Bab 54

Romance Completed 15392

Kata orang, bila kita ada minat, kita akan sukakan pekerjaan kita. Mungkin benarlah apa yang dikata itu kerana pernyataan itu sedang dibuktikan oleh kejadian di depan mata Hayyani sekarang. Dia melihat sendiri bagaimana mesranya Jasmine memimpin tangan seorang wanita mengandung selayaknya etika seorang doktor melayan pesakit. Jiwa Jasmine ada dalam pekerjaan itu dan wanita itu nampak ikhlas. Kebaikannya tidak dibuat-buat.

Alangkah indah andai dia dapat begini juga. Namun, sekarang dia tidak pasti adakah sudah terlewat baginya untuk berkecimpung dalam dunia seni itu lagi. Elhan tidak melarang malah banyak memberi galakan sehingga sanggup menyediakan sebuah bilik khas untuk dia berkarya. Cuma hatinya sudah tidak berperasaan dan penuh ketidakpastian.

" Hai babe! You datang nak lunch dengan Elhan ke?" soal Jasmine dengan senyuman lebar di wajah sebaik saja dia menghampiri Hayyani dan Aisyah di herbs garden hospital itu.

Hayyani menyambut dengan senyuman dulu. Kemudian, dia menganggukkan kepala.

" Haah. Sementara tunggu Elhan saya bawa Aisyah jalan-jalan dekat-dekat kawasan hospital ni aje. Tak berani saya nak bawa dia jauh-jauh," ramah Hayyani membalas. Kerap juga dia melawat Aisyah di hospital sekarang. Kalau ada masa saja mesti dia akan datang untuk merapatkan jurang antara dia dan Aisyah.

Jasmine meriba Aisyah di pangkuannya. Rambut blonde yang sedikit ikal si comel itu diusap lembut.

" Aisyah! Aisyah jalan-jalan dengan mama hari ni?"

Aisyah mengangguk laju. Air mukanya jelas teruja.

" Yes mummy. Seronok sebab dapat beli drawing book. Lepastu Aisyah main lukis-lukis dengan mama. Mama pandai lukis. Tengok ni mummy," riang suara si kecil bercerita. Dada buku lukisan yang sudah terlakar gambar pemandangan senja ditunjukkan kepada Jasmine.

Terlukis senyuman indah di wajah Hayyani. Melihat ragam si comel dan Jasmine. Mesra sekali tanpa rasa kekok pun.

" You pandai melukis, Daneen? What a talent! Kenapa I baru tahu?" Jasmine bersuara kuat kerana teruja melihat hasil tangan orang berbakat yang ditunjukkan kepadanya itu. Dia pandang Hayyani dan lukisan itu silih berganti, kagum. Bukan calang-calang orang juga isteri Elhan ini!

Terdengar suara Hayyani tergelak kecil. Rasa malu dipuji sebegitu.

" Bolehlah sikit-sikit. Saya mewarisi bakat arwah nenek. Sejak kecil saya suka melukis cuma bidang belajar aje yang lain sikit. You know... Mom and daughter's conflict," ujar Hayyani berkias. Kedua-dua belah keningnya dijongket memberi reaksi yang terus difahami Jasmine.

" Oh, I see. I faham mesti you sedih tapi semua tu tak boleh rampas bakat yang memang dah ada secara semula jadi dalam diri you. Keep it up lah for hobby or side income. Membazir aje bakat macam you kalau diabaikan. Lagipun apa yang kita belajar tak semestinya itulah yang akan jadi pekerjaan kita, " kata Jasmine sekadar memberikan sokongan.

Dari cerita Elhan dia tahu Hayyani sudah pun belajar hingga ke peringkat ijazah sarjana kejuruteraan. Bukan senang untuk capai sehingga ke tahap itu. Apatah lagi kalau tiada minat dan Hayyani hanya melakukannya atas permintaan ibunya sendiri. Luar biasa.

Hayyani hanya membiaskan senyuman tipis di bibirnya. Lebih kepada buntu untuk bersoal jawab tentang itu. Dia sendiri masih mencari arah di dalam hidupnya selama ini.

" Bila saya tengok awak barulah saya faham kenapa Elhan boleh berubah jadi diri dia yang hari ni. Awak seorang yang supportive. Karakter awak likeable Jasmine. Kalau tak perangai dia dulu mengalahkan jebon nauzubillah. " Hayyani menguntai kata biarpun agak menyimpang dari topik mereka tadi. Sempat lagi dia berjenaka di hujung ayat.

Terhambur gelak Jasmine. " Jebon, ya. "

Selepas tawa mereka mula reda, Jasmine kembali serius memutar kata.

" I mungkin one of the reasons. Tapi semua perubahan tu takkan berlaku kalau Elhan sendiri tak nak terima perubahan dalam diri dia. Sekarang, tengoklah dia. He's now a man with a big heart. Big thanks to himself. " Jasmine tersenyum kala wajah Elhan muncul di benaknya. Dia yakin perangai itu semua sudah ditinggalkan Elhan lama dulu. Elhan yang sekarang sudah jauh lebih baik malah sempurna di matanya.

" Awak tahu tak Jasmine, kalau saya di tempat Elhan, saya tak ambil masa yang lama untuk jatuh cinta pada awak. Tapi sebaliknya dia cintakan saya. Love is weird," kata Hayyani dengan nada gurau. Dia gelak canggung pula selepas itu.

" Love is not weird. It's crazy. And that man is crazy over you sejak kecil lagi. That's why dia kahwin dengan you, bukan I. Merepek aje you ni Daneen, " nafi Jasmine. Dia menggeleng kepala sambil tertawa kecil.

" Jasmine, pernah ke walau sekali pun awak anggap Elhan lebih daripada seorang kawan?" soal Hayyani berani. Entah dari mana datang keberaniannya untuk bertanya tentang itu.

Perlahan-lahan senyuman di wajah Jasmine mengendur. Mata mereka saling bertentangan dan Jasmine merasakan satu getaran yang hebat memalu dada. Namun, riak wajah tetap terkawal biar nampak tenang. Soalan itu terasa seperti satu serangan kritikal ke atasnya sehingga mulutnya turut terkunci.

Pandangan mata Hayyani ketika ini, apa maksudnya? Pengakuan apa yang dia mahukan sebenarnya? Menujah-nujah persoalan itu di minda. Jujur Jasmine tidak selesa dengan situasi ini kerana dia yakin perasaannya kepada Elhan adalah satu kebenaran. Soalan itu benar-benar... mengenai batang hidungnya.

" I... ermm... " teragak-agak Jasmine cuba menjawab. Debaran kian terasa. Ini bukan dirinya. Dirinya yang sebenar adalah seorang yang tenang dalam apa jua keadaan. Dia bukan begini sebenarnya. Ya Allah selamatkanlah aku! Desis Jasmine dalam hati.

" Mummy, papa dah datang! " jerit Aisyah kuat. Serta merta semuanya memandang ke arah Elhan yang sedang melipat lengan kemejanya sambil berjalan menghampiri mereka. Terbang menerpa entah ke mana soalan tidak berjawab tadi.

Elhan merendahkan tubuh memeluk Aisyah yang terlebih dahulu sudah berlari memeluk kakinya. Pipi si kecil dikucup berkali-kali sebelum dia mendekati Hayyani pula. Dapat juga Jasmine menarik nafas lega kerana terlepas dari situasi genting tadi.

" Aisyah teman papa dengan mama makan dulu tau. Nanti malam mummy jumpa Aisyah. Mummy nak pergi sambung buat kerja. I love you sayang. " Jasmine meminta diri. Sengaja mengucapkannya kepada Aisyah jadi yang lain juga akan faham bahawa dia hendak beredar. Tak mahu lama di situ apatah lagi apabila melihat percakapan manja dan sentuhan mesra Hayyani dengan Elhan di depan matanya.

Hatinya seakan tersiat, terbelah dan pecah menjadi ribuan keping bahana cemburu yang dirasakan. Dia tahu dia tidak sepatutnya mempunyai rasa cinta lagi terhadap Elhan namun bukan mudah untuk dia usir rasa itu. Rasa yang telah lama bermahligai di hati. Jadi sebaiknya dia menjauhkan diri daripada pasangan itu demi menjaga hati sendiri.

" Eh Jas, agak-agaklah nak sambung kerja pun. Tengah lunch break ni. Jomlah lunch sekali dengan kita orang," pelawa Elhan. Jam tangan dikerling sekilas cuba meyakinkan Jasmine. Lagipun memang dari dulu lagi mereka selalu makan tengah hari bersama. Selepas dia berkahwin jarang-jarang sudah. Jumpa pun apabila terserempak di hospital saja.

" Jas nak lunch dengan aku hari ni. Geng bujang senang. Yang dah kahwin pergilah dating berdua."

Entah dari mana datangnya Arif, dia terus mencelah antara mereka. Tangannya spontan memeluk bahu Jasmine. Tak selesa diperlakukan begitu, Jasmine cuba menolak tangan Arif tapi Arif tetap enggan melepaskan. Jasmine segan sebenarnya apabila Hayyani melihat.

Namun, entah mengapa perlakuan Arif kepada Jasmine tidak senang diterima pada mata Elhan juga. Pedih biji mata melihat rasa seperti dititiskan limau nipis ke dalamnya. Demi menyelamatkan keadaan, Elhan melelar tangan kanan Arif di bahu Jasmine seraya memeluk temannya itu.

" Rip, apahal aku call tak angkat malam tadi. Nak kata jaga anak kecil kau tak kahwin lagi," seloroh Elhan sengaja mengalih perhatian. Dia kerling sekilas Jasmine yang mula kelihatan lega. Pasti Jasmine tidak selesa diperlakukan begitu tadi.

Arif menolak dada Elhan. Sendat nafasnya dipeluk tubuh bidang Elhan. Apahal mamat ni nak peluk-peluk aku bagai. Tubuhnya sendiri pun tak adalah setegap Elhan walaupun mereka selalu pergi gim bersama. Kalau patah remuk payah pula nanti.

" Aku tidur awal semalam. Phone pun tak kisah nak cas. Jom Jas? " ajak Arif lagi. Jasmine tidak menunggu lama dan hanya mengangguk.

" Aisyah nak ikut uncle?" Arif merendahkan tubuh dan bertanya kepada Aisyah pula.

" Tak nak. " Aisyah menggeleng laju.

Arif buat muncung panjang sedepa. Makin giat nak mengusik.

" Alah, tapi kenapa? Aisyah kan bujang juga. Belum kahwin. "

" Sebab Aisyah dah janji dengan papa dulu. Uncle lambat! "

Pecah tawa kecil mereka semua mendengar jawapan Aisyah. Pujuk pun tak jalan, akhirnya Aisyah tetap mahu makan bersama Hayyani dan Elhan juga. Arif dan Jasmine meminta diri dulu untuk makan tengah hari bersama di luar kawasan hospital. Barulah mereka bertiga menuju ke kafeteria pula.

Sepanjang Hayyani makan bersama Elhan dan Aisyah, dia tidak berhenti memikirkan Jasmine. Soalannya tadi, belum lagi terjawab. Namun firasatnya mengatakan Jasmine memandang Elhan sebagai seorang lelaki dan bukannya sahabat biasa.

Ah! Sungguh, ini semua hanya hasutan setan yang suka menyesakkan fikiran. Membuat manusia berbalah dan berprasangka. Dia yakin ini semua hanya permainan minda.

****

Beria-ria Arif menyuruh Jasmine tunggu sementara dia membuka pintu kereta sebelah penumpang. Di kala itu, Jasmine mengeluh sendiri. Kenapalah perlu sampai begini sekali layanan Arif terhadapnya berubah. Sampai nak bukakan pintu kereta. Tadi sewaktu di restoran pun Arif siap menarik kerusi untuk dia duduk. Semua perubahan itu buat Jasmine tak selesa.

Melihat pintu yang sudah terbuka luas, Jasmine melangkah keluar dari perut Audi merah milik Arif. Tubuhnya dipalingkan menghadap Arif yang sudah bersandar pada pintu kereta.

" Thank you sebab you sudi keluar makan dengan I. I ingat I akan hilang you selamanya," ucap Arif lembut. Bibirnya tak henti tersenyum kerana akhirnya berjaya mengajak Jasmine keluar. Walaupun bukan sebagai teman istimewa tapi sebagai sahabat pun jadilah asal berdua dengan wanita itu.

" Kita kawan baik, Arif. You takkan hilang I. I can assure you that." Jasmine membalas dengan senyuman canggung. Belakang lehernya digosok tanda kurang selesa. Dia tak sangka keadaan akan berubah canggung sebegini sekali selepas Arif meluahkan perasaan.

" Erm... one more thing. Thank you sebab you rahsiakan tentang semuanya. "

" I akan pastikan semuanya macam biasa Jas. I takkan biarkan Elhan tahu apa yang terjadi antara kita," ujar Arif memaknakan kata-kata bahawa dia tetap akan mengotakan janji kepada Jasmine. Dalam berkawan, ada perkara kena simpan sendiri. Lebih-lebih lagi perkara yang boleh merosakkan hubungan persahabatan.

Terbit senyuman lega di wajah Jasmine.

" You baliklah dulu. You mesti penat. "

Baru saja berpaling untuk melangkah masuk ke dalam rumah sewa milik Jasmine itu, tangannya terasa dilelar. Tubuhnya dipusingkan semula menghadap lelaki itu. Kebisuannya memberikan ruang untuk Arif berkata-kata.

Terlihat Arif menyedut nafas ke dalam peparu, menghilangkan debar. Kemudian, dia tatap berani dalam mata Jasmine. Serius wajahnya.

" Jasmine, I tahu I bukan lelaki yang you cinta. I tak sesempurna Elhan. I bukan dia. Tapi I betul-betul cintakan you. Dari dulu lagi Jasmine I dah simpan perasaan untuk you. Tapi I takut nak ambil langkah seterusnya. I takut you tolak I," luah Arif tanpa berselindung lagi. Semakin hari dia didesak perasaan dalam hati untuk memiliki Jasmine. Cinta yang membugar di jiwa sudah terlalu menggebu dan dia tidak mampu menahan diri lagi.

Lembut pegangan Arif pada pergelangan tangannya, Jasmine leraikan. Tenang wajahnya menerima luahan Arif.

" I tahu, Arif. I dah lama tahu yang you sukakan I. Segala yang you buat, kata-kata you, perhatian yang you bagi pada I. I rasa you anggap I lebih dari seorang kawan. Dan I tak terkejut pun bila you luahkan perasaan you," singkap Jasmine tentang apa yang dia pasti selama ini.

Selayaknya wanita, apa lagi sebagai seseorang yang pernah bercinta, dia punya pengalaman untuk menilai perasaan lelaki. Kelakuan dan tanda itu sudah lama Arif berikan. Cuma dia memilih untuk tidak cakna tentang semua itu. Apa perlu dia buat kalau hati memang tidak cinta.

" Kalau you tahu kenapa you tak pernah terus terang pada I?" Arif agak terkejut. Jadi selama ini Jasmine tahu.

" I tak nak ubah keadaan kita. Macam sekarang, I mula rasa kita dah semakin canggung. I tak nak kita jauh."

" Jadi you memang tak pernah cintakan I? Sebab tulah you lebih selesa dengan Elhan sampaikan semua benda you cerita dekat dia. I? You abaikan sebab you dah tahu pasal perasaan I. Betul tak apa I cakap? " Arif bersuara kuat seakan berang dengan jawapan Jasmine. Bahu wanita kesayangannya itu dipegang kemas.

Jasmine hilang kata barang sesaat dua. Matanya membulat, terkejut. Tidak menyangka sampai begitu sekali Arif berprasangka kepadanya sedangkan dia tidak pernah membezakan Arif dan Elhan dalam bersahabat.

" Arif, I... "

" I tak nak tahu Jas. Sekarang ni, biar I cakap," pangkah Arif terlebih dahulu seolah sudah tahu jawapan Jasmine bagaimana. Cubaan untuk menjaga hati sendiri saja. Lari dari hakikat.

" Okey, I dengar." Jasmine mengangguk. Kala ini dia perlu bersikap lebih tenang.

Arif tertunduk ke tanah dan melepaskan bahu Jasmine. Matanya dipejam rapat demi mengumpul secebis lagi kekuatan walaupun jiwanya semakin hiba tatkala cintanya ditolak buat sekian kali. Kali ini, dia sanggup meruntuhkan ego demi merayu kepada wanita kesayangannya.

Dicapai pula jari jemari runcing milik Jasmine. Digenggam dan pandangan mata sayu turut dilorongkan kepada Jasmine, benar-benar meminta belas. Jasmine balas pandangan Arif dengan mata berkaca.

" Jasmine, please... bagi I peluang? I janji I akan cuba yang terbaik untuk bahagiakan you. I takkan sia-siakan you. I'll make you the happiest woman in this world. Tapi, I takkan berpeluang nak buat macam tu kalau you tak bagi I cuba. Please... let me in?" rayu Arif sepenuh jiwanya. Berharap Jasmine menyisakannya peluang. Biarlah dia terlihat bodoh dan hina di kala ini. Biarlah dia menangis dan dikata menjatuhkan maruah lelakinya sekali pun asal diterima.

Tampak barang setitis dua air jernih mula menuruni lurah pipi mulus Jasmine bersama esakan kecil yang mula kedengaran. Tolonglah. Saat ini jiwanya meronta. Dia tersepit antara simpati seorang sahabat dan juga perasaan sendiri namun yang pasti, dia takkan bisa berpura-pura dengan jawapan dari hatinya yang sudah pasti.

" I tak nak seksa you Arif. I tak nak jadikan you sandaran untuk lupakan perasaan I pada Elhan. I tak nak lukakan you. Ingat satu perkara Arif, walau apa pun terjadi, you tetap kawan baik I. I takkan jauhkan diri dari you walau apa pun terjadi," lirih kata-kata yang diucapkan Jasmine diselangi esakannya.

Tanpa dapat membendung perasaan sebak lagi, Jasmine segera berlalu masuk ke dalam rumah. Membiarkan Arif yang jelas masih terkesima di situ. Terperosok jiwanya dalam kehancuran, menanggung duka yang amat dalam. Berkecai hatinya.

" Jasmine... "

Arif tunduk pasrah terhadap iradat Ilahi bersama titis air mata yang turut berderai. Memang benar dia tidak berhak memaksa Jasmine mencintainya kembali. Namun adakah insan sepertinya tidak berhak untuk dicintai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience