Gigih. Sungguh gigih Elhan mencantumkan kembali kad perniagaan milik Mr. Farhan yang telah Hayyani koyakkan menjadi cebisan-cebisan kecil itu. Dia sendiri tak mengerti mengapa hatinya tergerak untuk berbuat demikian walaupun isterinya sudah beria-ria melarang dia berhubung dengan lelaki asing itu.
Namun, larangan Hayyani yang bersungguh-sungguh itu juga menimbulkan rasa syak wasangka kepadanya. Untuk apa dan kenapa Hayyani begitu marah sekali sedangkan itu cuma perkara yang remeh saja. Bertemu orang asing dan bertegur sekadar untuk beramah. Bukannya satu kesalahan besar pun. Hairan, sungguh Elhan hairan.
Tiba-tiba, dia terdengar bunyi ketukan pada cermin tingkap keretanya. Bayang Faizul menjelma di situ, tersenyum dan melambai untuk menyedarkan Elhan akan kehadirannya. Segera Elhan menyimpan semula kad itu dalam kocek seluarnya sebelum melangkah keluar dari perut kereta. Setelah berjabat tangan dan menyapa satu sama lain, mereka masuk pula ke kafe di tengah-tengah kota Kuala Lumpur itu.
" Lama tak jumpa kau, bro. Kali terakhir jumpa masa kau hantar tunang kau interview. Oh, salah. Dah jadi isteri kau sekarang kan. Lupa pulak aku," ujar Faizul seraya tergelak kecil. Masih segar di ingatannya saat menemu duga gadis bernama Hayyani itu. Waktu itu Elhan kata hubungan mereka masih tak pasti dan kini tahu-tahu saja sudah berkahwin.
" Aku kahwin kau tak datang. Mana tak lamanya, " sambut Elhan lalu tersenyum sendiri.
" Business trip ke Sabah. Nak cancel tak boleh. Last minute sangat. Kau pun takde ajak mulut setakat pakai kad aje. Manalah aku perasan sangat," balas Faizul sengaja beri ayat makan hatinya itu. Dia dan Elhan boleh dikatakan rapat juga oleh kerana mereka bersekolah di sekolah yang sama dulu. Terpisah pun kerana masing-masing sambung belajar di universiti yang berbeza.
Elhan garu keningnya yang tak gatal. " Aku nak ajak kau depan-depan tapi sibuk sangat masa tu. Ada isu sikit nak kena settle. "
Mana sempat nak fikir hal lain dek kerana fitnah yang hampir membuatkan dia dan Hayyani tak jadi berkahwin dulu. Sasau juga dia dibuatnya dan sehingga sekarang dia masih cuba meneka motif pengirim pakej itu. Faizul tertawa kecil seraya menggeleng kepala.
" Aduhai, macam-macam. Arif dengan Jasmine macam mana sekarang? "
" Arif baru aje ke China. Join team penyelidikan dekat sana. Belum tahu lagi balik bila. Jasmine okey aje macam biasa," balas Elhan sederhana. Rasa rindu pula apabila dengar nama Arif diseru. Perpisahan mereka kali ini sangat dirasai Elhan kerana kebanyakan waktu dia dan Arif akan selalu bersama. Kini tinggal dia dan Jasmine saja. Rasanya seperti tidak lengkap.
" Macam biasa tu maksudnya single lagi lah kan? " soal Faizul dengan kening yang terjongket. Sengihan di wajahnya juga jelas menunjukkan bahawa dia teruja untuk menggiat lebih lagi soal Jasmine.
" Ai, lain macam muka kau. Kalau dia single pun kenapa? Nak cucuk jarum? "
Faizul ketawa menutup canggung.
" Adjustlah sikit untuk aku Elhan. Kau bukan tak tahu aku sebenarnya minat jugak dekat dia. Kurang-kurang adalah jugak peneman tidur dekat sebelah. Kau kata dia suka budak-budak. Okeylah tu kalau aku kenalkan dengan anak aku. "
Perkenalannya dengan Jasmine pun berlaku secara tak sengaja apabila gadis itu ada bersama dengan Arif dan Elhan ketika dia terserempak dengan mereka dulu. Sejak itu hatinya terpaut suka. Nak memikat dulu tapi takut tak dilayan pula.
" Apa aku boleh buat. Perasaan mana boleh dipaksa-paksa. Kalau nak bersungguh-sungguh sikit. Jangan pakai orang tengah macam budak remaja bercinta pulak. Lagi pun kau dah pernah kahwin. Takkan hal macam ni pun aku nak kena tolong jugak? " ujar Elhan seraya menggeleng kepala. Lalu dia tergelak pula.
Faizul lepas keluhan lemahnya. " Jasmine tu lain sikit Elhan. Mesra tapi bukan senang nak rapat. "
Pernah juga beberapa kali dia mengajak Jasmine berjumpa atau sekadar berbual di telefon. Tetapi wanita itu seakan tidak menunjukkan minat yang sama dengannya. Sudahnya, dia pun berhenti mencuba.
" Tak payahlah. Ramai lagi perempuan lain. Asalkan bukan Jasmine aku okey. "
Tanpa sedar Elhan menuturkan kata-kata di hujung ayatnya itu. Terbayang wajah Jasmine di mata dan seiring itu dia teringat kembali harapannya yang diucapkan pada hari lahir Jasmine dulu. Bahawa dia berharap Jasmine akan bertemu lelaki yang baik dan berkahwin tapi entah mengapa dia belum mahu melihat Jasmine dimiliki mana-mana lelaki.
Kening Faizul bertaut, agak terkejut. " Kau yang lebih pelik dari aku sekarang ni. Kau cemburu ke sebenarnya? "
Dia sendiri terkejut dengar Elhan kata begitu. Seolah-olah temannya itu menyimpan perasaan buat Jasmine. Elhan mula menyedari bahawa dia sudah terlepas cakap. Lantas dia berdeham untuk mengusir canggung biarpun pandangan mata Faizul tak henti memanah wajahnya.
" Mana ada. Dia cuma belum bersedia nak bagi komitmen pada hubungan cinta. Dia nak fokus sembuhkan mummy dia dulu," pandai Elhan berdalih memberi alasan.
Faizul mengangguk faham. Memang dia pernah dengar bahawa mummy Jasmine sedang sakit. Mungkin sebab itulah Jasmine tidak mahu menerima cintanya selama ini.
" Kau duduk kejap, aku nak order minum dulu. Kau dah mula dahaga kan. Tunggu kejap. "
Elhan segera mengangkat punggung untuk ke kaunter membuat pesanan. Dia sendiri pun tak pasti mengapa kata-kata itu boleh keluar dari mulutnya jadi dia mengelak Faizul bertanya lebih lanjut. Tapi belum sempat melangkah jauh suara Faizul sudah menahannya pergi.
" Bro, kau tercicir kad ni." Faizul membongkok mengutip sekeping kad yang tercicir dari poket seluar Elhan. Walaupun kad itu compang-camping ditampal pita pelekat namun tulisannya masih bisa dibaca. Elhan sudah berpaling dan mendekati Faizul semula.
" Tapi sekejap, Mr. Ismet Farhan dari IF Engineering? Bro, kenapa kau ada kad bisnes dia? Kau kenal Mr. Farhan? " soal Faizul hairan. Dia memandang maklumat yang tertera di dada kad itu dan wajah Elhan silih berganti.
" Kau kenal dia? " soal Elhan kembali. Punggungnya dilabuhkan semula di kerusi. Jelas wajahnya berminat nak tahu lebih lagi tentang Mr. Farhan memandangkan Faizul kenal lelaki itu.
" Mestilah. Aku datang melawat Mr. Farhan masa hari pertama dia bertugas. Datang dari Istanbul untuk lawatan kerja dekat Malaysia. Company tempat aku kerja tu ada usahasama besar dengan IF Engineering jadi boleh dianggap mereka tu klien penting juga. Back to my question, kau kenal dia? " soal Faizul kembali mengingatkan Elhan untuk menjawab soalannya tadi setelah menjelaskan pertanyaan temannya terlebih dahulu.
Elhan mengangguk lambat-lambat. Seiring itu ada keluhan berat yang meluncur di bibirnya. Menungannya jadi kosong menembusi dinding kafe.
" Aku jumpa dia dekat kedai bunga. Masa tu aku beli bunga untuk Daneen. Dia yang tolong recommend bunga pada aku. Lepastu, aku ajak dia makan sekali dengan bini aku. Tapi, bini aku nampak tak selesa dengan dia. Nampak macam dah lama kenal pun ada," ujar Elhan rendah suaranya. Renungannya jatuh pula pada kedua belah tangannya yang saling bertautan. Dapat dia lihat cincin pernikahan miliknya yang tersarung di jari manis, tanda penyatuan dia dan Hayyani.
Penyatuan yang bermakna dua jiwa saling melengkapi dan menjaga. Namun, di kala ini dia merasakan seolah Hayyani tidak memberikan ruang untuk dia memiliki tempat di hati itu sepenuhnya. Sukar baginya untuk meraih kepercayaan Hayyani.
" Oh, bercakap pasal Daneen, aku baru teringat yang aku ada ternampak dia sekali masa aku jumpa Mr. Farhan. Aku tak tahu apa bini kau buat dekat situ, tapi nampaknya Mr. Farhan kenal dia. Sebab dia terus kejar Daneen masa dia ternampak bini kau dekat situ. Mungkin betul kot, dia orang saling mengenali. "
Beritahu Faizul tentang apa yang disaksikannya kelmarin. Baru kini dia teringat untuk menceritakan hal itu kepada Elhan.
Mendengar saja pemberitahuan itu, Elhan terus terdiam seribu bahasa. Dan ekoran itu, dia terus menangguhkan pertemuan mereka kali ini. Elhan bergegas ke Bangi untuk mendapatkan pengesahan tentang apa yang didengarinya hari ini.
****
Muna segera menekan punat pada lif setelah mendapat panggilan operator bahawa ada seseorang yang sedang menunggunya di lobi syarikat. Dalam perjalanan ke bawah, Muna diserang debaran yang kuat menghentam dada. Siapa pula yang datang untuk berjumpanya kali ini. Sudahlah tak beritahu nama, bikin hatinya bergoncang saja.
Sebaik saja pintu lif dibuka, Muna menebarkan pandangannya ke seluruh ruangan lobi syarikat yang luas itu mencari gerangan yang menantinya. Staf di kaunter perkhidmatan menelunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang berpeluh tubuh membelakanginya. Lantas dia berjalan mendekati.
Namun, sebaik saja gerangan itu berpaling, Muna terpempan.
" Encik Elhan? Apa encik buat dekat sini? " soal Muna yang jelas diterpa kebingungan. Mengapa pula Elhan datang untuk berjumpanya sedangkan di antara mereka tiada sebarang urusan.
" Saya nak bercakap dengan awak sekejap," pinta Elhan tanpa berdalih lagi.
Muna telan liur. Melihat wajah serius lelaki itu membuatkan Muna kecut perut. Walaupun dia tidak pasti ini tentang apa tetapi dia sudah dapat mengagak ada sesuatu yang buruk bakal terjadi. Lantas dia menganggukkan kepala bersetuju dan membawa Elhan bercakap di luar.
" Ada apa encik cari saya sampai ke Bangi?" Muna memberanikan diri bertanya lagi.
" Ada sesuatu yang saya nak tanya awak."
" Ini tentang apa encik Elhan?" Muna sudah berdebar.
" Muna, saya harap awak boleh berterus-terang kali ni. Betul ke takde apa-apa jadi masa Daneen keluar dengan awak haritu? " Elhan mengajukan pertanyaan serius. Tajam pandangan matanya menusuk tepat mata Muna berharap diberikan jawapan yang sebenarnya kali ini.
Muna sudah meramas-ramas tangannya, cemas. Dia juga tidak berani membalas pandangan mata Elhan.
" Be... beb... betul lah. Saya tak bohong. "
Apabila Muna masih hendak berdalih, Elhan melepaskan keluhan beratnya. Dia bercekak pinggang dan pandangannya turut jatuh ke tanah. Kecewa.
" Encik Faizul, pengarah perancangan strategik Green Engineering And Technology. Dia ada sekali dekat situ dan bagitahu saya dia nampak Daneen bertengkar dengan Mr. Farhan. Sekarang, tolong bagitahu saya. Kenapa Daneen boleh ada dekat sana dan apa hubungan dia dengan bos awak? " tanya Elhan sekali lagi dengan penuh sabar. Jiwanya sudah begitu sarat menampung semua persoalan ini sendirian. Dia inginkan jawapan mengapa Hayyani berubah sampai begini sekali.
Muna tunak pandangan secara perlahan-lahan pada wajah Elhan. Kali ini dia tidak dapat melarikan diri lagi. Dia harus jujur walaupun terpaksa memungkiri janji kepada Hayyani lagi.
" Encik Elhan, sebenarnya... Mr. Farhan tu kawan Daneen. Mereka kenal dekat Istanbul. Waktu keluar dengan Daneen, saya dapat panggilan urgent yang ceo baru kami nak jumpa. Jadi, saya mintak Daneen singgah dan tunggu saya sekejap. Tapi saya tertinggal phone dalam kereta dan Daneen hantarkan dekat office saya. Waktu tulah... Mr. Farhan dengan Daneen jumpa. "
" Apa yang terjadi lepastu? " tenang suara Elhan bertanya walaupun pernyataan Muna tadi telah menghiris pedih perasaannya.
" Saya rasa dia orang bertengkar sikit. Tapi saya tak tahu sebab apa dan tentang apa. Tapi Encik Elhan, saya rasa takde apa-apa pun tu. Mungkin ada salah faham sikit," terkulat-kulat Muna menghabiskan kata.
Sejujurnya sampai ke hari ini Hayyani masih belum membuka mulut menjelaskan kepadanya tentang pertengkaran itu. Menyimpan rahsia ini pun dikira amat berat baginya untuk memikul apatah lagi mengenangkan bagaimana Hayyani akan berdepan dengan Elhan setelah lelaki itu mengetahui perkara ini. Entah di mana silapnya dia sendiri bingung memikirkan.
" Jadi Daneen sanggup panjangkan cuti dia masa dekat Istanbul dulu sebab lelaki tu. Betul?"
Muna hanya mampu menundukkan wajah. Terdiam. Elhan mengangguk kepala dan tersenyum sinis apabila Muna tidak menafikan pertanyaannya tadi. Tubuhnya dipusingkan ke hadapan memandang kereta yang lalu lalang dengan hati yang dilapah pedih. Disingsing pula lengan kemejanya sehingga ke paras siku cuba menenteramkan diri sendiri.
" Lelaki tu cuma kawan Daneen. Kawan yang baik. Dia sendiri yang pujuk Daneen untuk balik Malaysia terima pinangan encik," jelas Muna lagi namun masih tiada respons dari Elhan. Muna terpaksa menganjakkan tubuhnya untuk berdiri di hadapan Elhan pula.
" Encik Elhan, saya minta maaf kerana terpaksa rahsiakan dari encik. Saya cuma tak nak keruhkan hubungan encik dengan Daneen, " kata Muna bersungguh-sungguh menjelaskan sebab dia berbohong ketika pertemuannya dengan Elhan tempoh hari.
" Awak tak salah pun, tak perlu minta maaf. Cuma saya akan lebih hargai kalau awak boleh bagitau saya lebih awal. Sekurang-kurangnya, kami tak perlu saling menyakiti sejauh ni."
Terpampang seraut wajah kecewa Elhan ketika dia mengucapkan kata-kata pedih menghiris itu. Kecewanya benar-benar sudah terbenam jauh ke dalam. Hatinya mula mempersoalkan adakah dia diterima kerana lelaki itu dan bukannya kerana Hayyani benar-benar cintakannya. Sakitnya hati terasa bagai digilis-gilis.
Berkaca jernih tubir mata Muna tatkala melihat Elhan melangkah pergi. Dia kasihankan Elhan dan pada masa yang sama turut mengesali tindakannya merahsiakan hal itu sehingga keadaan menjadi parah begini. Kini, Elhan benar-benar terluka.
Share this novel