Desiran dedaun hijau pada pokok nan merendang mencipta satu melodi alam yang sungguh menenangkan di tanah perkuburan itu. Langit yang mendung seakan turut berduka dengan pemergian Aisyah. Akhirnya, anak kecil itu telah selamat dikebumikan sejurus selepas solat zohor.
Di tepi kubur yang masih merah itu, Jasmine duduk melepek sambil memeluk erat lukisan yang dihadiahkan oleh Aisyah semalam. Lukisan itu mengilustrasikan figura dia dan Elhan bersama manakala Aisyah dan Louisa pula berpimpin tangan seakan ingin pergi jauh.
Berlinang lagi air matanya. Anak kecil itu seolah-olah tahu bilakah saat kematian akan datang menjemputnya. Apabila difikirkan semula, Aisyah adalah satu-satunya orang pertama yang mengetahui perasaannya pada Elhan. Luka hatinya untuk mengikhlaskan perpisahan ini.
" Jas, jom balik. Esok kita datang ziarah lagi," ajak Elhan perlahan. Dia dan Hayyani baru saja selesai menyiram air pada pusara Aisyah.
Pandangan Jasmine jadi sekosong-kosongnya. Nyata pemergian Aisyah memberi kesan dalam hidupnya.
" Aisyah pergi... sebab Allah lebih sayangkan dia ataupun sebab Louisa dekat sana yang terlalu rindu dan terdesak sangat nak jumpa anak dia? I masih keliru, Elhan. "
Elhan hembus nafas berat. Wajahnya diraup perlahan sebelum dia menjawab. Beruntung Hayyani ada menggenggam tangannya di sebelah sebagai sumber kekuatan untuk dia terus bertabah.
" I pun masih terkedu sampai sekarang. Tapi semua yang jadi ni ketentuan Tuhan. Kita tak boleh nak tolak takdir yang Dia tetapkan. "
Esakan Jasmine yang tidak pernah reda mula kedengaran lagi.
" Terlampau perit Elhan... terlampau sakit untuk I terima. Walaupun I tak melahirkan Aisyah, tapi kasih sayang I pada dia melebihi segalanya. I sayangkan dia lebih daripada nyawa I sendiri, " luah Jasmine sebak.
Hayyani bergerak mendapatkan Jasmine. Kasihan dia melihat wajah wanita itu. Pelupuk matanya sembab akibat tangisan yang tidak henti. Wajah itu juga tampak sugul setelah seharian tidak menjamah nasi selepas pengsan semalam.
" Jasmine, saya faham perasaan awak. Memang susah nak telan sakit kehilangan tapi lambat laun awak akan dapat terima. Awak lebih faham perasaan awak sendiri sebab dalam badan Aisyah mengalirnya susu badan awak. Hubungan awak lebih daripada seorang ibu angkat. Tapi awak dah janji dengan Aisyah yang awak akan kuat demi dia. Awak takkan sedih. Sabarlah ya... " nasihat Hayyani seikhlas hatinya. Tiada kata-kata lain yang mampu diucapkannya selain terus meminta Jasmine bersabar.
" Dekat dalam dunia ni Daneen, Aisyah sorang aje yang betul-betul perlukan I. I takkan lupakan semua keletah dia yang buat I rasa bagaimana bahagianya perasaan jadi seorang ibu. Bila makan, dia akan berpura-pura sakit tangan supaya I boleh suap dia. Bila waktu malam pulak, dia akan tahan mengantuk sebab tak kasi I balik cepat sangat. Tapi akhirnya dia tertidur jugak sebab I suruh dia kira sampai seratus perlahan-lahan. Kelakar kan? "
Timbul segaris senyuman sedih di bibir Jasmine. Momen indah bersama Aisyah yang cuma dapat dikenang mula berlegar-legar di benak fikirannya. Hayyani turut tersenyum biarpun kelopak matanya sudah dikunjungi air mata. Sengaja dia berdiam diri memberikan ruang buat Jasmine meluahkan rasa.
" Tapi sekarang, dia yang pergi lebih cepat dari I. Sebelum ni bila dia tidur lena, I masih dapat kejut. Dia akan bangun dan perkataan pertama dia akan cakap, I love you mummy. Tapi sekarang, Allah dah tak kasi I kejutkan dia dari lena lagi. Selama-lamanya, " sambung Jasmine disambut esakannya di hujung kata.
Kala Jasmine menghabiskan kata, Elhan memusingkan badannya ke arah lain. Dia menekup mulut seboleh mungkin cuba menyembunyikan esakannya. Dia mesti kuat demi Jasmine walaupun kesedihan di lubuk hatinya terus membuak-buak.
Lantas tubuh Jasmine ditarik ke dalam pelukan. Hayyani menggosok belakang tubuh Jasmine demi menyalurkan secebis kekuatan.
" Saya faham Jasmine. Saya tahu awak sedih. Awak mummy yang baik untuk Aisyah. Sabarlah ya. Ini semua ujian Allah, " pujuk Hayyani sepenuh hati. Dia membiarkan saja Jasmine mengongoi di bahunya.
" Daneen, abang tunggu dekat kereta," pamit Elhan seraya menapak keluar dari tanah perkuburan yang sudah lengang itu.
Hayyani cuma mengangguk tanda faham. Kemudian, dia kembali memandang Jasmine.
" Jom Jasmine, kita balik dulu. Nanti kita datang lagi ziarah Aisyah, " kata Hayyani sambil membantu Jasmine bangun dari kedudukannya.
Pusara Aisyah ditatap lama membiarkan beberapa saat berlalu untuk menghadiahkan mereka kesempatan ini. Jasmine mengelap air mata yang masih bersisa di wajahnya. Seketika, dia merendahkan tubuhnya untuk mengusap batu nesan yang tertera nama Aisyah.
" Aisyah, mummy nak balik ni. Nanti mummy datang semula mummy bacakan doa untuk Aisyah, ya sayang? Mummy halalkan susu yang mummy bagi pada Aisyah selama ni. Mummy sayang Aisyah sangat-sangat, " ujar Jasmine dengan suara lirihnya menitipkan pesanan buat kali terakhir sebelum mereka meninggalkan Aisyah di negeri abadi.
Selamat tinggal pujaan hati mummy...
****
Ketika Elhan bersalam dengan tetamu yang beransur pulang sesudah majlis tahlil arwah Aisyah berakhir, kelibat Arif mula terlihat di ruang mata.
" Elhan, salam takziah bro. " Tangan yang dihulurkan Arif untuk menyalam Elhan disambut jua walaupun hatinya masih terkilan.
" Rip? Mana kau menghilang Rip? Mana kau pergi waktu aku dengan Jasmine kehilangan Aisyah? " Dari saat-saat terakhir Aisyah hidup sehinggalah saat Aisyah dikebumikan semalam, bayang Arif langsung tidak muncul. Apa lagi pesanan dan panggilan langsung tidak ada. Sungguh, Elhan kecewa.
Arif tertunduk kejap. Seketika, dia kembali mengangkat wajah untuk memandang wajah muram Elhan.
" Aku mintak maaf, Han. Aku nak buat satu pengakuan dengan kau. Aku rasa kau patut tahu sebab kau pun ada hak atas perkara yang aku nak bagitau, " ujar Arif tanpa nada. Riak wajahnya bagai hendak memberitahu sesuatu yang dahsyat.
" Apa maksud kau? "
Arif menghela nafas dalam. Renungan tajam Elhan seakan mencantas keberaniannya untuk membuka mulut. " Kau ingat lagi pasal surat tak bernama yang Daneen dapat sebelum korang menikah dulu? "
Elhan mengangguk. Tiba-tiba kemarahan yang dulu membuak-buak kembali.
" Aku takkan lupa. Dan aku takkan maafkan orang yang tulis surat fitnah tu sampailah dia datang mintak maaf pada aku dengan Daneen. Tapi, apa yang kau cuba sampaikan? " soal Elhan tanda tidak faham. Dia sendiri tidak pasti mengapa Arif tiba-tiba membangkitkan soal itu pada hari-hari penuh duka ini.
Bibir diketap kuat cuba mengumpul keberanian untuk memberitahu rahsia yang telah disembunyikan selama ini. Mata Elhan ditentang Arif dengan berani.
" Sebenarnya... aku yang tulis surat tu. Aku sengaja tulis dengan tangan kiri supaya kau tak cam tulisan aku. Aku hantar pada Daneen guna alamat dan nama palsu supaya kau tak dapat nak cari aku, " terang Arif bersama debaran yang memuncak di dadanya. Apa pun, dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah amukan Elhan.
Elhan terdiam seribu bahasa. Wajah kesal Arif ditenung dengan pelbagai perasaan yang datang menerjah. Sakit hatinya, pedih jiwanya, luluh perasaannya hingga tiada kata yang mampu diluahkan.
" Jadi selama ni yang sibuk mengkhianat aku dari belakang adalah kau? Kawan baik yang aku anggap setia dan sayangkan aku buat aku macam ni? Sebenarnya, kau ni layak dipanggil manusia ke? Hanya syaitan aje yang tahu memecah belahkan hubungan manusia, " marah Elhan biarpun dia masih dapat mengawal suaranya daripada didengari orang lain.
Kepalanya diraup kasar. Bebola matanya yang tak dapat dikalihkan daripada memandang tajam mata Arif mula kelihatan memerah. Sahabat yang disangka ikhlas ternyata mempunyai niat durjana terhadapnya. Hancur hatinya yang sedia hancur.
" Kau biar aku habiskan cerita dulu. Lepastu kalau kau nak tumbuk aku kau nak pukul aku sampai lembik pun aku dah tak peduli lagi. "
" Apa lagi yang kau dah buat untuk hancurkan orang yang sayangkan kau ni? Hah?! Apa motif kau buat semua ni? " Kolar baju melayu Arif digenggam kemas. Seakan ada satu tumbukan yang bakal dilayangkan melihat kepada ketegangan wajah itu.
" Aku cuma tak suka tengok kau disayangi. Aku cemburu tengok kasih sayang dalam keluarga kau. Sentiasa bahagia walaupun kau dah takde ayah. Aku cemburu bila Daneen pun sayangkan kau. Aku takkan boleh bayang macam mana ekspresi muka kau bila Daneen setuju nak kahwin dengan kau. Tapi aku paling cemburu... kalau Jasmine sayangkan kau, " ujar Arif panjang lebar. Berombak dadanya seolah puas dapat memuntahkan rasa yang mendongkol di dada.
Rahang Elhan bergerak-gerak. Cengkaman pada kolar baju Arif diperkemas lagi. Kali ini di dalam matanya sarat dengan kebencian dan kekecewaan.
" Jasmine pun sayangkan kaulah Rip. Kau tu kawan baik dia jugak sama macam aku. Apa yang kau fikir ni?! "
" Tapi sayang dia pada kau lebih daripada seorang kawan. Lelaki yang dia suka selama 7 tahun tu, engkau orangnya Elhan. Dia cintakan kau sejak sebelum kau kenal Louisa lagi. Semua pengorbanan dia selama ni hanya sebab dia cintakan kau. Kau tak nampak ke?! Kau buta atau kau buat-buat tak tahu?! " Keras suara Arif tatkala dia melontarkan soalan itu.
Sikap naif Elhan untuk menyedari cinta Jasmine membuatkan hatinya sakit. Hari demi hari sakit hatinya berubah menjadi dendam. Dendam yang dia kesali sehingga ke saat ini.
" Aku tak faham apa yang kau cakap. Apa yang kau merepek ni? " tekan Elhan. Motif di sebalik pengkhianatan Arif masih kabur padanya. Demikian pula, dia turut terkejut dan terkesima mendengar pemberitahuan mendadak tentang Jasmine. Tersepit di antara percaya atau tidak.
Tiba-tiba, Arif tertawa sinis di depan wajah temannya. Rasa berang yang bermukim di dada Elhan semakin naik ke kepala melihat senyuman itu.
" Betullah. Nampaknya kau memang naif. Kau tak tahu pun selama ni dia cintai kau dalam diam. Bayangkan, betapa sakitnya hati dia bila kau tak pernah nak ambil tahu. Daripada Louisa sampailah Daneen, yang kau pentingkan cuma perasaan kau aje! Kau tak fikirkan perasaan orang lain. Sebab tulah, aku rasa marah pada kau. "
Serta merta Elhan menolak dada bidang Arif sehingga temannya itu terdorong sedikit ke belakang. Turun naik nafasnya menjadi tidak sekata. Tidak dinafikan bahawa dia turut terkesima apabila identiti lelaki yang dicintai Jasmine adalah dirinya sendiri.
Tangan Arif ditarik ke taman belakang rumah agar jauh daripada penglihatan orang.
" Sekali pun Jasmine cintakan aku, apa hak kau untuk tikam belakang aku? Apa yang aku dah buat pada kau sampai kau bencikan aku? Dendam apa yang belum terlunas, Rip?!" Jerkah Elhan dengan muka yang merah padam. Seumur hidupnya, inilah pertama kali kemarahannya membuak-buak sampai begitu sekali.
" Kau rasa kenapa aku buat macam ni? Sebab aku cintakan Jasmine. Sayangnya, dia tak cintakan aku. Dia cuma berharap pada kau. Tapi kau tak nampak, " ujar Arif lagi sedih sangat suaranya.
Sebak yang mengasak dadanya seakan tidak tertanggung. Tumpah jua air mata ke pipi mengenang kembali keperitan yang dirasainya selama ini. Rasanya ingin mati apabila tidak dicintai kembali.
" Aku tahu, lepas ni tak mungkin hubungan kita boleh jadi macam dulu. Maafkan aku, Han. Maafkan aku, walaupun aku tahu tak ada sesiapa pun yang akan senang-senang maafkan kalau duduk di tempat kau. Aku sayangkan kau, Han. Sangat-sangat sayang. Dan aku ikhlas untuk memori selama 23 tahun kita kenal. Cuma, aku jahat. Aku tak layak berkawan dengan orang-orang baik. "
Sayup suara Arif menerjah ke pendengaran Elhan. Dia memandang belakang tubuh Elhan yang sedang membelakangkannya.
Sejahat mana pun dia namun hatinya ikhlas untuk menghargai nilai persahabatan mereka selama ini. Sedih hubungan mereka harus berakhir begini. Dia akan menganggap kalau inilah kifarah atas dosanya dahulu.
Elhan memejamkan matanya rapat. Membiarkan manik-manik jernih menelusuri segenap wajahnya. Dapat dirasakan ketulusan Arif melalui patah bicaranya. Namun, tiada yang dapat meredam perasaan kecewa yang menguasai diri. Sakitnya, pedihnya untuk mengakui inilah titik terakhir bagi persahabatan yang amat disayanginya sejak umur setahun jagung.
" Dah takde apa yang aku nak dengar dari mulut kau. Aku tak nak tengok muka kau lagi."
Arif mengangguk pasrah. Dia mengesat bersih air mata di pipi. Nafas berat dihembus sebelum dia melangkah merapati Elhan. Bahu temannya itu dipaut.
" Kau jangan risau, aku takkan muncul depan kau lagi. Maafkan aku, Elhan. "
Demikian ungkapan terakhir yang meluncur dari bibir Arif menampan telinga Elhan. Akhirnya, Arif berlalu pergi meninggalkannya di kala malam semakin memekat. Elhan menyapu air mata dengan hati yang berwarna duka.
Kala ditinggalkan sendirian, dia mendongak memandang langit yang dihiasi bintang dan bulan. Hati yang pilu tertanya sendiri. Dapatkah bulan memancarkan cahaya indahnya lagi seandainya tiada bintang di sisi. Pasti langit akan kelam dan tidak berseri. Yang pasti, dapatkah dia tersenyum lagi seandainya Arif tiada di sisi? Pasti hidupnya tiada berseri.
Buat sekian kalinya, air matanya tumpah lagi meratapi kehilangan insan-insan yang pernah memberi erti dalam hidupnya. Dulu ayahnya, kemudian Louisa dan sekarang ini Aisyah dan Arif pula. Ya Allah... hatinya merintih lagi. Cekalkan hati hambaMu ini.
Share this novel