Bagi mengisi waktu terluang pada waktu petang, mereka melakukan aktiviti bbq bersama-sama. Sejak awal mereka di laman rumah yang luas itu, mata Hayyani tak lepas menatap Elhan yang sedang membakar ayam. Terlihat sesekali lelaki itu bergurau senda dengan ibu abah dan adiknya Haleena. Doktor Khalida dan suaminya pun ada dijemput untuk turut sama memeriahkan suasana. Mesra saja semuanya tanpa sedikit rasa kekok sama sekali.
Tanpa sedar senyuman di bibirnya semakin lebar. Hatinya terus disapa rasa terharu dengan setiap perlakuan Elhan yang menawan hati. Tekad lelaki itu untuk membuktikan bahawa perasaannya adalah ikhlas semakin hari semakin terasa nyata. Mungkin memang benar kata Malik, dia saja yang belum memberi ruang untuk Elhan mencuri hatinya.
" Hah!" Sergah Haris memecahkan lamunan Hayyani.
" Ish... abang ni. Nasib baik tak tumpah air ni tau. " Hayyani menghadiahkan jelingan maut kepada abangnya yang sudah duduk di sebelah.
" Nampaknya kau menggunakan nikmat panca indera yang Tuhan kasi dengan baik kan."
Kening Hayyani bertaut. " Apa maksud abang ni? Dah mulalah tu nak mengenakan orang."
" Mata tu. Tak lepas memandang Elhan dekat sana. Abang tahulah dia lagi pandai bab-bab bakar ayam ni kalau nak dibandingkan dengan abang. Itu pun nasib baik aje abang penat tadi sebab tulah dia gantikan abang. "
Haris cuba berlagak. Sebenarnya tadi pun Haleena yang beria-ria suruh dia berhenti kerana ayam yang dibakarnya asyik hangus saja. Tapi kalau Elhan yang bakar elok saja.
" Oh... kiranya ayam yang Daneen tengah makan ni abang yang bakarlah? " Hayyani menunjukkan ayam di dalam pinggannya.
Haris angkat kening bangga. " Mestilah. "
" Hmm... patutlah, " balas Hayyani spontan. Tak lama kemudian, Haris mencubit pipinya pula.
" Amboi! Condemn nampak. "
" Bukan condemn. Jujur. " Hayyani tergelak. Abangnya itu cuma tahu goreng telur dan masak mee segera saja. Tapi kalau bab mengacau orang memang juara.
Haris tersenyum seraya menggeleng. Kurang asam punya adik!
Buat seketika, panorama di depan mata mereka disaksikan dengan perasaan senang. Keberadaan Elhan di situ ibarat penambah seri dalam keluarga mereka. Segalanya terasa lengkap dan sempurna.
" Abang tengok ibu dengan abah tu senang aje hati bila Elhan ada dekat sini. Tengok ibu tu, dari tadi ketawa tak sudah-sudah. Elhan berani bawak gurau pasal tahi lalat dekat muka ibu tu tau sedangkan abang sendiri pun takut, " seloroh Haris. Kemudian dia tertawa. Hayyani cuma mampu. Sekurang-kurangnya Elhan beruntung kerana ibu mahu bergurau senda dengannya.
" Nak buat macam mana. Ibu lagi sayang anak orang. Apa boleh buat. Kita kena sayangkan diri sendiri ajelah nampaknya, " ungkap Hayyani pasrah. Sedikit sebanyak dia berasa cemburu dengan Elhan. Namun, syukurlah dia masih dapat bermanja dengan umi Khalida yang melayannya seperti puteri sendiri. Tapi walau bagaimana sekalipun tetap takkan sama dengan belaian ibu kandung sendiri.
" Dia orang tu dah sayang Elhan macam anak sendiri sebab dah terbiasa dari kecil. Samalah macam kita dengan umi Khalida. Sebab tulah, dia orang rasa sayang kalau takde ikatan yang sah mengikut syarak antara kedua-dua keluarga ni. Tapi Daneen jangan salah faham dengan apa yang abang cakap ni. Abang bukannya nak paksa kau terima lamaran Elhan tu, " jelas Haris tak mahu adiknya salah sangka.
Gelagat Elhan yang sedang melayani anak-anak buahnya makan dan minum di sana membuat Hayyani tersenyum. Jujur, dia punyai banyak alasan untuk menerima Elhan. Namun, dia tak pasti apa yang menangkah pendiriannya di kala ini.
" Abang rasa apa yang buat abang suka sangat dekat Elhan tu? Macam, apa faktor penarik yang ada pada Elhan tu pada pendapat abang? " Hayyani minta pendapat Haris dari sudut pandang seorang lelaki.
" Abang? Mestilah abang suka tengok dia ambil hati ibu dengan abah. Tengok dia layan family kita macam mana. A plus. " Haris memuji sikap baik Elhan terhadap keluarganya. Namun, apa boleh buat jika adiknya tidak suka.
Hayyani mengangguk. " Not bad. Itu memang Daneen tak dapat nafikanlah. "
" Daneen nak tahu tak, tanda-tanda kalau seseorang tu jodoh kita, keluarga kita sendiri pun senang terima dia. Rasa macam dia tu menyejukkan hati lagi-lagi mata yang memandang ni. Kau tak rasa macam tu? " Haris menyoal Hayyani untuk menguji adiknya itu. Tapi Hayyani tetap bereaksi biasa.
" Tak pun. Biasa aje. " Hayyani sengaja jawab begitu kerana tidak mahu membiarkan perasaannya dihidu. Walhal sesekali ada juga dia mencuri pandang lagi Elhan di sana. Memang benar, sejuk mata hati memandang.
" Alah, budak sorang ni ego aje lebih. Kalau tak semua pun mesti ada benda yang Elhan dah buat untuk curi hati tu. Peliklah kalau kau tak rasa apa-apa. Hati tu diperbuat daripada apa? Batu kerikil? "
Soalan itu dibiarkan sepi. Hayyani enggan menjawab. Padahal dia tidak mampu menafikan sejak di hospital semalam, Elhan sudah pun mencuri sedikit ruang dalam hatinya. Ada bunga-bunga cinta yang sudah mula bergetaran di dalam jiwa.
Melihat Hayyani yang masih senyap, Haris menjentik dahi itu sehingga kemerahan.
" Sakitlah abang. Sumbat tulang ayam dalam mulut karang. " Dahinya yang terasa kebas digosok-gosok. Rasa nak cekik saja leher Haris. Nasib baik abang.
" Amboi! Sejak balik dari Istanbul dah pandai ugut abang sendiri kan. Dekat sana ada join kumpulan jiwa muda teraniaya ke? " soal Haris bernada gurau.
Hayyani mencebik. " Ada pulak jiwa muda teraniaya. Kalau ada memang Daneen takkan balik sini lagi tau. Terus menganiaya hati dekat sana. "
Terus terburai tawa Haris. Keadaan antara mereka sunyi sekali lagi selepas tawa mereka reda. Haris berjeda kejap, ruang paling tepat untuk menyentuh soal yang satu itu.
" Abang nak pesan sikit dekat Daneen. Kalau kau memang tak boleh nak terima Elhan, cepat-cepat tamatkan semua ni. Jangan bagi dia harapan terlalu lama. Lebih cepat dia terima kenyataan lebih baik. Jangan sakitkan hati anak lelaki kesayangan orang tuanya lama-lama. Kesian dekat dia nanti, " nasihat Haris sambil memandang sayang wajah si adik.
Apabila melihat Doktor Khalida, Haris pula yang rasa bersalah. Elhan ditatang bagai minyak yang penuh mana mungkin wanita tua itu sanggup melihat kehidupan dan perasaan anaknya diperkotak-katikkan. Bagi Haris kerisauan ibu selama ini pun ada kalanya betul juga walaupun bukan semua. Entahkan Hayyani faham entahkan tidak.
Hayyani terdiam apabila Haris mula melantun nasihat. Sekali lagi, lidahnya seakan-akan kelu apabila bercakap soal lamaran itu. Namun, sampai bila lagi harus dia mengelak daripada kenyataan ini. Lama kelamaan Elhan akan menuntut jawapannya juga. Jawapan yang akan menentukan adakah Elhan akan berjalan pergi atau kekal dengannya.
" Kalau Daneen serba salah nak cakap dekat Elhan, bagitau abang. Biar abang sendiri yang berdepan dengan dia. Jelaskan yang kau memang tak ada hati dekat dia. Tak salah nak tolak lamaran. Yang salahnya bila kita terus bagi harapan sedangkan dah terang-terang hati tu tak nak. Fikirklah masak-masak. Insyaallah kita boleh selesaikan semua ni dengan cara baik, " sambung Haris apabila Hayyani tetap membisu. Dia percaya adiknya itu tahu apa yang terbaik untuk diri. Apa yang termampu dia lakukan adalah memberikan nasihat sewajarnya tentang hubungan mereka.
Ada senyuman nipis terlukis di bibir Hayyani sebelum dia membalas semula kepada Haris.
" Bagi Daneen sikit masa lagi abang. Daneen nak fikir betul-betul. Lagipun, abang tahukan ibu tu macam mana. Daneen kena fikirkan semua orang sebelum buat keputusan. "
" Yalah, ambil masa untuk berfikir. Buat keputusan ikut kata hati jangan sebab nak jaga hati orang sampai abaikan perasaan sendiri. Kalau kau ada sebab sendiri untuk tolak Elhan, cubalah bincang elok-elok dengan ibu abah. Ibu mesti faham nanti. Apa-apa, jangan segan nak bagitau abang. Okey? "
Haris meninggalkan Hayyani di situ untuk merapati yang lain. Sekali lagi, Hayyani dipeluk kemas dalam dakapan dilema. Elhan, perlukah saya terima awak sedangkan saya rasa tak layak memiliki cinta awak?
****
Ketika Hayyani melintas di ruang tamu, dia lihat pintu rumah sedikit terbuka. Abah terlupa nak tutup pintu ke? Detik hati kecilnya. Perlahan-lahan dia menapak mendekati pintu itu. Ketika hendak menutup pintu, dia terlihat Elhan sedang berdiri di laman rumah.
" Elhan, kenapa awak belum masuk tidur lagi?" tegur Hayyani. Ketika itu dia sudah pun menyarungkan selipar untuk mendekati Elhan.
" Saja. Tengok bulan dengan bintang malam ni. Terang sangat. Terang macam mata awak." Elhan melayangkan senyuman persis penggodanya. Pandangan mata itu turut memainkan peranan menggoncang jantung wanita.
Hayyani tercebik secara automatik. Tahu sangat lelaki itu hanya nak mengusiknya. Setakat ayat pick up line yang diulang-ulang oleh playboy pencen ini apalah sangat.
" Awal-awal pagi esok saya balik tau, " beritahu Elhan selepas beberapa saat mereka berdiam menikmati pemandangan yang terhidang di langit. Matanya tidak terpejam malam ini kerana rasa berat nak memberitahu tentang itu. Sudah dua hari di situ, dia rasa sedih pula hendak berjauhan.
" Esok? Bukan patutnya lusa ke? " Hayyani diterpa kehairanan. Kalau ikut kiraan memang sepatutnya Elhan pulang lusa pun.
" Abang driver ambulans part time mana boleh bercuti lama-lama. " Elhan berjenaka kemudian dia ketawa.
" Elhan. Tolong serius boleh tak. " Hayyani yang naik geram dibuatnya. Tak habis-habis nak mengungkit gelaran yang dia beri kelmarin.
Elhan mula beriak serius. Dia bimbang Hayyani akan berkecil hati pula.
" Serius. Saya banyak kerja dekat hospital. Kesian dekat Arif dia handle pesakit saya sorang-sorang."
Senyap. Tiada jawapan balas daripada Hayyani. Namun, sekilas riak di wajah Hayyani, Elhan sudah tahu bahawa gadis itu sedang merajuk.
" Ni muka semacam aje ni. Tak kasi saya balik ke? " Elhan menduga jawapan Hayyani dengan sebaris senyumannya.
Hayyani mengeluh kecil. " Awak tu dah ambil cuti patutnya habiskan ajelah. Bukan senang doktor dapat cuti, " bebelnya tanpa sedar. Kalau dah tahu sibuk buat apa nak tercongok dekat sini. Bikin susah hati aje.
" Dulu masa saya datang beria-ria tanya bila nak balik. Merajuk?" Soalan Hayyani ketika hari pertama dia bermalam di sini diulang kembali oleh Elhan.
" Tak. Mana ada. Kalau awak nak balik, baliklah. Saya tak boleh paksa kalau orang dah tak nak. " Suara Hayyani kedengaran seperti berjauh hati.
Elhan tersenyum lebar. Kata-kata Hayyani membuatkan hatinya berbunga-bunga. Merajuk itu tandanya sayang. Lagipun dia sedar layanan Hayyani kepadanya semakin hari semakin baik.
" Awak jaga diri. Jangan terkena setitik hujan pun. Nanti apa-apa jadi susah kalau saya tak ada. Lain kali bila-bila free saya datang lagi. Saya pun tak boleh berjauhan lama sangat dengan buah hati saya ni, " ungkap Elhan dengan senyuman manisnya.
Hayyani terkelu. Serta merta dia merasakan degupan jantungnya tidak normal apabila ungkapan Elhan menusuk ke telinganya. Kata-kata itu seakan meresap halus ke dalam hati. Namun, riak wajah cuba dikawal sehabis baik.
" Siapa buah hati awak? Buah berangan adalah, " tukas Hayyani tanpa sedikit pun berani menentang kilauan mata memikat Elhan.
Elhan kembali terlihat lebih serius namun tetap bereaksi tenang. Wajah Hayyani direnung tepat untuk menanyakan satu soalan di benaknya. Inginkan jawapan yang sudah lama dituntut.
" Daneen, disebabkan saya dah menang haritu jadi saya nak dengar jawapan awak. Awak terima ke tak? "
Hayyani berjeda kejap memikirkan sesuatu sebelum dia menjawab. " Erm... saya terima."
" Seriuslah? Alhamdulillah. Lepas ni senang nak cari tarikh nikah pulak." Elhan sudah menyapu kedua belah tangan ke muka tanda syukur.
Hayyani sudah tercengang. " Eh, siapa kata saya terima lamaran awak. Saya kata saya terima permohonan maaf awak. "
Berdebar pula Hayyani dibuatnya. Dia fikir Elhan maksudkan permohonan maaf atas kemenangannya ketika bermain layang-layang tempoh hari. Lain pula yang mamat ni fikirkan rupanya.
Elhan angkat kening, bersahaja riak wajahnya. " Apa salahnya terima dua-dua sekali. Awak kan sayang saya. Kan? "
Hayyani sedar degupan jantungnya mulai deras memalu dada. Menyerbu darah merah ke wajahnya.
" Apa-apa ajelah. Saya nak masuk."
Hayyani sudah tidak mampu berdebat lagi. Lebih lama dia di situ lebih panjang akal Elhan nak mengusiknya nanti. Pandai-pandai aje cakap aku sayang dia. Perasan betul. Tapi memang sayang pun sebenarnya.
" Nanti kejap ada nyamuk atas kepala tu. " Langkah Hayyani terhenti sebaik saja Elhan merencatkan kepergiannya.
" Hah? " Hayyani terpinga-pinga. Nyamuk? Tapi kenapa tak rasa apa-apa pun.
Elhan maju setapak demi setapak lebih dekat dengan Hayyani tapi gadis itu tetap berundur ke belakang. " Berdiri diam-diamlah. Kalau tak macam mana nak bunuh dia. "
Hayyani terpegun di situ. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Sampai saja di depan gadis itu, Elhan menampar lembut ubun-ubun di kepala Hayyani yang bertudung. Sebaik saja dia berbuat demikian, dia melihat telapak tangannya.
" Lah... kecik aje nyamuknya. Nampak macam nyamuk tapioka ni. "
" Mana... mana? Nak tengok. " Mana nyamuk yang berani nak curi darah aku tadi. Dia ingat aku ni pemurah hati sangat ke nak derma darah kat dia.
Hayyani cuba mengintai di dalam genggaman Elhan. Namun, Elhan berterusan mengelak dan menyembunyikan. Eh mamat ni, boleh pulak main acah-acah.
" Cepatlah Elhan. "
Setelah digesa, Elhan membuka genggamannya dan dia melayangkan mini love untuk ditujukan kepada Hayyani. Melihat kepada wajah Hayyani yang semerta berubah pekat warnanya, tawa kecil Elhan meletus jua. Tak sangka, Hayyani termakan dengan helahnya.
" Eee! Main-main lagi kan. Dahlah. Ke tepi. "
" Jenis cepat percaya orang jugak awak ni ya, " kata Elhan kemudian dia ketawa. Sekilas jelingan tajam yang diterima ketika wanita itu berjalan melepasinya. Namun, dia tetap tersenyum tanpa riak bersalah.
Hayyani rasa nak saja sorok muka dalam almari. Mati-mati dia fikir memang ada nyamuk tadi. Geram betul tahu. Suka sangat buat hatinya berdebar dengan cara yang tak dijangka.
Share this novel