Bab 58

Romance Completed 15392

Takbir raya yang berkumandang menandakan hari kemenangan bagi umat Islam di seluruh dunia. Pagi hari yang mulia, rumah terbuka Doktor Khalida dikunjungi ramai saudara mara dan jiran tetangga. Puan Farida dan Encik Sulaiman juga turut sama menyambut pagi raya bersama keluarga besan mereka.

Ada banyak cerita, kisah duka dan air mata, tidak kurang juga tawa dan gelak ketawa yang menghiasi suasana ketika salam raya dilakukan. Peluang untuk menebus kesilapan dan bermula semula. Kerana itulah, perayaan dapat merapatkan semula jurang hubungan yang renggang, menjernihkan kembali apa yang keruh.

Selesai bersalaman, Elhan dan Hayyani yang anggun berpakaian raya sedondon berwarna ungu tidak melepaskan momen untuk bergambar bersama. Raya pertama mereka sebagai suami isteri. Dapat dilihat keterujaan dari seri wajah mereka.

Potret keluarga besar yang paling dinantikan semua orang terutama Doktor Khalida dan Puan Farida. Maklumlah, ini juga raya pertama mereka raikannya sebagai besan. Doktor Khalida yang paling gembira dan beria-ria menyuruh keluarga besannya menyambut pagi raya di situ.

Terbit senyum di bibir Hayyani melihat ibunya bergelak ketawa dengan yang lain. Dia lega kerana sekurang-kurangnya Puan Farida tidak terlalu memikirkan abang Haris yang tidak pulang beraya bersama keluarga mereka semenjak hari pertama berpuasa lagi. Kasihan, pasti semua sedih terutama keluarga Haris sendiri.

" Sayang lapar? Abang ambilkan makanan untuk sayang ya. Tunggu sekejap, " pesan Elhan kepada Hayyani. Waktu itu, mereka sudah berkira-kira untuk duduk di sebuah meja bulat bawah kanopi di halaman rumah.

" Takpelah abang, Daneen boleh ambil sendiri. Daneen ambilkan abang punya sekali. Abang tak rehat dari tadi sibuk uruskan makanan tu semua, " tukas Hayyani tanda tak setuju.

" Takpe sayang. Bukan payah sampai kena naik kereta pun untuk ambil makanan tu semua. Meja depan tu aje. Duduk sekejap eh, kejap lagi abang datang. "

Elhan menarik kerusi lalu mendorong Hayyani duduk, kemudian dia pergi mengambil makanan dan bertegur sapa dengan orang lain di sana. Terlukis sebaris senyuman di wajah Hayyani melihat betapa budiman suaminya itu. Segak pula berbaju melayu teluk belanga. Jatuh cinta sekali lagi? Biarlah walau berkali-kali pun dia tak kisah.

Tiba-tiba, ada susuk seseorang yang berdiri di hadapan Hayyani menghalang penglihatannya. Apabila dia angkat kepala, wajah Jasmine yang anggun dalam persalinan kurung birunya mengisi ruang mata. Semerta, senyuman di bibir Hayyani mati.

" Selamat hari raya Daneen, " ucap Jasmine dengan sebaris senyuman anggun.

Lambat-lambat, Hayyani tersenyum jua kembali walaupun senyumannya kelihatan canggung. Keadaan terasa amat berbeza sejak kali terakhir dia berjumpa dengan Jasmine. Namun kali ini, Jasmine datang sebagai tetamu mertuanya jadi dia perlu juga melayan wanita itu dengan sebaiknya.

Selesai makan, Elhan meninggalkan Hayyani dan Jasmine berdua menghirup udara segar di taman bunga untuk berbual-bual. Sementara itu, dia pergi melayan Aisyah dan Arif di depan.

" I tahu I tak sepatutnya telefon Elhan waktu tu walaupun I terdesak. Kalau I jadi you pun I marah. I faham kenapa you layan I berbeza daripada dulu, " tutur Jasmine sebagai yang pertama memecah kebisuan antara mereka. Dia sedar sejak hari itu, Hayyani seakan mengelak untuk berkomunikasi mahupun bertemu.

Hayyani hembus nafas lemah. Kemudian, dia memandang Jasmine dan menggeleng.

" No. Awak dah salah faham. Saya lega Elhan buat keputusan cepat untuk selamatkan awak daripada fikirkan perasaan saya. Walaupun saya takut sesuatu berlaku waktu awak dengan suami saya berdua-duaan, tapi saya takut kalau apa-apa jadi pada awak juga. Lagipun, Elhan dah terangkan tentang apa yang terjadi. Saya dah anggap awak sebagai seorang kawan Jasmine. Saya tak ada dendam dengan awak, " balas Hayyani panjang lebar dan penuh makna.

Hanya Tuhan tahu betapa gemuruh di dalam dadanya tidak pernah surut sejak insiden itu berlaku. Namun, dia memilih untuk memberikan kepercayaan kepada suaminya lantaran keadaan darurat yang memaksakan semuanya. Walaupun begitu, dia juga tidak boleh menipu hati sendiri yang dirinya sudah mula rasa tidak selesa dengan kehadiran Jasmine di sisi Elhan.

" Bagi I pula, you dah macam adik I Daneen. Dan seorang kakak takkan sanggup melukakan adik sendiri walau apa pun terjadi. I dah sayangkan you sampai I tak nak kebahagiaan you sendiri terancam walaupun semua tu bermakna, I perlu pergi. "

Jasmine menghulurkan sesuatu yang dikeluarkan dari beg tangannya. Hayyani menyambut sekeping surat itu dengan wajah yang terlukis kerutan hairan.

" Apa ni? Surat letak jawatan? " Hayyani menyoal dengan suara terkejut.

Jasmine mengangguk pasrah. " Lepas Aisyah berjaya jalani prosedur pemindahan jantung, I akan berpindah lebih dekat dengan mummy I. Mungkin lepas ni akan jarang jumpa dengan you guys lagi. Tapi I sedar lepas apa yang terjadi, this is the best way. "

Inilah yang terbaik boleh dilakukan oleh Jasmine. Pengorbanan yang perlu dilaksanakan demi menjaga banyak hati lain. Dia tidak mahu dianggap penghalang mahupun penghancur dalam kebahagiaan orang terutama sekali kebahagiaan insan paling dicintainya, Elhan. Apatah lagi, dia sudah cukup sayangkan Hayyani.

" Jangan pergi, Jasmine. Jangan jadikan saya alasan persahabatan awak dengan Elhan renggang. Saya takkan gembira kalau itu yang terjadi nanti. Awak tautkan kembali hubungan cinta saya dengan Elhan, tapi awak putuskan hubungan persahabatan awak dengan Elhan. Apa yang awak dapat bila awak berkorban macam ni sekali, Jasmine? " Jelas kesal yang dilontarkan dalam suara Hayyani.

Selepas insiden itu, Elhan sudah jarang berjumpa mahupun berhubung dengan Jasmine. Dia sedar suaminya itu bersikap sedemikian demi menjaga hatinya. Dan semestinya Jasmine turut sama terkesan sehingga sanggup mengambil keputusan drastik begini sekali. Berat hatinya dengan perasaan kesal.

Jasmine senyum tipis lalu meraih jari jemari Hayyani. Digosok dan diusapnya lembut bagai seorang kakak yang benar-benar kasih akan adiknya.

" I dapat tengok kawan dengan adik I bahagia. That makes me happy a lot. To see you guys happy even when I'm not around. Janji dengan I Daneen, tolong bahagia dengan Elhan. "

Itulah kata-kata terakhir yang Jasmine ungkapkan menyapa halwa telinga Hayyani. Saat itu apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdiam diri. Bungkam tanpa kata. Namun yang pasti, hatinya sedih entah mengapa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience