Bab 82

Romance Completed 15392

Datin Rozana menggeleng kepalanya melihat tindak tanduk Jasmine yang kelihatan gelisah dari tadi. Merata tempat di dalam rumah itu telah diselongkarnya bagai mencari sesuatu. Sehinggakan fokusnya untuk mengait pakaian turut terganggu.

" Jas cari apa? "

Jasmine tersengih. Dia sedar tindak tanduknya telah mengalihkan minat mummy tanpa sengaja.

" Cari diari Jas. Selalunya ada aje dalam beg ni. Tiba-tiba hari ni boleh ghaib pulak. "

Beg tangan berjenama miliknya diselongkar lagi. Semua barang habis dipunggah namun kelibat diari berwarna coklat itu tidak juga ditemui. Pelik, ke mana hilang pulak ni?

" Dah cuba cari dekat hospital? " tanya Datin Rozana sekadar memberi saranan.

Jasmine mengangguk. " Dah. Tak jumpa jugak. Jas memang ingat Jas selalu bawak ke mana-mana. "

Setelah lelah mencari, Jasmine melabuhkan duduknya di sofa empuk ruang tamu besar itu. Belakangnya disandarkan selesa sambil membetulkan nafas. Sedang dia memikirkan kemungkinan lokasi diari itu berada, tiba-tiba dia teringatkan hari ketika dia makan bersama-sama di rumah Elhan.

Terus tangannya naik mengetuk kepala. Ya Allah! Mesti aku tertinggal dekat sana waktu Aisyah minta kertas untuk melukis sesuatu. Bahaya kalau orang lain yang jumpa. Aku mesti pergi jugak.

Segera dia memanjat tangga ke tingkat atas dan menukar pakaian. Datin Rozana yang melihat semakin kehairanan.

" Hah, nak pergi mana pulak tergesa-gesa ni?" tanya Datin Rozana apabila melihat Jasmine turun seperti hendak cepat selepas beberapa minit.

" Jas rasa Jas dah tahu diari tu dekat mana," jawab Jasmine. Dia memasukkan kembali barangan yang diselongkar tadi ke dalam beg tangannya.

Datin Rozana menggeleng seraya mengeluh lemah. Jasmine yang dikenalinya tidak pernah cuai mahupun terleka. Sejak pemergian Aisyah, anaknya kelihatan tidak tentu arah sikit. Saban malam dan siang wajah itulah yang ditatapnya sehari-hari. Mahu sasau dibuatnya sementara membiasakan diri dengan pemergian Aisyah.

" Jangan dedahkan isi dalam diari tu pada sesiapa. Susah nanti. Keep it to yourself. Sebab tulah, diari jangan bawak merata-rata," nasihat Datin Rozana buat Jasmine tersengih-sengih. Memang dia yang tak mendengar kata. Bila dah hilang menggelabah pula dibuatnya.

" Jas ingat mummy. Thank you. " Mummy seakan tahu isi cerita di dalam diarinya walaupun dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa.

Sekilas jam dinding dikerlingnya. Baru pukul 5 petang. Elhan mesti belum balik rumah. Lebih baik aku cepat. Desisnya sendiri.

Lekas dia melutut di hadapan Datin Rozana yang berkerusi roda. Tangan tua itu dikucupnya penuh hormat. Baru saja ingin pergi, tindakan mummy yang menggenggam jemarinya erat membuatkan dia terpaksa akur untuk kekal di situ sekejap.

" Jas dah fikirkan masak-masak sebelum kita pergi nanti? "

Soalan yang sudah beberapa kali menerjah gegendang telinga. Jasmine terus mengangguk yakin sambil tersenyum.

" Dah mummy. Lama dah Jas fikir pasal ni. Kali ni, Jas tak teragak-agak lagi. Aisyah pun dah tinggalkan Jas. Mummy tak sedih ke tengok Jas asyik kena tinggal aje? " soal Jasmine seraya tayang wajah kasihan.

Walaupun nada suaranya seakan bergurau namun Datin Rozana tahu, Jasmine benar-benar sedih. Pipi mulus si anak gadis diusap penuh kasih. Mata tuanya merenung dengan kasih sayang yang di dalamnya tiada kepuraaan mahupun keterpaksaan.

" Siapa kata mummy tak sedih. Mummy sedih sebab hilang cucu. Walaupun Aisyah bukan cucu kandung mummy, tapi mummy dah anggap Aisyah macam cucu sendiri. Tapi takpelah, takdir tak tertulis ikut kehendak kita. Allah maha tahu segala-galanya. Jangan risau. Mummy ada dengan Jas. "

Demi mendengar kata-kata Datin Rozana, hati Jasmine dipeluk damai kembali. Tangan mummy dicium berkali-kali kemudian tubuh sederhana itu didakapnya erat. Bersyukur dia masih punya seorang ibu yang penyayang dan menyokong setiap impiannya.

" Thank you mummy. I love you," ungkap Jasmine dengan sebaris senyuman manis di bibir merahnya. Pipi Datin Rozana dicium sesekali.

" Apa pun, bila kita nak pergi? " Datin Rozana bertanya lagi. Pelukan antara mereka dirungkaikan.

Kali ini Jasmine berdiam sejenak. Barangkali sedang memikirkan jawapan paling tepat.

" Secepat mungkin? "

Itu saja jawapan ragu yang mampu Jasmine suakan kepada mummy. Sejujurnya, dia masih berbelah bahagi dengan keputusannya lebih-lebih lagi Elhan baru saja merasai kehilangan Aisyah. Dia tidak mahu meluaskan lagi rasa kekosongan itu. Hanya masa saja yang menentukan segala.

****

Ketika Jasmine tiba di rumah teres dua tingkat itu, dia disambut oleh Hayyani. Sebenarnya, dia menyatakan niat hanya untuk singgah sebentar saja. Tetapi disebabkan Hayyani berkeras meminta dia duduk dan menjamah minuman dahulu, Jasmine terpaksa turutkan.

" Jemputlah minum," pelawa Hayyani sambil menuangkan teh panas ke dalam secangkir cawan. Lalu, minuman itu diletakkan dengan penuh cermat di hadapan Jasmine.

" Thank you. Sorry sebab datang tak bagitau. Elhan belum balik ke? " tanya Jasmine sekadar berbasa basi. Padahal dia sudah tahu Elhan tiada di rumah memandangkan kereta Mercedes yang biasa dipandu lelaki itu tiada di perkarangan garaj.

Hayyani melabuhkan duduk di sofa berhadapan Jasmine.

" Elhan nak uruskan sijil kematian Aisyah. Sekejap lagi baliklah tu, " jawab Hayyani dengan nada yang dingin. Ada sesuatu yang mencurigakan tentang senyuman dan pandangannya kepada Jasmine. Seolah-olah ada makna tersirat yang penuh misteri.

Jasmine mengangguk kecil. Sesekali, dia menyisip sedikit demi sedikit air teh yang dihidang.

" Baru-baru ni Elhan banyak mengelak dari I. Call dengan SMS I pun dia abaikan. Bila terserempak dekat hospital dia buat tak tahu aje. Macam I ni tak wujud depan mata. You tahu apa-apa tak? Mungkin ada masalah lain yang I tak tahu. " Soal Jasmine bukti keresahannya semakin melapah jiwa.

Elhan terus melayannya dingin baru-baru ini. Sudah banyak cara dia lakukan demi mendapatkan jawapan namun Elhan berterusan mengelak. Sedikit sebanyak dia berkecil hati dengan layanan Elhan yang telah berjanji untuk berterus terang sekiranya ada masalah.

" Macam mana saya nak tahu? Saya bukan Elhan. Lagipun, dia tak pernah ceritakan apa-apa pada saya pasal awak," balas Hayyani tanpa riak. Dia duduk bersandar pula. Manakala, tangannya disilangkan sambil memandang Jasmine dengan renungan asing.

Jasmine terkesima sebentar namun situasi itu tidak menghalangnya untuk terus bersikap tenang. Siapa jangka jawapan sebegitu boleh terpacul dari bibir Hayyani yang selama ini cukup mesra dengannya. Jasmine cuba bersangka baik. Mungkin rumah tangga mereka sedang bergolak.

" Ohh... takpelah. Err... Daneen, I nak tanya you in case you ada nampak tak barang I tertinggal dekat sini. Ada tak? " soal Jasmine tentang niat sebenar dia ke mari.

Tiba-tiba, telefon bimbit miliknya berbunyi nyaring dari dalam beg tangan. Lekas, tangan Jasmine mengagau dan mencapai telefon bimbit itu.

" Excuse me. " Jasmine meminta diri untuk bercakap di telefon. Selang beberapa saat kemudian, dia kembali menemui Hayyani.

" Daneen, I datang lain kali. I nak pergi satu tempat ni. Urgent," pamit Jasmine kelihatan cemas. Lekas, dia mengemas beg tangannya di atas meja kopi lalu disangkutkan pada bahu.

" Kenapa tergesa-gesa nak pergi? Bukan awak tengah cari benda ni ke? " soal Hayyani dengan nada sarkastik. Diari berlitup kulit itu ditayangkan di depan Jasmine.

" Ya Allah! Nasib baik you jumpa. Thank you Daneen. Banyak sangat benda penting dalam ni. Thank you so much. " Tanpa berlengah, Jasmine menyambut diari miliknya lalu dicium berkali-kali sebelum disimpan ke dalam beg tangan. Wajahnya seolah benar-benar gembira dan lega.

Namun tidak bagi Hayyani yang sudah berdiri dan berpeluk tubuh. Ada senyuman sinis yang tersungging di bibir cantik itu.

" Mestilah awak berterima kasih. Sebab kalau Elhan yang jumpa saya rasa awak takkan berani jumpa dia lagi," ujar Hayyani spontan.

Perlahan-lahan, senyuman di wajah Jasmine mengendur. Dia faham maksud tersirat di sebalik kata-kata itu. Jujur hatinya mula rasa tidak sedap sedari awal berjumpa Hayyani. Entah, entah...

" Y... yo... you dah baca diari I? " Tergagap-gagap suara Jasmine bertanya. Jantungnya mula berlari kencang lebih-lebih lagi apabila melihat pemilik wajah yang bertukar bengis di hadapannya itu.

" Saya faham saya tak patut menggeledah barang peribadi orang lain sesuka hati. Lebih-lebih lagi diari. Mulanya, saya berniat nak tengok muka surat pertama aje. Itu pun untuk saya kenal pasti siapa pemilik diari ni. Tapi saya jadi berminat untuk teruskan baca sebab nama suami saya ada dalam tu sampai muka surat terakhir, " terang Hayyani dengan pandangan mata tajam.

Diari itu ditemukannya ketika dia mengemas ruang tamu semalam. Pada mulanya dia berniat untuk mengabaikan saja namun seperti ada sesuatu yang terus memanggilnya untuk menyelak isi diari itu. Betapa remuk hatinya ditambah rasa kecewa mengetahui rahsia wanita itu selama ini.

Jasmine bagai hilang arah ketika ini. Wajahnya jadi pucat tak berdarah. Rahsia yang diperamnya selama ini telah diketahui. Lebih teruk lagi oleh Hayyani sendiri.

" Daneen, I can explain to you. Ini semua bukan macam apa yang you fikirkan. I can guarantee. Cuma... " Jasmine cuba menjelaskan. Tangan Hayyani diraih namun wanita itu terus merentap kasar pegangannya.

" Saya rasa diari awak dah ceritakan semua yang saya perlu tahu. Tak payah lagi bersusah payah nak beritahu saya. Saya nak tanya awak satu soalan. Kenapa awak tak berterus terang pada Elhan tentang perasaan awak sendiri? " soal Hayyani tanpa niat untuk berdalih. Hatinya begitu sakit ditimbus prasangka.

Semakin lebat air mata yang berjuraian dari tubir mata Jasmine. Bibirnya diketap kuat bersama mata yang dipejam rapat. Alang-alang sudah terdedah, apa guna dia terus berahsia.

" Sebab I takut Elhan akan jauhkan diri daripada I. I fikir kalau I tak boleh mendekati Elhan sebagai kekasih pun, I nak berada di sisi dia sebagai kawan. Lagipun, dari awal kami berkenalan, dia cuma anggap I kawan sampai ke akhirnya. Apa hak I untuk hancurkan sempadan yang Elhan dah tetapkan? " ratap Jasmine sayu.

Dada Hayyani berombak kasar. Pernyataan itu meluluh hiba hatinya.

" Awak ingat apa yang saya rasa bila awak cintakan suami saya? Patutkah saya rasa cemburu bila awak ada hati pada dia? Ataupun saya patut rasa bersalah sebab jadi penghalang antara awak dengan Elhan? " Berkali-kali Hayyani melontarkan soalan. Sekadar untuk menguji sejauh mana perasaan wanita itu buat suaminya.

Jasmine berterusan menggeleng kepala.

" Semua salah I, Daneen. Kalaulah dulu I tahan diri I daripada jatuh cinta dengan Elhan keadaan kita takkan jadi macam ni. Maafkan I Daneen. "

Hayyani memusing tubuhnya menghadap pemandangan luar rumah. Cuba ditelan air liur yang terasa berbatu. Hatinya libang libung mendengar jawapan Jasmine.

" Jatuh cinta bukan satu paksaan Jasmine. Tapi sebagai manusia biasa, saya pun ada perasaan sakit hati bila tahu awak cintakan suami saya, " luah Hayyani. Kemudian, tubuhnya kembali dihadapkan kepada Jasmine. Bahu wanita itu dicengkam kemas dengan mata yang sarat dengan kebencian.

" Apa yang patut saya buat? Patutkah saya bagitau Elhan pasal ni? " soal Hayyani dengan nada yang keras.

Serta merta Jasmine melutut di hadapan Hayyani. Sungguh dia takut dengan apa yang baru saja diperkatakan tadi.

" Jangan Daneen! Jangan! I merayu dekat you janganlah bagitau Elhan pasal ni. Kalau dia tahu, I dah tak bermakna apa-apa dalam hidup dia. Please, Daneen I merayu. " Bersungguh-sungguh Jasmine meminta. Mempertaruhkan seluruh jiwanya asalkan persahabatan antara dia dan Elhan tidak berakhir tragis. Dia takkan mampu berhadapan dengan Elhan lagi setelah rahsia ini didedahkan nanti.

" Sepanjang saya berkahwin dengan Elhan, hubungan kami saya anggap macam syurga. Takkan ada pemusnah yang datang mengetuk pintu rumah tangga kami untuk porak porandakan segalanya. Tapi saya silap, pemusnah tu dah lama ada dalam hubungan ni. Bagitau saya Jasmine. Perlukah saya keluar dari syurga sendiri demi kebahagiaan awak? " soal Hayyani dengan suara yang mula kedengaran lirih.

Merembes air mata kecewa yang dipendamnya sedari tadi. Kenyataan ini tanpa sedar telah meletakkannya di dalam dilema. Adakah Jasmine yang tidak sepatutnya berperasaan begitu atau sememangnya dia yang bersalah kerana merampas impian Jasmine untuk bersama Elhan.

Jasmine menggeleng rakus dengan wajah yang kebasahan dengan air mata. Telapak tangannya disatukan tanda merayu.

" No, no! You tak perlu mengalah demi I. I yang patut rasa bersalah. Perasaan I yang tak patut ada sejak dulu lagi. Tapi I tetap berdegil nak simpan semuanya dalam diari hati ni. I mintak maaf Daneen. Tolong, jangan pergi dari Elhan. "

Hayyani mendecit. " Kenapa? Sebab awak simpati dengan saya lepas saya dapat tahu rahsia awak? "

" I cuma tak nak Elhan kehilangan you. Sejak dulu, dia dah lama impikan nak bersama you. I tak nak tengok Elhan menderita kehilangan cinta pertama dia semata-mata sebab perasaan karut yang I ada. Daneen, I merayu dekat you jangan pergi dari Elhan. Cinta I pada Elhan cuma satu kisah dongeng yang takkan wujud dalam kisah you dengan dia. Please Daneen, I merayu... "

Dalam sedu sedannya, Jasmine merayu sepenuh hati. Tubuh Hayyani mengeras di situ biarpun air matanya terus luruh. Hatinya cukup sakit mendengar pujuk rayu itu. Walhal dia cuba menafikan bahawa kata-kata Jasmine sememangnya mercu cinta yang utuh buat Elhan.

" Setiap patah perkataan yang tertulis dalam diari, saya dapat rasakan cinta awak yang kuat. Ada macam-macam perasaan yang saya rasa. Tapi apa yang saya tahu, perasaan saya pada Elhan pun belum sampai ke tahap tu. Saya faham, mencintai dalam diam sangat sakit. Tapi awak rasa antara awak dengan saya siapa yang lebih patut rasa kecewa? Siapa Jasmine? " soal Hayyani sedih suaranya.

Adakah ini karma baginya yang tega mencintai lelaki selain Elhan. Mengapa semua ini berlaku setelah dia memutuskan untuk memilih Elhan. Soalan itu terus berlegar-legar di benaknya saat ini.

" I janji Daneen. I janji dengan you yang I takkan dekati Elhan lagi walaupun sebagai kawan biasa. I takkan tinggalkan jejak dekat sini lagi dan pergi jauh dari dia. "

" Macam mana saya nak percaya janji awak? Sebelum ni, walaupun awak cuma pening kepala, Elhan sanggup datang pada awak tinggalkan saya seorang. Inikan pulak bila awak nak pergi. Firasat saya sejak awal tak pernah salah. Awak memang ada hati dengan Elhan."

Apabila teringat kembali momen-momen mesra Elhan dan Jasmine di depan mata, hatinya semakin dicengkam pedih. Memang tidak salah andaiannya dahulu. Jasmine menganggap Elhan lebih dari sahabat.

" I jamin Elhan takkan dapat cari I. Lagipun, I memang nak pergi jauh dari sini. You jangan risau, I dah takkan kacau hidup you dengan Elhan lagi. I janji. Cuma I mintak satu perkara aje. Tolonglah rahsiakan semua ni daripada Elhan. I merayu dekat you. Please, kesiankan I Daneen? " Jasmine terus sedaya upaya melakar sumpah. Sungguh pun hatinya pedih untuk menerima pengakhiran begini. Namun, dia harus bersedia memikul takdir ini demi masa depan pasangan itu.

Sedikit sebanyak usaha Jasmine membekas di hatinya. Hayyani menghembus nafas kuat sebelum berbicara lagi.

" Baiklah. Rahsia ni cuma antara kita aje. Lagi satu, kalau awak nak saya maafkan awak tolong jangan toleh belakang lagi. Pergi jauh dari Elhan," ujar Hayyani dengan tegas meletakkan syarat. Memandangkan Jasmine sudah memperlihatkan banyak sisi baik kepadanya, dia tidak tega untuk memperlakukan wanita itu dengan kejam. Namun, dia juga tidak sanggup melihat wanita itu dekat dengan suaminya lagi.

Terukir sebaris senyuman duka dan bahagia di bibir Jasmine. Duka kerana harus terpisah dengan pujaan hatinya selama ini. Manakala bahagia, kerana pergi adalah satu-satunya perkara yang boleh dilakukan demi menebus semua ini.

" Thank you Daneen. Thank you so much. "

" Dari mana awak masuk tadi, keluarlah ikut pintu yang sama. Maaf, saya tak boleh hantar awak. " Tanpa sedikit pun memandang wajah Jasmine, Hayyani melafazkan perkataan itu.

Jasmine bangun seraya menyapu bersih air matanya. Dengan senyuman hiba, dia melangkah pergi meninggalkan insan yang bakal menjadi kisah silamnya. Sudah tiba masa, untuk dia pergi jauh selamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience