Bab 83

Romance Completed 16155

Sejurus selepas Elhan memarkir keretanya di petak parkir kereta bawah tanah hospital besar itu, ada sebuah kereta sedan yang berhenti berhampirannya. Oleh kerana dia sudah mengetahui gerangan pemilik kenderaan, dia bertindak tidak peduli. Beg bimbit dan kotnya di tempat duduk belakang diambil sebelum punat pada central lock Mercedes itu ditekan.

Baru saja ingin berjalan melepasi Arif yang sedang menunggu di depan kereta, langkah Elhan terhenti apabila bahunya terasa dipaut.

" Aku tahu aku takde hak datang jumpa kau lagi. Tapi ada satu benda kau kena tahu," ujar Arif semestinya mengerti benci yang terkandung dalam diri Elhan selepas kejadian tempoh hari. Namun kali ini, dia mesti memberanikan diri.

" Kau dah janji tak nak tunjuk muka kau depan aku lagi. Buat apa kau datang sini? " tanya Elhan dingin. Hatinya rasa tersiat apabila melihat wajah Arif. Seakan luka di jiwa kembali ditarah-tarah mengenang perlakuan Arif selama ini.

" Aku terpaksa lupakan janji tu buat sementara waktu. Lepas ni aku akan terus balik ke China. Cuma kali ni, aku tak nak kau menyesal sebab tak dengar apa yang aku nak bagitau."

Elhan lepas keluhan berat. Dia menolak tangan Arif lalu berpusing menghadap temannya itu.

" Apa benda?" soal Elhan serius.

Arif sengaja berjeda. Dia sedang berdilema untuk menceritakan perihal sebenar memandangkan dia telah diberi amanat untuk merahsiakan perkara itu. Sebagai seseorang yang pernah menjadi teman rapat Elhan, dia tegapkan jua hati.

" Jasmine dengan aunty Rozana akan ke luar negara sekejap lagi. Mungkin mereka takkan balik buat masa yang lama. Aku dapat tahu pun sebab dia datang jumpa aku sebelum pergi. Dia tak bagi aku beritahu kau tapi, aku rasa kau berhak tahu. "

Elhan terpempan dengan pemberitahuan itu. Jasmine hendak pergi jauh? Mengapa? Dan paling penting sekali kenapa wanita itu pergi tanpa memberitahunya apa-apa.

" Bila dia bertolak? "

" Dalam sejam lepas, " jawab Arif mengharapkan tidak terlalu lewat untuk temannya itu bertemu Jasmine.

Tanpa berlengah, Elhan memboloskan diri ke dalam Mercedesnya. Pedal minyak dipecut laju membelah jalan raya menuju ke lapangan terbang. Di sudut hatinya yang terdalam benar-benar mengharapkan ada sinar pada pertemuan ini. Dia tidak sanggup ditinggalkan tanpa kata.

Setibanya di KLIA, Jasmine dan Datin Rozana melangkah masuk ke dalam lapangan terbang itu untuk membuat pendaftaran masuk bagasi. Kediaman dan tempat bekerja di London nanti telah diuruskannya sebelum pergi. Jadi, mereka cuma perlu meninggalkan bumi Malaysia sahaja.

Seberat mana kakinya melangkah, lebih berat lagi beban yang dipikul dalam hati. Meninggalkan jejak dan memori yang telah dilakar di sini bukan satu hal yang mudah terlaksana. Keputusan yang dilakukan demi Elhan dan Hayyani meletakkan dirinya disini hari ini.

Selepas mendaftar masuk bagasi, Jasmine kembali mendapatkan Datin Rozana yang sedang duduk menunggu di kerusi berdekatan. Datin Rozana menggapai jemari runcing milik Jasmine. Kasihan dia melihat wajah itu. Seakan-akan sedang menahan tangisnya daripada tumpah.

" Kalau Jas tak nak pergi kita tak perlu pergi, sayang. Mummy tak nak tengok Jas sedih-sedih macam ni," ujar Datin Rozana yang begitu memahami beban di hati Jasmine.

Jasmine menggeleng kepala. Ada air mata lesu yang mengalir dari celah pelupuk matanya. Lekas dia sapu.

" Nope. Jas dah buat keputusan. Dan Jas takkan menyesal dengan keputusan ni," kata Jasmine meyakinkan Datin Rozana.

Walaupun hatinya terkilan kerana tidak dapat berjumpa Elhan buat terakhir kalinya, namun tekad di hati melebihi segalanya. Lagipun, kalau mereka bertemu Elhan pasti takkan mudah membiarkan dia pergi. Dia tidak mahu dianggap racun dalam perhubungan pasangan itu lagi. Maafkan I, Elhan...

Sebaik saja pengumuman menaiki pesawat berkumandang, Datin Rozana dan Jasmine lekas-lekas berkemas dan menuju ke pintu perlepasan antarabangsa. Semakin hampir mereka dengan pintu perlepasan, semakin berat langkah kaki Jasmine. Hatinya sungguh pedih, merintih dan sedih untuk pergi. Biarpun begitu, derapan kaki digagahkan jua bersama air mata yang berlinang lagi.

Tiket kapal terbang dan pasport diserahkan kepada pegawai yang mengawal laluan masuk. Setelah selesai diperiksa, Jasmine menyorong kerusi roda Datin Rozana untuk menuju ke kawasan menunggu. Sedang mereka mengatur gerak, tiba-tiba ada suatu suara yang memanggil tanpa henti.

" Jasmine! Tunggu I Jasmine. Jangan pergi! " laung Elhan dari kejauhan oleh kerana dia tidak dibenarkan melepasi pintu perlepasan antarabangsa.

Suaranya jelas menzahirkan keterdesakan mahupun keinginan yang kuat. Kedua-duanya tetap sama tiada beza. Namun, apa yang diinginkannya adalah supaya Jasmine tidak pergi.

" Sayang, Elhan tu... " Datin Rozana menahan kerusi rodanya daripada terus bergerak ditolak Jasmine.

" Jom mummy. Kita dah lambat, " ajak Jasmine seraya menolak lagi kerusi roda itu.

" Tapi... " Datin Rozana tidak sampai hati melihat Elhan yang benar-benar terdesak. Pasti ada sesuatu yang pemuda itu ingin katakan.

" Please mummy! " Sungguh, jiwanya meronta dan begitu berkehendak untuk bertemu Elhan buat kali terakhir. Tapi Jasmine takkan sanggup berdepan pujuk rayu Elhan yang akan menggoyahkan pendiriannya untuk pergi jauh. Dia sudah berjanji dengan Hayyani.

Enggan berpaling, Jasmine berkeras menolak kerusi roda mummy terus ke depan. Walhal mutiara jernih yang mengempangi tubir matanya sudah bocor. Sesak di hatinya hanya Allah yang tahu. Betapa sakitnya, pedihnya, peritnya hatinya merintih untuk kembali kepada Elhan.

Biarlah dia simpan segala kenangan indah yang pernah dicipta bersama Elhan dahulu. Itu pun sudah cukup membahagiakannya walau untuk seribu tahun lagi. Melepaskan tidak seharusnya bermakna melupakan.

" Please, izinkan saya jumpa dengan dia sekejap aje. Lepastu, saya keluar semula," rayu Elhan tanpa henti.

Pegawai lelaki itu berterusan menggeleng kepala.

" Tak boleh encik. Ini adalah undang-undang lapangan terbang. Wajib dipatuhi."

Elhan merapatkan kedua belah tangannya. Sesak dadanya ketika meniti detik cemas ini.

" Saya merayu encik. Ini soal hidup dan mati."

" Maaf, memang tak boleh. " Namun pegawai itu enggan juga memberi keizinan membuat Elhan akur tanpa rela.

" Jasmine... " panggil Elhan rintih. Dia jatuh terjelopok seolah kudratnya sudah hilang. Sebesar kehilangan yang sedang dirasakannya kini. Titis-titis air mata seakan memahami perasaan kecewa dan sedih yang membaluti tangkai hati.

Tergamak Jasmine meninggalkannya selepas jiwanya separuh mati ditinggalkan Aisyah. Tergamak Jasmine pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Tergamak Jasmine berlalu tanpa keinginan untuk senyum dan memandangnya buat kali terakhir. Betapa kesedihan yang dia rasakan umpama makan hati berulam jantung. Pedih, hampa perasaannya melihat Jasmine yang semakin jauh. Di kala semakin tidak kelihatan, terus hilang dari pandangan. Jasmine pergi membawa separuh dari hatinya yang akan terus merindui.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience