1.

Romance Completed 16346

Bunyi binatang hutan yang saling bersahutan kedengaran kuat di belakang rumah membuatkan Anderson semakin jauh mengelamun. Malam yang terasa panas membuatkan Anderson ambil keputusan untuk berbaring di buaian kain yang diikat pada dahan pokok dan tiang rumah.

Kebiasaannya jika tidak duduk lepak di gerai yang selang tiga buah rumah dari rumahnya, dia lebih gemar duduk di beranda rumah sambil melakukan kerja onlinenya.

Dengan satu kakinya mencapai tanah, Anderson mengoyang buaian kain itu. Buaian kain itu sudah berpuluh kali bertukar baru. Sudah koyak atau sudah buruk tetap akan diganti dengan buaian yang baru. Terasa seoerti kurang jika tiada buaian kain di situ. Tempat kegemaran arwah datuknya berehat petang hari. Nanti bila datuknya sudah baring di sana, Anderson akan ambil peluang untuk bermain basikal manakala neneknya akan menyapu dedaun kering lalu dibakar.

Sesekali senyuman mekar pada bibirnya. Terlalu banyak kenangan yang bermain dalam fikirannya. Sekelilingnya itu terlalu nostalgia bagi dirinya. Begitu juga dengan pokok yang ada di depannya itu, salah satu saksi kehidupan Anderson. Dari seorang anak yatim piatu yang dijaga oleh datuk nenek kini menjadi sebatang kara. Tiada adik beradik malah tiada pak cik dan mak cik untuk dipanggil keluarga.

Ayahnya anak tunggal yang menjadi harapan keluarga tapi dia bersama isterinya jugalah yang dulu meninggalkan keluarga kecil itu. Hanya mengharapkan kasih sayang dan perhatian dari warga kampung dan saudara mara jauhnya, Anderson tetap meneruskan hidup tanpa menyusahkan orang lain.

"Son! Hoi, Son!"

Jeritan kuat itu mematikan lamunan Anderson. Pantas pandangannya ditujukan ke arah suara yang memanggilnya.

"Zel! Bila balik? Tak cakap pun?" Anderson bangun dari baringannya sambil tersenggih-senggih.

"Lah nak bagitahu awak untuk apa? Apa awak yang jaga kampung ni, tulis nama orang keluar masuk?" Usik Denzel berjalan mendekati Anderson lalu duduk di atas anak tangga beranda rumah.

"Beritahulah awal lain kali, boleh saya sediakan benda sedap sikit pakai kita lepak." Balas Anderson kembali duduk atas buaian kain tadi.

"Saya baru sampailah Son. Mandi pun belum. Keluar dari kereta terus ke sini. Nak bagitau, esok bangun awal, kita pergi breakfast."

"Sedap lagi kalau saya yang masak." Anderson menjungkit kening berapa kali.

"Yang itu nanti-nantilah. Saya cuti enam bulan, banyak masa untuk merasa masakan awak."

"Lamanya,"

"Kan saya dah bagitau dekat chat yang saya nak kahwin?"

Anderson tersenyum kelat. Ingatkan chat hari tu cuma gurauan rupanya benar belaka.

"Tak payahlah termenung. Bukannya lepas saya jadi suami orang, kita tak boleh kawan dah." Usik Denzel sedar akan perubahan wajah sahabatnya dari kecil itu.

"Yang awak nak ambil jadi isteri tu singa, Zel. Mana dah berani nak bawa keluar lepak lepas ni." Anderson ketawa kecil. Denzel ikut ketawa sambil bangun dari duduknya.

"Itulah dulu awak juga yang selalu paksa saya berlakon kahwin dengan dia kan?"

Kedua mereka ketawa. Tidak kering gusi jika Denzel sudah ada didepan mata. Diusik macam mana sekalipun dia tak pernah ambil hati.

"Saya balik dululah Son. Esok bangun awal. Ingat," ujar Denzel. Anderson sekadar mengangguk.

Hilang sahaja kelibat Denzel yang berjalan kaki ke rumahnya yang cuma berdepan, Anderson masuk ke dalam rumah masih tersengih-sengih. Masih tak percaya Denzel ada di kampung sekarang ini. Sudah terbayang-bayang akan kesibukannya lepas ini.

Ada Denzel pasti pelbagai aktiviti yang akan berlaku. Paling wajiblah aktiviti memangang dan memancing. Denzel yang bekerja di atas kapal laut baliknya cuma setahun sekali dan kewujudan Denzel di kampunglah yang paling orang-orang tua di kampung nantikan. Kebanggaan orang kampung sampaikan dia menjadi titik tanda kejayaan di kampung itu.

Manakan tidak, diantara anak-anak kampung yang lain, cuma dialah yang paling tinggi nilai gajinya. Balik sahaja pasti akan ada acara makan-makan percuma.

Jauh berbeza dengan dirinya. Hanya seorang anak kampung yang sering melakukan aktiviti kampung. Mencari belanja dengan mengambil upah membuat apa sahaja design yang diperlukan secara online. Atas saranan Denzel juga, Anderson sering membuat konten di media sosialnya. Kehidupan anak kampungnya yang dia tunjukkan dalam media sosial membuatkan dia mempunyai ramai pengikut.

Sebaik sahaja menutup pintu depan, Anderson terus menuju ke dapur. Sebelum tidur memang itu kewajipan untuk dia pastikan semua tingkap serta pintu ditutup rapat. Kampung mereka itu, pencurinya bukan manusia tetapi monyet yang suka masuk ke dalam rumah untuk mengambil makanan. Apalagi rumah itu yang belakangnya hutan tebal.

Anderson sendiri juga mempunyai kenangan pahit bersama monyet-monyet dari hutan tersebut. Mengikut cerita dari neneknya, ketika dia berumur enam bulan dia diculik oleh sekumpulan monyet waktu dia ditidurkan di ruang tamu. Masa itu, ibunya sibuk memasak di dapur. Sudah masuk ke dalam hutan barulah neneknya nampak dia sedang digendong oleh monyet. Hingga ke petang orang-orang kampung mencarinya hinggalah dia ditemui bersama sekumpulan monyet.

***

Kedinginan tapak kakinya yang terkeluar dari selimut membuatkan Anderson terpaksa membuka mata. Tangan kanannya mencapai telefon pintar yang terletak di atas almari kecil sebelah katil. Berkedip-kedip matanya yang masih layu bila cahaya telefon pintar terpancar pada wajah Anderson.

"Huahhh," Sambil menguap Anderson bangun dari baringannya. Tubuh badannya seakan tau jam itu sepatutnya dia harus bangun. Setiap pagi tanpa perlu deringan jam atau kokokan ayam, pasti dia akan bangun pada jam yang lebih kurang sama. Jam itu juga, jam dia selalu dibangunkan oleh neneknya untuk menyiapkan diri ke sekolah.

Kesejukkan kakinya yang memijak lantai simen buat Anderson kembali duduk. Badan yang berumur 35 tahun itu sudah tidak kuat menahan rasa sejuk. Anderson kembali baring sambil bermain telefon pintarnya.

Fac dibuka terus ditekannya notifikasi yang menunjukkan nombor 13. Satu persatu dibuka. Komen-komen dari para followersnya dibaca satu-persatu.

Satu komen bertanya bila dia nak pacak khemah membuatkan Anderson teringat akan barangan camping yang baru diterima dari jenama terkenal untuk dia iklankan belum lagi diguna. Mujur juga ada Denzel, bolehlah dia ajak Denzel ikut dirinya bermalam di hutan sambil merasmikan barangan tersebut.

Anderson Koril nama penuhnya digunakan pada setiap media sosialnya. Tema utama konten videonya adalah kehidupan di hutan. Pertama kali dulu, dia membuat video dirinya mendirikan khemah guna buluh, bermalam di hutan, memancing dan hiking. Semakin lama dia dikenali, semakin meningkat jumlah followersnya semakin banyak juga jenama produk yang memberikan barangan percuma kepadanya untuk dia guna. Sekaligus videonya menjadi bahan iklan untuk produk tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience