Bab 29

Romance Completed 15392

Keadaan bilik yang mula terang benderang disimbahi pancaran cahaya matahari membuatkan Hayyani terjaga. Terpisat-pisat dia membuka mata sebelum jam di dinding yang menunjukkan angka sembilan terus menghambat kantuknya. Ya Allah, aku terbangun lambat!

Lekas dia mencapai tuala pada rak penyangkut lalu pergi membersihkan diri. Selesai mandi dan bersiap, Hayyani turun ke tingkat bawah dan memeriksa seluruh kawasan rumah. Namun, bayang Elhan tidak kelihatan juga. Yang ada cuma abah dan ibu yang sedang bercucuk tanam di taman kecil-kecilan mereka. Mana pulak dia pergi? Kereta ada dekat sini.

" Leen, abang Elhan mana?" Soal Hayyani sebaik saja dia terjah masuk ke dalam bilik Haleena.

" Dah balik," pendek jawapan Haleena yang sedang mengeringkan rambut basahnya.

Hayyani terdiam kejap. Dia ingat pesanan Elhan semalam untuk pulang pada awal pagi. Tapi kut ya pun jumpalah dia dulu.

" Bila abang Elhan balik?"

" Pagi tadi. Dalam pukul 8. "

" Kenapa tak kejutkan akak? "

Kenapalah Elhan suka sangat datang dan pergi tanpa memberitahunya dulu. Suka sangat buat dia tak tentu arah mencari di sana sini. Ini semua gara-gara dia tidak dapat memejamkan mata semalam. Itu yang dia terlajak tidur selepas solat subuh awal pagi tadi.

" Leen memang nak kejut tapi abang Elhan tak kasi. Kenapa akak ni? Kelam kabut macam orang kena tinggal laki aje, " ujar Haleena. Tak faham dengan kerenah kakaknya seorang ini.

Hayyani kelihatan hampa. Kemudian, dia melangkah longlai menuju ke katil Haleena untuk melabuhkan punggung. Seketika, ada keluhan lemah yang terluncur dari bibirnya. Kejap, aku sedih ke? Kenapa aku nak kena sedih pulak. Bukannya aku syok dekat dia pun.

" Lagi satu, abang Elhan ada tinggalkan kereta dia dekat sini. Dia suruh akak pakai dulu. Baik kan? Yalah, orang kalau dah sayang macam tulah, " cerita Haleena sambil tersengih-sengih. Kan bagus kalau kakaknya sorang ni tak jual mahal sangat. Kasihan Elhan, jadi baik pun belum tentu kakaknya terima.

Hayyani melipat maut. " Dia tinggalkan kereta dia untuk akak? Kenapa? "

" Abang Elhan kata kereta merah tu ibarat hati dia. Dia tinggalkan sekejap mintak akak jaga baik-baik, " cerita Haleena tentang apa yang diberitahu Elhan kepadanya pagi tadi.

Hayyani terkesima seketika. Jadi Elhan sengaja meninggalkan kereta itu sebagai tanda hatinya yang turut tertinggal di situ. Kenapalah awak selalu sangat buat saya terharu, Elhan.

" Habistu, abang Elhan balik naik apa? " soal Hayyani ingin tahu.

" Kawan abang Elhan jemput. Mula-mula Leen ingat kawan abang Elhan tu abang Arif tapi rupanya kali ni kawan perempuan. Lawa kawan abang Elhan tu kak. Leen yang perempuan ni pun tak mampu menafikan kecantikan dia. " Beria-ria Haleena menceritakan perihal wanita yang ditemuinya pagi tadi. Bukan setakat cantik, wanita itu juga berbudi bahasa dan sopan santun dengan orang tua mereka. Memang mustahil kalau tiada jejaka yang terpikat.

Hayyani mencebik. Entah mengapa dia berasa panas hati pula mendengar cerita Haleena. Eleh, macam tak percaya saja. Kenapa aku tak pernah tahu pun Elhan ada kawan perempuan yang lain.

" Kek ni semua, siapa yang punya? " Hayyani mengalih topik seraya menunjuk ke arah kotak-kotak kek bersaiz kecil di atas meja Haleena.

" Leen saja belikan. Akak, ni rahsia tau. Jangan bagitau ibu atau abah. " Haleena bangkit dan duduk di sebelah kakaknya. Dia merapatkan wajahnya pada telinga Hayyani.

Berkerut-kerut dahi Hayyani cuba menangkap perihal yang Haleena bisikkan di telinganya.

" Leen kerja dekat bakery secret recipe? Cawangan yang mana satu? " Hayyani sedikit terkejut lantaran itu suaranya naik satu oktaf. Haleena meletakkan jari pada bibirnya, memberi isyarat supaya mengawal suara.

" Bandar Seri Putra. Lepas naik cuti semester nanti kena pakai banyak duit nak bayar yuran. So, Leen ingatkan bolehlah kerja sementara cuti. Kumpul duit sikit-sikit. Leen tak nak susahkan ibu dengan abah. "

" Kalau ibu tahu, habis kau Leen. Silap-silap keluar rumah pun tak boleh dah. " Hayyani seakan cuba menakutkan Haleena. Bukan mereka tak kenal sikap ibu. Sewaktu abang Haris nak bekerja sambilan di kedai makan selepas SPM dulu pun ibu tak kasi. Apatah lagi Haleena yang perempuan dan masih belajar.

" Sebab tulah akak kena tolong Leen. Jangan pecahkan tembelang tau. Kita-kita aje yang tahu. Please kak..." rayu Haleena dengan suara perlahan sambil merapatkan kedua belah tangannya.

" Kalau nak duit mintak ajelah akak. Setakat seribu dua tu akak adalah. "

Hayyani melahirkan rasa kurang senangnya perihal Haleena. Sejujurnya, dia memang kurang bersetuju apabila mendapat tahu Haleena bekerja sambilan. Kalau ibu tahu sudah tentu Haleena takkan terlepas begitu saja.

" Tak payahlah kak. Leen kesian dekat akak. Mesti duit akak dah banyak habis lepas bercuti 3 bulan dekat sana. Nanti dapat gaji Leen bagi akak duit, eh. Jangan risau. "

Hayyani rasa tercabar mendengar kata-kata Haleena. Eleh, duit yang nenek kasi dulu masih banyak okey. Lagipun, kalau dia wang sudah kering, dia masih boleh melukis potret dan menjualnya dengan harga yang berbaloi.

" Tak payahlah. Kau sendiri pun cukup-cukup makan aje. Simpanlah sendiri duit tu semua. Oh ya, kejap lagi kau nak keluar kan? Surat dalam laci akak jangan lupa pos tau, " pesan Hayyani. Sejak dia mula menulis surat kepada Malik, Haleenalah yang akan menjadi posmen tak berbayarnya.

" Pos lagi? Kalau ibu tahu kau kirim surat untuk orang dekat Istanbul, memang tamatlah riwayat kau kak. Sudahlah tu kak. Bukannnya dia balas pun. Membazir duit membazir tenaga adalah, " sungut Haleena seraya menggeleng kepala.

Walaupun dia tak pasti cerita sebenar yang berlaku pada kakaknya dan lelaki Istanbul itu, namun dia yakin ada sesuatu yang sedang berlaku. Selama ini, Hayyani cuma memintanya mengirimkan surat ke pejabat pos saja. Apabila ditanya, kakaknya itu enggan menceritakan kisah sebenar yang terjadi. Kalau ibu tahu, tentu meletus perang dunia ketiga nanti.

" Pos ajelah, " tegas Hayyani sebelum dia menutup rapat pintu bilik Haleena.

****

Tengah hari itu, Hayyani memutuskan untuk melawat Elhan di hospital ketika waktu rehat. Entah mengapa hatinya seakan benar-benar berkehendak untuk berjumpa lelaki itu lagi walaupun baru saja berpisah. Sekurang-kurangnya, dia ada alasan untuk mengajak lelaki itu bertemu. Tak adalah malu sangat nanti.

Selesai memarkir kereta Mercedes Elhan di tempat parkir kereta, Hayyani menapak menuju ke jabatan kardiologi. Di tangannya ada mangkuk tingkat berisi masakan kegemaran Elhan. Harapnya Elhan suka.

Sedang dia berjalan menuju ke kaunter pertanyaan, dia ditegur seseorang.

" Hai cik adik. Amboi! Lajunya berjalan sampai tak nampak saya yang duk melambai-lambai dari jauh lagi. "

Langkah Hayyani terhenti. Bagai tak terluah kata-kata dari mulutnya tatkala melihat wajah yang semacam dia kenal saja. Tapi siapa ya? Di bibir lelaki itu terukir sepenggal senyuman.

" Jangan risaulah. Muka tu takut macam terserempak malaikat maut aje."

" Pernah ke? Saya belum pernah. " Walaupun dia meragui lelaki itu, dia tidak teragak-agak untuk membalas. Dengan tak semena-mena, lelaki itu ketawa.

" Kelakarlah awak ni Daneen. Relaks, saya pun tak pernah terserempak dengan malaikat maut. Memang dah arwahlah saya kalau terserempak, " ujar lelaki itu sekadar berjenaka secara spontan. Kemudian, dia ketawa.

Hayyani terpempan sebentar. Makin hebat kerutan di wajahnya kala ini. Adakah dia tersalah dengar ataupun memang lelaki itu ada memanggil namanya tadi.

" Kejap, encik kenal saya ke?"

" Apasal pulak tak kenal? Ni senior awaklah. Arif Zuhairi. Ingat lagi tak? " Arif tak menyangka takdirnya hari ini menemukan dia dengan Hayyani. Sudah lama tak berjumpa, dia merasakan Hayyani di depannya ini semakin cantik dan tak seperti dulu. Padanlah Elhan boleh jatuh hati.

" Oh, encik Arif. Dah lama tak jumpa encik. Apa khabar? " Hayyani cuba berbasa basi walaupun kekok.

Punyalah lama mereka tak berjumpa sampai dia tak lagi mengecam muka Arif. Dulu lelaki itu mempunyai imej berambut panjang sekarang sudah kemas dan bergaya. Sungguh berlainan berbanding dulu.

" Sihat macam selalu. Tak payahlah panggil encik. Panggil aje Arif. Kita berdua ni dah biasa jugak dulu kan. Lagipun, takkan tak kenal kawan baik Elhan ni. "

Eh, apa pula tak kenal. Inilah konco Elhan yang selalu mencari pasal dengannya sewaktu belajar dulu. Rasa traumanya dulu sampai dia terpaksa tangguh satu semester selepas kejadian baju bergincu itu. Bila cerita dekat ibu bukannya ibu percaya pun. Sehinggakan ketika dia menangguhkan semester itu, dia menetap di rumah neneknya saja gara-gara nak mengelak kemurkaan ibu.

" Awak buat apa dekat sini?" Arif beramah mesra. Dia melihat sekilas mangkuk tingkat di tangan gadis itu.

" Saya datang nak jumpa Elhan. Awak tahu bilik dia dekat mana?"

" Lah... Elhan tak bagitahu awak ke?"

Senyuman di wajah Hayyani perlahan-lahan mengendur apabila Arif menyoal kembali. Berbagai persoalan negatif menujah mindanya ketika ini. Ada sesuatu yang buruk terjadi kepada Elhan ke?

" Kenapa? Ada apa-apa yang jadi ke?" Hayyani menggagahkan jua dirinya bertanya demi mendapat sebaris jawapan daripada Arif. Saat ini, debaran di dadanya memukul tanpa belas.

" Elhan pergi Langkawi hari ni dengan Jasmine. Mungkin esok baru balik. Elhan tak ada cakap apa-apa? "

" Takde pulak. Dia kata dia balik hari ni sebab kerja. By the way, siapa Jasmine? " Hayyani bertanya dengan setenang yang mungkin. Dia tak mahu terlihat lemah di hadapan lelaki itu walaupun hatinya bagai ditarah mendengar pemberitahuan itu. Barangkali Jasmine adalah wanita yang diceritakan oleh Haleena pagi tadi.

" Jasmine, coursemate merangkap rakan sekerja kami. Kami semua kenal masa dekat London dulu. Saya aje yang tak dapat join hari ni sebab ada operation penting. Sayang betul tak dapat ikut sekali, " ungkap Arif. Ada sedikit kekesalan dalam hatinya. Kalau tidak sebelum ini mana pernah walau sekali pun dia terlepas sambutan hari jadi Jasmine.

" Awak pasti Elhan pergi berdua aje? " Hayyani meminta kepastian lagi. Anggap sajalah hatinya sudah bersedia untuk menerima apa jua jawapan Arif selepas ini. Namun, jauh di sudut hatinya mengharapkan telahan itu tidak benar.

" Erm... nampaknya macam tulah, " balas Arif pendek.

Hayyani mengetap kuat bibir bawahnya saat wajahnya ditundukkan ke lantai. Tergamak Elhan membohonginya demi seorang wanita. Konon pergi bekerjalah, ada pembedahan pentinglah, kena jaga pesakitlah. Rupa-rupanya, melencong ke tempat lain. Kalau perempuan itu dianggap teman lalu mengapa Elhan harus membohong. Elhan penipu!

" Takpelah, saya balik dulu. Awak makanlah bekal ni, " pamit Hayyani tanpa sedikit pun cuba memandang wajah Arif. Risau Arif melihat perubahan pada wajahnya.

Mangkuk tingkat itu diserahkan kepada Arif sebelum dia buru-buru menghilangkan diri.

" Eh... err... terima kasih, " ucap Arif. Dia bingung sendirian melihat Hayyani berlalu pergi begitu cepat. Aku ada tersalah cakap ke? Hish, pelik.

****

Sebaik saja Hayyani pulang ke rumah, dia mencari Haleena di dalam bilik. Ada sesuatu yang perlu dipastikan dengan mata kepalanya sendiri. Dia lihat ketika itu, adiknya sedang menyapu lantai kamar.

" Leen, kau kata kau ada follow abang Elhan dekat instagram, kan? " soal Hayyani tanpa sempat memberikan muqadimah kata pun. Hatinya yang meronta-ronta tatkala ini lebih penting daripada perkara lain.

" Haah, kenapa? " Haleena sedikit kaget. Namun, dia tetap menjawab soalan itu walaupun hairan dengan kelakuan cemas kakaknya. Pagi tadi elok saja dia tengok. Sekarang dah lain pula. Susah dapat kakak jenis mood swing ni.

" Bagi akak pinjam handphone sekejap, " pinta Hayyani tanpa sempat bertenang lagi.

Haleena memberikan telefon bimbitnya di atas meja solek tanpa banyak soal. Hayyani mencapainya lalu duduk di birai katil. Aplikasi Instagram dibuka dan senarai pengikut Haleena bernama elhan_ashareeq itu ditekan.

" Abang Elhan jarang update story. Tapi kalau kawan perempuan dia adalah, " beritahu Haleena yang seakan faham dengan kerunsingan Hayyani. Elhan memang seorang yang low profile. Kehidupan peribadinya jarang-jarang sekali dipertontonkan di khalayak ramai.

" Kawan dia yang mana? Jasmine? " Tak sempat menunggu Haleena menjawab lagi, Hayyani terus menaip nama Jasmine pada papan kekunci.

Laju Haleena mengangguk. Dia duduk di sebelah Hayyani dan turut melihat sama.

" Haah. Kita orang baru follow each other pagi tadi. Akak ni kenapa? Macam orang baru hilang laki aje. "

Kata-kata Haleena langsung tidak dihiraukannya. Di kala ini, hati Hayyani bagai ditarah-tarah ketika melihat kepingan gambar serta video Jasmine dan Elhan yang dimuat naik. Jantungnya hampir terhenti melihat betapa bahagianya wajah dua orang manusia itu.

" Wah! Abang Elhan pergi Langkawi lah. Mesti pergi dengan kak Jasmine sekali kan. Kalau Leen jadi akak, Leen cemburu, " kata Haleena sengaja nak menguji kakaknya.

Hayyani rasa bagaikan ada lahar yang membakar wajahnya tatkala ini. Hatinya sakit melihat kemesraan mereka sehingga dia tidak sanggup melihatnya lagi. Akhirnya, dia mengembalikan telefon bimbit itu kepada Haleena sebelum kembali ke kamarnya semula.

Di bilik tidurnya, Hayyani menangis sendirian. Kenapa kau perlu cemburu Daneen. Kenapa kau rasa sakit hati sedangkan mereka cuma berkawan. Kenapa kau rasa pedih bila dibohongi Elhan sedangkan kau tak ada perasaan pada dia. Ataupun kau yang berbohong dengan perasaan kau sendiri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience