Sepanjang perjalanan pulang, Hayyani banyak membisukan diri meskipun Elhan cuba untuk menghidupkan suasana. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Penyudahnya, hanya suara radio yang dibiarkan berkumandang mengisi kesunyian mereka. Elhan fokus memandu manakala Hayyani selesa membuang pandang ke luar tingkap sambil termenung sehinggalah saat kereta Mercedes hitam itu menjalar masuk ke perkarangan garaj rumah.
Sebaik saja enjin dimatikan, Hayyani meluru keluar dari perut kereta. Gugusan kunci rumah miliknya dikeluarkan daripada tas tangan untuk membuka pintu utama. Belum sempat pun membuka, Elhan melelar tangannya menghentikan tindakan.
" Sayang, tunggulah kejap. Kenapa ni? Abang ada buat salah lagi?" soal Elhan yang tidak mengerti. Dia perlu menyelidik apa yang tidak kena dengan Hayyani.
" Takde. Daneen cuma letih, " dalih Hayyani dengan ekspresi wajah yang beku. Kunci diacukan sekali lagi dalam lubang kunci. Untuk apa bercakap soal pertemuan mereka dengan Farhan tadi kalau itu hanya akan menggugat perasaannya.
Elhan hembus nafas kasar. Semakin tidak faham dengan sikap acuh tidak acuh isterinya. Tubuh Hayyani dihadapkan supaya berdepan tubuhnya semula.
" Jangan bohong abang. Mesti ada sesuatu yang tak kena. Kenapa ni? Cerita dekat abang." Elhan berkeras hendak tahu. Dia yakin ada sesuatu yang mencetuskan kemarahan Hayyani. Kalau tidak masakan angin isterinya berubah kencang tiba-tiba.
Hayyani mendengus lemah. Dia melepaskan tangannya daripada pegangan Elhan. Renungannya terhadap sang suami menjadi runcing.
" Sejak bila abang jadi peramah sangat dengan semua orang? Mana pergi sikap abang yang suka jaga standard tu? Memang semua orang yang abang jumpa perlu abang tegur ke?" soal Hayyani bertubi-tubi. Turun naik dadanya seolah puas dapat melampiaskan rasa sebal yang menjalar di hati.
" Ya Allah, sayang. Abang terserempak dengan Mr. Farhan dekat kedai bunga. Dia yang tegur abang dulu. Jadi abang berbual macam biasa dengan dia. Abang pun bukannya suka menyibuk hal orang sangat, sayang. Kenapa marah-marah ni? "
Lembut saja suara Elhan ketika melontarkan pertanyaan. Dia mesti kekal tenang demi menyurutkan salah faham Hayyani. Lagipun sedikit sebanyak dia turut akui kesalahannya. Mengajak orang asing makan bersama sedangkan isterinya mungkin tidak selesa.
Kali ini ketegangan di wajah Hayyani mula mengendur. Tersentuh dengan budi bicara suaminya. Mungkin memang benar pertemuan suaminya dan Farhan adalah kebetulan dan tidak disengajakan.
" Lain kali abang ingat, kalau ada orang asing cuba tegur abang tolong jangan layan. Kadang-kadang bila nak bermesra mesti ada batasnya. Abang jangan bagi muka sangat dekat orang tak dikenali boleh tak. Abang tak tahu niat dia orang. Kita ni rambut aje hitam tapi hati lain-lain, " ujar Hayyani tegas memberikan peringatan.
Kalau mereka tidak bertemu tadi tidak mungkin emosinya akan terusik begini. Takut, bimbang, gementar semuanya memainkan peranan. Dan pada masa yang sama dia juga rasa bersalah terhadap Elhan yang tidak mengetahui apa-apa tentang dia dan Farhan. Sungguh, dia tiada niat untuk mempermainkan suaminya namun keadaan makin memaksa.
Lengan kemeja berona kelabu yang tersarung di tubuh disingsing hingga ke paras siku. Kemudian, Elhan hembus nafas berat dan mengangguk sambil menatap wajah muram Hayyani.
" Baik, abang faham apa yang sayang cuba sampaikan. Tadi tu, Mr. Farhan dah tolong abang pilihkan bunga jadi abang belanja dia minum sebagai balasan. Benda tu simple aje sayang, " jelas Elhan ringkas.
Hayyani menyilangkan tangannya. Lalu dia menggeleng tanda tak setuju.
" Tak semua benda abang boleh anggap mudah. Kadang-kadang sebab benda mudah tu masalah rumit boleh jadi. Buatnya dia ada niat jahat macam mana, " cetus Hayyani melahirkan kegusarannya.
Kalau dia perlu jujur tentang perasaannya memang dia akui dia amat takut andai kisah antara dia dan Farhan akan tersingkap. Tekad telah dibulatkan bahawa dia akan membuang segalanya tentang Farhan demi janji dan taat setianya kepada Elhan. Namun setiap kali dia mencuba, ada saja perkara yang terjadi.
Elhan meraup kasar wajahnya. Tangan kanan Hayyani diraih lalu dikucup kejap. Tersentuh hati Hayyani melihat keikhlasan dari dalam mata Elhan saat merenung matanya.
" Okey, abang minta maaf. Abang tahu awak marah sebab abang ajak dia duduk semeja dengan kita tadi. Mungkin sayang tak selesa. Tapi, abang yakin abang takkan jumpa dia lagi sebab lagi 2 bulan dia nak balik ke Istanbul. Kita stop sampai sini aje. Ermm? " pujuk Elhan dengan sebaik dan selembut bicara. Lebih baik dia mencapai kata akhir bagi pertikaian ini. Lagipun dia dan Hayyani baru saja hendak berbaik-baik.
Walaupun pada hematnya Farhan adalah lelaki yang baik namun dia tidak menafikan kata-kata Hayyani ada betulnya juga. Tidak cukup sehari untuk mengenali peribadi seseorang sedalam-dalamnya. Naluri seorang wanita lebih tepat.
" Abang ada ambil kad bisnes dia tadi, kan? " Hayyani menyoal tanpa niat untuk membalas ucapan Elhan tadi.
Melihat si isteri menadah tangan, Elhan akur dengan isyarat itu. Dompet dari kocek belakang seluarnya dikeluarkan. Kemudian, kad perniagaan milik Farhan yang terselit di dalamnya dikeluarkan lalu ditunjukkan kepada Hayyani.
" Haah. Yang ni. "
Tanpa banyak soal lagi, Hayyani segera mengambil kad perniagaan dari tangan Elhan lalu dikoyakkan sehingga menjadi cebisan kecil. Kepingan itu kemudiannya dikonyokkan dan dicampak ke atas lantai. Terpampang wajah puas Hayyani setelah berbuat demikian.
" Sayang... " Elhan terkedu menyaksikan adegan itu. Begitu sekali Hayyani marahkannya sehingga sanggup bertindak begini.
" Bagi business card tu sama aje dengan harapan untuk jumpa lagi. Cukuplah setakat tadi aje pertemuan kita dengan dia. Daneen tak nak abang jumpa dia lagi," kata Hayyani dengan sepenuh perasaan.
Langkah kaki diayun pergi sebelum bayangnya menghilang di sebalik daun pintu. Membiarkan Elhan yang jelas masih terpempan di situ. Daneen ada alasan kenapa Daneen tergamak buat semua ini abang. Tolong maafkan Daneen!
****
Nada dering yang semakin membingitkan suasana sunyi menyebabkan Jasmine terjaga. Terpisat-pisat dia membuka mata dan meraba-raba meja di sisi katilnya untuk menggapai telefon bimbit. Sebaik saja dia melihat nama pemanggil matanya terus segar bugar.
Badannya disandarkan pada kepala katil. Mata yang masih kelabu diganyah lembut. Rambut ikalnya pula disebak dan diraup ke belakang. Dia berdeham bagi mengosongkan tekak sebelum meleret skrin untuk menjawab panggilan.
" Hah, ada apa you call I?" soal Jasmine sambil tersenyum sipu sendirian. Entah mengapa dia rasa teruja mendapat panggilan daripada Elhan pada waktu-waktu begini. Mungkin rasa rindu setelah lama tidak berjumpa oleh kerana masing-masing ditenggelami kesibukan bekerja kebelakangan ini.
" Jasmine, macam mana nak masak tofu egg sandwich yang you selalu buatkan untuk I tu?" tanya Elhan di hujung talian.
Telefonnya dikepitkan antara bahu dan telinga sementara tangannya sibuk memegang sudip untuk mengacau telur hancur di dalam kuali. Tidak termasuk kali ini sudah beberapa kali juga dia menyebabkan telur hangus. Memasak bukan senang rupanya.
" You call I pukul 5 pagi semata-mata nak tanya pasal tu? Manusia semua tengah sibuk buat tahi mata lagi. I ni pun mamai tak hilang lagi tau. " Jasmine seakan tak percaya. Panggilan pada awal pagi demi sebuah resepi saja. Elhan memang semakin pelik.
Elhan tersengih-sengih sendiri. Terpaksalah dia menebalkan muka meminta resepi daripada Jasmine. Sandwich yang selalu Jasmine bekalkan untuknya setiap hari isnin masih menjadi kegemaran. Boleh dikatakan hari isnin adalah hari yang paling ditunggu-tunggunya setiap minggu.
" Sorry, I tahu timing tak kena. Tadi I ada jugak cari resepi dekat Google. Tapi I buat tak menjadi langsung. I ingatkan pegang pisau bedah sama aje macam pegang pisau memasak. Tapi memasak ni lagi susah rupanya. You punya sandwich tetap terpaling sedap."
Mendengar omelan dan pujian Elhan, Jasmine ketawa sendiri. Kalau ada permintaan istimewa daripada Elhan, mulalah temannya itu buat suara manja. Mengada-ngada betul.
" Eleh, bodeklah tu. Esok hari rabu so no sandwich, " kata Jasmine dalam nada gurau. Sesekali dia terdengar latar bunyi terkontang kanting di hujung talian. Dahinya berkerut halus. Ada peperangan dekat dapur ke apa ni.
Elhan mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya. Dia tersenyum puas selepas telur hancur yang digoreng akhirnya menjadi. Api dimatikan dan dia menceduk telur ke dalam pinggan. Tiba-tiba, dia terfikir satu soalan.
" Dah lama I nak tanya. Kenapa sandwich tofu egg tu cuma available hari isnin aje? Hari yang lain takde jual stok telur ke?"
Jasmine ketawa mendengar jenaka spontan dari soalan Elhan.
" Bukanlah. Sebab hari isnin boyfriend I suka makan sandwich aje. Supaya berkurang sikit sindrom monday blues, " jawab Jasmine bersahaja.
Pandailah dia mereka cerita. Boyfriend? Dia sendiri tidak terbuka hati untuk berjanji temu dengan mana-mana lelaki sekarang. Kalau ada yang cuba mencucuk jarum pun terlebih dahulu dia mengatakan status not available dirinya. You ajelah Elhan boyfriend dalam mimpi yang I ada.
Elhan mencebik. " Ada pulak macam tu. Cakap dengan dia jangan mengada-ngada sangat. Orang lain pun monday blues jugak. Patutlah sandwich I selalu tak cukup. You bagi orang lain rupanya. "
" Dia boyfriend I. Mestilah I utamakan dia. You kan dah ada Daneen. " Jasmine tersipu-sipu. Dia tahu Elhan akan melenting apabila dia sebut soal itu. Cemburu jugak rupanya!
Kali ini senyuman di bibir Elhan perlahan-lahan mengendur. Pisau di tangan kembali diletakkan atas papan pemotong. Dia tiba-tiba terfikirkan sesuatu.
" I tak boleh bayangkan nanti bila you dengan lelaki lain. Mesti you bagi dia layanan first class. You manjakan dia. You pujuk dia bila dia mengadu tentang masalah. Kalau you kahwin nanti mesti kita tak rapat macam dulu, kan..." ujar Elhan kedengaran sebak.
Selama ini dia menganggap Jasmine adalah sandaran yang menjadi keselesaan terbesarnya. Tempat dia bergantung harap dan mengadu. Jasmine selalu melayaninya dengan baik dan penuh kasih sayang apatah lagi nanti apabila Jasmine bersama dengan kekasihnya. Pasti layanan yang diterima akan lebih istimewa.
" Memang itulah tujuan manusia berpasangan. Saling menghormati, pujuk memujuk, sayang menyayangi. That's normal, Elhan. Lagipun, I takkan pernah lupakan you walaupun lepas kahwin nanti. So, don't worry okay. Kenapa you emosional sangat pagi-pagi ni? " Jasmine diterpa kehairanan. Suara dan mood Elhan terus berubah apabila mereka berbual soal itu.
Buat seketika tiada jawapan kedengaran, Jasmine menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Masih dalam talian. Pelik mengapa Elhan tiba-tiba tidak bersuara.
" I cuma... takde apalah," dalih Elhan mendatar. Suasana terasa canggung sekejap.
Entah mengapa dia merasakan ada bahang cemburu di dalam hatinya. Manalah tahu kalau memang benar Jasmine ada keluar dengan seseorang di luar pengetahuannya. Dia tidak gemar Jasmine memberikan keutamaan dan perhatian kepada lelaki lain. Tapi, dalam masa yang sama dia tahu dia tidak berhak untuk menghalang Jasmine berbuat demikian.
" Kalau macam tu you share la resepi. I tengah siapkan breakfast untuk Daneen. Selalunya I dengan Daneen bangun sama-sama tapi hari ni I nak bangun awal sikit. Bolehlah prepare breakfast. " Elhan mengalihkan paksi perbualan dengan suara yang cuba diceriakan. Dia kembali memegang pisau lalu roti sandwich dipotong mengikut bentuk segi tiga.
" Husband material lah you ni. Bangun pagi buat sarapan untuk wife, " puji Jasmine. Dia juga seperti Elhan cuba berpura-pura tiada apa yang dibualkan tadi. Padahal dalam hatinya merasakan sesuatu perasaan yang halus dapat diserap daripada kata-kata Elhan tadi.
" Nanti I buatkan lebih untuk you. I tahu you dah terliur sekarang," seloroh Elhan kemudian dia tergelak sendiri.
Jasmine mencebik. " Perasannya. Pakai resepi I tapi nak buat I jealous. Okeylah, nanti I sms you senarai bahan dan cara buat. Don't spam call lagi tau. Bye, I letak dulu. "
Panggilan ditamatkan beberapa saat selepas itu. Kedua-duanya ditinggalkan dalam satu perasaan aneh. Satu panggilan yang membuka mata Jasmine dan Elhan untuk menyedari tentang sesuatu yang tersirat di antara mereka. Tapi perasaan itu cuma dibiarkan tergantung saja.
Akhirnya, sandwich tofu egg berjaya disiapkan berkat bimbingan Jasmine. Selepas mandi dan solat subuh, Elhan terus bersiap untuk pergi bekerja. Sewaktu hendak meninggalkan bilik, matanya tertancap pada sekujur tubuh Hayyani yang pegun di atas katil. Kebetulan memang sudah 3 hari Hayyani datang bulan jadi dia membiarkan saja isterinya itu terus tertidur.
Langkah diderap berhati-hati merapati si isteri yang masih lena diulit mimpi. Rambut yang menutupi sebahagian wajah Hayyani diselak perlahan. Kemudian, dahi Hayyani dikucupnya penuh kasih. Sandwich dan segelas susu putih di dalam dulang yang diletakkan atas meja di sisi katil dikerling sekilas. Berharap Hayyani akan menyukai sarapan tanda berdamai yang disediakannya tadi.
Comforter dibetulkan biar menutupi seluruh tubuh Hayyani. Dengan perlahan dan penuh berhati-hati dia mendaratkan sebuah ciuman pada dahi Hayyani sebelum meninggalkan kamar itu. Sebaik saja pintu dikatup, Hayyani membuka mata.
Pandangannya jatuh pula pada dulang makanan di meja sisi. Sekeping nota yang dilekatkan bersama menarik perhatian. Lantas, dia menegakkan tubuhnya dan membaca nota itu.
Dear lovely wife,
Forgive me. I'm not perfect but I'm trying to be better.
Sincerely,
Your loving husband.
Nota itu cukup ringkas dan mudah tetapi mampu membocorkan empangan air mata Hayyani. Sebak yang mengasak dada tidak dapat dibendung lagi. Semakin hebat kasih sayang Elhan curahkan kepadanya, semakin parah kekesalan yang dirasakannya.
Esakan yang mulanya perlahan kian mendayu-dayu. Mengesali dirinya yang tega mengkhianati Elhan yang terlalu sempurna buatnya. Walaupun bukan dia minta untuk merasakan begitu.
Nota itu diletakkan pada telapak tangan, dicium dan kemudian dia bawa ke dada. Hari ini, Hayyani sedar bahawa dia takkan mampu untuk memperlakukan Elhan dengan kejam lagi biarpun dia harus meneruskan hidup di dalam mati. Kalau saja waktu itu, aku tak berjumpa dirinya...
Share this novel