Hanan menarik nafas lega setelah melihat Elhan di depan mata. Sejak semalam Hayyani datang mencari Elhan di rumahnya, dia sudah mula berasa risau. Risau andainya ada sesuatu yang terjadi kepada Elhan sehingga tidak pulang ke rumah.
Mujurlah pagi tadi ada panggilan telefon yang masuk daripada Elhan memaklumkan keberadaannya. Bergegas dia pergi mendapatkan abangnya itu selepas habis mengajar di sekolah. Bimbang akan keadaan Elhan.
" Sekarang baru abang faham. Baru abang faham kenapa Hanan bertengkar dengan Daneen sebelum ni."
Elhan memandang tepi wajah Hanan yang sedang merenung jauh ke dalam tasik Putrajaya itu. Entah mengapa hatinya tergerak sendiri untuk berkunjung ke situ. Tenang sikit rasa hati.
Terdengar keluhan kecil sang adik. Akhirnya Elhan mengerti sendiri tanpa perlu dia menjelaskan. Fikirnya dapatlah dia merahsiakan hal itu sampai ke mati namun takdir menentukan tersingkap jua kian hari.
" Hanan sayangkan abang. Hanan tak suka tengok Daneen buat abang macam tu. Hanan rasa berhak untuk marah," ujar Hanan kedengaran hampa. Mungkin yang tinggal kini bukan lagi marah tapi kecewa ataupun sedih. Dia sendiri buntu.
Elhan pamer wajah tenang. Sebaris senyuman terlata di wajahnya yang kelihatan sedikit kusut.
" Meh sini kejap. "
Hanan mendekat setelah dipamit. Perlahan-lahan dia merasakan tangan Elhan melilit pada tubuhnya. Pelukan seorang abang, buat Hanan berasa sebak. Menitis air matanya di dada Elhan. Teresak kecil dia di situ.
Selepas seketika pelukan mereka mula renggang. Lembut tangan Elhan naik menyapu manik-manik jernih di pipi sang adik. Bahu Hanan dipegang kemas.
" Hanan, abang faham kita mesti ada sifat untuk melindungi semua ahli keluarga kita. Kita tak nak ada sorang pun keluarga kita yang disakiti. Tapi ni antara abang dengan Daneen. Jadi abang tak nak Hanan rosakkan persahabatan Hanan dengan dia. Kalau pun abang dengan Daneen ada masalah, Hanan jangan sekali-kali libatkan diri Hanan dalam masalah kami. Abang tak suka, " tutur Elhan lembut namun tegas kata-katanya.
Dia lebih tahu di mana kedudukan Hayyani dan Hanan selama ini. Sejak mereka berdua bertelingkah, Hanan sudah tidak seceria dulu. Bibir itu ada kala akan terlepas jua menyebut nama Hayyani.
" Tapi abang, abang nak Hanan tengok aje orang lain buat abang macam tu? Suka Hanan berkawan lagi dengan orang yang dah sakitkan family Hanan sendiri? Mengarut abang," tukas Hanan tak berpuas hati. Memang dia sedih terpaksa berenggang dengan sahabat baiknya selama ini. Namun, dia juga tidak sanggup melihat Elhan terluka begini.
" Abang dah buat keputusan untuk bagi peluang kedua pada Daneen. Abang nak selamatkan perkahwinan kami. Jadi Hanan pun patut bagi peluang kedua pada Daneen. Selamatkan persahabatan korang. Kekeluargaan dan persahabatan, dua benda ni jangan biar putus. "
Dalam nasihat yang dimaknakan Elhan. Barangkali dia terlalu mengikutkan emosi kelmarin sehingga tak dapat menimbang tara keadaan antara dia dan Hayyani dengan baik. Terluka memang terluka bahkan amat menyedihkan untuk dia menerima hakikat. Namun, jauh di sudut hati masih cinta akan Hayyani.
" Hanan boleh bagi peluang kedua pada Daneen. Tapi abang, abang tak terluka kerana dia? Abang boleh lupakan aje semuanya? " soal Hanan sambil merenung wajah sedih Elhan meminta kepastian.
Masih ada ruang buat kemaafan dalam hubungan persahabatan dia dan Hayyani. Rela dia lupakan demi kasih sayangnya kepada Hayyani sebagai sahabat. Namun, cinta yang dikhianati umpama susu yang jernih dan suci. Sekali dinoda walau setitis cuka, sukar untuk dijernihkan lagi.
" Ujian ni datang pada semua orang. Kalau kuat cinta tu kuatlah abang untuk bertahan. Abang anggap semua ni ujian dan Allah nak abang pimpin tangan Daneen untuk sama-sama harungi. Abang pernah buat silap. Daneen pernah buat silap dan semua orang layak untuk kembali. "
Tenang Elhan menyuarakan kata-katanya. Memaafkan itu memang dendam terindah. Walau terkadang pedih hatinya apabila mengingat kembali, namun kalau sudah cinta, masalah seluas lautan pun bisa menjadi sekecil lopak air. Dia maafkan Hayyani, isterinya, seorang manusia biasa yang tidak kalis dosa.
Hanan mengangguk tiada berkata apa. Mereka kembali merenung dada tasik yang berorak tenang. Dia berharap kemaafan Elhan kali ini dapat memberi nafas baru buat hubungan itu. Kerana abangnya terlalu baik untuk dipersiakan.
****
Di bawah naungan kubah masjid Putrajaya itu, Elhan menunaikan dua rakaat solat. Solat yang membawa seorang hamba yang hina kembali kepada Penciptanya. Air mata yang basah di birai mata mengiringi bibir yang melagukan keampunan pada Tuhan yang Maha Esa.
Mungkin saja dosanya terlalu merimbun sehingga Allah menghujankan ujian dalam rumah tangga mereka. Tiada lain yang diharapkan hanyalah supaya Allah gilapkan kembali kemilau hubungan mereka. Dan semoga mereka diberi sinar untuk kembali bahagia.
" Berterus terang dengan pasangan itu bagus. Tapi perlukah berterus terang juga tentang dosa yang pernah dibuat?"
" Dosa itu sebaik-baiknya disimpan sendiri. Jangan ceritakan aib sendiri kepada orang lain. Allah tak suka perbuatan tu."
Terngiang-ngiang kembali nasihat imam masjid Putrajaya yang mendekatinya ketika dia bersendirian malam tadi. Terluah sendiri masalah yang membelenggu tanpa dipaksa sesiapa ketika itu. Lalu keluarlah nasihat sedemikian rupa daripada imam itu yang terus bermain di fikirannya.
Sedang dia berteleku di atas tikar sejadah, tiba-tiba dia merasakan ada satu pelukan dari belakang yang melilit batang tubuh bidangnya. Terkesima seketika namun dia tetap membiarkannya. Pelukan ini terasa biasa, terasa seperti pelukan yang amat dirinduinya.
" Abang, maafkan Daneen. Izinkan Daneen kembali pada abang. Mencintai abang sepenuh hati. Daneen takkan sesekali sia-siakan abang lagi," ungkap Hayyani dengan esakan yang lirih. Dia mengeratkan lagi pelukan pada belakang tubuh suami yang amat dirindukannya itu. Syukurlah Hanan memberitahunya di mana Elhan berada setelah sekian lama mencari tapi tak jumpa.
Elhan tersenyum lega. Dia menggenggam telapak tangan Hayyani yang melekap di dadanya. Dibelai dan diusap lembut demi menenangkan Hayyani.
Selepas seketika, barulah dia meleraikan pelukan mereka dan berpusing menghadap wajah isterinya yang basah dengan air mata. Jarinya perlahan-lahan menyapu bersih pipi itu.
" Daneen satu-satunya isteri abang. Perjuangan abang selama ni untuk mendapatkan sayang takkan semudah-mudahnya musnah sekelip mata. Dan abang dah buat keputusan untuk kita kembali sama-sama macam dulu. Pertahankan cinta kita," ujar Elhan lemah lembut suaranya menyapa pelupuk telinga sang isteri.
" Abang..." Hayyani benar-benar sebak sehingga matanya turut dikunjungi air mata lagi. Terasa lega di dalam jiwa kerana Elhan sanggup memberikannya peluang kedua untuk menjernihkan hubungan mereka. Dia benar-benar tidak mahu mensiakan Elhan lagi.
Tangan Hayyani diraih lalu dikucup perlahan-lahan. Damai hatinya melihat Hayyani di depan mata. Lerai rindu dalam hati keduanya.
" Abang nak melamar awak buat kali kedua. Sayang, sudi tak awak jadi isteri abang selama-lamanya? "
Hayyani mengangguk laju. Bibirnya terus menerus mengukirkan senyuman, bahagia dapat mengecapi saat ini lagi dalam hidupnya. Tangan Elhan dikucup lama sebelum dia mengangkat wajah dan menjawab.
" Sampai syurga. "
Pelukan antara mereka dieratkan kembali. Demi sesungguhnya tiada satu pasangan pun yang ingin perasaan mereka berubah. Ujian itu besar atau kecil pasti mampu menjejaskan perasaan jikalau tiada yang mahu memperbaiki keadaan.
Namun bagi Hayyani dan Elhan, mereka berharap walau apa jua ujian yang mendatang nanti, perasaan mereka tetap takkan berubah. Ingin menjadi seperti lautan, walau adakalanya pasang surut namun tidak pernah berubah rasa. Sampai syurga. Sehingga selamanya.
Share this novel