Bab 47

Romance Completed 15392

Sudah kira-kira sepuluh kali mee goreng basah yang masih panas itu disuap ke dalam mulut. Sedap saja rasanya bagi Hayyani. Tapi, Hanan di hadapannya masih lagi terkuis-kuis mee goreng dalam pinggannya itu.

" Hanan, tak sedap ke mee yang aku goreng tu. Macam nak tak nak aje makan," tegur Hayyani yang tak selesa untuk terus melihat sikap acuh tak acuh sahabat baiknya itu.

" Sedap. Tapi aku takde selera nak makan. Nak buat apa-apa pun macam takde mood. Tapi nak tak nak aku kena paksa diri. Kalau tak kertas jawapan student yang melambak tu siapa nak tanda. Nasib baik minggu ni cuti sekolah," kata Hanan dan suaranya kedengaran seperti orang yang tiada semangat hidup.

Dia melingas pandangan ke arah lambakan kertas soalan subjek fizik yang diajarnya di atas meja kopi di tengah ruang tamu kediaman Hayyani dan Elhan. Belum pun habis separuh dia menanda, hilang terus mood nak meneruskan. Sudah cuba mengasingkan hal peribadi dan kerja, namun dia tetap tak dapat menetapkan fokus.

" Hmm, kalau macam tu baliklah rumah. Confirm nanti ada selera balik," ujar Hayyani selamba memberi cadangan. Kopi o yang sudah suam disisip sedikit demi sedikit.

Hanan mendecit. " Buat apa balik rumah. Kalau balik pun aku tinggal sorang. "

Hayyani sudah menggeleng kepala. Senang saja jawapan sahabat merangkap adik iparnya itu. Seolah tak ada apa berlaku.

" Habistu, Encik Lukman yang ada dekat rumah tu siapa? Tukang kebun baru? Kesianlah dekat dia. Dah dua hari ada dekat Shah Alam tapi bini menagih kasih dekat rumah kakak ipar," leter Hayyani berharap kali ini kata-katanya tak masuk telinga kanan keluar telinga kiri Hanan saja.

Sudah 2 hari Hanan bermalam di rumah mereka. Elhan juga hairan dan tidak berapa setuju dengan tindakan adiknya. Yalah, suami ada di rumah tapi sibuk nak tidur di rumah abang. Tak manis sebenarnya. Tapi nak buat bagaimana, nak dimarah beria sangat Hanan pun adiknya sendiri. Nasib baiklah Lukman boleh bertolak ansur dalam situasi begini.

" Biarlah, aku nak merajuk dengan dia. Apa yang susah sangat dia nak pindah tempat kerja pun aku tak tahu. Ikutkan sangat kepala sendiri," gerutu Hanan geram sangat nampak gayanya.

Sudah lama dia bersabar dan meminta Lukman mempertimbangkan soal itu dengan cara baik. Tapi Lukman berterusan ingin mengelak dan memberikan terlalu banyak alasan. Kerana itulah dia membawa diri ke rumah Hayyani dan Elhan sehari sebelum Lukman pulang. Malas nak menghadap muka yang wajib dihormati itu.

" Bincanglah elok-elok. Jangan sorang ke utara sorang ke selatan macam korang ni. Macam mana nak selesai masalah," saran Hayyani tenang. Sesekali dia tersenyum sendiri mengenangkan sikap keanak-anakan Hanan itu.

Hanan tayang muka tak berminat. Terus hilang seleranya nak makan mee goreng yang sedap itu.

" Dah berapa kali bincang pun. Lukman tu kena buat keputusan pulak. Aku dah takde apa-apa nak cakap. "

Mendengar saja Hanan jawab begitu, jari ketam Hayyani terus naik ke pinggang Hanan. Tahu pula mengaduh sakit.

" Eee... perangai tak macam cikgu langsung. Ni student kau tahu tak cikgu dia merajuk macam ni? Buat malu aje tau. "

" Cikgu pun seorang perempuan. Manusia biasa okey. Salahkah cikgu pun nak rasa sedih nak merajuk? " bidas Hanan tak nak mengalah.

Hayyani tersengih melihat wajah yang sudah mencuka itu. Lukman ni dah habis fikir ke sebelum kahwin dengan Hanan dulu. Bukan senang nak hadap perangai manja dan kuat merajuk si Hanan ini.

" Okeylah betul apa kau cakap tu. Cuma kau buat macam ni tidur rumah aku tak bagitahu Lukman dah dikira membelakangkan suami tau. Lukman ada bagi kebenaran kau tidur sini? "

" Kau tak suka ke aku tidur rumah kau. Bukan rumah orang lain pun rumah abang aku sendiri jugak, " ungkap Hanan kedengaran rajuknya. Tubir mata pula sudah ditakungi air. Kenapalah semua orang suka sangat nak bela Lukman berbanding dia. Sedihlah.

Hayyani menghembus nafas masih bersabar dengan Hanan. Tegal bisa alah biasa. Mereka sudah berkawan lebih sepuluh tahun. Tahu sangat bagaimana nak pujuk si Hanan yang seorang ini.

" Hah, mulalah tu. Eh, aku ni tak pernah nak bencilah kau datang. Sekurang-kurangnya aku tak bosan adalah jugak kawan. Cuma yalah, aku faham kita sekarang dah kahwin nak jadi isteri sempurna tu susah tapi at least jangan terlepas pandang benda-benda macam ni tau. Nampak aje kecil tapi sebenarnya boleh buat Allah murka. Bincanglah elok-elok. Kalau susah sangat apa kata kau aje yang pindah Penang ikut Lukman. Mengajar kat sana pulak. Walaupun jauh dengan family tapi sekurang-kurangnya benda ni tak jadi lagi. Mana tahu sepanjang korang hidup dekat sana tiba-tiba Lukman berubah hati nak pindah semula ke. Faham tak maksud aku? " panjang lebar Hayyani memberikan nasihat.

Kali ini Hanan sedikit tersentak. Ada benar dari kata-kata temannya itu. Ada kala dia terlalu terbawa-bawa dengan perasaan.

" Eee... bencilah buat aku sebak pulak. Sini peluk cepat. "

Hanan sudah berdiri dan mendepangkan tangan untuk memeluk Hayyani. Air mata usah dikata, sudah berceceran dulu.

" Alahai, manja betul. Meh sini sayangku." Hayyani tergelak kecil sebelum dia turut berdiri dan membalas pelukan Hanan. Belakang Hanan digosok-gosok. Manja betul adik Elhan yang seorang ini.

"Aku tegur sebab sayang tau. Kau janganlah terasa pulak. " Hayyani bagi ayat penyedap hati. Yalah, mana tahu Hanan ambil hati, parah pula nanti.

" Sayang, tapi aku kahwin tak datang. " Sempat Hanan menggiat. Sengaja nak membangkitkan isu yang tiada kaitan langsung dengan hal ini.

" Ha, mengungkit. "

Hayyani cucuk pinggang Hanan. Geram sampai dia ketap gigi. Dalam pada sedih, sempat lagi nak cari pasal. Meletus tawa dua sahabat itu akhirnya.

****

Puan Farida menatang dulang minuman berisi teko air teh dan cempedak goreng menuju ke bawah pohon rendang di halaman rumah yang meneduhkan meja kopi di bawahnya.

Di situ, dia dapat melihat dan mendengar suaminya berbual di corong telefon dengan Hayyani. Mesra dua beranak itu berbual sehingga dia terpaksa menunggu saja dan tidak menyampuk langsung. Lagipun dia dan Hayyani bukannya biasa bertelefon sebegitu, lainlah suaminya.

" Iya abah sihat. Cuma biasalah demam sekejap-sekejap. Orang tua kan," ujar Encik Sulaiman seraya tergelak kecil. Dengar suara anak sendiri pun daripada sakit boleh terus menjadi sihat.

" Abah makan ubat tau. Kalau dah berhari-hari tetap tak baik nanti pergi klinik. Apa-apa abah update dekat Daneen. Tau abah, " pesan Hayyani tanda prihatinnya. Semenjak dia berkahwin, makin kerap pula dia mendapat khabar abah sakit. Risau pula jadinya.

" Iya... abah jaga diri. Kamu tu jaga diri juga."

" Nanti bila senang Daneen balik tau abah. Rindu abah, " ucap Hayyani kedengaran sebak suaranya.

Saat ini sudah menitis manik jernih di pipi Hayyani barang setitis dua. Sengaja dia menahan sebak supaya tidak kedengaran oleh Encik Sulaiman. Walaupun boleh dikatakan selalu juga Elhan membawanya pulang melawat abah dan ibu, tapi suasana tetap berbeza kerana dia bukan lagi anak gadis yang duduk bersama-sama orang tua. Tanggungjawabnya sudah teralih dari segi keutamaan. Rindu kerana keadaan sudah tidak lagi sama.

" Iya abah dekat sini rindu kamu juga. Jangan risaukan abah. Kalau ada masa baliklah jenguk kami, abah tak kisah bila-bila pun. Lagipun abah faham kamu sekarang dah jadi orang rumah, masa pun terhad sikit. Takpelah, abah dengar suara kamu pun cukup dah," kata Encik Sulaiman tenang saja suaranya. Dalam pada masa yang sama, dia tak mahu buat Hayyani susah hati pula. Keadaan dulu dan sekarang jauh beza. Dulu kalau dia jatuh sakit saja ada Hayyani yang menjaganya tapi kini tinggallah Haleena dan isterinya saja.

Sambil menunggu perbualan yang semakin berlanjutan itu, Puan Farida menuang teh ke dalam cawan. Biar suam sikit buat diminum nanti. Sesekali dia menjeling suaminya, suaminya menjelingnya semula lepastu tergelak-gelak pula. Sajalah tu nak mengundang cemburu.

" Yalah, okey abah letak dulu. Ni ibu kamu ajak abah minum petang. Makan cempedak goreng. "

" Okey, waalaikumussalam. "

Panggilan itu akhirnya ditamatkan. Terserlah wajah ceria Encik Sulaiman. Jelas seronok dapat berbual dengan anak gadis mereka. Terapi untuk dirinya juga sebagai guru panitia bahasa yang sedang menghadapi persediaan menjelang musim SPM. Tekanan semakin banyak.

" Minum, abang. "

Cawan yang dihulurkan oleh Puan Farida disambut dan disisip perlahan-lahan sebelum diletakkan kembali ke atas meja. Cempedak goreng yang masih hangat itu disuap pula ke dalam mulut.

" Sejak Daneen kahwin kita belum pernah lagi pergi rumah anak menantu kita. Jom abang esok petang kita pergi," ajak Puan Farida. Saja nak melihat kehidupan anak gadisnya selepas berkahwin.

" Biarlah dulu. Lagipun anak menantu kita tu baru kahwin. Tengah ada manis-manisnya lagi. Buat apa kita sibuk nak ke sana. Kacau daun aje, " tukas Encik Sulaiman. Teh disisip lagi beberapa kali. Barulah ada sedikit selera nak makan selepas beberapa hari tekak berasa payau saja. Makan apa pun susah nak telan. Maklumlah orang sakit.

" Alah, apa salahnya nak tengok kehidupan dia orang lepas kahwin. Bukannya saya ajak abang tidur sana sampai sebulan dua." Puan Farida masih berkeras.

" Awak tak payahlah sibuk nak ke rumah dia orang. Bukan Elhan aje menantu yang awak ada. Tu... menantu perempuan awak tu. Baik awak cari jalan nak ke sana dulu. Abang tengok lama dah awak berdua tak bertegur sejak kejadian tu. Sampai ke tua ke nak bermasam muka, " sindir Encik Sulaiman secara halus. Dia kembali mengingatkan isterinya tentang pertelingkahan yang berlaku beberapa minggu sebelum pernikahan Hayyani dulu.

Semenjak kejadian itu, mana pernah lagi dia melihat isterinya bertegur dengan Balqis. Berbual jauh sekali. Balqis adalah juga menegur Puan Farida atas dasar menghormati ibu mertua walaupun dia tahu menantunya itu amat terkesan dengan kata-kata lampau isterinya. Cuma isterinya sengaja biar berlarutan, ego terlalu menggunung.

" Abang suka sangat salahkan saya. Betul apa saya cakap. Apa hak dia nak masuk campur hal keluarga. Dia tu menantu aje," bidas Puan Farida, menegakkan pendiriannya.

Bukan dia nak berdegil tapi dia memang berpendapat bahawa Balqis tidak berhak mencampuri urusan keluarga mereka. Lantaran itu, sememangnya kata-kata Balqis dulu bagai mencurah minyak ke dalam api. Mana tak kemarahannya makin membara.

" Pasal awak ego sangat tak ada orang yang senang nak dekat dengan awak. Awak tak perasan ke baru-baru ni Haris jarang dah bawak anak bini dia ke sini. Selalu kalau hujung minggu atau cuti sekolah walaupun sekejap ada aje cucu-cucu kita balik berkampung dekat sini. Sejak haritu, dia orang tak sibuk nak balik sini lagi dah. Itu pun tak sedar lagi? "

Encik Sulaiman menggeleng kepala. Penat dan letih nak menghadapi isterinya yang keras kepala sehingga secara tidak langsung sebagai suami dia juga turut terpalit sama dalam hal ini. Dia sendiri tidak tahu sampai bila isterinya akan terus berkelakuan begitu sedangkan umurnya bukannya semakin muda.
" Abang ingat saya tak rindu ke cucu-cucu saya tu. Saya pun menunggu jugak dia orang balik. Tak tahu pulak si Balqis tu nak ambil hati sangat kali ni. "

Pandangan Puan Farida jatuh ke tanah apabila dia berkata tentang itu. Nak kata kesal itu adalah juga apatah lagi apabila dia sudah jarang dapat mendengar suara riuh cucu-cucu mereka setiap hujung minggu. Kalau ada yang datang melawat pun Haris seorang. Itu pun balik sekadar nak menjenguk. Belum panas punggung pun dah nak pulang ke rumah semula. Dia sedar sejak kejadian itu juga Haris sudah tidak mesra dengannya lagi.

" Kalau dah sedar, pergi rumah dia orang buat apa yang patut. Buka mata tu luas-luas tengok apa yang salah, betulkan apa yang patut. Abang tahu hujung minggu ni Mikael dengan Khaira ada balik ke sini," kata Encik Sulaiman tegas sebelum dia meninggalkan isterinya yang sudah bungkam tanpa kata.

Ini saja cara untuk mendidik Puan Farida agar tunduk dengan egonya sendiri. Kali ini dia mahu isterinya mencari jalan penyelesaian untuk membawa menantu dan cucu-cucunya pulang. Jangan pula nanti ego yang dirajakan, keinsafan pula dihambakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience