Elhan seraya mengatur langkah duduk di sebelah Hanan.
" Ada. Dia teman ayah berborak dekat luar. Abang urutlah Hanan. Lenguh dah bahu ni. " Hanan membetulkan duduk membelakangkan abangnya.
Elhan tersenyum kemudian dia menggeleng kepala. Dah jadi bini orang pun manja dengan abang lagi. Akhirnya dia memicit juga bahu Hanan seperti yang dipinta.
" Abang... Hanan nak tanya, abang masih teringat dekat arwah kak Lou ke? Yalah, sebab Hanan selalu nampak abang termenung sorang-sorang sambil peluk kopiah tu. Are you okay? "
Kalau diperhatikan secara telus, Elhan cuma seorang manusia biasa yang pernah tersakiti kerana menangisi pemergian Louisa. Pemuda itu tetap meneruskan kehidupan sehari-harinya seperti biasa. Jiwa itu sudah begitu lama menyepi bagai pepohon kalbu yang kekeringan tanpa kehadiran lembayung yang menggerimiskan hujan nirmala.
" Ha tengok tu. Licik aje dia buat kerja nak ajak abang gosip, " sakat Elhan sebelum dia tergelak kecil. Hanan menampar lengan abangnya.
" Hanan cuma kisah pasal abang aje. Manalah tahu abang tengah sedih pasal dulu ke. Ataupun ada masalah lain yang Hanan tak tahu. Share la dekat Hanan. " Hanan sudah membetulkan duduk betul-betul menghadap abangnya.
" Cerita dia macam ni, 3 bulan lepas abang terserempak dengan sorang perempuan cantik. Ingatkan bidadari. Pakai serba putih dari atas ke bawah. Baru ingatkan nak mengorat tapi tengah menikah pulak, " selamba muka Elhan mereka cerita.
Hanan tarik muka. Bengang dengan sikap Elhan. Langsung tak serius!
" Abang... itu Hanan kan? "
" Siapa yang kata muka Hanan macam bidadari? Perasan aje lebih ni. "
" Abang jangan main-main boleh tak. Cepuk nanti baru tahu. "
Elhan tertawa. Kedua belah pipi adiknya dicubit perlahan. Comel betul bila merajuk. Beberapa saat kemudian, barulah dia mula serius.
" Abang nak tanya Hanan satu soalan dulu. Bayangkan Hanan dah tinggal lama dekat sesuatu rumah, dah banyak kenangan yang ada dalam rumah tu tapi Hanan terpaksa pindah sebab tuan rumah nak ambil rumah dia. Hanan sedih tak? "
" Ishh! Mestilah sedih. Walaupun dah pindah ke rumah yang lagi best tapi rumah lama tu tetap yang terindah dalam hati. Susah nak lupa semua kenangan yang pernah ada dekat situ tau. "
Elhan mengangguk bersama segaris senyuman. Tidak sukar untuk membuatkan Hanan faham. Kemudian, dia menggosok lembut kepala adiknya.
" Ha... macam tu jugaklah dengan abang. Kak Lou tu dah macam rumah bagi abang. Banyak kenangan indah abang cipta dengan dia dulu. Jadi bila Allah ambil dia balik, hilanglah salah satu tempat untuk abang berteduh. Walaupun hati ni tak nak Allah ambil arwah Louisa, tapi kita tak boleh buat apa dah sebab Allah pemilik nyawa arwah. Nak tak nak abang kena akurlah, " luah Elhan tenang mengatur kata. Sungguh pun hatinya begitu berkehendak untuk mendampingi wanita itu sehingga ke hujung waktu namun dia tidak berhak untuk meratapi pemergian Louisa. Apatah lagi sebagai seorang mukmin, Elhan seharusnya yakin dengan janji Allah Ta'ala bahawa wanita yang meninggal saat melahirkan anak akan diangkat sebagai ahli syurga.
" Jadi abang nak cakap yang abang sedih tapi abang redha dengan pemergian arwah?" Soal Hanan setelah berjeda beberapa ketika.
" Redhalah. Nak buat macam mana. Kita semua makhluk Tuhan. Lambat laun nanti kita semua nak pergi menghadap Dia jugak, " balas Elhan dengan hati yang terbuka.
Hanan lepas pandangan simpati. Kisah cinta abangnya begitu menyayat hati sehingga dia berasa sebak. Dahulu pernah juga sekali dua dia berjumpa dengan Louisa dan dia tidak menafikan memang berkenan kalau wanita itu dijodohkan dengan Elhan. Sayangnya, umur tak panjang.
" Abang be strong okay. Hanan tahu kalau ada sesuatu yang bersangkut paut dengan perpisahan ni takkan ada sesiapa pun yang tak bersedih. Umi selalu pesan dekat Hanan, cinta tak semestinya bersatu tapi hati tetap bersatu walaupun dah terpisah jauh. Tengoklah, umi sampai sekarang pun teringat dekat ayah. "
" Takpelah, abang terima semua takdir Tuhan. Hanan jangan dok risau kat abang. Tapi pasal umi tu jangan bagitau papa pulak. Takut apa-apa jadi nanti susahlah. Kita bukan tahu hati orang, " pesan Elhan.
Lagipun soal isi hati tak sepatutnya dizahirkan kepada manusia secara berlebihan. Cukup Allah saja yang tahu. Tak pasal-pasal timbul ribut taufan dalam perhubungan orang tuanya.
" Abang jangan risaulah. Takkanlah Hanan nak bagitau. Tapi kalau Hanan tak bagitau pun papa tetap tahu jugak. "
Encik Idham memang sudah sedia maklum sebelum berkahwin dengan Doktor Khalida dulu. Bahawa bukan mudah untuk seorang wanita menoktahkan kenangan kisah silamnya. Apatah lagi bapa Elhan dahulu seorang suami yang sangat baik dan penyayang. Bukan semudah itu untuk disingkirkan dari ruang ingatan dan hati.
" Itu lain cerita. Selagi papa dengan umi tak cakap apa-apa kita jangan dok bangkit benda ni sudahlah. Hal rumah tangga dia orang tak usah masuk campur, " kata Elhan lagi tenang mengingatkan adiknya.
" Yalah, Hanan faham. Ni, abang nak nasi goreng tak Hanan boleh buatkan? Abang belum sarapan lagi kan? Umi ada masak jugak nasi lemak tu tapi Hanan ingat nak buat nasi goreng jugak. "
" Ai, lain macam aje ni. Adalah tu benda yang dia nak sampai sanggup sogok abang dengan nasi goreng dia. "
" Ishh abang ni tak baik tau buruk sangka. Husnudzon sikit dekat adik abang ni. Orang rajin terlebih hari ni sebab esok lusa Lukman ajak pindah rumah dia. Tak dapatlah manja dengan abang selalu. " Hanan buat ayat sedih. Mulalah dia tayang muka sedih macam anak kecil tak dapat gula-gula. Padahal bakal jadi mak budak suatu hari nanti.
" Baguslah tempat bini memang dekat sebelah laki dia. Kalau asyik berkepit dengan abang aje habislah merana Lukman tu nanti," seloroh Elhan sengaja menyakat adiknya. Selepas itu, dia ketawa mengekek-ngekek. Memang kalau mereka berjumpa Hanan selalu sangat nak berkepit dengannya.
Hanan cemberut. Fikirnya dapatlah dia menagih simpati Elhan ataupun setidaknya abangnya itu akan berasa sedih kerana dia bakal memulakan hidup sendiri di tempat lain. Ini tidak, macam orang takde perasaan.
" Ishh abang ni. Dah menyampah la tu tengok muka orang dekat rumah ni sebab tulah tak kisah orang keluar cepat kan. Dahlah, malas layan abang, " Hanan keluar dari bilik itu dengan muka cemberut. Dasar hati kering betul.
Elhan tersenyum sendiri. Bibir saja yang kata tidak padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu. Siapa yang sanggup berpisah dengan awak adik oi?
****
Ada satu keluhan panjang yang kedengaran saat Hayyani menghempas punggungnya di atas kerusi di Istanbul International Airport. Dia baru saja selesai mendaftar masuk bagasi. Jam tangannya dikerling sekilas. Dah masuk pukul 1 petang. Lagi 1 jam dia akan diarahkan untuk masuk ke balai pelepasan namun bayang Malik langsung tak kelihatan.
Lelaki itu sudah berjanji hendak berjumpa dengannya buat kali terakhir sebelum dia pergi meninggalkan Istanbul. Resah. Itulah perasaan yang bersarang dalam jiwanya sekarang. Masa semakin suntuk dan Malik masih juga belum munculkan diri.
" Malik, awak dekat mana ni?" gumam Hayyani sendiri. Dia mengeluarkan telefon bimbit untuk mendail nombor Malik. Hayyani tepuk dahi.
" Aduh! Aku mana ada nombor dia." Kenapalah selama 3 bulan mereka berkenalan tak pernah sekalipun dia meminta nombor telefon Malik? Selama ini kalau hendak berjumpa pun di kedai bunga.
Sabar Hayyani. Dia dalam perjalanan lagi. Hayyani cuba menyedapkan hati sendiri. Seketika kemudian, dia petik jari. Coffee! I need coffee to calm down.
Kakinya semakin menggeletar seiring dengan rasa hati yang kian dilapah resah gelisah menandakan betapa dia terdesak mengharapkan kehadiran Malik di situ. 50 minit sudah berlalu menyisakan detik waktu yang sangat terhad.
Tak menahan lagi, dia bangun dan meliarkan bebola matanya mencari figura Malik.
Sekali imbas, dia terlihat seorang lelaki yang memakai jaket kulit mirip seperti Malik. Lantas dia berlari menerpa ke arah lelaki itu.
" Malik?" Bahu lelaki yang berjalan sedang membelakangkannya itu ditepuk. Tolonglah, awak Malik kan? Begitu sekali hatinya berharap.
Lelaki itu berpaling. " Sorry miss, you've got the wrong person."
" Err... I'm sorry, " kata Hayyani kedengaran hampa. Lelaki itu meminta diri meninggalkannya terpinga-pinga di situ.
Hayyani melangkah longlai kembali ke tempat duduknya. Air matanya gugur titis demi titis tanpa dipinta. Seolah dia sedang menanggung keperitan yang tak berhujung pangkal. Ya Allah, kenapa dia tak datang? Dia tak nak jumpa aku buat kali terakhir ke?
" This is the last flight boarding call for passengers A350 flight to Kuala Lumpur, Malaysia. Please proceed to gate 3 immediately."
Panggilan terakhir pesawat yang akan dinaikinya sudah berkumandang. Hayyani mengesat air matanya dengan hati yang terkilan. Dia benar-benar mahu Malik datang menemuinya buat kali terakhir. Bagasi miliknya ditarik. Namun hanya beberapa tapak dia melangkah, kakinya terhenti. Dia menoleh ke belakang dan meneliti lagi segenap ruang lapangan terbang itu.
Jauh di sudut hatinya masih mengharapkan kehadiran Malik. Masih berhajat untuk mendengar walau dua patah kata iaitu selamat tinggal. Namun dia tahu, segalanya mustahil tatkala masa mula membataskan segala. Dia harus terima perpisahan yang tiada kata akhirnya ini.
" Selamat tinggal Malik. Terima kasih atas memori di Istanbul, " ungkap Hayyani sendiri sebelum dia terus melangkah pergi membawa hati yang kecewa.
****
Hayyani membuang pandang ke luar jendela. Sebentar lagi penumpang dari Istanbul akan didaratkan di bumi Malaysia. Akhirnya dia kembali ke tanah air setelah 3 bulan berkelana di bumi Turki. Pulangnya dia bermakna pulanglah dirinya bersama sepotong jawapan berkenaan lamaran Elhan. Sejenak dia berfikir kalau dia sudah benar-benar masak dalam membuat keputusan. Dia tidak mahu terburu-buru dalam mendirikan rumah tangga takut ada tanggungjawab yang hanya dilaksanakan bagai melepas batuk di tangga.
Sebaik saja roda kapal terbang mencecah landasan dan isyarat tali pinggang dipadamkan, Hayyani turun dari kapal terbang dan bergerak ke arah ruangan kargo pula untuk mengambil bagasi. Selesai memastikan dia mendapat bagasi yang betul, kakinya diatur menuju balai ketibaan. Telefon bimbit dihidupkan semula lalu nombor Haleena didailnya.
" Helo, assalamualaikum. Leen akak dah sampai ni." Pandangan ditebarkan ke sekelilingnya. Manalah tahu Haleena sudah sampai lebih awal.
" Waalaikumussalam. Huishh... awalnya akak sampai. Ingatkan sampai malam nanti."
" Tak jadi. Flight akak awal sikit." Ini semua gara-gara dia terburu-buru membeli tiket selepas diugut Puan Farida kelmarin kalau tidak entah bila dia akan pulang pun tak pasti.
" Oh... Dekat mana tu?"
Soalan Haleena berjaya membuahkan kerutan di wajah Hayyani. " Dekat airport la. Soalan tu mintak penampar kan."
" Memanglah dekat airport tapi dekat mana? Akak ingat airport tu besar lubang hidung aje ke?"
Kali ini Hayyani terdiam. Betul juga, airport ni punyalah besar. Ramai pula tu umat manusia mestilah susah nak dicari.
Matanya melilau memandang sekelilingnya. Tiba-tiba dia terlihat angka jam digital pada skrin besar yang sudah beralih ke pukul 4. Dia menepuk dahi. Habislah aku dah lambat.
" Dekat-dekat dengan balai ketibaan ni. Alah, nanti dah sampai call la akak. " Buru-buru dia meletakkan panggilan.
Telefon bimbit disimpan dalam beg tangannya semula. Bagasi sebesar mak bapak gajah itu ditarik sambil mencari simbol surau. Dia perlu segera menunaikan solat.
Share this novel