Bab 45

Romance Completed 15392

Seawal jam 7 pagi lagi, Elhan dan Hayyani sudah tiba di KLIA untuk menaiki pesawat ke Surabaya yang dijadualkan pada jam 8 pagi. Hanan yang menawarkan diri untuk menghantar mereka ke sana oleh kerana dia juga tidak bekerja pada hujung minggu. Maklumlah, Hanan yang paling teruja kerana dapat tahu abang dan kakak iparnya itu sudah kembali berbaik.

" Bye, kakak ipar. Jangan balik cepat sangat tau. Buat baby dulu baru balik, " usik Hanan selamba seraya ketawa. Tak lama selepas itu, dia terasa pinggangnya digerudi pula.

" Hish, kau ni. Takde benda lain ke nak mintak, " marah Hayyani dengan suara yang tertahan. Segan pula dibuatnya apabila Hanan menyebut soal itu di celah rimbunan manusia.

Elhan memeluk bahu Hayyani. " Biarlah. Dia nak mintak kawan untuk anak dialah tu nanti. Sayang dekat rumah pun sunyi nak kawan jugak, kan? "

Elhan kenyit sebelah matanya, memandang Hayyani dengan senyuman penuh makna. Hayyani pula bertindak balas dengan mencubit lembut pipi Elhan. Sengaja dia tayang muka comel.

" Abang jaga baby yang ni dulu. Kalau abang pandai jaga, barulah kita jaga baby lain, " manja suara Hayyani membalas. Kemudian, mereka tersengih-sengih sambil menatap wajah satu sama lain.

Hanan yang melihat rasa terbakar di dalam hati. Sengajalah tu nak tunjuk adegan mesra. Mentang-mentanglah masih pengantin baru tambah pula dah berbaik semula sekarang.

" Menyampahnya tengok gedik-gedik depan kita ni. Dahlah, pergilah cepat. "

Meletus tawa Elhan dan Hayyani melihat reaksi Hanan tidak berpuas hati. Buat seketika terjerumus di dalam dunia mereka sendiri sehingga lupa akan kehadiran Hanan di situ. Sudahlah Lukman jauh sekarang.

" Hati-hati balik, Hanan. "

Setelah bersalam dan berbalas pelukan dengan Hanan, Elhan dan Hayyani berpamitan menuju ke ruangan menunggu sebelum pegawai bertugas membenarkan mereka menaiki pesawat. Mujurlah penerbangan ke Surabaya dari KLIA memakan masa hanya 3 jam saja. Jadi, mereka tidaklah kepenatan di dalam pesawat saja.

Sebaik saja pesawat mendarat di Juanda International Airport Surabaya, mereka bergerak ke ruang menuntut bagasi pula sebelum menuju ke balai ketibaan. Di situ, Pak Rahman, supir merangkap jurugambar dan pemandu pelancong mereka sudah bersedia menyambut ketibaan mereka. Peramah dan baik saja orangnya bercerita tentang aktiviti yang bakal mereka lakukan sepanjang seminggu di Surabaya.

Hari pertama mereka sekadar menghabiskan masa di hotel dan kawasan sekitarnya. Maklumlah, perjalanan dari lapangan terbang pun sudah memakan masa lebih kurang 5 jam untuk ke destinasi seterusnya. Setelah mendaftar masuk hotel di kawasan Ijen, Pak Rahman membiarkan Elhan dan Hayyani berehat sebelum mendaki ke Kawah Ijen tengah malam nanti.

Gigih juga mereka mendaki pada waktu malam untuk ke Kawah Ijen dengan cuaca yang sejuk, memaksa mereka berpakaian tebal. Fenomena blue fire tidak boleh dilihat di sembarangan tempat mahupun negara. Jadi mereka tidak melepaskan peluang ini untuk menyaksikan keajaiban alam semula jadi itu bersama-sama sebelum matahari terbit.

Menurut cerita Pak Rahman, fenomena blue fire itu cuma ada dua di dunia. Salah satunya di Indonesia. Api biru itu terhasil dari gas belerang bertekanan tinggi yang menyembur dari celah-celah bebatuan. Suhunya boleh mencecah sehingga 600 darjah celcius. Disebabkan tindak balas oksigen dengan gas belerang, maka terhasillah warna biru itu.

Hayyani terpegun dengan fenomena blue fire di hadapan mereka kini. Inilah buat ulung kali dalam hidupnya menyaksikan kebesaran alam sebegitu dengan mata kepalanya sendiri. Tidak sia-sia berpenat lelah mendaki pada lewat malam. Pemandangannya sungguh indah dan menakjubkan!

" Terima kasih abang. Terima kasih sebab abang pilih untuk tengok keindahan alam ni dengan Daneen, " ucap Hayyani romantis.

" Ke mana-mana pun abang pergi, abang nak isteri abang ni ada sekali. Just you sayang, "
balas Elhan tidak kurang romantisnya.

" Sampai bila-bila? "

Elhan mencuit lembut dagu Hayyani yang sedang mendongak memandangnya lalu menjawab. " Sampai bila-bila. "

Pandangan mereka bersatu mencipta sebuah perasaan yang maha indah di dalam daerah hati kedua-duanya. Hayyani mencium pipi Elhan sebelum Elhan membalas dengan kucupan hangat pada dahi Hayyani pula. Kemudian, mereka mendakap tubuh satu sama lain tanda cinta yang semakin hangat bersemi.

" Wah, manis sekali begitu. Tetap aja di situ ya. Biar saya fotoin kalian. "

Pak Rahman sudah tersengih-sengih ketika menghalakan lensa kamera digital ke arah Elhan dan Hayyani. Tidak melepaskan peluang untuk merakamkan momen-momen indah pasangan muda itu di sebalik lensa kamera. Keduanya tersipu-sipu seketika ditangkap bermesraan.

Namun, mereka tidak menolak untuk bergambar setelah disuruh oleh Pak Rahman. Indah semua gambar mereka. Ada juga gambar candid yang diambil oleh Pak Rahman tanpa pengetahuan mereka, memaparkan kemesraan yang langsung tidak dibuat-buat.

Bolehlah dijadikan cebisan kenangan untuk mengingat kembali betapa gembiranya Elhan dan Hayyani bersama ketika mendulang masa hadapan nanti. Siapa tahu saat ini tidak akan kembali lagi. Sekurang-kurangnya masih tersemat dalam memori.

****

Hari ketiga, mereka bergerak pula menuju ke Mt. Bromo setelah hari pertama dan kedua dihabiskan di Ijen termasuk perjalanan ke Bromo pula.

Awal pagi lagi mereka sudah memulakan perjalanan demi mengejar keindahan matahari terbit berlatar belakangkan gunung Bromo. Berbanding membawa mereka ke Bukit Cinta Bromo dan Penanjakan, Pak Rahman membawa mereka ke King Kong Hill. Katanya pemandangan matahari terbit di situ jauh lebih cantik memandangkan semalamnya hujan juga tidak turun.

Benar kata Pak Rahman. Hari itu hari yang cerah jadi mereka dapat melihat pemandangan Gunung Bromo dengan jelas. Indah dan menawan sehingga tak terasa seperti berada di Indonesia. Ramai juga orang tempatan dan pelancong asing yang turut mengunjungi kawasan itu.

Sempatlah Elhan dan Hayyani bergambar di situ buat kenang-kenangan. Segan pula rasanya apabila Pak Rahman tak habis-habis mengusik mereka setiap kali mereka berpelukan dan berpegangan tangan. Katanya kemesraan yang ditonjolkan pasangan itu mengimbau kembali zaman muda ketika masih hangat bercinta dengan isterinya.

Perjalanan diteruskan lagi menuju ke kawasan kawah Mt. Bromo pula dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti Pasir Berbisik dan Gunung Widoraden. Puas bergambar di situ, Pak Rahman mencadangkan agar mereka menaiki kuda pula. Jadi, mereka menyewa sebuah kuda untuk ditunggang bersama-sama.

Sambil menunggang kuda yang bergerak perlahan di pinggir kawah itu, Hayyani tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Elhan. Swafoto pertama bersama suami katanya.

" Abang, pandang sini, " pinta Hayyani. Dia sudah bersedia untuk menangkap gambar apabila Elhan memandang ke arah kamera.

" Abang tengok sini. Satu, dua, tiga... "

Ketika punat capture ditekan oleh Hayyani, tiba-tiba dia merasakan pipinya dicium oleh Elhan. Hayyani tersenyum sipu memandang Elhan yang berwajah selamba itu. Disuruh pandang kamera tapi pipinya pula yang dicium. Lantaran itu, terdengar tawa mesra mereka melihat gambar candid itu bersama.

" Abang Haris mesti jealous kalau dia tengok semua ni. Dulu masa Daneen pergi Istanbul pun abang Haris jealous jugak. Dia tu sibuk aje bekerja sampai takde masa nak bercuti. "

Elhan menguntum senyum mendengar isterinya bercerita sambil melihat isi kandungan galeri gambar yang diambil sepanjang di Bromo.

" Which part of Istanbul yang sayang suka sangat? " tanya Elhan sambil tangannya tenang mengemudi arah kuda berjalan.

Hayyani berjeda sejenak sambil memikirkan sesuatu.

" Sejarah Istanbul. Istanbul kaya dengan sejarah sebab tu Daneen suka Istanbul. Tapi kalau dekat sini, Daneen dapat rasakan kecantikan alam semula jadi pula. Daneen suka dua-dua. "

Mahu saja dia menjerit sekuat hati pada saat ini biar satu alam mendengar bahawa dia memang suka mengembara melihat ketamadunan bangsa lain dan keindahan negara mereka. Itulah impian yang dia miliki sebagai seorang pelukis, melihat dunia dan mencari inspirasi. Apabila sokongan Elhan selama ini memihak kepadanya juga, dia berasa seolah jagat raya ini miliknya seorang.

" So let's put it into a nutshell. Sayang lagi suka Bromo atau Istanbul? " soal Elhan lagi. Sebenarnya dia saja nak menguji jawapan bagaimana yang akan Hayyani berikan.

" Bromo. Sebab dekat sini ada kenangan dengan abang, " jawab Hayyani dengan sepenuh hati.

Istanbul memiliki memorinya yang tersendiri dan masih tersimpan kemas dalam galeri ingatan. Tapi, Bromo. Bromo juga istimewa kerana bulan madu mereka kali ini diraikan dengan cinta yang telah mula mengikat erat dua buah jiwa. Satu kenangan indah yang terlakar bersaksikan alam semesta berharap menjadi asbab ikatan cinta mereka kian mekar.

Elhan senyum senang dengan jawapan yang meluncur dari mulut isterinya. Tangannya melingkari pinggang Hayyani lalu kepala Hayyani yang bertudung dikucup dengan penuh kasih sayang.

" Abang janji, selagi abang bernyawa dekat bumi ni, sayang akan tengok setiap inci kecantikan dunia ni dengan abang. To more adventures with you, sayang. "

" And to more unforgettable memories with you abang, " balas Hayyani penuh makna. Pelukan antara mereka dieratkan lagi.

Hanya Tuhan saja tahu betapa di dalam hati keduanya terkandung rasa bahagia yang tidak bertepi. Sukar bibir mengungkap kata tentang apa yang dirasa. Cuma berharap alam mengaminkan doa mereka untuk bahagia bersama-sama sehingga ke hujung nyawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience